Sunday, March 16, 2008

Hadis: Satu Penilian Semula #8


Peranan Nabi Sebagai Pemimpin (‘Ulil-Amr’)


Ayat 7, Surah 59 dan ayat 65, Surah 4 yang telah kita petik di atas memperlihatkan Nabi dalam peranannya sebagai pemimpin atau ketua, dan juga sebagai hakim. Konsep pemimpin terkandung dalam ungkapan ulil-amr (‘mereka yang berkuasa’) dalam ayat pertama tadi (4:59). Dalam ayat ini Muhammad memegang dua peranan: rasul kepada manusia (yang menyeru dengan Quran), dan pemimpin kepada masyarakatnya. Sebagai pemimpin kepada masyarakatnya dengan kuasa ulil-amr, beliau perlu ditaati oleh masyarakat itu: sama ada sebagai kepala negara, ketua kerajaan, hakim atau penglima perang. Sebagai pemimpin, ketaatan kepada beliau bersyarat: yakni tertakluk kepada syarat perintah-perintahnya tidak bercanggah dengan Quran, dan juga syarat perintah-perintahnya terbatas kepada masyarakatnya saja.

Oleh yang demikian, bila kononnya ada hadis yang menyatakan hukum zina ialah rejam hingga mati, hadis ini tidak terpakai, kerana ia melanggar ketentuan Quran.13 Demikian juga dengan contoh zakat. Kaedah-kaedah zakat yang ditentukan oleh Nabi (barang-barang yang dikenakan zakat dan kadarnya) telah ditentukan mengikut keadaan pada waktu itu, dan tidak semestinya diikuti oleh masyarakat-masyarakat Islam kemudian, walaupun boleh dijadikan contoh. Inilah contoh kebijaksanaan Ilahi yang tidak menentukan banyak perkara, khasnya kaedah-kaedah yang berhubung dengan sosio-budaya, dalam kitabNya – untuk memberi kebebasan kepada manusia menentukan kaedah-kaedah itu mengikut keperluan dan keadaan masing-masing.14

Wahai Nabi, jika orang-orang mukmin wanita datang kepadamu dan berikrar mereka tidak akan mempersekutukan Tuhan, tidak akan mencuri, tidak akan melakukan zina, tidak akan membunuh anak-anak mereka, tidak akan menyatakan dusta, dan tidak akan membantah kau bila engkau benar, engkau kenalah menerima ikrar mereka, serta memohon Tuhan mengampuni mereka. (60:12)

Apa-apa kebaikan yang berlaku kepadamu (Wahai Muhammad) adalah daripada Tuhan. Apa-apa keburukan yang berlaku kepadamu adalah daripadamu. Kami telah menghantar engkau sebagai utusan kepada rakyat, dan Tuhan cukup sebagai saksi. Barangsiapa taat kepada rasul taat kepada Tuhan. Mengenai mereka yang berpaling, kami tidak menghantar engkau sebagai penjaga mereka. (4:79-80)

Setelah beliau wafat, pimpinan beliau serta ketaatan kepada pimpinan beliau sebagai pemimpin masyarakat Islam pertama terhenti dengan sendirinya. Tetapi, sebagai rasul pembawa wahyu, tegasnya Quran, pimpinan beliau dan ketaatan kepada beliau terus berlaku hingga hari kiamat. Kekeliruan di antara dua peranan beliau yang berbeza inilah yang menjadi punca kekacauan di antara Quran dan Hadis/Sunnah.

Di bawah konsep umum ketaatan kepada Nabi ini juga kaum ahlul-Hadis membina konsep Nabi sebagai penggubal undang-undang, mengadakan undang-undang baru selain daripada yang terdapat dalam Quran. Dr. Mahmud Saedon memetik pendapat Abdul Wahab Khallaf bahawa “Al-Sunnah…membina dan menthabitkan beberapa hukum yang tidak disebut oleh al-Quran.”15 Dr. Saedon memetik ayat Quran berikut sebagai sandarannya:

Juga bagi mereka yang mengikuti rasul, nabi ummi, yang mereka dapati tercatat dalam kitab-kitab Taurat dan Injil mereka. Beliau menyuruh mereka berbuat baik dan menjauhi kejahatan, dan beliau menghalalkan bagi mereka benda-benda yang baik dan mengharamkan benda-benda yang buruk, dan membebaskan mereka dari bebanan-bebanan perjanjian mereka dan membuang belenggu-belenggu yang mengikat mereka. (7:157)

Tetapi nyatalah ayat ini tidak membawa makna Nabi mengadakan undang-undang dan peraturan-peraturan baru, seperti yang didakwa oleh kaum ahlul-Hadis. Maknanya syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad, yang terkandung dalam Quran, lebih ringan daripada syariat-syariat Nabi Muda dan Nabi Isa. Muhammad Asad, dalam tafsir beliau, mengulas ayat tersebut demikian: “(Ini) merujuk kepada banyak upacara dan kewajipan yang keras yang diperundang-undangkan dalam syariat Musa, dan juga kecenderungan untuk pertapaan yang ternyata dalam ajaran-ajaran Injil. Oleh yang demikian, Quran menyatakan bahawa ‘bebanan-bebanan dan belenggu-belenggu’ yang ditujukan sebagai satu kaedah disiplin rohaniah bagi masyarakat-masyarakat tertentu dan bagi tahap-tahap tertentu dalam perkembangan manusia, tidak perlu lagi, bagi perutusan Tuhan kepada manusia telah mencapai peringkat universal dan akhir dalam ajaran-ajaran nabi terakhir, Muhammad.”16

Bukan saja ayat-ayat di atas tidak membuktikan Nabi Muhammad sebagai pembuat undang-undang di luar Quran, Quran sendiri dengan tegas menolak kemungkinan ini. Contohnya:

Apakah akan kucari selain Tuhan sebagai sumber undang, sedang Dia telah menurunkan kitab ini kepadamu dengan terperincinya? (6:114)

Perkataan Tuhanmu lengkap dengan benar dan adilnya. Tidak apa pun yang boleh memansuhkan kalimahNya. (6:115)

Kami tidak meninggalkan suatu pun daripada kitab ini. (6:38)

Patutkah kami perlakukan orang-orang mukmin seperti orang-orang berdosa? Betapakah hal kamu? Adakah kamu sebuah buku lain yang kamu pakai? Yang memberi kepada kamu apa-apa yang kamu kehendaki? (68:35:38)

Empat ayat di atas lebih dari cukup untuk menolak dakwaan ahlul-Hadis bahawa Nabi pembuat undang-undang di luar Quran, dan untuk mensahkan bahawa hanya Quran sumber undang-undang bagi umat Muhammad. Ini tidak bermakna Nabi sebagai ulil-amr tidak pernah dan tidak boleh membuat keputusan-keputusan hukum bagi masyarakatnya, seperti kadar zakat yang tidak disebut dalam Quran tetapi yang telah diputuskan oleh beliau untuk masyarakat dan zaman itu.

Ini juga tidak bermakna manusia, melalui ulul-amr mereka masing-masing, tidak boleh membuat peraturan-peraturan yang diperlukan dari semasa ke semasa mengikut keadaan. Ini pun memang telah dibuat. Nabi Muhammad sendiri telah menggubal sebuah perlembagaan untuk negara-kota Madinah bila beliau dan pengikut-pengikutnya terpaksa berhijrah ke sana. Namun demikian, Piagam Madinah, yang memang merupakan sebuah hadi/sunnah, tidak mengikat umat Islam, sepertimana Quran mengikat kita. Perbezaan di antara undang-undang Quran dengan peraturan-peraturan manusia (termasuk yang dibuat oleh Muhammad sebagai ketua kerajaan) ialah yang pertama bersifat mutlak dan universal, sedangkan yang kedua bersifat relatif dan setempat.

Sambongan: Hujah ‘Nabi Penghurai dan Pentafsir Quran’

1 comment:

the indie story said...

KU LI PALU GENDANG PERANG!

Gedang perang telah dipukul bertalu-talu. Gegak gempita Tanah Malaya. Muncung-muncung meriam sedang dihalakan ke Mahligai Putra Jaya. Serunai ditiup sayup-sayup bunyinya. Bala tentera telah berada diperbatasan terakhir…

Inilah saki-baki bala tentera yang masih setia kepada Anak Raja berjiwa rakyat. Percubaan terakhir untuk menakluk hieraki kepimpinan UMNO. Setelah dimalu dan diaibkan semenjak sekian lama; Tengku Razaleigh Hamzah bangkit menuntut kembali takhta singahsana UMNO yang dirampas darinya semenjak diakhir tahun 70an lagi.

Bapa Ekonomi Orang Melayu masuk kembali kegelanggang sebagai seorang Panglima Melayu berpantang undur sebelum ajal. Semenjak kembali semula kepada UMNO pada tahun 1996, Ku Li dilayan saling tak tumpah sebagai Ashkar Gurkha. Segala jasa dan budi beliau kepada ekonomi orang melayu dan pembangunan Malaysia tidak pernah langsung disebut oleh media massa. Legasi beliau terhakis sedikit demi sedikit setelah mengalami ‘kekalahan bermaruah’ hanya 43 undi di Perhimpuan Agung UMNO pada tahun 1987 kepada rakan sekapal Dr. Mahathir Mohammad.

PETRONAS yang menjadi salah satu syarikat petroleum gergasi didunia pada hari ini siapa yang menubuhkannya? Bank Bumi Putra Malaysia Berhad yang banyak menyokong usahawan-usahawan melayu yang baru mula hendak belajar berniaga, siapa yang menubuhkannya? Bangunan UMNO dan PWTC hasil usaha siapa? Anda tidak tahu bukan. Maka rajin-rajinlah mengkaji sejarah. Malah banyak lagi jasa Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang tidak cukup untuk disebutkan disini.

( Sila baca artikel selebihnya di:
http://theindiestory.blogspot.com/ )