Bab V: Kesimpulan: Kembali Kepada Ajaran Nabi Muhammad Yang Asal - Quran
Satu Kelemahan Manusia Yang Berlarutan
Sejarah satu guru yang baik kepada manusia, dan sejarah tidak memungkiri manusia. Oleh sebab itu, kita perlu berguru kepada sejarah. Tuhan menghantar Nabi Isa kepada kaum Israel untuk membawa kepada mereka kitab Injil dan mengajar mereka menyembah Tuhan yang satu, tetapi setelah kitakira 300 tahun Nabi Isa wafat, sarjana-sarjana agama mereka membuat satu fahaman baru yang tidak diajar oleh Nabi Isa, bahawa Isa anak tuhan dengan seorang Bapa dan Emak Tuhan! Sebelum ini Tuhan mengirim Nabi Musa kepada kaum
Demikian juga yang telah berlaku kepada umat Islam. Tuhan mengirim Nabi Muhammad, nabi terakhir, kepada manusia dengan kitabNya yang sempurna, lengkap dan terperinci, Quran, untuk membetulkan buat selama-lamanya penyelewengan-penyelewengan yang telah dilakukan oleh umat Yahudi dan umat Kristian. Tetapi setelah kira-kira 250 tahun Nabi Muhammad wafat, sarjana-sarjana agama kita mewujudkan buku-buku Hadis untuk menggantikan Quran! Sejarah telah berulang lagi!
Mengapakah perkara ini berlaku? Nampaknya, inilah kelemahan manusia yang berlarutan – ingin mempersekutukan Tuhan dengan tuhan-tuhan lain. Quran mengajar kita: Sembah itu bagi Tuhan semata-mata. Mereka yang mengadakan patung-patung disampingNya berkata, ‘Kami menyembah mereka untuk mendekatkan kami kepada Tuhan’.”8 Tetapi ini alasan mereka semata-mata. Sebenarnya, mereka mengadakan patung-patung di samping Tuhan, kerana mereka ingin menghambat kebendaan dan tidak percaya kepada hari kiamat di mana mereka akan diadili mengikut perbuatan mereka di dunia. Melalui patung-patung ini, mereka menghalalkan kehendak hawa nafsu mereka tanpa menghiraukan hukum-hukum Tuhan. Inilah yang diterangkan oleh Tuhan dalam ayat-ayat yang berbunyi: “Selanjutnya, kami telah melantik bagi tiap-tiap nabi musuh-musuh dari kalangan syaitan-syaitan manusia dan syaitan-syaitan jin, yang menciprakan dan menceritakan kepada satu sama lain perkataan yang indah-indah untuk menipu. Jika Tuhanmu menghendaki, mereka tidak akan berbuat demikian. Kamu hendaklah meninggalkan mereka dan rekaan-rekaan mereka. (Ini adalah kehendak Tuhan) supaya hati mereka yang tidak sebenarnya beriman kepada hari kemudian mendengar dan menerimanya, dan supaya mereka melakukan apa yang harus mereka lakukan.”9
Penyelewengan dari wahyu-wahyu Tuhan telah berlaku berulang kali dalam sejarah dari zaman purba hingga ke zaman moden. Quran banyak menceritakan sejarah-sejarah kaum-kaum, bangsa-bangsa dan tamadun-tamadun purba yang telah dikirimi rasul-rasul oleh Tuhan untuk membawa wahyu-wahyuNya, seperti Aad, Midian dan thamud, dan kemudian kaum-kaum, bangsa-bangsa dan tamadun-tamadun ini dimusnahkan oleh kerana mereka menolak wahyu-wahyu Tuhan serta menyembah patung-patung di samping Tuhan.
Tujuan Quran Menghapuskan Penyelewengan Buat Selama-lamanya
Oleh kerana wahyu-wahyu Tuhan sebelum Nabi Muhammad, nabi terakhir yang dibangkitkan bila dunia melangkah pintu zaman moden, tidak dapat dipelihara kemurniannya oleh sebab-sebab intelektual yang tertentu, maka Tuhan mengirim Nabi Muhammad kepada seluruh manusia dengan kitabNya yang terakhir, Quran, yang lengkap, sempurna dan terperinci, dan yang sepenuhnya terpelihara daripada korupsi manusia.10 Kitab ini, iaitu Quran, membebaskan manusia dari segala macak ikatan dan bebanan dan dari segala macam khurafat dan bid’ah jahat zaman-zaman lampau serta membimbing manusia ke jalan selamat.11
Bila, di peringkat awal, iaitu dalam masa kira-kira 300 tahun yang pertama, masyarakat Islam berpandukan Quran, mereka meningkat naik dan maju dengan begitu cepat hingga menakjubkan dunia, mengatasi kuasa-kuasa terbesar pada zaman itu, iaitu Byzantium dan Parsi. Mereka menciptakan sebuah tamadun material dan intelektual yang teragung pada zaman itu, dan nama-nama khalifah-khalifah, seperti Abu Bakar, Umar Ibn Khattab dan lain-lain, panglima perang seperti Khalid Ibn Walid, ahli-ahli sains seperti Al-Biruni, Al-Khawarizmi, Al-Razi dan lain-lain, ahli-ahli falsafah seperti Al-Kindi, Al-Farabi dan Ibn Sina, dan ahli-ahli sejarah seperti Al-Tabari, Al-Baladhuri dan Al-Mas’udi adalah nama-nama yang mengharumkan tamadun pertama Islam dan yang termaktub dalam sejarah kebudayaan dunia. Hakikat pencapaian umat Islam awal yang tinggi inilah yang menyebabkan sejarawan sains Barat, G. Sarton berkata: “Tugas besar manusia telah dilakukan oleh orang-orang Muslim. Ahli falsafah terbesar, ll-Farabi, seorang Muslim, ahli-ahli matematik terbesar, Abu Kamil dan Ibrahim ibn Sinan, orang-orang Muslim, ahli geografi dan penulis ensiklopedia terbesar, al-Mas’udi, seorang Muslim; sejarawan terbesar, al-Tabri, juga seorang Muslim.”12
Sambongan: Penyelewengan Umat Islam