Sunday, November 19, 2006

ANGIN PERUBAHAN DALAM

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO KE-57

Kassim Ahmad

18 November, 2006

Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri Malaysia, Abdullah Haji Ahmad Badawi, terkenal dengan nama jolokannya Pak Lah, pergi ke Perhimpunan Agung UMNO ke-57 yang baru selesai, dengan menanggung banyak beban. Tiga tahun ke dalam kepimpinannya, ramai rakyat Malaysia telah mula mempertikai beliau. Rasuah. Kenaikan harga barang-barang dan kemudahan-kemudahan asas, kerana kenaikan harga minyak. Beberap kroni, termasuk anggta-anggota keluarganya sendiri, di sekelilingnya yang dikatakan menguasai pentadbiran beliau. Ditambah dengan itu, kritikan yang ditujukan kepada beliau oleh bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang telah memilih beliau sebagai penggantinya. Kira-kira dua minggu sebelum perhimpunan itu, beliau memberitahu pemberita-pemberita Malaysia di Islamabad apabila beliau melawat Pakistan bahawa beliau belum pun memikirkan ucapan beliau! Bolehkah kita salahkan sangkaan sesetengah rakyat bahawa beliau hendak cabut lari?

Pada petang Jumaat (17 November) apabila beliau menggulung dua hari perbahasan ucapan beliau, beliau nampak selesa, ceria, tenang dan gembira dengan apa yang beliau lihat dan dengar dalam lima hari perhimpunan itu. Ketiadaan Tun Dr Mahathir dalam perhimpunan itu, kerana kesihatannya tidak membenarkan, sungguh suatu rahmat Tuhan kepada UMNO dan kepada rakyat kita, yang amat bimbang tentang kemungkinan-kemungkinan yang tidak diingini. Namun demikian, Pak Lah tidak lupa untuk mengajak perhimunan itu memanjatkan doa bagi kesihatan Tun Dr. Mahathir serta menjanjikan segala kemudahan kesihatan negara untuk kesembuhan beliau.

Pak Lah bukan seorang ahli pidato, seperti Anwar Ibrahim; bukan juga seorang ahli fikir yang tajam inteleknya, seperti Tun Dr. Mahathir. Beliau mengambil masa dua jam, lebih lama daripada biasa, untuk membaca ucapan 28 muka surat itu. (Beliau meberitahu kemudian bahawa beliau membuat tujuh atau lapan semakan kepada ucapan itu.) Tepukan diberikan perwakilan di sana-sini, tetapi tidak boleh dikatakan gemuruh, dan sesetangah wakil nampak sedikit bosan dan resah. Namun demikian, ucapan itu menyeluruh, kemas, mengandungi makna yang dalam dan menyentuh semua perkara yang patut disentuh oleh seorang presiden UMNO.

Beberapa perkara patut diberi perhatian. Huraian dan penegasan beliau tentang kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh semua kaum dan termaktub di dalam Perlembagaan dan perlu dipelihara, dipatuhi dan dipertahankan. Ini termasuk kedudukan istimewa orang Melayu sebagai bangsa yang menakrif bangsa Malaysia yang sedang dibangunkan, kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan.

Beliau menekankan bahawa perjuangan UMNO untuk mencapai Agenda Melayu itu tidak bermakna menafikan hak dan kepentingan yang sah suku-bangsa lain yang menjadi rakyat Malaysia. Dalam hubungan ini, beliau melarang penimbulan isu-isu sensitif berhubung denga agama dan kaum untuk menjaga keharmonian kaum. Syarat ini tentulah ada batasnya. Ia hanya boleh berlaku dalam konteks sebuah pemerintahan yang mengamalkan musyawarah dan permuafakatan dan pemerintahan yang adil dan saksama kepada semua kaum. Pada akhirnya, rakyat Malaysia mestilah boleh berfikir secara saintifik dan rasional (mentaliti kelas pertama) [1] untuk membangunkan sebuah bangsa dan tamadun yang cemerlang, gemilang dan terbilang (untuk meminjam kata-kata Pak Lah sendiri).

Kita juga menghargai jemputan Pak Lah supaya menegur dan mengkritik beliau secara membina, “kerana beliau tidak sempurna”. Kita harap kebebasan bersuara ini akan dilaksanakan dalam parti, dalam Kerajaan, dalam media dan dalam masyarakat. Kebebasan ini tentu ada batasnya, kerana kita semua bertanggungjawab terhadap kemajuan, keselamatan, kedaulatan dan kelangsungan bangsa kita. Tetapi, harus diingat, bahawa kebebasan ini bukan suatu formaliti satu orang satu undi dalam pilihanraya; kebebasan ini berakar-umbi dalam kesedaran bahawa, tanpa kebebasan, manusia tidak lebih dari tumbuh-tumbuhan dan binatang yang tidak boleh berfikir dan tidak boleh menentukan destininya. Manusia dijadikan khalifah di dunia untuk mentadbir dan mengubah dunia menjadi suatu tempat yang bahagia dan selamat untuknya. Ini tidak boleh dilakukan tanpa komitmen untuk “menyeru kepada kebaikan dan melarang kejahatan”. Kita mengambil perhatian akan kata-kata Pak Lah bahawa beliau menanggap kerja politiknya sebagai amal kepada Allah s.w.t. Ini patut dijadikan dasar UMNO.

Cara hidup Islam ialah “jalan yang lurus” di antara dua penyelewengan, yang disebut dalam surah Al-Fatehah. Cerdik-pandai kita perlu kaji dan teroka jalan ini dalam bidang-bidang politik, ekonomi, kewangan dan lain-lain supaya ayat ini tidak difaham dan dihayati semata-mata dari segi pengertian agama yang sempit. Pendekatan “Islam Hadhari” yang dibawa oleh Pak Lah, pada dasarnya, betul. Ia ingin mengelak, di satu pihak, tafsiran ortodoks yang terlalu konservatif dan tertutup, dan, di pihak lain, tafsiran liberal yang terlalu memudahkan dan luas.

Kita memikirkan sistem global sekarang yang didominasi oleh falsafah neoliberal Barat, yang sedang runtuh dengan cepat, dan yang perlu kita gantikan dengan sistem nasional dan internasional yang lebih baik. Kemaharaja-lelaan dan kebuasan kuasa-kuasa besar Barat di Palestin dan di Iraq itu suatu manifestasi kebobrokan sistem global sekarang. Dengan seruan Pak Lah supaya kita bangunkan suatu masyarakat yang mengutamakan sains dan rasionaliti yang tidak menolak malah menekankan wilayah kerohanian (masyarakat ulil’ al-bab) satu seruan yang baru dalam UMNO dan dalam masyarakat kita.

Seorang kenalan saya menyatakan Perhimpuan Agung UMNO kali ini nampak macam muktamar PAS, dengan perwakilan banyak memetik ayat Quran dan Hadis! Walaupun kita tahu syaitan juga boleh memetik ayat-ayat Quran untuk mengelirukan orang ramai, saya tidak fikir kita patut dan perlu menjadi skeptikal seperti itu. Kita sedar UMNO, mengikut kenyataan-kenyataan pemimpin UMNO sendiri, sudah banyak rosak, dengan rasuah politik dan semangat materialisme yang terlalu ketara. Namun demikian, kita tidak boleh putus asa dengan UMNO. Kerosakan ini boleh dan perlu dibaiki.

UMNO mewakili tiga daripada enam belas juta orang Melayu di Malaysia – suatu bilangan yang tidak kecil. Enam puluh tahun dulu, UMNO bermula dengan semangat dan falsafah kebangsaan Melayu. Hari ini ia telah meluaskan semangat dan falsafah itu kepada kebangsaan Malaysia dengan Islam sebagai panduan hidup kita. Ini suatu perubahan besar yang kita alu-aukan dan sokong. Terpulanglah kepada kita, khasnya ahli-ahli UMNO dan para patriot di antara kita, untuk mendakap erat semangat dan falsafah baru itu dan menjadikan ia suatu realiti dalam kehidupan masarakat kita, bukan dalam masa enam puluh tahun akan datang, tetapi secepat mungkin – sekarang!.

Kassim Ahmad, bekas Presiden Parti Sosialis Rakyat Malaysia dan seorang penulis bebas. Beliau boleh dihubungi di kasmad172@yahoo.com.my. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com



[1] Firman Tuhan, “Hendaklah kamu seru ke jalan Tuanmu dengan hikmah dan ajaran yang elok, dan debat degan mereka dengan cara yang baik.” (Quran, 16: 125)

1 comment:

A Voice said...

Kamu pun dah jadi pengampu, Kassim?