BUANG PENGARUH NAHU ARAB DAN INGGERIS:
KEMBALI KEPADA WATAK BAHASA MELAYU YANG ASLI
Oleh: Kassim Ahmad
13 Oktober, 2010
Bahasa Melayu memang satu bahasa yang cantik, dengan ayat-ayatnya yang ringkas dan padat dengan bunga-bunga dan simpulan bahasanya yang indah-indah, lengkap dengan pantun-mantunnya sekali. Ini dapat kita lihat daripada karya-karya pengarangnya yang agung, seperti Keris Mas, Usman Awang (Tongkat Warrant), A. Samad Ahmad, A. Samad Ismail, A. Samad Said dan ramai lagi. Jangan lupa pengarang agung Indonesia, Pramudia Ananta Tur. Membaca karya-karya mereka akan menyingkap keindahan bahasa Melayu kepada kita.
Ini tidak bermakna saya mendewa-dewakan bahasa Melayu. Bahasa Inggeris juga begitu. Saya fikir bahasa-bahasa lain juga begitu – satu daripada tanda kekayaan Ilahi!
Namun demikian, saya ingin menarik perhatian pengguna-pengguna bahasa Melayu kepada beberapa perkara.
Pertama, saya hendak menyebut tentang kesilapan-kesilapan yang kerap dibuat. Bahasa Melayu tidak mempunya kopula, ‘ialah’, ‘adalah’ atau ‘merupakan’. Umpamanya, kita kata “Ibrahim seorang guru.”, tidak “Ibrahin ialah/adalah /merupakan seorang guru” Dalam bahasa Inggeris, kita kata “Ibrahim is a teacher.” Perkataan ‘is’ di sini satu kopula. Jadi, penggunaan kopula ini pengaruh nahu Inggeris. Harus dijauhi.
Kedua, kesalahan kerana pengaruh nahu Arab. Perhatikan ayat ini: “Mereka itu adalah di atas petunjuk Tuhan mereka.” Ada dua kesalahan di sini: penggunaan kopula ‘adalah’, dan penggunaan kata depan ‘di atas’. Kata depan ‘di atas’ yang tidak perlu di sini menunjukkan pengarauh nahu Arab. Sepatutnya ayat ini ditulis: “Mereka mendapat petunjuk Tuhan mereka.”
Kerapkali juga kita dengar frasa ‘kunjungan hormat ke atas Yang Dipertuan Agung”, nyata terjemahan harfiah frasa Inggeris, “to pay a visit on”. Mengapa tidak kata “mengadap “ atau “mengunjungi” saja?
Ketiga, salah-guna perkataan jamak ‘mereka’. Kerap sekalai kita dengar perkataan “mereka-meraka”. Sungguh dahsyat bunyinya! Perkataan ‘mereka’ itu jamak; tidak perlu dijamakkan lagi! Berhungan dengan kesalahan ini, kita juga tidak harus kata “ramai orang-orang perempuan datang melihat temasya itu.” Perkataan ‘ramai’ sudah bersifat jamak. Tidak perlu, kata nama itu dijamakkan lagi. Demikian dengan semua perkataan jamak, seperi ‘banyak’, ‘kebanyakan’, ‘semua’, ‘sesetengah’, dan sebagainya.
Keempat, salah-guna kata depan ‘dari’ dan ‘daripada’, ‘ke’ dan ‘kepada’. Tidak perlulah saya huraikan kesalahan ini
Kelima, perhatikan ayat, “Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka ...” (Ayat ini diambil dari sebuah tafsir.) Kesalahan ini tidak begitu ketara; walaupun bagaimana pun, kesalahan juga. Ada dua kesalahan di sini. Ayat ini sepatutnya ditulis, “Iaitu jalan orang yang telah Engkau kurniakan nikmat.” Kesalahan pertama: “Engkau telah kurniakan.” Yang betulnya: “telah Engkau kurniakan,” atau “jalan orang yang Engkau telah mengurniakan nikmat.” Kesalahan kedua: frasa ‘kepada mereka’ tidak perlu, kerana kertakerja ‘kurniakan’ sudah mengambil katanama ‘orang’ sebelum ini sebagai objeknya.
Sehubung dengan ini juga, lihat ayat: “Jalan orang-orang yang Engkau merahmati, bukan orang-orang yang ke atas mereka dimurkai ...” Ini terjemahan harfiah dari bahasa Arab. Bahasa Melayu menulis: “Jalan orang yang Engkau rahmati, bukan orang yang ditimpa kemurkaan-Mu.”
Inilah lima jenis kesalahan yang kerap dibuat oleh penulis-penulis bahasa Melayu. Kesalahan-kesalahan ini harus diperbetulkan. Bahasa Melayu jadi tidak idiomatik dan hodoh kerana kesalahan-kesalahan ini.
Memang semua bahasa berkembang. Perkataan seperti ‘ketidak-samaan’, ‘keterbukaan’ dan beratus-ratus lagi perkataan baru seperti itu menunjukkan perkembangan bahasa kita. Pinjaman perkataan dari bahasa-bahasa lain fenomena biasa. Demikianlah bahasa diperkayakan. Tetapi tiap bahasa mempunyai nahu dan idiomnya sendiri. Nahu dan idiom ini perlu dikekalkan. Jika tidak, rosaklah keaslian bahasa itu. Namun demikian, bahasa Melayu harus berkembang mengikut nahu dan idiomnya, dan tidak boleh bersalahan dengan nahu dan idiomnya.
Bahasa kebangasaan itu penting dalam pembangunan peradaban kita. Kita tidak boleh membangunkan peradaban kecuali dalam bahasa kita sendiri. Bila saya berkata demikian, maksud saya bukan untuk memperkecilkan nilai bahasa Inggeris. Rakyat kita perlu mengetahui bahasa Inggeris, kerana ia lingua franca dunia. Tetapi bahasa Inggeris tidak boleh menggantikan bahasa kebagsaan kita untuk membangunkan peradaban kita. Rakyat kita perlu juga mempelajari bahasa-bahasa lain (umpamanya, Arab, Perancis, Belanda, Jerman, Rusia dan lain-lain) mengikut keperluan kerjaya masing-masing.
Sebagai sebuah masyarakat nasional yang bersifat majmuk, rakyat kita juga perlu belajar bahasa-bahaya yang terdapat dalam negara kita, seperti Mandarin dan Tamil, untuk mempermudah dan membaiki hubungan antara kaum.
Saya tidak harus lupa untuk menyatakan bahawa dalam pemakaian bahasa kebagsaan yang elok, pemimpin-peminpin kita harus menunjukkan contoh yang baik. Bila mereka bercakap dalam bahasa Melayu, hendaklah mereka menggunakan bahasa Melayu yang baik, sepertimana mereka juga harus bercakapa Inggeris yang baik, bila berucap dalam bahasa Inggeris.
-------------------
Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com
8 comments:
Kadang-kadang saya melihat ungkapan 'simpulan bahasa', pantun, bidalan bahasa Melayu dalam memberi pesanan, nasihat dan kebijaksanan hidup itu lebih indah daripada yang sama pada pesanan Al-Quran dalam bahasa Melayu yang telah diterjemahkan. Terjemahan al-Quran dalam bahasa Melayu sehingga kini tidak menimbulkan satu pesanan al-Quran yang kelihatan indah, intelektual dan asli kerana seperti yang Sdr membicarakan telah mengguna pengaruh Arab atau bahasa Inggeris. Lihat indah dan puitisnya pesanan dari puisi A. Samad Said berajuk ' Unggun Api' mengajak kita menyedar akan sebuah kezaliman atau puisi Sdr semasa zaman muda dulu bertajuk "tuhan sudah mati' begitu menyentuh naluri. Kita tunggu terjemahan al-Quran dalam bahasa Melayu yang betul-betul menyampaikan keaslian mesajnya dan tidak seperti yang ada buat masa ini, pening kepala menerimanya kerana terdapat huru-hara dan kekeliruan akibat mengguna pengaruh luar tadi yang telah menghilangkan kejernihan maksud yang sebenar.
Salam Pak Kassim,
1. Semoga Allah merahmati Pak Kassim sekeluarga.
2. Saya bersetuju dengan Pak Kassim bahawa kesalahan yang dilakukan oleh penulis penulis bahasa harus diperbetulkan. Tapi saya kurang bersetuju dengan pendapat Pak Kassim tentang terjemahan secara harfiah terutamanya terjemahan Al-quran.
3 Saya berpendapat, Al-quran sebaik baiknya diterjemahkan secara harfiah.
4. Memang terjemahan yang dilakukan bukan secara harfiah juga mampu memberi makna yang tepat dan tidak lari dari ' message ' asal yang ingin disampaikan, tapi dari segi konteks terjemahan Al-quran adalah penting untuk kita mengetahui secara harfiah supaya kita mengetahui secara terus tentang apa apa ' peringatan dan berita berita' yang diturunkan oleh Allah melalui kitabnya.
5. Ini adalah pendapat saya sahaja dan diharap Pak Kassim dan yang lain lain tidak tersinggung.
Rosman BB
Buat Rosman BB: Terjemahan secara harfiah tidak boleh memberi makna yang sebenar. Tiap bahasa ada nahu dan idiomnya sekali. Cuntohnya "kaki ayam" dalam BM tidak boleh diterjemahan "cock's feet". Perkataan "sentuh" dalam bahasa Arab bermakna "bersetubuh". Banyak lagi contoh boleh diberikan.
salam,
1. Terima kasih Pak Kassim.
2. Penterjemah bahasa mempunyai tanggungjawab yang besar, apatah lagi penterjemahan kandungan Al-quran.
3. Moga Allah memberi hidayah kepada mereka yang terlibat dalam semua usaha penterjemahan.
Rosman BB
Pak Kassim,
Kita ni banyak sangat suka dok tiru bahasa orang asing.Kita mesti ori n Original n tulin dlm segala gala nya.Di skolah la ni d sebut bahasa Maysia bukan lagi bahasa MeLaYU.Celaru n keliru d buat nyer.
wawa
Al Quran adalah mesej Allah. Maka hanya mereka yang memahami Allah sahaja adakan dapat menterjemahkan Al Quran selari dengan mesej Allah.
Pak Kasim dan Sdr sdr yg lain,
Saya sangat bersetuju pendapat Pak mengenai ke lima lima perkara yg di sebutkan.
Masalah kita ialah pakar bahasa tidak menterjemahkan Al quran ataupun karya buku buku asing. Jadi kesalahan Bahasa sudah tentu boleh terjadi jika bukan ahlinya yg membuat terjemahan.
Terjemahan Al quran dan kitab kitab ugama telah di buat oleh orang terdahulu.Sekarang pakar pakar Bahasa seharusnya mengolah semula terjemahan tersebut supaya lebih berkesan fahaman makna terjemahan itu.
Sebagai menghormati karyawan awal pakar pakar Bahasa perlu mendapat izin mereka/waris dahulu jika pengolahan baru ingin di lakukan.
Sikap kita orang Melayu hendaklah dibetulkan dulu tentang tata Bahasa kita sebelum kita menuding jari kpd orang lain yang kurang yakin atau selalu melakukan kesilapan dlm penggunaan Bahasa Melayu.
NAS
ALQURAN DAN HADIS DUA DUA KENA TERIMA DAN TAKBOLE TOLAK SALAH SATUNYA SMP JADI ANTI HADIS...TAK GITU PAK KASSIM??:D
Post a Comment