Tuesday, May 27, 2014

KHALIFAH, NAIB TUHAN DI BUMI




KHALIFAH, NAIB TUHAN DI BUMI 

Oleh: Kassim Ahmad
25 Mei, 2014

            Apabila Tuhan mengumum kepada para malaikat tujuan-Nya untu mewujudkan seorang khalifah di Bumi, mereka bantah.[1] Sebab bantahan mereka nampaknya, kerana khalifah (yakni manusia) yang diwakilkan oleh Tuhan untuk mentadbir dunia, akan merosakkan dunia. Tidak syak lagi, bantahan para malaikat itu berasa, kerana, dilihat dari segi zaman sekarang, dua peperangan dunia yang telah berlaku sangat distruktif dan nyaris-nyaris menhapuskan tamaduan dan manusia sekali dari muka bumi! Satu peperangan dunia yang ketiga yang tentunya akan melibatkan penggunaan senjata nuklier sudah pasti akan berakhir seperti yang ditakuti itu – pemusnahan total!
            Juga malaiakt hanya mengetahui alam yang ada apada waktu itu, tanpa manusia, yang muncul di bumi sejuta tahu dulu. Mereka hanya mengenal binatang yang memakan satu sama lain, malah, memakan anak-anak mereka sendiri (menumpahkan darah dan membuat kerosakan). 
            Perihal Tuhan terus menciptakan juga khalifah (yakni, manusia) menunjukkan sifat optimism yang tinggi di pihak Tuhan. Malah hal ini sudah terbayang dalam satu ayat sebelum manusia wujud di Bumi. Ayat ini berbunyi: “Ingat apabila Tuanmu memanggil semua keturunan Adam, dan membuat mereka naik saksi untuk diri mereka sendiri, ‘Bukankah Aku Tuanmu?’ Mereka semua berkata, ‘Ya, kami naik saksi.’ Demikian maka kamu tidak boleh berkata pada Hari Kebangkitan, ‘Kami tidak tahu tentang perkara ini.’” [2]
            Di tempat lain Tuhan memperingatkan kita demikian, “Kami telah menawarkan tanggungjawab ini kepada langit dan bumi, dan gunung-ganang, tetapi mereka menolaknya dan takut kepadanya. Walau bagaimana pun, manusia menerimanya. Merekalah zalim dan jahil!” [3]   
            Khalifah berasal dari perkataan Arab, bermakna pengganti atau naib. Naib  orang yang diwakilkan untuk melakukan sesuatu kerja. Dalam konteks ini, kerja itu mentadbirkan dunia bagi pihak Tuhan. Makhluk-makhluk lain, seperti pokok dan binatang, bertindak mengikut naluri yang dimasukkan ke dalam diri mereka. Mereka tidak ada kebebasan melainkan bertindak mengikut naluri mereka. Oleh yang demikian, mereka tidak dihukum. Sebaliknya, manusia akan dihukum, kerana mereka bertindak mengikut pilihan mereka. Baik dibalas baik; jahat dibalas jahat. Malah Quran memberitahu kepada kita bahawa manusia akan menghukum diri mereka sendiri.[4]            
            Manusia ada dua dorongan: satu dorongan ke atas untuk melakukan kebaikan; kedua, dorongan atau tarikan ke bawah untuk melakukan kejahatan. Dorongan ke atas membawa kepada kehidupan yang lebih baik; tarikan ke bawah membawa kepada kemerosotan.
            Ilmu kejiwaan mengajar kita bahawa diri manusia (Ar. nafs) ada tiga peringkat: ammarah (kebinatangan), lawwamah (kritis), dan akhir sekali, mutmainnah (sempurna, syurga)[5] Ambil satu contoh. Seratus orang ada dalam sebuah dewan. Kebanyakan mereka akan berada di tahap bawah sekali (katalah 75%), dua puluh orang akan berada di tahap kedua, dan lima orang lagi (5%) di tahap teratas. Mereka semua berada dalam satau dewan pada satu masa, tetapi kejiwaan mereka berbeza.
            Quran itu wahyu Tuhan kepada Nabi Muhammad. Namun demikian, ada dua ayat yang menyifatkan Quran sebagai perkatan rasul yang mulia.[6]  Bagaimana kita hendak menghuraikan perkara ini? Jawapannya terletak kepada keadaan kesedaran manusia. Kita tahu dari ilmu kejiwaan bahawa  dalam keadaan biasa manusia tidak sepenuhnya sedar. Sebagian besar dari jiwanya tidak sedar; yang sedar hanya sebagian kecil. Tetapi apabila dia didatangi ilham atau inspirasi (wahyu tidak lain dari inspirasi), kesedarannya meningkat.
Ambil satu contoh. Apabila Beethoven menulis simfonanya yang termasyhur, Simfoni No. 5, dia dalam keadaan berilham. Dalam keadaan ini, ia tidak sedar akan persekitarannya. Kesedarannya penuh tertumpu kepada komposisi muzik itu. Demikianlah bagi penyair, pelukis, ahli sains – malah bagi semua manusia. Quran memberitahu kepada kita bahawa tidur itu seperti mati (tiada kesedaran); bangun dari tidur seperti kebangkitan.[7] Kita juga diberitahu bahawa semua yang baik itu daripada Tuhan; yang jahat daripada diri kita sendiri di bawah hasutan syaitan.
            Kerapkali orang bercakap tentang Hari Kiamat. Tiada siapa tahu tentang Hari Kiamat, kecuali Tuhan. Mengikut ahil-ahli sains, dunia ini (Alam Raya) sudah wujud berbilion tahun dan akan terus wujud berbilion tahun lagi. Apabila tenaganya habis, ia akan runtuh. Pada ketika itu, hanya Tuhan akan tinggal. (Quran “… illa wajhahu.”) [8]
            Seorang individu biasanya akan hidup selama 60 tahun. Selepas itu ia mati, diganti oleh anak-anaknya. Demikianlah generasi diganti dengan generasi teruas-menerus sehingga seluruh Alam Raya hancur, berbilion tahun akan datang. Demikianlah anak-cucu Adam  dan Hawa akan kekal di Alam Raya lama, amat lama lagi.
Mereka yang pesimis akan mengatakan Hari Kiamat sudah dekat. Quran juga memberitahu kita Kiamat itu sudah hampir. Memang bagi Tuhan, demikianlah. Kepada Tuhan masa itu tiada dan tempat juga tiada, Oleh sebab iu, kita berkata Tuhan ada di mana-mana dan pada segenap masa. Hari kemudia itu satu zaman yang akan datang. Oleh sebab manusia itu semua dari satu nafs (Ar. nafsun wahidah), maka manusia dihidupkan kembali sebagai manusia. Oleh kerana peningkatan kesedaran dan peningkatan teknologi, maka manusia menghukum dirinya sendiri sebagai proses pembersihan jiwa. Oleh kerana itu, pada satu masa mendatang – jauh lagi -- semua manusia akan masuk syurga.[9]    

 KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. .

.


[1] See Quran, 2: 30
[2] Quran, 7: 172.
[3] Quran, 33, 72.
[4] Quran, 17: 14.
[5] Lihat Quran, 12:53. 75:2, dan 89: 26.
[6] Lihat Quran, 69: 40 dan 81: 19.
[7] Lihat Quran, 6: 60.
[8] Lihat Quran, 28: 88.
[9] Lihat Quran, 9: 111.dan 6: 128.

No comments: