Sunday, March 23, 2008

Hadis: Satu Penilian Semula #9

Bab II: Penolakan Teori Ahlul-Hadis (Sambongan)

Hujah ‘Nabi Penghurai dan Pentafsir Quran’

Kaum ahlul-Hadis mendakwa bahawa Nabi ialah penghurai dan pentafsir Quran, dan huraian dan tafsiran beliau diperoleh melalui Hadis. Tanpa Hadis, kata mereka, umat Islam tidak dapat memahami dan menjalankan perintah-perintah dalam Quran.

“Andaikata keterangan Nabi (s.a.w.) terhadap hal-hal yang mujmal ini tidak terpelihara dan terjamin dari campur tangan pihak luar, nescaya tidak dapat digunakan lagi nas-nas Quran itu. Dengan begitu akan gugurlah sebahagian terbesar nas-nas Quran yang wajib kita jalankan. Jika demikian, tentu kita tidak dapat mengetahui maksud Allah sebenarnya.”17

Mereka mengemukakan ayat-ayat Quran berikut sebagai sandaran pendapat ini:

Demikian juga, Kami wahyukan perutusan ini kepadamu untuk menujukkan kepada manusia apa yang diwahyukan kepada mereka dan untuk mereka berfikir. (16:44)

Kami tidak menurunkan kitab ini kepadamu kecuali untuk menunjukkan kepada mereka apa yang mereka perbantahkan dan untuk memberi petunjuk dan rahmat kepada mereka yang beriman. (16:64)

Menerangkan ayat-ayat di atas, Dr. Mahmud Saedon menyatakan Nabi memperincikan perkara-perkara yang mujmal atau universal dalam Quran, seperti waktu dan rakaat sembahyang dan kadar zakat; Nabi menjelaskan perkara-perkara yang samar dalam Qquran, seperti waktu imsak; Nabi mengkhususkan perintah-perintah yang umum dalam Quran, seperti dalam pembahagian harta pusaka, di mana kononnya, Hadis melarang pembahagian kepada anak-anak yang membunuh ibu-bapa; dan Nabi menghadkan atau membataskan perintah-perintah Quran, seperti penentuan kaedah melaksanakan hukum potong tangan.18

Jelaslah bahawa apa yang dimaksudkan oleh ahlul-Hadis di sini ialah tugas Nabi sebagai pemimpin yang terkandung dalam konsep ulil-amr, seperti yang telah saya terangkan di atas. Adalah mustahil untuk Nabi Muhammad atau bagi mana-mana ahli tafsir untuk menjelaskan dan mentafsirkan Quran sekaligus, secara mutlak, kerana Quran adalah sebahagian daripada ilmu Tuhan, yang hanya boleh dicapai sedikit demi sedikit melalui kajian-kajian saintifik dan pemikiran rasional dalam satu jangka masa yang panjang. Sejarah tafsir yang mencatat banyak tafsir yang telah dibuat oleh ahli-ahli tafsir zaman klasik membawa ke zaman pertengahan hingga ke zaman moden Islam membuktikan perkara ini. Hal ini juga telah diterangkan dalam Quran sendiri.

Tidak seorang pun mengetahui tafsirnya (ayat-ayat mutasyabihat) yang sebenarnya, kecuali Tuhan dan mereka yang mendalami ilmu. (3:7)

Janganlah menggerakkan lidahmu (wahai Muhammad) untuk mempercepatkan wahyu ini. Kamilah bertanggungjawab mengumpulkannya menjadi Quran. Bila kami membacanya, hendaklah kamu ikut Quran ini. Kemudian kamilah yang akan menghuraikannya. (75:16-19)

Dia maha pemurah. Dialah yang mengajar Quran. (55:1-2)


Kaedah Sembahyang

Pendukung-pendukung Hadis bertanya: Jika kita menolak Hadis, bagaimana kita bersembahyang? Sebenarnya, jawapannya ada di dalam Quran sendiri. Sesiapa yang mengkaji Quran mengetahui bahawa ibadah-ibadah agama, salat, puasa, zakat dan haji telah diajar oleh Tuhan kepada Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya dan diperturunkan daripada mereka, generasi, kepada Nabi Muhammad dan pengikut-pengikutnya.

Tuhan kami, jadikanlah kami Muslim (tunduk) kepadaMu, dan daripada keturunan kami biarlah lahir suatu bangsa Muslim (yang tunduk) kepadaMu. Ajarkanlah kami bagaimana hendak mengamalkan ibadah-ibadah agama kami, dan ampunilah kami; Kau maha pengampun, maha penyayang. (2:128)

Quran juga memberitahu kepada kami bahawa orang-orang Arab sebelum Muhammad sudah mengamalkan salat:

Salat mereka di rumah suci tidak lain daripada penipuan dan kesesatan. (8:35);

dan wahyu-wahyu Quran yang paling awal sudah menyebut salat dan zakat, membukttikan bahawa ibadah-ibadah ini sudah terkenal di kalangan orang Arab. Wahyu ketiga, Surah Al-Muzzammil (73) ayat 20, menyatakan:

Oleh yang demikian bacalah apa yang mampu olehmu darinya (Quran), dan amalkanlah salat dan berikanlah zakat, dan pinjamkanlah Tuhan satu pinjaman kebajikan.

Periwayat Nabi yang pertama, Ibn Ishaq, mencatat dalam sirahnya bahawa sebelum beliau diangkat menjadi rasul, Muhammad mengunjungi Gua Hira’ tiap-tiap tahun dalam bulan Ramadan untuk berhening cipta dan bersembahyang, dan memberi makan kepada orang-orang miskin yang datang kepadanya.19 Ibn Ishaq juga mencatat bahawa sebelum Nabi israk dan mikraj pada malam bersejarah itu, Nabi bersembahyang isyak’ di rumah Umm Hani.20 Kesemua fakta ini menafikan laporan-laporan Hadis yang menyatakan bahawa ibadah sembahyang diperintahkan oleh Tuhan kepada Nabi pada malam israk dan mikraj.

Berhubung dengan kaedah-kaedah salat (waktu, rakaat dan gerak-gerinya), tidak syak lagi bahawa amalan yang dilakukan oleh umat Islam sekarang, pada dasarnya, berpunca daripada amalan Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya, dan kaedah-kaedah ini diperturunkan, generasi demi generasi, hingga kepada Nabi Muhammad dan pengikut-pengikutnya. Namun demikian, Quran telah juga menyatakan beberapa perincian kaedah salat: umpamanya, semua lima waktunya (11:114, 17:78, 24:58, 2:238, 30:17-18 dan 20:130); perbuatan rukuk dan sujud (22:77); meringkaskan sembahyang dalam perjalanan (4:101); bentuk yang boleh disesuaikan dalam keadaan perang dan keadaan luar biasa (2:239); berpakaian elok (7:31); cara bacaan yang sederhana (17:110); jangan menyerukan selain Allah dalam sembahyang (72:18) dan cara-cara wuduk (5:6 dan 4:43). Jadi, walaupun perincian gerak-geri salat tidak diberi dalam Quran, banyak perincian kaedah ada diberikan.

Juga Quran mengajar kita supaya jangan mempertikai bentuk dan kaedah. Bentuk dan kaedah tidak begitu penting jika dibandingkan dengan tujuan. Apa yang penting ialah kebaikan dan kejujuran untuk melakukan kebaikan.

Kebaikan bukanlah berpaling ke Timur atau ke Barat. Kebaikan ialah beriman kepada Tuhan, hari kiamat, malaikat-malaikat, kitab-kitab dan nabi-nabi; dan mendermakan wang yang kita sayangi kepada kaum keluarga, anak-anak yatim, orang-orang miskin, orang-orang asing, pengemis-pengemis, dan membebaskan hamba-abdi, dan melaksanakan salat dan zakat, dan menunaikan janji-janji yang dibuat, dan tetap teguh menghadapi bencana, kesusahan dan peperangan. Inilah mereka yang benar; inilah mereka yang baik. (2:177)

Tahukah engkau siapa yang menolak keimanan? Dia yang mengabaikan anak-anak yatim. Dan tidak pernah menganjurkan diberi makanan kepada orang-orang miskin. Oleh itu, celakalah mereka yang melaksanakan salat. Sedangkan mereka lalai tentang salat mereka. Mereka hanya menunjuk. Dan enggan bersedekah. (107:1-7)

Ada hikmahnya yang besar mengapa Tuhan tidak memperincikan bentuk dan kaedah salat dalam Quran. Pertama, kerana bentuk dan kaedah ini telah diajar kepada Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya, dan disahkan untuk diikut oleh umat Muhammad. Kedua, kerana bentuk dan kaedah tidak begitu penting, dan Tuhan ingin memberi kelonggaran kepada umat Muhammad supaya mereka boleh melakukan salat mereka dalam keadaan apa juga, seperti dalam perjalanan jauh, dalam peperangan, di Kutub Utara, atau di angkasa lepas, mengikut cara yang sesuai. Peristiwa Putera sultan Salman dari Arab Saudi yang turut serta dalam kapal angkasa Amerika, Discovery pada Jun 1985 meminta perunjuk daripada tokoh-tokoh agama negaranya bagaimana hendak bersembahyang di dalam kapal angkasa itu bukan saja telah menimbulkan pertentangan di kalangan ulama yang jumud dan anti-sains, tetapi adalah satu peringatan yang amat baik kepada umat Islam supaya kembali dan berpegang kepada Quran dan jangan mempertikai bentuk dan kaedah.

Sambongan: Hujah ‘Nabi Satu Teladan Baik’

No comments: