Sunday, July 17, 2011

MENZIARAHI SEMULA BERSIH 2

Oleh: Kassim Ahmad
darul_hikmah33@yahoo.com.my

18 Julai, 2011

Walaupun telah saya tunjukkan kelemahan sistem dwi-parti ala Barat yang sesetengah rakyat kita mahu bawa ke negara kita, dan walaupun sistem ini sedang runtuh di negara-negara Barat sendiri, kemahuan ini boleh saya terima. Oleh itu, lapan tuntutan untuk mereformasi sistem pilihanraya kita yang dikemukan ole gerakan Bersih 2 boleh didengar dan dirundingkan. Sikap Kerajaan Pusat menolak perarakan itu suatu kesilapan.
Bahawa ia pertubuhan haram kerana tidak didaftarkan itu soal teknikal yang kecil. Kerajaan boleh segera mendaftarkannya. Soal perarakan besar itu akan menghalang lalulintas serta mengganggu urusan perniagaan juga boleh diketepikan demi memberi laluan kepada hasrat rakyat yang lebih penting. Soal perarakan itu boleh dieksploitasi oleh anasir-anasir jahat untuk menyebabkan huru-hara juga boleh dikendalikan oleh Polis.
Saya bukan pencinta Bersih 2. Tetapi rakyat berhak diberi kebebasan untuk berkumpul dan menyuarakan hasrat mereka. Saya juga sedar akan hak majoriti untuk dilindung daripada keadaan huru-hara dan gangguan kepada ketenteraman awam. Saya yakin bahawa kedua-dua tuntutan yang bertentangan ini boleh didamaikan dengan pengendalian yang bijaksana oleh pihak berkuasa.
Kita juga tahu bahawa ada petualang-petualang politik di antara kita yang ingin mengambil kesempatan dari perarakan besar rakyat ini. Kita juga sedar ada tangan luar yang ingin melihat (malah bukan setakat melihat, tetapi membiayai) kacau-bilau di negara kita. Ini satu daripada kesan sistem global yang kita huni sekarang.
Walaupun berhadapan dengan ini semua, lebih baik kita biarkan mereka luahkan hasrat mereka sepuas-puasnya daripada menghalang mereka. Polis harus bertindak sebagai penjaga keamanan, bukan sebagai penghalang hasrat rakyat.
Kita hairan mengapa pihak berkuasa tidak membenarkan perhimpunan itu diadakan di Stadium Merdeka. Mengapa harus di luar Kuala Lumpur? Halangan ini juga tidak menasabah.
Kita sedar bukan semua lapan tuntutan Bersih 2 itu patut. Tetapi mengapa hendak dihalang perbincangan terbuka? Biar semua rakyat lihat perbincangan itu. Hasilnya tentu akan menjadi baik. Kerajaan mesti bersikap terbuka dan mencari penyelesaian positif daripada bersikap tertutup dan negatif. Zaman feudal kita sudah berlalu. Sekarang kita memasuki zaman demokrasi.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

5 comments:

arya said...

Saya bersetuju kerajaan sepatutnya membuka telinga mendengar rungutan tidak puas hati pihak Bersih.
Badan manusia boleh didera dan dipenjara namun hati dan jiwa mereka tetap merdeka, dengan keyakinan masing-masing.Ugutan boleh menakutkan mereka namun ia tak akan mampu mengubah pendirian mereka. Mulut boleh berkata ya tetapi hati tetap berkata tidak.

asyMok_Aambo said...

Pada pendapat saya, pendapat ayahanda kassim TERLALU TEPAT. Alangkah molek jika najib razak selaku ketua sebuah parti politik Malaysia bersama-sama delegasi BERSIH 2.0 berarak secara aman ke Istana Negara dan menyerahkan Memorandum. MESEJ KITA JELAS. PERJALANAN SEBUAH PILIHAN RAYA YANG TELUS DAN ADIL. BUKANKAH ITU PERKARA YANG AMAT NOBLE & BAIK???

Pedulikan sama ada Saudara Anwar Ibrahim ingin mencuri tumpuan! RAKYAT MALAYSIA CERDIK BELAKA.

Kacau-bilau yang mungkin dicetuskan?
USAH RISAU, SERAHKAN KEPADA PASUKAN KESELAMATAN KITA YANG BERTARAF DUNIA.

Biarpun di Gelanggang Politik kita adalah MUSUH, Sepatutnya BERSIH 2.0 Menyatukan Kita Semua.

NAJIB TELAH MENGGAGALKAN KONSEP 1MALAYSIA YANG CUBA BELIAU TERAPKAN KEPADA RAKYAT MALAYSIA...

Betapa sedih!

tok janggut said...

Lain orang, lain pula pandangannya. Ada sebab kerajaan cuba halang perhimpunan tersebut. Pada saya, sekarang kita dah perlukan itu semua tu, berarak ke sana, berarak ke mari, banyak buruk daripada baik. Cara terbaik ialah duduk berbincang bersama. Kerajaan dan pembangkang cuba duduk semeja bincang apa yang tak betul pada pandangan masing-masing. Bahaskan secara tertutup atau terbuka. Biar rakyat boleh dengar dan rakyat buat tindakan.

Banyak lagi cara yang boleh digunakan selain berdemo....

detguaq said...

Salam tuan KA,

Apakah hanya rakyat yang berhak? Bagaimanakah pula hak kerajaan?

Apakah tawaran mengadakan demonstrasi diluar Kuala Lumpur satu yang tidak munasabah? Bagi saya itu hak kerajaan yang mendapat mandat majoriti rakyat berbanding hasrat minoritnya.

Mereka sengaja menolak kerana tidak menghormati hak kerajaan berdaulat sebaliknya menuntut supaya hak mereka didahulukan.

Saya selalu mengatakan bahawa Stadium Melawati adalah venue terbaik untuk mereka dan kerajaan Selangor telah menunaikan hak mereka untuk menjemput peserta demo kesana. Mengapa abaikan HAK tersebut? Munasabah???

TIUB BOCOR said...

Teringat saya tahun 1977 sewaktu menuntut di KL , saya kepingin bertemu Pak Kassim Ahmad (kerana minat saya akan sajaknya mengenai Jebat dan ketokohannya) di Jalan Bangsar berhampiran NST.Ketika itu pejabat partinya di situ.Saya beranikan diri bertemu,bercakap dan bersalam (hahaha..umur masa itu 20 tahun).Jika tidak silap En.Kamaruddin seorang pensyarah di institusi perguruan juga sering bersamanya. Pak Kassim Ahmad seorang yang tabah.Walaupun tidak banyak ganjaran material yang dikecapi namun beliau turut membina asas sebuah perjuangan yang kini mula menampakkan keberhasilannya.Doa saya, Pak Kassim sihat walafiat dan terus menulis sebagai wadah perjuangan. Saya boleh dilawati menerusi blog: tiubbocor.blogspot.com/