Wednesday, March 26, 2008

UMNO RISAU DAN KELIRU: JANGAN GELABAH!

Oleh: Kassim Ahmad

24 Mac, 2008

Biarlah saya jelaskan saya masih Ahli UMNO, yang saya anggotai sejak 3 Mei, 1986. Saya nasionalis dan internasionalis sekaligus, tetapi sejak tahun itu, nasionalisme dan internasionalisme saya didefinasikan oleh pandangan hidup Islam, yang ditafsirkan selaras dengan Zaman Sains dan Teknologi moden.

Pada malam rebut besar melanda bumi Malaysia pada 8 Mac yang lalu, saya harap Presiden UMNO, setelah menyeru ahli-ahli UMNO supaya bertenang menerima kekalahan mereka, akan mengumumkan pemanggilan suatu sidang tertutup Perhimpunan Agung Khas UMNO dalam masa dua minggu untuk membincang kekalahan itu. Saya jangka beliau akan berunding dengan Biro Politik Majlis Tertinggu untuk menggariskan ucapan beliau kepada Sidang Khas itu dengan menekankan falsafah perjuangan UMNO dan orang Melayu. Kalau saya di tempat beliau, inilah yang akan saya lakukan.

Tetapi Presiden UMNO memilih untuk menyerahkan pengkajian tentang keputusan pilihanraya umum ke-12 itu kepada sebuah Jawatankuasa Bebas, langsung tidak menyebut tentang Perhimpunan Agung Khas, mengatur supaya pelbagai kumpulan dalam UMNO dan di luar UMNO menyokong kepimpinan beliau dan terus menubuhkan Kerajaan Barisan Nasional yang baru di peringkat Pusat.

Pada waktu yang sama, perpecahan UMNO nyata dengan kelewatan penubuhan kerajaan-kerajaan Negeri, di bawah B.N, di Perlis dan Terengganu. Sebagiannya kerana tidak dilantik sebagai Menteri dalam Kabinet baru, Setiausaha Agung UMNO meletak jawatan. Pemimpin vetran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, meminta suatu Perhimpunan Agung Khas dan mengishtiharkan beliau akan mencabar Pak Lah sebagai Presiden UMNO.

Pada waktu yang sama, sesetengah media arus perdana memainkan sentiman perkauman orang Melayu. Sesetengah orang Melayu merasa begitu risau, tetapi mereka keliru tentang apa yang patut dibuat. Dalam keadaan kelam-kabut ini, timbul desakan dan panggilan untuk menyatupadukan orang Melayu.

Apa akan jadi? Selaku orang Melayu yang cintakan bangsanya, saya merasa terpanggil untuk mengemukakan pendapat saya.

Pertama sekali, kita jangan gelabah dan panik. Sebagai orang Islam, kita jangan putus asa. Tuhan Maha Penyayang. Masa depan kita masih terbuka. Jika kita bertenang dan berfikir secara rasional, kita boleh menyelesaikan masalah yang kita hadapi sekarang, menghapuskan kelemahan-kelemahan, dan terus meningkat maju.

Majlis Tertinggi UMNO perlu memanggil suatu Sidang Khas Perhimpunan Agung UMNO dengan segera, seperti yang telah saya katakan. UMNO milik tiga juga ahli-ahli UMNO dan enam juta orang Melayu. Ia bukan milik presidennya atau beberapa kerat Ahli Majlis Tertingginya. Krisis UMNO sekarang perlu dibahas oleh Perhimpunan Agung. Ini hak mereka yang mutlak. Barangsiapa menafikan hak ini daripada mereka melanggar Perlembagaan UMNO dan tidak layak memimpin UMNO!

Dalam Sidang Khas Perhimpunan Agung ini, soal falsafah perjuangan UMNO perlu diperjelaskan semula dan dijadikan panduan pokok dalam semua aspek kehidupan UMNO. Soal keseluruhan dasar – ekonomi, pemerintahan, kewangan, pendidikan, perubatan, perumahan dan lain-lain – perlu disemak balik dan diubahsuai supaya dasar ini benar-benar pro-rakyat. Khasnya, kemiskinan mesti dihapuskan dalam masa sesingkat mungkin – kita kira lima tahun sudah cukup. Banjir saban tahun perlu diatasi. Kesesakan jalan raya di kota-kota dan bandar-bandar besar perlu diatasi. Dasar UMNO sebagai pejuang kemerdekaan dan pembela rakyat mesti dihidupkan balik dan dipraktikkan. Rasuah, pembaziran dan penyelewengan mesti dihapuskan. Perkhidmatan awam mesti bekerja dengan tekun dan jujur. Gaji Menteri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan kakitangan Kerajaan, termasuk pekerja di bidang swasta, kalau perlu, patut dinaikkan, supaya dapat menampung suatu gaya hidup yang agak selesa dan supaya amalan rasuah dapat dihapuskan dari akar-umbinya.

Kerana perpecahan dan kelemahan kita, kita telah dijajah selama 450 tahun dari kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka pada 1511. Pada 1946 kita berjaya menyatupadukan orang Melayu dan mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos, 1957 dalam sebuah negara-bangsa Malaya/Malaysia yang berbilang kaum. Kemudian parti orang Melayu yang satu (UMNO) berpecah menjadi dua (PAS) dan sekarang menjadi tiga (PKR). PKR serpihan dari UMNO

Pulau Singapura, yang merupakan sebagian dari Johor, merdeka dalam Malaysia, tetapi kemudian terpisah dari Malaysia dan jatuh ke tangan orang luar . Sekarang, selepas pilihanraya ini, Pulau Pinang pula jatuh ke tangan Parti Pembangkang (DAP), yang dianggap oleh sesetengah kalangan sebagai anti-Melayu.

Dua fakta muncul dari analisis di atas. Pertama, fakta perpecahan orang Melayu, yang menghakiskan kuasa orang Melayu. Kedua, fakta Malaya/Malaysia merdeka bersifat berbilang kaum. Dari fakta pertama, nyatalah orang Melayu patut berusaha untuk menyatupadukan orang Melayu untuk memlihara dan mempertahan ketuanan mereka (Ketuanan Melayu=kedaulatan Raja-raja Melayu, bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi dan Bahasa Kebangsaan negara, Islam sebagai falsafah negara, hak istimewa orang Melayu). Dari fakta kedua, orang Melayu harus mengiktiraf bahawa suku-bangsa lain yang menjadi warganegara Malaysia dan mengiktiraf mereka sebagai rakan seperjuangan untuk membangunkan Malaysia merdeka. Walaupun sebelum ini konsep perkongsian kuasa antara kaum diamalkan, konsep persamaan kaum wujud di bibir lebih dari di hati.

Sekarang, dengan keputusan pilihanraya umum ke-12, nampaknya zaman perkauman kita sudah berakhir. Satu zaman baru, persamaan kaum dan kerjasama erat antara kaum, sudah bermula. Satu Bangsa Malaysia yang tulen sedang dibangunkan. Ini satu hasil positif pilihanraya itu.

Walaupun perpaduan orang Melayu (sekarang diperluaskan menjadi Bangsa Malaysia) penting, sifat Bangsa Malaysia baru yang ingin kita bangunkan itu perlu ditakrifkan dengan jelas. Bangsa Malaysia tidak boleh dibangungkan di dalam vakum. Ia lahir dari satu keadaan sejarah dan budaya: Kesultanan Melayu Melaka. Kita menuju ke arah satu Malaysia Baru yang sifatnya berbilang kaum. Kedua-dua pola ini harus disesuai, diselaras, dimoden dan diharmoniskan.

Kepimpinan UMNO dan kepimpinan Melayu mesti bangkit untuk menjawab dan menyelesaikan cabaran ini. Pimpinan tertinggi dalam UMNO ialah Perhimpunan Agung. Itulah sebabnya Perhimpunan Agung Khas mesti dipanggil segera untuk membahas perkara ini. Sidang ini mesti sidang tertutup, kerana UMNO mesti mencapai rumusan falsafah, rumusan dasar dan rumusan kepimpinan dalam sidang ini.

Bolehkah kepimpinan UMNO sekarang bangkit untuk menjawab cabaran ini. Satu kerja berat, memang. Kalau mereka boleh buat, mereka akan kembali disokong dan disanjung rakyat. Kalau tidak, rakyat, termasuk orang Melayu, akan mencari jalan lain untuk menyelesaikan masalah mereka. Seperti yang telah saya katakan di tempat lain, Tuhan Maha Kaya. Dia ada banyak kaedah untuk mencapai tujuan-Nya.

Quran mengajar kita bahawa sesuatu kumpulan manusia terdiri dari tiga kalangan: mukmin (orang yang mengiktiraf dan berjuang untuk menegakkan kebaikan. Slogan mereka “Sembahyangku dan pengorbananku, hidupku dan matiku untuk Allah seru sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya.” – Quran, 6: 162-163), kafir (orang yang menafi kebaikan dan berjuang untuk menegakkan kejahatan) dan munafik (orang yang berpura-pura beriman, tetapi sebenarnya kafir). Kalangan mukmin dalam tiap-tiap kepimpinan mesti berjuang untuk meneutral dan menghapuskan kalangan kedua dan ketiga di antara mereka untuk mencapai kemenanan total. Kepimpinan UMNO, malah semua kepimpinan kita, mestilah bertindak demikian. Barulah orang Melayu akan selamat dan Bangsa Malaysia akan selamat. Konon kata-kata Hang Tuah “Tiada Melayu hilang di dunia” itu satu propaganda dan dongeng semata-mata!

Pimpinan dari semua parti dan pertubuhan Melayu mesti juga sepakat tentang dua perkara ini (sifat Malaysia dari dimensi sejarah dan sifat Malaysia dari dimensi moden berbilang kaum). Kita mesti sepakat dalam dua hal pokok ini. Pada prinsipnya, kita sudah setuju. Yang perlu ialah penghayatan dan pelaksanaan konsep Bangsa Malaysia yang tulen ini.

Kassim Ahmad bekas Presiden Parti Sosialis Rakyat Malaysia dan seorang penulis bebas Malaysia. Beliau boleh dihubungi di kassim03@streamyx.com Laman web beliau http://www.kassimahmad.blogspot.com/

2 comments:

Anonymous said...

salam,

satu lagi yang perlu UMNO lakukan ialah semakan jumlah sebenar keahliannya. Saya secara sedar tak pernah mendaftar menjadi ahli UMNO tiba-tiba melalui semakan di ibu pejabat agong UMNO KL bahawa saya adala ahli UMNO demikian juga beberapa orang kenalan dan ahli keluarga saya. Maklumat ini akan menilai kekutan dalaman UMNO yang sebenarnya. Apa komen Dr Kassim?

Zali Ali

Kassim Ahmad said...

Ya, kekuatan sesebuah pertubuhan politik tidak bergantung kepada banyaknya jumlah ahlinya. Ia bergantung kepada pegangan mereka kepada perjuangan pertubuhan itu. Dalam kes UMNO, pembelaan bangsa Melayu/Malaysia. UMNO sudah lama melepaskan perjuangan ini. Pemimpin mereka menghambat materislisme.