Saturday, January 21, 2006

KEMELUT YANG BERPANJANGAN
KRITIKAN SASTERA DI MALAYSIA KINI


Oleh: Kassim Ahmad
14 September, 1992
( Syarahan Pendeta Za’ba, 14 September 1992 Lecture Theatre, School of Oriental and African Studies, University of London.)

(Last of three parts)


Penulis dan pengkritik Malaysia, Muhammad Haji Salleh, pula berkata dalam 1988:

Dalam sastera Melayu dari awal hingga beberapa tahun yang kebelakangan ini bukan saja menjadi tujuan sastera yang alamiah untuk mengajar, membimbing, memberi contoh dan nasihat, malah dituntut oleh audiensnya untuk menunaikan tujuan-tujuan asal ini. Lebih kurang empat tahun yang lalu timbul kerunsingan di antara penulis-penulis 1950-an akan keadaan di mana penyair dan novelis 1980-an kita terlalu menyelam ke dalam diri dan melupakan tugas sosialnya, tidak memperkatakan masalah kemiskinan atau “keruntuhan moral”, tetapi lebih asyik menemui diri di antara baris dan cermin dirinya. Bahawa penulis Melayu moden menyimpang dari tugas asalnya merisaukan sasterawan semasa.

Kritikan sastera bertujuan untuk menceritakan sesuatu karya sastera, sama ada sajak, cerpen, novel atau drama, mentafsir serta menilainya. Menceritakan sesuatu karya itu perlu sebelum seseorang pengkritik dapat mentafsirnya dan selanjutnya membuat penilaian. Oleh yang demikian, kritikan bererti suatu pandangan, malah suatu pandangan hidup, kerana karya yang hendak ditafsir dan dinilainya itu adalah secebis kehidupan. Adakah kehidupan yang digambarkan dalam karya itu melambangkan atau mewakili kebenaran, seperti kata Keris Mas, atau kebenaran dan keindahan sekaligus, seperti kata Keats. Tidak kira berapa banyak teori kritikan yang telah dihasilkan di Barat, dari formalism ke Kritikan Baru, ke fenomelogi, ke semiotik, ke hermaniutik, ke dekonstruksi hingga ke feminisme, apa yang diperlukan oleh seseorang pengkritik itu ialah suatu pandangan hidup yang benar tentang manusia, masyarakat dan alam semesta. Kita menekankan pandangan hidup yang benar itu, kerana ada pandangan hidup yang batil sebagai lawannya. Di antara dua pandangan hidup ini, memang ada cabang-cabangnya, tetapi pada dasarnya kita senantiasa terpaksa berbalik kepada dua pandangan hidup. Pandangan hidup yang benar itu tidak lain daripada manifestasi Yang Baik (the Good) yang disebut oleh Plato.

Dalam gagasan estetika ini, ketiga-tiga aspek kewujudan – akhlak atau etika, hakikat atau kebenaran dan estetika atau keindahan -- wujud dalam satu kesepaduan yang tidak boleh dipisah-pisahkan. Oleh itu, sebuah karya seni perlu dilihat dalam kesepaduan ini. Idea atau perutusannya, bentuknya, rentaknya dan moodnya dilihat dalam satu kesatuan. Salah seorang pengkritik tidak harus memperkatakan bentuknya saja tanpa menyentuh isi. Dalam novel A. Samad Said yang awal dan yang terbesar, Salina, yang terbit dalam 1961, menceritakan tiga buah keluarga Melayu miskin di Singapura selepas Perang Dunia II. Mereka terperangkap dalam keadaan kemiskinan yang disebabkan oleh peperangan. Meresapi keseluruhan novel ini ialah tema pengaruh keadaan terhadap kehidupan manusia, dan dengan demikian, menyebabkan manusia menjadi lumpuh. Tidak syak lagi, ini pengaruh falsafah materialisme Marxis yang menjadi pegangan aliran kiri dalam masyarakat Malaysia pada waktu itu.

Adakah ini kebenaran? Betulkah manusia lemah dan tidak berdaya mengubah diri dan dunianya? Pada akhirnya, ini soalan falsafah. Namun demikian, sejarah manusia di dunia serta kemajuannya membangunkan tamadun membuktikan bahawa manusia boleh mengatasi keadaannya. Dari segi ini, Salina gagal mencapai taraf sebuah ciptaan yang agung. Kritikan sastera yang baik mestilah boleh menunjukkan kelemahan ini, dan dengan itu meningkatkan pemikiran masyarakat.

Tetapi bolehkah sebuah teori kritikan sastera yang menumpu kepada bentuk dan struktur Salina, semata-mata yang tidak merujuk kepada aliran-aliran fikiran dalam masyarakat yang wujud pada waktu itu, kepada pandangan hidup penulis itu sendiri, dan kepada struktur sosiopolitik mentafsirkan Salina serta menilainya dengan saksama? Karya itu sendiri menggambar, melambangkan dan mewakili realiti kehidupan atau secebis realiti kehidupan pada masa itu. Memang keterikatannya kepada sejarah atau kepada keadaan khusus itu merupakan sebahagian daripada gambaran, kerana sebahagian lain milik fitrah manusia yang lebih universal, seperti kasih saying, kejujuran, marah, benci, hasad dengki dan khianat.

Teori kritikan bersepadu ini mestilah mengambil kira semua aspek: sosiopolitik, psikologi, ideologi dan estetik. Dalam zaman ASAS ‘50 (Angkatan Sasterawan ’50), kritikan sastera Melayu yang masih muda pada waktu itu mengutamakan aspek sosiopolitik, kerana gerakan sastera pada waktu itu terlibat rapat dengan gerakan kebangsaan untuk mencapai kemerdekaan daripada penjajah. Cogan kata mereka “Seni untuk Masyarakat” menggambarkan perjuangan ini, anggota-anggotanya yang penting, seperti Keris Mas dan A. Samad Ismail, juga aktivis-aktivis politik, sekurang-kurangnya pada mulanya, adalah sebahagian daripadanya.

Keadaan mula bertukar dalam tahun-tahun selepas itu, dan proses pertukaran ini berterusan hingga tahun-tahun tujuh puluhan, lapan puluhan hingga kesembilan puluhan. Perubahan ini berpunca daripada satu persoalan pokok, iaitu hubungan di antara seni dengan manusia dan masyarakat. Pada waktu itu, penulis ini ada menulis:

Sesetengah orang mungkin bertanya: mengapa perlu dihubungkan karya dengan aliran? Mengapa tidak dibicarakan karya itu sendiri? Pertanyaan ini menonjolkan soal peranan sastera dan peranan kritik sastera sendiri.

Wujud dua pegangan atau dua konsepsi tentang seni atau estetika. Pertama, bahawa seni wujud tersendiri, bebas dan tidak mempunyai fungsi sosial. Kedua, bahawa seni mencerminkan manusia dan masyarakat, tidak bebas dan mempunyai fungsi sosial. Pandangan pertama membuahkan kritikan formalistik di mana kajian dibuat mengenai aspek-aspek bentuk saja. Pandangan yang kedua menimbulkan kritikan yang boleh dinamakan kritikan sosial. Bentuk kritikan pertamalah yang banyak terdapat sekarang, manakala bentuk kedua sedikit sekali.

Kecenderungan untuk membebaskan sastera daripada manusia dan kehidupannya tidak lain daripada ideologi “Zaman Baru” yang telah kita sebutkan pada awal tadi. Tujuan pokok pemikiran ini adalah untuk mengelakkan tanggungjawab manusia terhadap krisis tamadun yang sedang berlaku dan untuk menghapuskan kebolehan manusia untuk mengetahui serta mengubah nasibnya. Fikiran ini tergambar dalam kata-kata seorang novelis Inggeris selepas Perang Dunia II, Evelyn Waugh:

Kegunaan utama (sastera) ialah untuk menyingkir khayalan kaum seniman bahawa mereka orang-orang yang aktif … Saya tidak mahu mempengaruhi pendapat orang ramai atau peristiwa, atau mendedahkan kepura-puraan ataupun sesuatu seperti itu. Saya tidak mahu menolong sesiapa atau memperjuangkannya. Saya hanya mahu membuat kerja saya sebagai seorang seniman.

Atau dalam kata-kata masyhur salah seorang ahli teori “Zaman Baru”, Walter Benjamin: “Kebenaran mematikan niat”. (Truth is the death of intention). Dengan kata-kata lain, pada saat manusia ingin mengubah dunia, pada saat itu dunia menjadi korap. Dia mesti hidup mengikut nalurinya!

Dalam tahun 1972, pengkritik dan penyair Baharuddin Zainal, yang lebih dikenali dengan nama pena Baha Zain, menulis:

Kelemahan kita dalam bidang kritikan sastera menonjol sekali. Setiap bulan penerbitan-penerbitan menyiarkan banyak sekali cerpen dan puisi di samping berita-berita mengenai kegiatan sastera oleh beberapa kumpulan dan badan penulis. Apakah kita sedang melahirkan karya sastera yang benar-benar bererti atau hanya menambahkan bilangan peminat sastera? Apakah kita kini sedang nervous ataupun sedang kreatif? Sedikitnya jumlah kritikan sastera membikin kita berada dalam kelam untuk mentafsir pencapaian kreatif sekarang.


Oleh sebab kemelut yang kita hadapi dalam bidang kritikan, maka sejak 1971 timbul suara-suara oleh beberapa orang penulis supaya ahli-ahli fikir kita melahirkan teori atau teori-teori kritikan kita sendiri. Seruan ini, nampaknya, telah disambut oleh Shahnon Ahmad dengan bukunya Kesusasteraan dan Etika Islam (1981), Muhammad Haji Salleh dengan monografnya, Unsur-unsur Teori dalam Kesusasteraan Melayu dan Nusantara (1988), dan Mohd. Affandi Hassan dengan risalah stensilannya, Pendidikan Estetika dari Pendekatan Tauhid (1989-1990). Beberapa orang penulis lain yang menyebut tentang teori-teori sastera ialah Prof. Syed Naquib al-Attas, V.I. Braginsky dan Hashim Awang. Masyarakat sastera di Malaysia amat beruntung kerana adanya usaha gigih sarjana-sarjana ini untuk berfikir, menyelidik dan menulis tentang topik yang penting ini. Malangnya saya tidak dapat membincangkan pendapat mereka di sini. Selain buku Shahnon yang tersebut, setahu saya, belum ada perbincangan tentang pandangan-pandangan estetika yang telah dikemukakan oleh sarjana-sarjana tersebut, malah buku-buku atau tulisan-tulisan mereka yang berkenaan pun tidak begitu diketahui ramai.

Walau bagaimanapun, pada umumnya, pandangan-pandangan ini dapat disimpulkan kepada dua pandangan hidup yang pokok: pandangan hidup hedonisme atau positivisme yang dominant di Barat dan pandangan hidup spiritualisme beku di Timur. Kedua-dua pandangan hidup ini memiliki sikap yang sama terhadap rasionalisme dan sains: mereka menolak rasionalisme dan sains. Pada pendapat saya, teori-toeri sastera yang berpangkalan dalam kedua-dua pandangan hidup ini tidak dapat menyelesaikan masalah kesusasteraan dan kritikan sastera Malaysia moden. Ini kerana hubungan sepadu antara seni, sains dan rasionalisme telah diputuskan oleh kedua-dua pandangan hidup ini. Apa yang diperlukan ialah sebuah teori sastera dan kritikan sastera yang benar yang selaras dengan rasionalisme dan sains yang boleh membangunkan tamadun Malaysia baru serta memberi sumbangan kepada tamadun manusia. Dengan kata-kata Schiller, estetika hendaklah mencipta jalan ke arah kebaikan, yang perlu dan abadi – kebenaran yang kebal – dengan bahasa keindahan dari dalam kemanusiaan itu sendiri, tanpa mengikat kemanusiaan yang kreatif itu ke dunia yang fana.

No comments: