Sunday, March 29, 2009

PERTUKARAN PIMPINAN UMNO:
JANJI DAN HARAPAN KEPIMPINAN NAJIB ABDUL RAZAK

Oleh: Kassim Ahmad
kassim03@streamyx.com

28 Mac, 2009


Pendahuluan

Bolehkah UMNO pulihkan kedudukannya sebagai pejuang bangsa, bagi bangsa Melayu, khasnya, dan bagi bangsa Malaysia yang sedang kita bina, amnya? Walaupun ramai yang rasa pesimis, jawapan saya positif: Boleh! Tiada yang mustahil bagi manusia, khalifah Tuhan di Bumi. Tentu ada syarat-syaratnya bagi kejayaan usaha pemulihan ini.

Sesetengah orang mempertikai keabsahan Najib untuk mengambil-alih pimpinan parti dan Kerajaan. Saya berpegang kepada kata-kata beliau yang mahukan rakyat menilai beliau dari kerjanya, bukan dari kata-katanya saja, apalagi dari kabar angin atau tuduhan-tuduhan yang mungkin tidak berasas!

Dalam ucapan beliau merasmikan mesyuarat sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puteri, saya berasa gembira kerana, khasnya antara lain, dua perkara, iaitu kursus politik bagi ahli dan kader parti, dan pembaikan sara hidup bagi kumpulan-kumpulan bawahan (kemiskinan tegar) di bandar dan luarbandar. Saya akan huraikan kenapa kemudian.

Dalam dua siri esei yang berikut, saya akan mengkaji soal ini dari dua segi. Pertama, dari segi konsep parti: Apakah parti? Ada berapa jenis parti? Apakah falsafah politik parti, pendidikan ahli dan kader parti, konsep kepimpinan, hubungan parti dengan Kerajaan dan rakyat, dan struktur organisasi parti.Apakah komuniti bangsa? Ideologi dalam komuniti bangsa. Kedua, dari segi dasar sosio-ekonomi, pembangunan material-moral-spiritual; dan konsep Manusia sebagai khalifah Tuhan di Bumi.


Bahagian I: Falsafah Perjuangan

Kita bermula di pangkal jalan. Pangkal jalan kita ialah Tuhan. Kita datang dari Tuhan, dan akan kembali kepada-Nya. Kita berasa yakin, dengan pengalaman mereka yang pahit dalam Pilihanraya Umum ke-12 dan dalam beberapa pilihanraya kecil selepas itu, dan dengan pertukaran pimpinan daripada Abdullah Ahmad Badawi kepada Najib Abdul Razak, UMNO akan memulakan proses perubahan yang diperlukan untuk mengembalikan kepercayaan rakyat dan ahli kepada parti.

Bermula dari Tuhan bermakna bermula dengan Dia yang memberikan kuasa dan kemuliaan kepada sesiapa yang Dia suka, dan meregut kuasa dan kemuliaan itu dari sesiapa yang Dia suka. [1] Ini bermakna percaya kepada kuasa yang rasional dan mendukung konsep rasionaliti. Dalam istilah agama, kita sebut iman, tetapi iman ini mestilah selaras dengan rasionaliti. [2]

Soalan yang pertama: Apakah parti? Apakah UMNO pada asasnya?

Parti, dalam satu perkataan, ialah pemimpin dan pejuang rakyat, yang muncul daripada rakyat yang sedar. Inilah konsep parti yang revolusioner. ‘Revolusioner’ bermakna sikap mahukan perubahan jangka panjang yang menyeluruh, bukan perubahan tampal-sulam di sana-sini saja. Ahli-ahli parti mempunyai idealisme dan semangat perjuangan dan pengorbanan untuk bangsa. Kepimpinan Nabi Muhammad bersifat demikian. Dalam negera kita, UMNO, pada asasnya, bersifat parti yang sedemikian.

Walau bagaimanapun, rakyat sesebuah negara sifatnya tidak sekata, dari segi ideologi. Ada satu kumpulan rakyat yang percaya kepada kebaikan dan keadilan, dan sanggup berjuang dengan jiwa-raganya untuk melahirkan kebaikan dan keadilan dalam masyarakat itu. Dalam istilah agama, kita namakan mereka mukmin, orang yang beriman kepada Tuhan Yang Esa. Dalam istilah falsafah, kita namakan mereka kumpulan humanis. Parti mereka ialah parti humanis, yang bersifat revolusioner.

Dari sini kita dapat melihat partilah yang menguasai Kerajaan, yakni idealisme dan perjuangan bangsa serta dasar sosio-ekonomi lahir dari parti dan dilaksanakan oleh parti dan Kerajaan. Dalam parti-parti jenis lain, Kerajaan menguasai parti, kerana anasir-anasir anti-revolusioner dibawa masuk melalui Kerajaan.

Berlawanan dengan kumpulan humanis ini ialah kumpulan oligarki, yang bersifat menindas. Mereka tidak percaya kepada kebaikan dan keadilan, malah menolaknya. Dalam istilah agama, mereka disebuat kafir. Misi dan pernan kumpulan ini dan parti mereka ialah menjadikan rakyat ramai sebagai hamba-abdi mereka yang mendukung sistem perhambaan ini untuk kepentingan kumpulan oligarki. Fir’aun dalam zaman Nabi Musa, Maharaja Ramses II, dengan hartawan Karun, dan Paderi Besar Haman merupakan kaum oligarki dalam masyarakat itu.

Ada satu lagi kumpulan ideologi, iaitu kumpulan liberal, yang sanggup berkompromi dengan kumpulan oligarki. Mana-mana parti pun, yang pada mula bersifat revolusioner, boleh merosot menjadi liberal, dan kemudian menjadi kaum penindas. Dalam sejarah Islam di zaman Nabi Muhammad, kita tahu setelah empat khalifah al-Rasyidun, yang bersifat republikan dan revolusioner, kepimpinan negara jatuh ke tangan kaum liberal dan kemudian kaum oligarki. Mengapa ini berlaku? Kerana ketiadaan sistem kursus saintifik untuk mendidik anggota-anggota dan kader-kader parti dalam falsafah perjuangan revolusioner itu. Hanya dengan sistem kursus demikian idealisme dan semanagat perjuangan revolusioner parti dapat dipertahankan. Jika tidak, ideologi kaum oligarki akan masuk ke dalam parti revolusioner ini serta menukarkannya menjadi sebagian dari kaum oligorki sedunia.

Pada umumnya, kursus-kursus ini harus mengajar (a) sejarah bangsa itu, sejarah partinya, dan sejarah manusia, (b) falsafah perjuangan parti yang revolusioner, yang terdiri dari konsep-konsep nasionalisme dan internasionalisme, konsep pemerintahan demokratik, dan konsep pemerintahan yang adil, (c) struktur organisasi parti, dan (d) dasar parti dan Kerajaan.

Oleh kerana kehidupan bangsa kita dan kehidupan manusia akan terus menerus, menjalani tahap demi tahap, maka kita perlu memastikan supaya parti dapat memainkan pernanannya sebagai pejuang dan pemimpin bangsa terus-menerus. Ini hanya dapat dilakukan melalui sistem kursus politik yang telah kita huraikan di atas.


Bahagian II: Pembangunan Material-Moral-Spiritual

Seperti yang kita katakan di atas, parti sebagai pemimpin dan pejuang bangsa membuat dasar. Dasar ini, dalam pelbagai bidang, bertujuan untuk mencapai kemajuan dan kebahagian untuk komuniti bangsa itu. Dalam semua masyarakat, kekayaan material atau ekonomi menjadi asas untuk melahirlan kemajuan dan kebahagian itu. Sistem ekonomi ini mesti boleh memberi pekerjaan yang cukup kepada anggota-anggotanya, di samping mengadakan suatu kaedah lain untuk menyara kehidupan anggota-anggotanya yang lemah dan cacat.

Manusia lahir dari binatang dengan sifat kebinatangannya yang tiada pertimbangan untuk orang lain. Sifat ini tidak sesuai untuk membuat dia maju di tangga evolusinya. Dengan itu, kejiwaan manusia-binatang perlu ditingkatkan untuk menjadi manusia-manusia atau manusia-malaikat melalui proses-proses sosialisasi dan pendidikan. Dengan itu, kekayaan material yang dihasilkan melalui sebuah ekonomi yang berkembang manfaatkan semua anggota dan lapisan masyarakat itu. Tiada kumpulan yang terlalu kaya dan tiada kumpulan yang terlalu miskin. Kata pepatah, orang miskin boleh menjadi kufur, dan orang kaya tidak boleh masuk syurga.

Pembangunan mestilah seimbang, pembangunan material-moral-spiritual. Dalam keadaan perkembangan masyarakat yang tidak seimbang, rasuah dan jenayah akan berkembang. Oleh sebab itu, sesebuah komuniti bangsa mesti mengatur supaya sistem ganjarannya saksama: tiada yang terlalu kaya, dan tiada yang terlalu miskin.

Ada beberapa perkara yang terlarang dalam pembangunan sebuah ekonomi yang sihat. Pertama, amalan riba. Riba bermakna mendapat keuntungan dari pemerasan dan penipuan. Riba akan mempapakan sebuah ekonomi, bukan mengembangkannya, seperti yang didakwakan oleh sesetangah ahli ekonomi liberal. Kejatuhan sistem ekonomi liberal yang sedang kita saksikan di Amerika Syarikat dan Eropah sekarang ialah kerana amalan riba.

Selain dari riba, pembaziaran, penipuan dalam perdagangan dan perniagaan, rasuah dan bentuk-bentuk penyelewengan yang lain perlu dihapuskan. Amalan-amalan ini akan meningkatkan kos dalam sebuah ekonomi dan menjadikan ekonomi itu tidak kompetitif, menurunkan nilai matawangnya dan dengan itu menyebabkan naiknya kos hidup dan membawa kepada kemunduran dan kejatuhan tamadun itu.

Agama Islam dinobatkan dalam Perlembagaan kita sebagai agama rasmi negara. Kita harus ingat bahawa Islam ialah agama yang diredai oleh Tuhan, Agama Kebenaran, agama universal yang diramalkan dalam Quran akan mengatasi semua agama lain. [3] Pimpinan masyarakat Islam tidak harus menganggap agama Islam sebagai agama ekslusif masyarakat Islam. Agama Islam ialah agama universal yang ajarannya berdasarkan kebenaran dan kerahiman. Itulah sebabnya ia akan mengatasi agama-agama lain. Kita mesti sanggup mendedahkan Islam kepada masyarakat antarabangsa dan berdepan dengan agama-agama lain dari segi kebenaran dan kebaikannya. Obsesi kita dengan kegunaan beberapa perkataan yang, kononya, khusus untuk agama Islam saja, seperti ‘Allah’ dan sebagainya tidak sedikit pun menunjukkan kita sebagai ‘umat yang paling baik yang dilahirkan untuk manusia’. [4] Kita mestilak elak dari penyakit-penyakit kejumudan dan kefanatikan.

Tuhan telah menjadikan Manusia sebagai khalifahnya di Bumi dan menundukkan seluruh Alam Raya kepadaanya. [5] Khalifah bermakna raja (yang menentukan nasibnya sendiri dan nasib masyarakat yang dihuninya) dan Bumi termasuk seluruh Alam Raya. Ini suatu kedudukan yang istimewa yang tiada pada makhluk-makhluk lain. Ini bermakna masa depan manusai terbentas luas dan cerah. Hal ini dilambangkan dalam Quran dengan kiasan amanah pentadbiran alam ini ditawarkan kepada semua makhluk Tuhan, tetapi Manusia saja yang sanggup dan berani menerima misi ini. [6]

Kita harus juga menunjukkan bahawa Tuhan menjadikan Alam ini untuk manusia. Salah satu sifat Tuhan ialah Samad. ‘Samad’ bermakna bebas dan tidak memerlukan apa-apa daripada sesiapa pun. Jadi, sebenarnya, Tuhan tidak menghendaki kita menyembah Dia, atau taat kepada Dia, kerana Dia Cukup dengan Diri-Nya Sendiri dan tidak memerlukan kepada apa-apa yang lain.Dia Mutlak dan Abadi. Semua ayat Quran yang menyatakan manusia perlu menyembah Dia dan taat kepada Dia hanya menunjukkan bahawa penyembahan dan ketaatan kita kepada Dia itu ialah untuk kita, untuk kemanusiaan, humanisme. Juga kehidupan kita berlangsung di dunia ini, tidak ada dunia lain. Yang disebut akhirat itu ialah dunia ini yang sudah berubah menjadi dunia yang lebih baik. Jadi, humanisme dan sekularisme itu sebenarnya ialah rumah manusia. Syurga dan Neraka kita di sini, kerana kedua-duanya tidak lain ialah akibat dari perbuatan kita sendiri. Kita menghukum diri kita sendiri, [7] tentunya mengikut undang-undang Tuhan.



Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia.

[1] Quran, 3: 26.
[2] Quran, 10: 100.
[3] 9: 35; 48: 28 dan 61: 9.
[4] Quran, 3: 110.
[5] Quran, 45: 13.
[6] Quran, 33: 72.
[7] Quran, 17: 13-14.

7 comments:

Melayu said...

Pembangunan material
Untuk sesebuah masyarakat memiliki kekayaan material yang sebenar, mereka harus menjadikan sains sebagai suatu budaya, mengkaji dan memahami undang-undang alam, kemudian mempergunakan sumber-sumber alam berdasarkan undang-undang ini, dengan tujuan untuk memenuhi keperluan masyarakat itu sendiri serta untuk meningkatkan taraf hidup mereka, dari masa ke masa. Kekayaan material seperti inilah yang dipanggil ekonomi fizikal.

Pembangunan moral dan spiritual
Manusia yang datangnya daripada Tuhan, dilahirkan ke dunia ini dalam keadaan suci bersih pada asalnya, kerana pengakuan tauhid mereka terhadap Tuhan (7:172). Ritual-ritual agama, seperti solat dan puasa yang berkesan adalah bertujuan untuk memastikan manusia sentiasa mentauhidkan Tuhan. Inilah mu'min sejati, pemilik hati nurani yang bersih daripada sifat-sifat kebinatangan, dan terisi dengan sifat-sifat ketuhanan. Bukankah manusia itu daripada Tuhan, dan jasad Adam, bapa manusia itu ditiupkan dengan ruhNya (38:72)? Berdasarkan hadis, hati yang bersih/baik melahirkan perbuatan yang baik. Maka dalam melahirkan sebuah masyarakat yang adil dan saksama, proses-proses sosialisasi dan pendidikan yang digunakan mestilah sosialisasi dan pendidikan yang berlandaskan tauhid.

Ketidakseimbangan pembangunan
Perkembangan masyarakat yang tidak seimbang bukan sahaja membawa kepada perkembangan rasuah dan jenayah, tetapi juga boleh membawa kepada kelumpuhan daya kreativiti dan dinamika masyarakat itu. Maka harus dipastikan supaya wujudnya kesaksamaan dalam sistem ganjaran, dan pada masa yang sama wujudnya budaya saintifik dalam sesebuah komuniti bangsa.

LazerJuan said...

Coincidence,.. saya sedang membaca buku-buku berbentuk 'Introduction to/Beginners Guide to..' Einstein, Hawking, Newton, The Universe etc. Tidak mengharap untuk memahami sepenuhnya Theory of Relativity, History of the Universe, etc...kerana limitation saya yang kurang dalam bidang physics. Namun begitu, segala insight atau serpihan yang saya dapat mampu memberi saya kepuasan tentang kehebatan Allah. Kepuasan yang saya dapati ini adalah dari perspective science...Alhamdulliah, sudut pandangan atau kesedaran yg amat berbeza dari apa yang saya dibesarkan selami ini...ie conventional religious sermons.

Mungkin bagi saya, `conventional religious sermons' sudah sampai ke tahap tepu. Things are becoming clearer now, perspective saya tentang KEAGUNGAN TUHAN menjadi semakin terang. I never had doubts about the ONENESS of Allah...but now, saya mendapat moments of`a high'/rush of adrenalin dan juga extreme humility apabila memikirkan tentang Islam/Allah.

Saya dengan rendah diri tidak menabik dada mengatakan apa yang saya alami ini ialah `the best way' to understand my Creator...but it sure works for me.

Berbalik kepada comment `menjadikan sains sebagai suatu budaya, mengkaji dan memahami undang-undang alam, kemudian mempergunakan sumber-sumber alam berdasarkan...' saya amat setuju sekali.

Mungkin ramai lebih selesa dgn `conventional religious sermons'...tapi bagi mereka yang masih mencari2 atau masih kurang puas, saya syorkan `approach' dari bidang science. Satu lagi cabang ilmu yg mungkin dapat membantu ialah Sejarah.

Insyallah, Conventional Sermons + Science + History dapat memperkayakan lagi diri kita...akhirnya dapat memahami/mendekatkan diri dgn Quran dan Allah.

Mungkin juga akhirnya dapat kita membersihkan diri dari ajaran2 yang kononya berbentuk agama tapi pada hakikatnya adalah sebaliknya.

Wallahualam.

Melayu said...

Assalamualaikum.

Pak Kassim Yth.,
Saya rasa teruja membaca tulisan Pak Kassim berkenaan Piagam Madinah, A short note on the Medina Charter. Di dalamnya ada menyentuh konsep nasionalisme, pemerintahan yang adil, ijtihad, ketidakwujudan konsep 'negara Islam' dan 'hukum hudud', dan lain-lain. Saya kira nota-nota sebegini amat berguna dan boleh membantu sesiapa saja yang ingin menyelami falsafah perjuangan parti yang revolusioner.

Boleh saya tahu samada nota itu ada diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia. Jika ada, boleh Pak Kassim berikan pautannya. Jika tiada, izinkan saya menterjemah, dan menyebarkannya.

Wassalam.

lanterajiwa said...

Sumbangan Dana Untuk Album ‘Dari Rakyat Untuk Rakyat’ dendangan Meor

Nama Meor bukan lagi asing bagi penikmat muzikal jalanan (busker) terutama di Central Market. Sang penulis lagu dan pelantun suara ini juga telah berjaya menyiapkan 6 album sepanjang beliau digelar seniman jalanan. Tergerak daripada cuit-muit, sepak terajang dunia elitas dan sensitiviti beliau terhadap golongan marhaen maka tercetuslah ilham bagi merakamkan album yang diberi judul ‘Dari Rakyat Untuk Rakyat’. Sesuatu perkara yang menarik tentang album yang bakal terbit ini ialah kerana kesemua lirik disumbangkan oleh mereka yang komited dalam perjuangan dengan cara masing-masing seperti Black (Amin Iskandar) , Rahmat Haron, Ubi Lepih, Abdullah Jones, Hishamuddin Rais, Amer Hamzah Arshad dan Pyan Habib. Merujuk kepada judul album yang merakyat maka Meor mengajak semua sosok yang bergelar rakyat untuk sama-sama menggalang dana menerbitkan album yang memberahikan kejujuran sejurus sebagai satu tatapan generasi esok…

http://www.pestajiwa.net/
http://lantera-jiwa.blogspot.com/2009/04/sumbangan-dana-untuk-album-dari-rakyat.html

Kassim Ahmad said...

Sdr Melayu yang budiman,

Artikel itu sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh seorang hamba Allah; saya lupa namanya.

Kerasma said...

Setiap jiwa yang beriman perlu berevolusi. Suka akan perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik daripada semalam.

Perubahan bermula dengan meningkatkan tahap intelektual dan spiritual. Kerana itu para Rasul (revolusioner) memiliki intelektual dan spiritual yang tinggi. Dalam usia yang menjangkau 50an, Nabi Muhammad mampu memimpin tentera perang. Dengan 200 orang tertera yang bersemangat tinggi dan strategi yang bijak, mampu mengalahkan musuh (orang kafir) lebih 1000 orang.

Asas pembangunan tamadun bermula pada intelektual. Runtuh intelektual, lahirlah masyarakat yang fanatik dan jumud. Intelektual yang terpenting adalah bijak mengawal diri sendiri. Bijak mengawal diri daripada penyakit-penyakit hati. Kemudian bijak memimpin keluarga sebelum bijak dalam bermasyarakat.

Dengan menyedarkan masyarakat untuk bijak mengawal diri masing-masing, masih ada lagikah penyakit-penyakit sosial yang meruntuhkan ketamadunan sesuatu bangsa?

Al Quran sudah lengkap menggariskan cara-cara asas untuk meningkatkan tahap intelektual dan spiritual seseorang manusia. Manusia yang bijaksana dan berhikmah, secara fitrahnya dia akan tahu melakukan kebaikan untuk dirinya dan masyarakat.

Selain daripada yang digariskan oleh Al Quran, terpulanglah kepada manusia itu untuk bereksperimen pada dirinya sendiri untuk menambah tahap intelektual dan spritualnya, kerana hanya tuan empunya diri yang mengenal siapa dirinya sendiri. Dan ini bertujuan supaya agama tidak disempitkan mengikut hukum-hukum atas nama amalan nenek moyang.

Anonymous said...

Pak Dr Kassim,
Pada dasarnya kita tidak lupa untuk kembali ke pada jalan yang benar dan lurus untuk menuju kepada yang Haq.Sdra menulis untuk perubahan dalam parti UMNO dan melibatkan satu jalan ke arah kembali kepada kebenaran.Saya tidak fikir dalam hal itu UMNO tidak lengkap,walhal UMNO sudahpun bergerak lebih awal dalam memartabat agama dan mempertahankannya baik serangan dari depan dan belakang.Saya tidak yakin benar "apa perlunya kursus politik dalam kepartian diadakan lagi",sedangkan politik itu sendiri datang dengan kehendak rakyatjelata,apa perlunya kefahaman sedemikian lagi.Nampak semacam teori sahaja.Banyak masa kita buang dalam hal ini.Memahami perjuangan parti nampak macam keterbelakangan pulak,walhal kita sudah bejuang 50 tahun yang lalu.
Sekian.
ku dee.