Monday, June 10, 2013

PERKUAT KEPIMPINAN MELAYU



PERKUAT KEPIMPINAN MELAYU
UNTUK MENGHADAPI CABARAN TERDEKAT

Oleh: Kassim Ahmad
5 Jun, 2013

            Sesetengah orang mungkin akan melabel saya rasis kerana saranan saya  supaya memperkuat kepimpinan Melayu. Kepada mereka saya berkata, “Jangan terlalu gopoh melabel seseorang. Fikir dulu sebelum bercakap.”
            Dari mana kita datang? Tidak syak lagi, dari Tuhan; yakni kita semua manusia, anak-cucu Adam, atau dalam bahasa saintifiknya, Homo sapiens. Walaupun ini benar dari perspektif universal, kita dilahirkan pelbagai bangsa: China, India, Melayu dan lain-lain. Di Malaysia, masyarakat majmuk kita sekarang lahir dari Kesultanan Melayu Melaka, dengan bahasa Melayu sebagai bahasa lingua france, agama Islam sebagai agama negara dan institusi Raja-raja Melayu sebgai payung negara.
            Seperti bangsa-bangsa lain juga, bangsa Melayu mempunyai kepimpinan yang kuat dan yang lemah. Dalam zaman kerajaan Melayu Melaka dalam abad ke-15, tiga orang raja menunjukkan kepimpinan yang baik, iaitu Sultan Muzaffar Shah, Sultan Mansur Shah dan Sultan Alauddin Shah denga Tun Perak sebagai Bendahara yang kuat.
            Kekuatan seorang pemimpin terletak pada wataknya. Watak ini lahir dari kemitmennya kepada kebenaran dan keadilan. Komitmen kepada kebenaran dan keadilan itu ciri-ciri seorang mukmin, seorang yang percaya kepada wujudnya suatu kuasa mutlak yang mencipta, memupuk dan memimpin alam raya ini ke matlamatnya. 
            Dalam zaman moden, zaman pasca-kemerdekaan, kepimpinan Melayu bermula dengan Tunku Abdul Rahman, yang menyifatkan dirinya sebagai “perdana menteri yang paling gembira di dunia.” Beliau menghabiskan hartanya untuk mencapai kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu dari penjajahan Inggeris.
Dipendekkan cerita, perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak, perdana menteri terbaik dalam sejarah Malaysia. Beliaulah yang membawa pelbagai perubahan progresif dalam bidang-bidang ekonomi, pendidikan, dasar luar dan lain-lain. Beliaulah yang memperbesar gabungan tiga parti perikatan kepada gabungan empat-belas parti barisan nasional. Malangnya, pentadbiran beliau pendek, kerana beliau dipanggil Ilahi awal.
            Perdana menteri sekarang, Najib, anak kepada Tun Razak, anehnya tidak mampu mengikut jejak-langkah bapanya. Kegagalan beliau mendapat kemenangan dua pertiga dalam pilihanraya umum ke-13 dikritik oleh Tun Daim Dzainudin sebagi silap strategi dan rebutan kuasa dalam parti UMNO sendiri. Ketua Pembangkan, Anwar Ibrahim, telah mengganggu pentadbiran beliau sejak lama, tetapi beliau tidak mengambil apa-apa tindakan terhadapnya. Dong Zong, persatuan jawatankuasa sekolah jenis kebangsaan Cina, telah lama bertindak seolah-olah Malaysia sebuah wilayah negara China, namun beliau gagal bertindak terhadap mereka. Tentera laman sesawang DAP, Red Bean Army, telah lama menyibar fitnah terhadap UMNO dan BN, namun beliau gagal bertindak terhadap mereka.
            Semua ini telah membuat rakyat menyatakan beliau lemah. Sesetengah NGO telah mula tidak sabar dengan kelemahan ini. Kita bertanya: “Hendak ke mana Najib?” Jangan sampai orang Melayu mengamuk dan beliau jatuh! Tokoh-tokoh Cina sendiri sudah menyuarakan keresahan mereka tentang anarki yang sedang bermaharajalela. “Gunakan kuasa yang ada kepada kamu untuk berlaku adil kepada rakyat yang berbilang kaum di negara ini.” Timbalan perdana meneri sendiri telah menyuarakan kritikan ini. Ayuh, bertindak berani dan tegas, Najib! Jangan sampai nasi menjadi bubur!

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com         

2 comments:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.