Sunday, January 15, 2006

SURAT TERBUKA KEPADA BLAIR, WOLFOWITZ*

Oleh: Kassim Ahamd


Saya berasa iri hati kepada anda berdua, kerana diberikan ruang yang bagus oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris kami, bagi menghuraikan dasar anda mengenai perang menentang keganasan yang diketuai Amerika Syarikat di Afghanistan. (Sila lihat New Straits Times, 17 dan 31 Oktober). Anda mungkin tidak tahu bahawa penulis dan pemimpin kami pun tidak diberikan peluang begitu. Sejauh yang saya ketahui, akhbar utama di kedua-dua negara anda tidak pernah memberikan ruang kepada kebanyakan ucapan penting yang dibuat Perdana Menteri kami mengenai isu antarabangsa sepanjang lima tahun atau lebih. Lihat bagaimana baiknya kami kepada anda, malangnya, anda tidak tahu membalas budi!

Saya menulis surat ini untuk menjawab anda sebagai hak dan tanggungjawab saya sebagai seorang rakyat Malaysia dan seorang yang berjiwa anti-kolonial yang menentang penjajajahan baru negara-negara anda berdua di Afghanistan dan Iraq.

Adalah sesuatu yang menjengkelkan bagi saya apabila anda berdua bercakap bagi pihak Islam dan Muslim, kerana umum mengetahui bahawa orang seperti anda tidak pernah suka kepada Islam atau Muslim. Ini dapat ditunjuk dan dibuktikan dengan mudah. Britain sudah berkurun lamanya menjadi empayar ‘di mana mana matahari tidak pernah jatuh’ dan selepas Perang Dunia Kedua berganding bahu dengan Amerika Syarikat untuk menjadi satu blok penjajah baru pada pertengahan akhir abad ke-20. Pada era pasca Perang Dunia, kedua-dua negara anda muncul sebagai adikuasa tunggal dan bertindak sebagai polis dunia yang gagal!

Kedua-dua anda berlagak sebagai pejuang kemanusiaan dan nilai universal manusia. Tetapi rekod anda menunjukkan sebaliknya.

Dengan menguasai dan memanipulasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), anda mengenakan sekatan yang tidak adil ke atas Iraq, sebuah negara Islam yang kecil, walaupun selepas Iraq undur dari Kuwait. Sekatan ini membunuh lebih sejuta rakyat Iraq, terutama kanak-kanak, yang uzur dan yang tua. Sejak 1995, negara anda kerap kali menceroboh ruang udara Iraq kononnya atas alasan melindungi golongan minoriti dan mengebom atau melancarkan roket ke atas Iraq tiap-tiap hari!

Pada 1918, British memberikan tanah Arab kepada kaum Yahudi yang membuka jalan kepada penubuhan negara Yahudi secara ganas pada 1947. Sejak itu negara anda menjadi pelindung dan penyokong Yahudi dalam penentangannya secara ganas terhadap penubuhan negara Palestin merdeka. Ini semua fakta yang diketahui umum.

Saya mendapatinya sedikit lucu, pada ketika ini, anda menggunakan akhbar kami bagi memujuk rakyat Malaysia, terutama umat Islam, untuk menyokong kegiatan ketenteraan baru dengan berselindung di sebalik alasan perang menentang keganasan. Sepuluh tahun dulu anda menggunakan isu Iraq menakluki Kuwait bagi melancarkan pencerobohan 30 negara di bawah riayah PBB terhadap negara itu, yang masih diteruskan hingga hari ini. Sebelum ini anda menghasut lapan tahun peperangan Iran-Iraq. Anda sungguh pandai menipu dan mempraktikkan pecah dan perintah!

Selepas serangan pada 11 September, anda dengan gopoh-gapah mengerah sebahagian besar angkatan bersenjata anda dan dengan terburu-buru bertindak menyerang Afghanistan bagi memaksa penyerahan Osama bin Laden dan rangkaian pengganasnya yang anda syaki bertanggungjawab melakukan serangsn itu. Kenapa anda begitu gopoh? Anda mengenepikan PBB. Anda bertindak sendiri tanpa mempedulikan undang-undang dan mula membunuh mereka yang tidak berdosa! Anda penjenayah perang!

Anda berkata tujuan anda ingin menentang keganasan antarabangsa. Hakikat bahawa anda gagal menggunakan saluran antarabangsa yang wajar menjadikan kenyataan anda itu amat diragui. Anda mempunyai matlamat lain. Dunia harus diberi amaran mengenai komplotan yang mungkin ingin anda lalukan, seperti menjadikan Afghanistan tanah jajahan baru anda, melancarkan perang pencerobohan baru terhadap Iraq, Syria, Iran dan beberapa negara lain yang anda anggap sebagai negara ‘penyangak’, yang menolak diktat anda, dan cuba mensabotaj kerjasama antarabangsa negara Asia dan Eropah untuk mereformasi sistem kewangan antarabangsa yang bankrap dan membangun semula ekonomi dunia.

Tujuan anda beralih kepada akhbar kami menunjukkan kebimbangan anda dengan keadaan panik anda dalam keadaan antarabangsa semasa. Sistem kapitalis liberal anda, seperti kapal megah Titanic British dulu, pasti karam! Gelagat anda bercakap bagi pihak Islam dan umatnya dalam menentang Taliban melalui artikel itu memualkan saya. Walaupun tindakan Taliban sebagai kerajaan tidak dipersetujui ramai orang Islam sendiri, mereka masih umat Islam dan saudara kepada kami. Kami akan menangani perkara ini tanpa campur tangan dan ‘bantuan’ anda, yang menjijikan dan tidak diperlukan. Anda memberi dengan tangan kanan dan mencuri dengan tangan kiri; pada suatu saat anda gugurkan makanan kepada rakyat Afghanistan yang malang dan pada saat lain anda mengebom mereka! Anda pembohong yang paling besar di dunia! Anda layak dikutuk!

Di sebalik alasan yang anda berikan, orang seperti saya mengetahui siapa anda sebenarnya. Anda golongan oligarki Inggeris-Amerika, anda penjajah baru, musuh umat Islam dan kemanusiaan. Cakap-cakap anda membela kemanusiaan karut semata-mata! Anda tidak pun prihatin terhadap rakyat anda sendiri!

Biar saya jelaskan kepada anda bahawa saya dan berjuta-juta orang seperti saya, Islam dan bukan Islam, bukanlah membenci rakyat Britain dan Amerika. Saya suka, malah mengagumi, ramai pengarang, asintis dan ahli falsafah British. Begitu juga saya suka sesetengah pengarah Amerika. Tetapi saya lebih menyukai negarawan Amerika seperti George Washington, Thomas Jefferson, Abraham Lincoln dan Franklin D Roosevelt. Saya juga menyukai dan mengagumi penentang politik anda yang saya anggap seorang ahli falsafah yang besar, rakyat negara anda sendiri, En Lyndon H. LaRouche, Junior. Inilah sesetengah daripada nama besar humains Barat, pengikut Musa, Isa dan Muhammad, tokoh-tokoh kemanusiaan yang agung. Tetapi anda jenis manusia yang sebaliknya, parasit yang kembung perutnya kerana penderitaan orang lain, termasuk rakyat anda sendiri.

Mengenai rancangan besar imperialis anda itu, biar saya petik daripada kata-kata Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Paul Wolfowitz yang ditulisnya dalam kertas Pentagon ketika memegang jawatan Setiausaha Rendah Pertahanan di bawah Presiden Bush (bapa) pada 1992: “… (Amerika Syarikat) harus terus mengadakan mekanisme untuk menghalang bakal pesaingan daripada melayan pun cita-cita untuk memainkan fungsi serantau atau sejagat. Misi politik dan militer Amerika dalam era pasca Perang Dingin adalah untuk memastikan tiada kuasa besar pesaing dibenarkan muncul di Eropah Barat, Asia atau di wilayah bekas Kesatuan Soviet.” Seorang penyokong kuat sistem syaitan anda, Henry Kissinger, menulis dalam akhbar New York Post pada 28 Oktober lalu: “Perang menentang keganasan bukan saja bertujuan memburu pengganas. Yang lebih penting ialah melindungi peluang luar biasa yang muncul bagi membentuk semula sistem antarabangsa.”

Komplot berterusan anda untuk menindas manusia ketara. Anda tidak layak menerima simpati atau sokongan kami dalam komplotan anda yang jahat itu.

Biar saya menutup surat ini dengan menyatakan Islam menghulurkan slam perdamaian kepada semua orang, termasuk anda, yang melakukan banyak dosa terhadap kami. Kami umat Islam hanya tunduk kepada Tuhan. Kami tidak tunduk kepada sesiapa pun, termasuk anda, Firaun zaman moden! Kami tidak takut kepada anda. Malah kami membenci anda. Seperti Firaun purba zaman nabi Musa, anda juga sudah pasti akan tenggelam di lautan kemarahan manusia! Keselamatan anda terletak kepada penghentian segera tindakan ketenteraan anda sekarang dan pilihan anda untuk hidup dalam aman damai dengan semua orang dalam usaha kerjasama membina semula sistem antarabangsa yang musnah dan membentuk sebuah dunia yang benar-benar baru dan adil!

Saya benar-benar berharap, pada saat ini, anda masih dapat mencari saki-baki kemanusiaan dalam jiwa anda, dan berusaha menyertai semula keluarga besar manusia untuk menerus dan menyudahkan kerja bapa-baoa pengasas Amerika dan guru-guru agung spiritual dan moral manusia.

* Berita Harian, 8 November, 2002.

1 comment:

LC_Teh said...

Dear Dr. Ahmad,

I am writing a book about Islamic Modernists and you are included as a prominent scholar in this field. I would like to know what is your latest activites including the dates of your several articles which I usually get though the internet.

Sincerely Yours

Akef R. Abadir, Ph.D
http://abadir.multiply.com/