Friday, November 17, 2006

KENYATAAN AKHBAR

Bagi pihak Forum Iqra’, saya mengalu-alu dan menyokong beberapa saranan positif Presiden UMNO dalam ucapannya dasarnya kepada Perhimpunan Agung UMNO ke-57 pada Rabu 17 November lalu.

Khasnya, kami mengalu-alu dan menyokong pendekatan Islam jalan tengah di antara keterlampauan konservatisme dan keterlampauan liberalisme dalam semua bidang kehidupan rakyat Malaysia. Sejak awal penubuhan kami pada tahun 2002, kami telah menganjurkan pendekatan ini.

Dalam ucapan dasar itu, Presiden UMNO telah menggariskan 12 gagasan yang penting yang telah menjadi halatuju dan panduan pentadbiran beliau. Dua belas gagasan ini termasuklah perpaduan bangsa beradasarkan kontrak sosial antara kaum, khasnya kedudukan istimewa orang Melayu sebagai penakrif bangsa Malaysia, agama Islam sebagai agama rasmi negara dan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa hak-hak dan kepentingan-kepentingan suku-kaum lain yang sah dalam negara Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya terplelihara dan dipelihara, termasuk layanan yang adil dan saksama kepada mereka.

Beliau juga memberi suatu tafsiran yang baru kepada gagasan demokrasi di Malaysia, bersadarkan permuafakatan kaum dan musyawarah dalam parti, Kerajaan dan masyarakat, termasuk kebebasan kepada media untuk membuat laporan dan analisis yang objektif. Ini perkembangan yang sihat.

Dalam ucapan yang komprehsensif itu, beliau menekankan pertumbuhan ekonomi berdasarkan faktor kreatif modal insan dan nilai tambahan yang perlu untuk menghadapi keruntuhan sistem global neoliberal Barat yang sudah bankrap. Di sinilah sistem kewangan dan ekonomi pertengahan Islam perlu dikaji dan terokai untuk menggantikan sistem neoliberal Barat. Di sini beliau juga menekankan bukan saja pertumbuhan, tetapi juga pengagihan yang adil. Dalam keadaan rakyat kita yang menderita sekrang kerana kenaika harga barang-barang keperluan dan kegunaan awam, Kerajaan mestilah mengambil tindakan-tindakan mengurang dan mebasmi pembaziran serta meringankan bebanan kewangan rakyat.

Di sini juga beliau menekan kelahiran masyarakat ilmu (masyarakat ulil’l al-bab), termasuk membina komuniti ahli sains dan teknologi di kalangan orang Melayu. Buat pertama kalinya, beliau menekankan perimbangan jantina di antara lelaki dan perempuan di dalam semua sektor.

Ramai orang telah putus asa dengan nekad beliau pada awalnya untuk membasmi rasuah. Sekali lagi beliau mengajak rakyat membantu beliau melakukan tugas besar ini. Kita harap selepas ini tugas ini diberi perhatian yang sepatutnya oleh beliau, oleh parti, oleh Kerajaan dan oleh rakyat supaya barah ini dapat dihapuskan dari tubuh badan Malaysia.

Beliau menjemput teguran dan kritikan terhadap beliau. Beliau membuat pengakuan yang penting bahawa beliau tidak sempurna dan memerlukan teguran.

Dalam pada itu, beliau menekankan kesinambungan dasar semua pemimpin UMNO dari Dato’ Onn sehingga keadaan beliau sekarang. Tiap pemimpin ada kekuatan dan kelemahan masing-masing. Yang penting ialah tugas mempertahankan kedaulatan dan memajukan bangsa dan negara.

Dalam menganjurkan toleransi agama untuk menjaga keharmonian kaum, beliau juga menganjurkan toleransi mazhab di kalangan umat Islam untuk mengelak permusuhan dan perpecahan di kalangan mereka. Pada hemat kami, ayat lakum dinukum wa liyadian tidak boleh dikenakan pada sesama orang mukmin. Orang mukmin mestilah berpegang teguh kepada Tuhan Yang Esa (fahaman tauhid) dan kitab suci-Nya yang terkemas kini, iaitu al-Quran ‘ul-Karim. Persis kitab-kitab mazhablah yang membawa kepada permusuhan dan perpecahan.

Kami berharap UMNO, Barisan Nasional dan Kerajaan, dengan sokongan rakyat, akan melaksanakan saranan-saranan yang baik dalam ucapan dasar yang telah diterima oleh Perhimpuan Agung UMNO yang ke-57 in seberapa segera. Harus diingat bahawa Nabi Muhammad, yang menjadi ikutan Presiden UMNO sekarang, mengikut kenyataannya sendiri, telah menyempurkan misi besarnya dalam masa 23 tahun sahaja. UMNO sudah berusia 60 tahun dan negara kita sudah merdeka 49 tahun! Kata hendaklah dikotakan; janji hendaklah dilaksanakan!

KASSIM AHMAD

Presiden, Forum Iqra

18 November, 2006.

No comments: