Friday, October 28, 2011

Menjawab kritikan Yunus Ali terhadap memoir Kassim Ahmad, Mencari Jalan Pulang. Kritikan ini disiarkan dalam laman web Malaysiakini pada 3 Jun, 2008.

Kritikan En. Yunus Ali panjang lebar, 6 halaman, berjela-jela dan meleret-leret. Jawapan saya ringkas saja.
Pertama sekali, beliau keliru tentang sosialisme sebagai suatu metafizik atau falsafah, dan sosialisme sebagai suatu doktrin politik-ekonomi. Yang pertama berasal dari Marxisme Komunis (yang muncul sebagai lawan kepada Liberalisme kapitalis). Yang kedua merujuk kepada keadilan ekonomi dan sosial.
Kedua, Islam itu suatu deen, cara hidup yang terdiri daripada banyak komponen. Komponen-komponen itu termasuklah keimanan, falsafah, undang-undang, sistem sosio-ekonomi, ibadah agama dan adat. Sistem sosio-ekonomi Islam termasuklah keadilan ekonomi dan sosial. Jadi, Islam tidak bercanggah dengan sosialisme dari segi ini. Judul memoir saya Dari Sosialisme kepada Islam merujuk kepada sosialisme sebagai metafizik. Yunus tidak faham ini. Malah dia tuduh saya anti-sosialis!
Oleh kerana dia terlalu memikirkan bagaimana hendak menghentam saya, dia tidak nampak masalah yang diajukan oleh rakan-rakan Kristian dan Sikh terhadap kewujudan hamba abdi, hukum fara'id dan kedudukan wanita dalam Islam semasa saya di sekolah menengah dulu. Saya hanya boleh menghuraikan perkara-perkara itu apabila saya berjaya mengadakan suatu kaedah tafsir yang saintifik. (Lihat addendum dalam buku Hadith: A Re-evaluation
Saya tidak mengatakan buku saya sempurna, khasnya dalam huraian tentang kemunculan peristiwa penjajahan di Eropah. Yang sempurna itu Tuhan saja. Saya cuba, dan cubaan itu sendiri satu kebaikan!

---------------

Kritikan Yunus Ali sepenuhnya berikut:-

Sudah lebih 35 tahun saya mengenali Kassim Ahmad. Bermula dengan karya-karyanya, terutama puisi Tuhan Sudah Mati, dan juga naskhah Hikayat Hang Tuah yang disuntingnya – pastinyalah juga analisis beliau terhadap perwatakan hikayat tersebut yang memberikan tumpuan utama kepada Hang Jebat sebagai pemberontak menuntut keadilan.

Walaupun Kasim gagal dalam kerjaya politik, beliau sangat prolifik dalam bidang penulisan. Saya kenal Kasim secara peribadi apabila membantu beliau berkempen dalam satu pilihanraya di Trengganu pada 1974.

Tulisan ini bagaimanapun bukannya berkenaan pengalaman saya dengan Kassim, tetapi mengenai memoirnya yang baru diterbitkan.

Bolehlah dianggap ia merupakan kritik, bukannya ulasan buku, terhadap Mencari Jalan Pulang: Daripada sosialisme kepada Islam.

Tajuk bukunya terbaca janggal sekali, tidak kena pada tempatnya, misnomer, kata orang putih. Kalau judul buku itu Dari Materialisme kepada Islam, atau Materialisme Dialektik kepada Islam, atau Marxisme kepada Islam ataupun Daripada Atheisme kepada Islam, barulah tepat.

Tidak kena pada tempatnya kerana sosialisme itu satu falsafah sistem sosio-ekonomi, yang majmuk pula takrif dan pengertiannya, yang dapat dipisahkan daripada akidah sebarang keagamaan, termasuklah Islam.

Dengan lain perkataan, Islam berkecuali terhadap sosialisme, sebagaimana Islam nuetral terhadap sistem sosio-ekonomi kehidupan puak awal pemburu-pengumpul, nomadisme, feudalisme dan kapitalisme.

Bayangkanlah betapa janggalnya apabila terbaca (kalaulah ada buku) Daripada Feudalisme kepada Islam ataupun Daripada Kapitalisme kepada Islam.

Sudah beribu-ribu tahun umat Islam hidup dalam dan mengamalkan sistem feudalisme, semenjak dinasti Umayyah hinggalah sekarang ini di beberapa buah negara Muslim seperti dinasti Saud dan al-Sabah.

Tidak pernah pun timbul soal pertentangan feudalisme dan Islam. Begitulah juga dengan sistem kapitalisme mutakhir ini. Tidak ada pula timbul kisah Daripada Kapitalisme kepada Islam. Jadi rumusannya, bukan sahaja misnomer, Daripada Sosialisme kepada Islam adalah usaha tersirat Kassim untuk memomokkan sosialisme.

Apatah lagi buku ini dipublisitikan sebagai memoir, tetapi dimuatkan penuh dengan khutbah-khutbah penulis – didaktik sekali. Tepatnya, buku Kassim itu sepatutnya dijudulkan Mencari Jalan Pulang: Daripada sosialisme kepada feudalisme.

Kita juga boleh melihat daripada perspektif lain, walaupun sosialisme satu falsafah sosial atau sosio-ekonomi yang banyak jalurnya, namun asas prinsipnya mudah sahaja dan terdapat dalam semua agama iaitu keadilan sosial, apabila golongan miskin tidak hidup terbiar dalam papa kedana, kerana yang berupaya dan kaya mempunyai tanggungjawab untuk membantu golongan miskin itu.

Setiap kekayaan yang dimiliki seseorang anggota umat itu, sebahagiannya hak golongan miskin!

Begitu juga sistem sosio-ekonomi kapitalisme, terdapat juga prinsipnya yang tidak dilarang oleh agama-agama, malah diiktiraf pula, contohnya hak untuk memiliki harta dan membuat untung dalam perniagaan.

Jadi sosialisme ataupun kapitalisme itu, kedua-duanya boleh dirasionalkan dari segi keagamaan, dan sememangnya banyak buku ilmiah diterbitkan untuk itu.

Bagi sistem sosio-ekonomi feudalisme ataupun budaya feudalisme, ada juga terdapat sokongannya "taatlah kepada rasul dan ketua-ketua (baca: raja, penghulu atau Yang Berhormat) di antara kamu".

Tetapi oleh kerana kapitalisme sekarang mendominasi sistem ekonomi dunia, menghegemoni pemikiran bahkan pun dianggap sebagai normal, maka ia diterima sebagai fitrah sahaja tanpa dipersoalkan lagi.

Manakala sosialisme pula sering dijadikan musuh agama, yang dimomok-momokkan oleh para intelektual pro-kapitalisme -- kerana sosialisme bertentangan dengan kepentingan kapitalisme.

Usaha-usaha intelektual atau ulama menerima dan mengiakan kapitalisme boleh menjatuhkan martabat agama itu sendiri sehingga agama seolah-olah sudah dijadikan candu intelek untuk terus gian dengan kapitalisme.

Fitrah, sunnatullah atau sunah alam pun ditafsirkan secara Darwinisme – kajian alam kehidupan haiwan dan tumbuhan oleh Charles Darwin yang kemudiannya dinaikkan martabatnya oleh intelektual kapitalis-kolonialis sebagai falsafah sosial yang mengiakan pengabdian rakyat Afrika serta ketuanan orang putih.

Kalau dahulu para paderi menggunakan Darwinisme untuk menopang agama Kristian mengiakan pengabdian kaum kulit hitam terhadap kaum kulit putih – Kassim pun mengikut jejak-jejak yang sama.

Kalau sesuatu kaum manusia pupus, bukannya kerana dihapuskan oleh golongan lain yang zalim, tetapi menurut Kassim, itu pilihan semulajadi atau natural selection dan kelangsungan entiti yang paling layak, survival of the fittest.

Secara langsungnya falsafah sosial Darwininisme yang dijaja Kassim menjunjung kalimah "kekuatan itu kebenaran"!

Tersangat fobianya Kassim untuk menyebut faktor ekonomi sebagai dorongan fenomena penjajahan, jadi meraba-rabalah belau untuk mencari jawapan kenapa Barat Eropah menjajah benua Asia, Amerika dan Afrika.

Psikologi sosial kasar orang Barat, yang dicetuskan oleh persekitaran alamnya yang kasar, membuatkan manusia yang timbul dari buminya itu menjadi ganas.

Demikianlah sebabnya mereka menjajah ke seluruh dunia - itulah analisis Kassim. Kalau penjajahan itu didorong oleh faktor persekitaran alam yang kasar – ini kaedah analisis ekologi sosial - Tibet dan Bhutan lebih kasar geografinya, tetapi insan yang timbul dari bumi itu tidak pula ganas menjajah dunia!

Orang Barat juga disalahkan oleh Kassim kerana menyeleweng daripada ajaran Yahudi-Kristian, terutama kerana ia dicampuradukkan dengan politheisme Romawi, itulah sebab kononnya mereka memusuhi Islam, memerangi dan menjajah wilayah orang Islam.

Tetapi tidakkah, semenjak zaman Perang Salib lagi dan juga semua peperangan, ada motif ekonomi yang tersirat di sebaliknya?

Kalau dahulu tongkol-tongkol perak, emas, juga zamrud dan berlian dirampas sebagai ghanimah, gelombang kedua penjajahan pula merampok kekayaan yang dihasilkan daripada rempah-ratus, timah dan getah. Dan kini merebut kuasa ke atas sumber minyak serta "pasaran dan perdagangan bebas".

Juga bagaimana hendak menjelaskan pembunuhan, peperangan dan penjajahan Yahudi-Kristian sesat ini di benua Amerika, Afrika dan Asia yang bukan Islam?

Betapa banyak kali dalam al-Quran mengingatkan manusia supaya jangan berbuat zalim, tetapi hal ini langsung tidak disentuh oleh Kassim.

Seperti saya tulis di atas, bukunya bukanlah sangat sebuah memoir tetapi khutbah-khutbah. Malangnya tidak nampak minat Kassim untuk berkhutbah menentang kezaliman, kelihatan macam Kassim mudah lupa akan kerakusan dan keganasan kuasa Dr Mahathir Mohamad.

Kassim langsung tidak kritikal terhadap penanggungajawaban Mahathir, setelah 22 tahun berkuasa, merasuah atau melacurkan sistem politik, pengadilan, kepolisan dan pentadbiran awam Malaysia.

Selain itu, jelas kelihatan Kassim sudah menjadi apologis kepada akta ISA, penahanan tanpa perbicaraan, termasuklah amalan soal siasat serta penderaan, didalihkan sebagai "sesuatu mudarat besar boleh dihalang dengan melakukan mudarat kecil."

Rasional yang sama inilah diberikan oleh semua diktator terkemuka dunia, termasuklah Bush dengan penjara Guantanamonya, untuk menyeksa dan memenjara orang-orang yang dianggap menggugat kuasa mereka.

Akan terus ada "tulang-tulang yang berselerakan", meminjam kata-kata Usman Awang, hasil mangsa penyeksaan tahanan tanpa perbicaraan kuasa-kuasa rakus dan zalim di dunia ini, dan pastinya juga akan terus ada intelektual seperti Kassim untuk mengiakannya.

Jadi bersesuaianlah Dr Mahathir yang menulis kata penghantar buku Kassim itu. Selain rekod kezalimannya, Mahathir juga merasionalkan pengalaman hidup Kassim itu sebagai "sunnatullah insan: masa muda berideologi kiri dan radikal, pertengahan umur bertukar centralist dan apabila sudah tua beralih kepada ideologi kanan dan konservatif".

Apakah agaknya respons arwah-arwah Ishak Muhamad, Ahmad Boestamam dan Hasnul Hadi?

Yang turut menarik perhatian saya, ketegangan psikologi Kassim terhadap isu-isu yang ditimbulkan oleh rakan-rakan sekolahnya ketika remaja.

Jika kita menggunakan teori psiko-analisis Freud, mungkin ketegangan inilah, secara bawah sedarnya, telah mencetuskan kreativitinya yang berbusar-busar, terutama ketika mudanya.

Adakalanya, saya kesampingkan sahaja isu-isu yang menjadi masalah mental Kassim itu. Antagonis beliau ialah remaja-remaja beragama Kristian, Sikh dan Buddha.

Pertamanya, persoalan mengenai mengapakah wujud hamba abdi dalam masyarakat Islam zaman Nabi?

Kalau kita celik anthropologi, sistem hamba abdi bukannya khusus dalam masyarakat Islam dan di zaman nabi Muhammad. Sistem sosio-ekonomi perhambaan itu pun wujud dalam zaman masyarakat nabi Musa, nabi Isa, Buddha dan juga Guru Nanak.

Sewaktu masih budak-budak lagi, anak orang Islam telah pun dibanggakan dengan sikap Muhammad yang menggalakkan pembebasan hamba abdi.

Banyaklah cerita betapa baik dan murah hatinya sahabat nabi Abu Bakar membeli dan membebaskan para hamba sahaya. Tentang cerita hamba Habshi bernama Bilal yang dibebaskan dan dihormatkan dengan memberi tugas melaungkan azan. Apa masalahnya?

Keduanya, mengapakah kedudukan wanita lebih rendah daripada lelaki dalam Islam? Saya sedar mutakhir ini banyak perdebatan dan hujah mengenai kedudukan gender dalam agama Islam, dan belum ada resolusi lagi dalam konflik tafsiran mengenainya.

Namun agama Kristian pun memberikan kedudukan gender yang tidak seimbang: isteri patuh kepada suami sebagaimana kepada Tuhan, suami kepala kepada isteri sebagaimana Jesus kepala kepada gereja, sebagaimana gereja tertakluk bawah Jesus, maka biarlah isteri begitu juga kepada suaminya (5:22-24, Holy Bible, The Gedion International).

Saya mengaku jahil tentang kedudukan gender dalam ajaran kitab agama Sikh dan Buddha, namun jika kita berbalik kepada ilmu anthropologi, kita boleh tahu bahawa ada pelbagai sistem perhubungan gender dalam masyarakat manusia dan yang dominannya sistem patriarki, iaitu ketuanan lelaki.

Tanpa mengira agama yang dianut oleh sesebuah masyarakat, jelas dari realiti sejarah sosial manusia, majoriti besar masyarakat manusia mengamalkan ketuanan lelaki. Perkembangan ini bukannya khusus dan unik dalam masyarakat Islam. Isu kedudukan gender bukannya masalah Islam, ia isu sejagat!

Ketiganya, mengapakah lelaki mendapat lebih banyak harta daripada wanita dalam hukum faraid? Dalam sistem perhubungan gender, ketuanan lelaki yang wujud dalam semua masyarakat beragama Kristian, Sikh, Buddha dan juga Islam – sudah tentunyalah lelaki diutamakan dalam semua bidang, terutama dalam bidang ekonomi dan pemilikan harta benda.

Di Eropah, yang berasaskan pada tamadun Yahudi-Kristian, perwarisan yang lebih tidak adil dilaksanakan: sistem anak lelaki pertama membolot seluruh harta benda bapanya (ibu tidak ada harta kerana perempuan tidak berhak!) atau si mati boleh mewariskan harta peninggalan sesuka hatinya, bahkan kepada kucing dan anjing dan sifar kepada anak dan kaum kerabatnya.

Sekali lagi saya mengaku jahil tentang pengagihan aset si mati menurut ajaran Sikh dan Buddha, tapi saya tahu bahawa dalam Islam ada kelonggaran dalam wasiat.

Contohnya, arwah bapa secara lisan menyampaikan wasiatnya kepada saya seorang sahaja (lelaki) bahawa hartanah peninggalannya dibahagikan sama rata dalam kalangan balu, anak lelaki dan anak perempuannya.

Apabila ibu saya meninggal, tanpa wasiat harta, semua anaknya lelaki dan perempuan juga bersetuju membahagikan hartanah dan wang simpanan arwah sama rata. Aturan faraid ini diterima dan diiktiraf oleh syariah!

Berbalik pada ketegangan psikologi Kassim daripada tiga masalah di atas, sudah tentu lama dahulu boleh terjawab secara rasional dan ilmiah daripada bidang-bidang ilmu yang "sekular".

Tetapi mujurlah dalam sekitar tahun 1985 hingga 1986 baru terjawab oleh Kassim. Kalau tidak, mungkin tidak akan terbitnya daya kreatif yang mengilhamkan Sidang Roh dan juga Hang Jebat sebagai pemberontak (bukan penderhaka) menuntut keadilan.
----------------------
Yunus Ali seorang aktivis sosial dan pemikir hal-ehwal sosio-ekonomi. Sekarang beliau sebagai pengerusi National Institute for Electoral Integrity (NIEI), sebuah NGO yang menjalankan kerja-kerja berkaitan dengan reformasi pilihanraya dan pembangunan demokrasi.

© 2011 Malaysiakini. All rights reserved. English|Malay|中文版|தமிழ்

7 comments:

Bustanul Bey said...

Salam Pak Kassim,

Setakat yg saya tahu hasil dari kritikan tersebut. Boleh disimpulkan bahawa Yunus Ali seorang yg mudah membuat kesimpulan dan menghukum. Menghukum seseorang tanpa mengetahui kebenaran yg hakikat.

Kebenaran pada beliau hanyalah berdasarkan imaginasi beliau yg telah pun preoccupied dgn prejudice beliau.

Pada saya, pemikiran terlalu kepolitikan, yg hasilnya membuat dakwaan berdasarkan andaian sahaja.

Beliau jelas tidak mencari kebenaran yg hakikat. Sedangkan Islam menyuruh umatnya mencari kebenaran yg hakikat krn ia merupakan salah satu tiang yg dpt mencegah fitnah dan penipuan.

Anonymous said...

Salam Pak Kassim,
1. Kritikan Yunus Ali Penuh dengan politik kebencian yang ditujukan kepada Pak Kassim dan mantan PM kita.
2. Kalau tiada serangan tuduhan seperti" kerakusan dan keganasan kuasa Dr. Mahathir Mohamad", atau tuduhan secara langsung " terhadap penanggungjawaban Mahatir, setelah 22 tahun berkuasa, merasuah atau melacurkan sistem politik, pengadilan, kepolisan dan pentadbiran awam Malaysia", mungkin Malaysia Kini tidak berminat untuk menerbitkan tulisan beliau dalam laman web.

Rosman BB

wan ahmadi jalil said...

Salam Pak Kassim,
Saya harap dapatlah Pak Kassim menulis tentang ibadah haji.Bagaimana fahamannya terhadap pelaksanaan manasik (bentuk ibadat haji) ini.
Saya percaya Pak Kassim ada sesuatu yang ingin kemukakan,tambahan pula jika ada kelainan atau komen-komen daripada pengamalan yang telah diamalkan oleh umat Islam sejak sekian lama.Kepentingan atau cita-cita beliau sendiri.
Wallahu'alam.

Kassim Ahmad said...

Sdr Wan Ahmad Jalil,
Salam.
1. Sepanjang yang saya tahu, ibadah haji itu diperdukan kepada setiap orang muslim dewasa, sekali seumur hidup, dengan syarat dia punya kemampuan dari segi kesihatan dan kewangan.
2. Amalan kebanyakan pergi berkali-kali, dengan bantuan kewangan pihak lain pula, sudah menyalahi perintah Tuhan.
3. Insya Allah, saya akan huraikan perkara-perkara ini dalam sebuah artikel berasingan.

Hasmadi Husin said...

Kefahaman salah umat islam hari ni lagi kejam malah menfitnah rasullulah dan islam jika beliau nak bandingkan kezaliman mahathir (yang samar samar),hukuman rejam bagi penzina dan hukuman bunuh bagi orang murtad,amat jelas bertentangan dengan quran namun mereka masih bermatian mempertahankannya.Jangan pedulikan mereka pak kasim ,sedangkan alquran mereka lawan dan rasulululah mereka fitnah, apatah lagi pak kasim,teruskan menyatakan kebenaran..

Anuar said...

Assalaamu'alaikum warahmatullah..

Pak Kassim, masihkah Pak Kassim berkata para imam mazhab itu memecahbelahkan umat Islam dan adakah riwayat al-Bukhari dan riwayat Muslim itu juga tidak boleh dipakai?

IbrahimNuh said...

Salamu'alaikum Pak Kasim;

Pak Kasim, masihkah Pak Kasim mengatakan imam mazhab punca perpecahan umat Islam dan riwayat al-Bukhari dan Muslim hanya memecahbelahkan umat Islam?; Atau Pak Kassim tidak lagi berpendirian seperti ini?

Terima Kasih