KEMELUT YANG BERPANJANGAN
KRITIKAN SASTERA DI MALAYSIA KINI
Oleh: Kassim Ahmad
14 September, 1992
( Syarahan Pendeta Za’ba, 14 September 1992 Lecture Theatre, School of Oriental and African Studies, University of London.)
(Part one of three parts)
Berilah demikian, saya akan menjawab sahabat kebenaran dan keindahan yang muda itu, yang ingin mengetahui daripada saya bagaimana berhadapan dengan penentangan abad, dia boleh memuaskan naluri mulia di dalam dadanya: berilah kepada dunia tempat kamu bertindak jalan ke arah kebaikan; kemudian rentak masa yang tenang akan menghasilkan perkembangannya. Kamu telah memberi kepadanya jalan ini bila dalam mengajar kamu meningkatkan fikirannya ke arah yang perlu dan abadi; bila dalam kamu bertindak dan mengembangkan, kamu menukar yang perlu dan abadi itu menjadi matlamat nalurinya. Struktur kepalsuan dan kesewenang-wenangan akan jatuh – pasti jatuh – telah pun jatuh – sebaik saja kamu pasti ia tunduk; tetapi ia mesti tunduk dari dalam, bukan semata-mata dari luar, insan. Ajarlah dari ketenangan hatimu yang sederhana kebenaran yang kebal, isytiharkan dia dalam keindahan dari dalam dirimu supaya bukan saja fikiran menghormatinya, tetapi juga pancaindera terpikat dengan wajahnya. Dan kalau-kalau terjadilah padamu untuk menerima daripada yang wujud itu contoh yang patut kami beri kepadanya, maka janganlah kamu mencampuri jemaah yang ragu itu sehingga kamu yakin dia itu sudah cukup sesuai dalam hatimu. Bergaullah dengan abadmu, tetapi jangan jadi makluknya; berilah kepada yang sezaman denganmu apa yang diperlukan oleh mereka, bukan apa yang dipuja oleh mereka.
Friedrich Schiller
Mencipta jalan ke arah kebaikan yang perlu dan abadi – kebenaran yang kebal – dengan bahasa keindahan dari dalam kemanusiaan itu sendiri, tanpa mengikat kemanusiaan yang kreatif itu ke dunia yang fana – demikianlah boleh kita simpulkan estetika penulis idealis Jerman, Friedrich Schiller, yang sajaknya “Ode to Joy” digunakan oleh Beethoven untuk karyanya yang masyhur, Simfoni Kesembilan. Saya fikir tidak ada rumusan tentang teori seni yang lebih lengkap daripada ini. Saya ingin menjadikan ini titik tolak perbincangan saya tentang kritikan sastera di Malaysia kini.
Malaysia bangun ke dalam dunia moden pada 31 Ogos 1957 setelah tidur selama kira-kira lima ratus tahun. Dunia moden ini, seperti yang diketahui, telah diwarnai oleh nilai-nilai kebangkitan Eropah (Renaissance) dan Zaman Kesedaran (Age of Enlightenment) dan dengan nilai-nilai Revolusi Amerika dan Revolusi Perancis: individualisme, kebebasan, demokrasi, sains, dan perindustrian. Malaysia yang bertembung dengan dunia moden Eropah ini bukan Malaysia tanpa sejarah; ia mempunyai nilai-nilainya sendiri: separuh feudalisme, Islamisme tradisional, dan kebudayaan pribumi. Daripada pertembungan inilah lahir tamadun Malaysia baru dan kesusasteraan Malaysia baru.
Sepertimana kita tidak boleh mengkaji Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah bebas dari konteks sejarahnya, demikian juga mustahil bagi kita memahami kesusasteraan Malaysia baru yang bebas dari pergolakan sosial yang melahirkan kesusasteraan itu dan yang sekaligus mencetuskan pergolakan tersebut.
Untuk memahami kemelut kritikan sastera dan kesusasteraan Malaysia sekarang, kita perlulah mengkaji kemelut umum kebudayaan moden dalam masa kira-kira tujuh puluh tahun yang lalu.
Memang telah wujud zaman-zaman dalam sejarah bila manusia hidup dalam keadaan-keadaan keganasan yang serupa, tetapi zaman kita ini sangat berbeza. Zaman pasca Perang Dunia II ialah zaman pertama dalam sejarah bila kengerian-kengerian ini boleh dielak sama-sekali. Zaman kita inilah pertama kali kita mempunyai teknologi dan sumber-sumber untuk mengadakan makanan, tempat tinggal, pendidikan, dan pekerjaan bagi tiap-tiap orang di muka bumi ini, tak kira banyak mana pertumbuhan penduduk. Namun bila ditunjukkan idea dan teknologi yang boleh menyelesaikan masalah yang paling dahsyat, kebanyakan orang berundur menjadi beku. Kita bukan saja telah menjadi hodoh, tetapi juga tidak berdaya.
Bukan saja satu pesimisme budaya yang menyeluruh telah mencengkam dunia, tetapi juga satu semangat memberontak terhadap nilai-nilai luhur tradiosional telah tersebar ke segenap pelosoknya.
Prinsip-prinsip yang telah membangunkan tamadun Barat Yahudi-Kristian tidak lagi duduk pada tempat utama dalam masyarakat kita; mereka wujud semata-mata sebagai sejenis gerakan penentang bawah tanah. Jika gerakan ini akhirnya ditenggelamkan, pada waktu itu tamadun tidak akan wujud lagi – dan, dalam zaman kita yang penuh dengan wabak-wabak penyakit dan senjata nuclear, kelumpuhan tamadun Barat mungkin sekali membawa seluruh dunia ke dalam neraka.
Pada hari ini, malah semasa keadaan yang menyebabkan Beethoven meletakkan sajak Schiller “Ode to Joy”, dalam gerakan koir Simfoni Kesembilan telah muncul sebahagian lagu internasional baru kebebasan politik di negara-negara komunis dulu, di Barat, nilai-nilai Revolusi Amerika, barangkali dinyatakan lebih baik oleh Schiller daripada penyair-penyair lain, telah dilemahkan secara dramatik. Nilai-nilai Yahudi-Kristian yang menjadi asas bangsa kita sebahagian besarnya telah diganti dengan suatu “budaya hodoh”, atau dengan kata-kata Pope Paul II dalam risalahnya Centismus Annus baru-baru ini sebagai “budaya maut”.
No comments:
Post a Comment