Sunday, March 02, 2008

Hadis: Satu Penilain Semula #6


BAB II: PENOLAKAN TEORI AHLUL-HADIS


EROPAH MODEN telah berjaya meneroka pelbagai bidang ilmu moden serta menjadi pemimpin dunia dalam bidang ini, khasnya sains dan teknologi, kerana ia berpegang teguh kepada cogankata Zaman Keserlahan yang diberikan ahli falsafah Kant: “Beranilah Mengetahui”. Dunia Islam, di awal zaman kebangkitan semula Islam ini, tidak dapat tidak mestilah mencontohi Eropah, jika ia benar-benar ingin mencapai kebangkitan semula Islam ini. Oleh kerana dalam Islam ilmu bersandar kepada wahyu, maka cogankata kebangkitan semula Islam mestilah berbunyi: “Beranilah mengetahui di bawah bimbingan al-Quran”.

Kajian kita mengenai Hadis/Sunnah perlulah berdasarkan Quran, sanggup meletakkan segala sesuatu yang telah diperkatakan mengenai Hadis di bawah teropong kritikan Quran dan ilmu, dan menerima hanya apa yang lulus dari ujian ini.

Perkataan ‘hadis’ bermakna ‘berita’ atau ‘perutusan’, manakala ‘sunnah’ bermakna ‘undang-undang’ atau ‘kelakuan’. Dalam kesusasteraan Hadis, ‘hadis’ mempunyai makna satu laopran tentang apa yang kononnya telah dikatakan atau dibuat oleh Nabi Muhammad. Oleh yang demikian, walaupun sunnah pada asalnya merujuk kepada amalan Nabi, dalam kesusasteraan Hadis ia mempunyai makna yang sama.


Empat Hujah Kaum Ahlul-Hadis

Ahlul-Hadis atau pelopor-pelopor Hadis/Sunnah, yang tidak muncul dengan terangnya kecuali dalam abad kedua Islam setelah lebih seratus tahun Nabi wafat, semuanya mendakwa bahawa Hadis/Sunnah mendapat kuasa dan peranannya dari Quran. Ini memang semestinya, kerana jika Hadis tidak mempunyai kuasa dalam Quran, ia tertolak dengan sendirinya.

Mereka mengemukakan empat alasan pokok dari Quran, atau, sebenarnya, apa yang mereka faham dari Quran, mengapa Hadis mesti diterima sebagai satu lagi sumber hukum selain daripada Quran. Pertama, Hadis juga merupakan wahyu. Kedua, perintah Tuhan supaya orang-orang mukmin taat kepada rasul bermakna mereka perlu mengikut perintahnya (selain daripada Quran) dan berpegang kepada Hadis/Sunnah. Ketiga, Nabi penjelas dan pentafsir Quran, dan Hadisnya perlu untuk memahami dan melaksanakan arahan-arahan Quran. Keempat, Nabi contoh yang baik bagi orang-orang mukmin, dan contohnya (yakni, Sunnah) perlu diikut oleh orang-orang mukmin.1

Kita akan membincang dan membahas keempat-empat alasan pokok ini satu-persatu.


Hujah ‘Sunnah Adalah Wahyu’

Dakwaan mereka bahawa Hadis/Sunnah juga wahyu berdasarkan ayat-ayat Quran berikut:

Tuhan kami, bangkitkanlah di antara mereka seorang rasul yang akan membaca wahyu-wahyuMu bagi mereka, dan mengajar mereka kitab dan hikmah, dan membersihkan mereka. (2:129)


Beliau tidak bercakap mengikut keinginannya sendiri. Ini wahyu Ilahi. (53:3-4)


Imam Shafi’i (m.204/820), pengasas teori perundangan Islam klasik, mentafsirkan perkataan ‘hikmah’ dalam ayat pertama di atas dan dalam ayat-ayat yang seumpamanya dengannya sebagai Sunnah atau Hadis. Dalam bukunya, al-Risala, beliau berkata: “Jadi, Tuhan menyebut kitabNya, yakni al-Quran, dan hikmah, dan saya telah mendengar daripada mereka yang mahir dalam Quran – mereka yang saya persetujui – menyatakan bahawa hikmah itu ialah sunnah Rasulullah. Ini samalah seperti perkataan [Tuhan sendiri]; tetapi Tuhan lebih mengetahui! Kerana Quran disebut, diikut dengan Hikmah, kemudian Tuhan menyatakan nikmatNya kepada manusia dengan mengajarkan Quran dengan hikmah. Jadi, tidak mungkin hikmah dikatakan apa-apa selain daripada sunnah Rasulullah…” (tekanan ditambah.)2

Walaupun kita mengakui ketokohan Shafi’i sebagai seorang ahli hukum, kita tidak dapat menerima begitu saja tafsiran beliau mengenai perkataan ‘hikmah’. Tidak dapat tidak, kita harus mengajukan soalan: Adakah munasabah beliau menafsirkan perkataan ‘hikmah’ di sini sebagai Sunnah? Pada pendapat saya, tafsiran ini tidak munasabah. Perhatikan bagaimana beliau, dalam petikan tersebut, bermula dengan mengutip pendapat ahli-ahli yang beliau persetujui dan kemudian melompat kepada kepastian beliau bahawa “hikmah tidak lain adalah sunnah”! Kita tahu bahawa tiap-tiap pendapat boleh dipertikai, tetapi kepastian tidak boleh. Dalam petikan di atas kita melihat Imam Shafi’i melompat daripada pendapat kepada kepastian tanpa memberi hujah-hujah yang kukuh untuk membolehkan kita menerima pendapat tersebut sebagai kepastian. Ini satu contoh penghujahan yang longgar yang tidak boleh diterima dalam kaedah saintifik.

Bila kita mengkaji penggunaan perkataan ‘hikmah’ dalam Quran, jelaslah maksudnya adalah Quran atau ajaran-ajaran Quran juga. Malah Maulana Muhammad Ali dalam tafsirnya menyebut al-Hikmah sebagai salah satu nama Quran. Beliau merujuk kepada ayat 39 Surah 17 sebagai contoh dan bukti: “Inilah sebahagian daripada hikmah yang telah diwahyukan kepadamu oleh Tuhanmu. Amat penting, janganlah engkau mempersekutukan Tuhan. Jika engkau berbuat demikian, engkau akan dicampakkan ke dalam neraka. Dikecam dan dihina.”3

Meneliti ayat-ayat 23-29 surah tersebut, yang disifatkan sebagai hikmah, kita dapati mereka merujuk kepada beberapa ajaran pokok Quran, seperti jangan menyembah selain daripada Tuhan, berbuat baik dan menghormati kedua ibu-bapa, menolong kaum keluarga dan mereka yang susah tanpa membazir, jangan membunuh tanpa keadilan, jangan makan harta anak-anak yatim, tunaikan janji, jangan menipu dalam perniagaan, jangan menerima pendapat-pendapat yang kita sendiri tidak pasti, dan jangan sombong. Dapat dilihat bahawa ini sebahagian daripada ajaran-ajaran etika Quran.

Bukti-bukti lain bahawa perkataan ‘hikmah’ atau ‘hakim’ dengan makna ‘bijaksana’ merujuk kepada Quran dapat dilihat daripada ayat-ayat berikut:

Inilah wahyu-wahyu dan perutusan hakim yang kami bacakan kepadamu. (3:58)

Y.S.; dan Quran ini penuh dengan hikmah. (36:1-2)

H.M. Dan kitab yang nyata ini. Kami telah menjadikannya bacaan dalam bahasa Arab supaya kamu boleh faham. Ia tercatat dalam simpanan kami dalam atau catatan induk, mulia dan penuh hikmah.” (43:1-4)

Hikmah agung (yang telah datang kepada mereka), tetapi amaran-amaran nampaknya tidak berkesan. (54:5)

Juga semua perkataan ‘hakim’ dalam Quran dengan maksud ‘bijaksana’ tanpa kecuali merujuk kepada Tuhan. Umpamanya:

Tuhan kami, bangkitkanlah di kalangan mereka seorang rasul yang akan membacakan kepada mereka wahyu-wahyuMu, dan mengajar mereka kitab dan hikmah, dan membersihkan mereka. Engkaulah maha berkuasa, maha bijaksana (hakim). (2:129)

Segala sesuatu di langit dan di bumi bertasbih kepada Tuhan; Dia maha berkuasa, maha bijaksana (hakim). (61:1)

Dari keterangan-keterangan Quran yang banyak di atas, kita boleh membuat kesimpulan yang pasti bahawa perkataan ‘hikmah’ dalam ayat-ayat yang dirujuk oleh Imam Shafi’i dan dalam ayat-ayat lain yang seumpamanya dengannya bermakna Quran atau ajaran-ajaran Quran. Tafsiran Shafi’i bahawa ia bermakna ‘sunnah’ atau ‘hadis’ merupakan satu tafsiran yang subjektif dan sewenang-wenang, dan tidak dapat kita terima.

Sambongan: Perkataan-Perkataan ‘Sunnah’ dan ‘Hadis dalam Quran

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum.
Dr. Kassim Ahmad Yth,
Tulisan dalam bab 5 dan bab 6 kelihatan identikal. Kesilapan teknikal agaknya. Harap Dr. dapat periksa.
Terima kasih.
Wassalam.

Anonymous said...

Maksud saya dalam #5 dan #6. #5 yang betarikh 29 Februari 2008 dan #6 yang bertarikh 2 Mac 2008 adalah identikal. Harap maaf.