KEPUTUSAN PILIHANRAYA UMUM KE-12
MAKNA, IMPLIKASI DAN CABARAN
Oleh: Kassim Ahmad
11 Mac, 2008
Habuk dan debu yang berterbangan berpusing-pusing dua minggu yang lalu di udara Malaysia sudah turun dan mendap ke bumi. Matahari terbit seperti selalu dan udara kembali tenang. Pilihanraya Umum Malaysia ke-12 telah datang dan pergi, membawa ombak, sampah-sarap dan meninggalkan lumpur di pantai-pantai. Kita penghuni bumi Malaysia terpaksa mencari jalan untuk meneruskan perjalannan kita di tengah-tengah rahmat dan bencana yang telah berlaku. Rahmat keramat anak kita yang angkuh telah jatuh dari ketinggiannya; bencana kerana dia anak kita.
Buat pertama kali dalam sejarah Malaysia merdeka, gabungan parti utama Perikatan/Barisan Nasional gagal mendapat dua pertiga kerusi parlimen dan kehilangan lima buah negeri kepada parti pembangkang. Negeri-negeri ini termasuk yang termaju di Malaysia -- Selangor dan Pulau Pinang, dan juga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Nyatalah suatu perubahan besar telah dibuat oleh rakyat Malaysia berbilang kaum. Setelah lebih lima puluh tahun di bawah pentadbiran mereka, rakyat berbilang kaum telah mula kecewa, marah dan hilang kepercayaan terhadap mereka. Gabungan Barisan Nasional, khasnya parti UMNO, yang dulunya begitu yakin dengan kekuatan mereka dan sokongan rakyat terhadap mereka, dalam sekedip mata, telah dijadikan rendah dan hina oleh gabungan kekuatan rakyat yang disalurkan melalui tiga buah parti pembangkang.
Kepada B.N. ia nyata suatu amaran keras: “Perbaiki diri kamu, atau kami akan hapuskan kamu!” Perbaiki diri -- inilah yang harus dilakukan oleh B.N, khansya UMNO, sekarang. Suatu krikitikan diri yang menyeluruh dan mendalam harus dibuat dengan segera. Falsafah perjuangan, (adakah bersifat kebangsaan, humanis, demokratik dan internasionalis?) semangat perjuangan (adakah bertujuan membela rakyat?), pembangunan dan pendidikan parti (adakah selaras dengan falsafah perjuangan tadi?), dasar pemerintahan (adakah adil dan demokratik?), pelaksanaan dasar , dan gaya pemerinthan – semua ini, dan lain-lain yang bersangkutan, mesti diletak di bawah teropong kritikan. Dalam masa setahun ia harus selesai dan mula dilaksanakan. Inilah yang harus mereka lakukan. Tidak kurang dari satu revolusi! Kerana daki sudah tebal! Kemerosotan telah dibiarkan terlalu lama! Alang-alang hendak berjuang untuk bangsa, tidak kurang dari ini yang harus mereka lakukan.
Bolehkah mereka lakukan? Tanggungjawab ini tanggungjawab kolektif. Abdullah Ahmad Badawi, selaku pemimpin No. 1, harus mengambil inisiatif untuk melakukan perubahan ini. Tetapi Majlis Tertinggi UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO secara kolektif memikul tanggungjawab untuk melakukan perubahan ini. Jika mereka gagal melakukan ini, sejarah akan berulang. Mungkin ia tidak akan menunggu empat atau lima tahun lagi dalam pilihanraya umum ke-13. Sekarang zaman Sains dan Teknologi Tinggi. Masa berjalan sepuluh kali, malah seratus kali, lebih cepat!
Ada orang bercakap tentang kemunculan sistem dwiparti di Malaysia. Sistem ini timbul dalam sejarah Eropah – yang bercakap tentang check and balance, sekatan dan imbangan. Ini hanya satu kaedah sejarah. Tuhan Maha Kaya: Dia ada banyak kaedah untuk mencapai tujuan-Nya. Menasabahkah diri kita dibelah dua? Mengapa tidak bergerak sebagai satu badan dan minda yang utuh? Jadi, jangan kita bataskan diri kita kepada satu kaedah saja.
Sekarang tiga buah parti pembangkang, DAP, PAS dan PKR, telah dicampak oleh keadaan ke dalam lautan politik Malaysia untuk menguji kebolehan mereka memerintah lima buah negeri, pendek kata, untuk memerintah Malaysia. Bolehkah mereka berbuat demikian? Lebih baik daripaya yang telah ditunjukkan oleh B.N.?
Satu peluang keemasan telah diberi kepada mereka oleh rakyat Malaysia. Kita harap mereka akan menyesuaikan diri mereka dengan kehendak rakyat, berdasarkan falsafah politik yang telah kita gariskan di atas. Kita harap mereka tidak akan terperangkap dan mengurung diri mereka dalam penjara puak kecil masing-masing. Kita harap mereka akan meletakkan kepentingan rakyat semua kaum mengatasi kepentingan sempit kepartian masing-masing. Kita harap mereka akan berpegang teuh kepada janji mereka kepada rakyat.
Satu daripada kelemahan UMNO dan parti-parti gabungan dalam B.N. ialah kemerosotan mereka menjadi parti elit, terpisah dari rakyat dan tenggelam dalam lembah kepentingan diri dan hawa-nafsu. Tiga parti pembangkang (istilah “pembangkang” ini sebenarnya tidak sesuai) yang sekarang tercampak ke atas peterana kuasa mesti elak dari bahaya ini. Jadilah dan didiklah diri masing-masing sebagai manusia yang bermoral dan beramanh tinggi. Manusia makhluk yang berakal dan bebas membentuk dirinya. Contoh Khalifah Omar Ibni Khattab, yang dulunya seorang kepala samseng di kota Mekah, berubah menjadi seorang pejuang yang berani dan kemudian menjadi khalifah Islam yang terbilang, satu pengajaran yang bersinar di sepanjang zaman.
Bolehkah mereka berbuat demikian? Kemungkinannya memang ada. Mereka perlu berusaha ke arah itu. Rakyat yang telah meletak mereka di situ perlu memainkan peranan yang aktif, kreatif dan konstruktif untuk mendesak dan membolehkan mereka memainkan peranan yan patut mereka mainkan.
Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Beliau boleh dihubungi di kassim1234@gmail.com Laman web beliau www.kassimahmad.blospot.com
1 comment:
ini satu pandagan sahaja "yang lama kena mati sebelum yang baru dapat berakar"
Nampak nya ,ini telah lama bertapak dalam hati sanubari rakyat and kali ini sahaja kita dapat mengutara kan nya
yang pelik nya ada banyak lagi pemimpin seperti Dr M yang kata" other will take advantage of a weak UMNO "and Ku Li pula "UMNO is weak , malays are weak , 0ur rights will be delight " tidak berbeda dari KJ sebelum Pilahan raya yang berkata "Chinese will take advantage of Weak UmNo " dan mana boleh lupa "Permainian Keris of Para Panglima paglima Hang Najib dan Hang Hisham" -
Bila mereka akan lebih bernas dalam tindakan
Post a Comment