Wednesday, February 06, 2013

MENGAPA BEREBUT NAMA "ALLAH"?





MENGAPA BEREBUT NAMA “ALLAH”?
ASAL-USUL PERKATAAN “ALLAH”

Oleh: Kassim Ahmad
2 Februari, 2013

            Saya terperanjat kerana bekas Hakim Negara kita juga mahu melibatkan dirinya dengan kontroversi bahawa istilah “Allah” hak milik orang Islam semata-mata. Sepanjang yang saya tahu, perkataan “Allah” telah digunakan untuk merujuk kepada Wujud yang semestinya wujud dengan Sendirinya (Wujud Wajib).Mengikut kamus Arab-Inggeris yang dikarang oleh Dr. Abdullah Abbas al-Nadwi (Jedah: 1983), perkataan “Allah” itu nama khas untuk Wujud Wajib yang tersebut.  Demikian juga kamus A Dictionary of Modern Arabic karangan Hans Wehr (Ithaca, N.Y.: 1961)

            Maulana Muhammad Ali memetik kamus Al-Misbah al-Munir untuk menolak bahawa awalan al dalam “Allah” itu gabungan al dan ilah (tuhan) menjadikan makna gabungan itu “Tuhan itu”, yakni Tuha Yang Esa. [1]

            Edip Yuksel dll. Dalam Quran – A Reformist Translation (Brainbow Press, U.S.A.: 2007 menyatakan demikian, “Perkataan Arab Allah bukan nama khusus, seperti yang mungkin difikir oleh sesetengah orang; ia singkatan dari al dan ilah. [2]

            Kira-kira empat ribu tahun dulu, dalam zaman Nabi Ibrahim, beliau dan anaknya Ismail mendirikan Ka’abah untuk dilawati oleh mereka yang beriman kepada Tuhan (Quran, Allah) dan Hari Kemudian. (Quran, 2: 126) Jadi, perkataan Allah dengan makna “Tuhan Yang Esa) telah digunakan lama dulu sebelum Nabi Muhammad. Malah seawal Nabi Adam, kira-kita sejuta tahun dulu, perkataan “Allah”  sudah digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Esa. Ingat perisytiharan yang masyhur: “Agama yang Tuhan reda itu Islam” (Quran, 3: 19)  Islam tidak bermula dengan Nabi Muhammad, tetapi dengan nabi Allah yang pertama, iaitu Adam. Nabi Muhammad, penutup segala nabi,  mengisytiharkan Islam sebagai agama untuk seluruh manusia. [3]

            Wikipedia menyatakan bahawa perkataan “Allah” gabungan dari awalan al dengan ilah (tuhan). Ensiklopedia Britannica menyatakan, asal-usul perkataan ini mungkin gabungan dari awalan al dan ilah. Surah 17, ayat 110 menegaskan bahawa Tuhan Yang Esa tiada satu nama khusus, kerana semua nama yang baik itu milik Dia. Ayat ini dengan jelas menafikan mereka yang mendakwa bahawa “Allah” itu nama khas Tuhan Yang Esa.  

            Saya harap huraian yang ringkas ini  menjelaskan soal ini.
----------------------------------
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com dan www.stormloader.com/qsmjam



[1] The Holy Quran, hlm. 3, nota b.
[2] Lihat Surah pertama, Nota 001:001.
[3] Lihat Quran, 7: 157-58.

1 comment:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.