Thursday, November 03, 2011

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK
DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI) – MENGAPA JADI KONTOROVERSI?


Oleh: Kassim Ahmad
3 November, 2011

Sejak kebelakangan ini, apabila Kerajaan memutuskan supaya pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggersi (PPSMI) dihentikan mulai tahun depan, dan digantikan dengan konsep Memeratabat Bahasa Melayu dan memperkasa bahasa Inggeris (MBMMBI), banyak kontroversi timbul.
Nyatalah lebih emosi daripada fikiran rasional bertanggungjawab. Dalam artikel ini, saya akan kaji masalah ini dari segi cita-cita nasional kita.
Jangan lupa kita telah merdeka selama 54 tahun. Zaman saya di sekolah menengah dan universiti dulu, kita masih belum merdeka. Semua pelajaran dalam bahasa Inggeris. Zaman itu sudah berlalu. Seperti sewajarnya, kita telah mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Ingat, sebelum intervensi penjajahan Eropah ke Alam Melayu, bahasa Melayu itu lingua franca di kota Melaka, kota yang termasyhur di dunia. Sekarang bahasa ini dipertutur oleh hampir 300 juta rakyat Malaysia dan Indonesia. Tidak ada sebab kita hendak berbalik ke zaman penjajahan setelah kita, melalui satu perjuangan kemerdekaan yang besar, merdeka!
Anehnya, ada anggota Kabinet yang mahu menjadi orang tengah hendak “menyelesaikan” masalah ini. Tidakkah beliau malu? Orang-orang seperti ini – di mana kejujuran mereka sebagai rakyat Malaysia. Di mana patriotisme mereka? Kebebasan itu untuk menjadi petugas yang bertanggungjawab untuk menjaga kemerdekaan kita, bukan merebankannya!
Ini bukan soal perasaan individu itu atau ini, anak sekolah atau ibu-bapa, Melayu, Cina India atau mana-mana kaum lain. Apalagi jika mereka mengugut untuk meninggalkan negara ini untuk berhijrah ke negara lain. Tiada siapa boleh melarang sesiapa daripada rakyat kita yang mahu berpindah ke negara lain. Bumi Tuhan luas. Pergilah!
Soalnya: buat apa kita mendirikan negara-bangsa kesayangan kita Malaysia ini? Kita mahu kebebasan dan hak untuk mewarnai negara kita mengikut cita-cita luhur kebangsaan kita, kebangsaan Malaysia. Ini telah pun kita gubal ke dalam Perlembagaan kita. Memang betul Perlembagaan pun boleh dipinda, jika dikendaki oleh suara ramai. Namun demikian, Perlembagaan itu bukan benda permainan. Jangan sengaja-sengaja dipermainkan!
Menyatakan ini semua tidak bermakna kita menolak kepentingaan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa yang perlu dikuasai oleh rakyat kita. Malah lagi banyak bahasa yang kita tahu, lagilah baik. Bahasa itu pintu kepada ilmu. Lagi banyak bahasa yang kita tahu, lagilah banyak pintu ilmu yang terbuka untuk kita. Tetapi, bila-bila pun, bahasa kita tidak boleh ditukar-ganti dengan bahasa apa pun, kerana bahasa kita itu fikiran kita sendiri. Kita membangunkan tamadun dengan bahasa kita.

------------------------
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau:

4 comments:

Juang said...

Salam,

1) Belajar lebih daripada satu bahasa, bermakna seseorang itu memerlukan daya hafalan yang baik dan luas (untuk menyimpan banyak perbendaharaan kata).
2) Ada manusia memiliki daya hafalan yang baik, tetapi daya mantik/logik yang lemah. Begitu juga sebaliknya.
3) Oleh kerana wujudnya perbezaan di antara manusia ini, maka pembelajaran lebih daripada satu bahasa tidak boleh sama.
4) Kita perlu contohi Jepun. Rakyatnya yang memiliki kepandaian lebih daripada satu bahasa akan mengumpulkan maklumat2 luar untuk diterjemahkan ke dalam bahasa ibunda mereka. Dan rakyatnya yang memiliki keupayaan berfikir yang kreatif (walaupun tidak pandai berbahasa asing) menggunakan maklumat yang dikumpulkan itu untuk menghasilkan rekacipta mereka sendiri.
5) Dengan cara itu, kedua2 sumber (orang2 yang kuat daya hafalan dan kuat daya berfikir) dipergunakan secara maksimum untuk memacu kemajuan negara.
6) Barulah yang dikejar akan dapat, dan yang dikendong tidak keciciran.

Anonymous said...

Pak Kassim,
Inilah sewajibnya di pegang oleh Rakyat Malaysia.
Semua pembelajaran dan urusan rasmi Kerajaan mesti dalam Bahasa Melayu/Malaysia.
Kita tidak pula menegah orang yg ingin belajar bahasa asing lain.
Kalau di kira hanya tidak lebih 5% rakyat yang menggunakan Bahasa Inggeris itupun utk tujuan lanjutan pelajaran,diplomat diplomat dan urusan perniagaan.
Golongan lain tak begitu perlu.Sesiapa yang nak mahirkan diri,silakan.
Tak perlu nak buatkan seluruh Malaysia ikut rentak penggemar penggemar Bahasa Asing itu.

Nas

Anonymous said...

Dr. Kassim,

Terima kasih kerana terus menulis, kerana anak2 generasi muda macam saya dahagakan pendapat yang kritikal. Dan saya tidak pernah jemu membaca tulisan Dr. Sedihnya tidak ramai yang tidak cuba memahami apa yang tersirat..tetapi hanya tumpakan pada apa yang dilihat sahaja..

Terima kasih,
Nurul

........... said...

saudara kasim,

1) saya percaya matlamat utama PPSMI bukanlah untuk menjadikan pelajar kita lebih mahir dalam bahasa inggeris

2) era kini, kebanyakkan jurnal berkaitan sains dan teknologu ditulis/dicatat di dalam bahasa inggeris

3) jadi pelajar perlulah dibiasakan dengan istilah teknikal yang digunakan dalam jurnal akademik ini

4) oleh itu, penyesuaian pada peringkat awal amatlah diperlukan agar apabila mereka sampai di peringkat universiti, mereka tidak menghadapi kesukaran untuk memahaminya

5) ppsmi, bagi saya, bukanlah persoalan sama ada kita sayang bahasa melayu ataupun tidak. ia lebih kepada "survival" anak bangsa kita untuk bersaing dalam dunia global