Wednesday, August 20, 2008

Hadis: Satu Penilaian Semula #23
Bab V: Kesimpulan: Kembali Kepada Ajaran Nabi Yang Asal - Quran


Kenalah kamu taat kepada Tuhan, dan kenalah kamu taat kepada rasul, dan berhati-hati. Jika kamu berpaling, ketahuilah bahawa satu-satunya tugas rasul kami ialah menyampaikan perutusan. Quran, Al-Maa’idah (5):92

Oleh yang demikian, kenalah kamu beriman kepada Tuhan dan rasulNya, nabi ummi, yang beriman kepada Tuhan dan kalimahNya, dan ikutlah beliau supaya kamu beroleh tetunjuk.

Quran, Al-A’raf (7):158

Dilema Umat Islam

Seperti yang telah kita lihat dari keterangan-keterangan sejarah yang kukuh, bila Nabi Muhammad wafat, beliau meninggalkan Quran sebagai warisan kepada umat Islam dan kepada umat manusia, dan tidak lain daripada Quran. Hakikat ini pun telah diisytiharkan dalam Quran bila Tuhan menyatakan berkali-kali bahawa tugas rasulNya hanyalah menyampaikan perutusan.1

Namun demikian, bab-bab lalu telah menunjukkan bagaimana masyarakat Islam, melalui sarjana-sarjana agama kita, khasnya Imam Shafi’i, antara 200-250 selepas Nabi wafat, membina satu fahaman baru bahawa apa yang diwariskan oleh Nabi kepada mereka ialah Quran dan Hadis/Sunnah, dan mereka mestilah berpegang kepada kedua-duanya. Inilah dilema yang terbesar yang dihadapi oelh umat Islam hari ini. Beranikah kita mengakui kesilapan kita selama seribu tahun, dan balik ke pangkal jalan? Atau kita tetap akan berdegil untuk mempertahankan tradisi yang telah kita warisi turun-temurun dan membiarkan diri kita terus hanyut dalam keadaan mundur, hina dan pecah-belah yang telah menimpa kita selama ini?

Sambil kita merenungi nasib umat Islam, eloklah kita mengingari peringatan Tuhan kepada kita: “Kemudian, bila mereka diberitahu, ‘Ikutlah perintah-perintah Tuhan saja,’ mereka berkara, ‘Kami mengikuti apa yang kami dapati dilakukan oleh ibu-bapa kami.’ Bagaimana kalau ibu-bapa mereka tidak faham dan tidak mendapat bimbingan? Ibarat orang-orang kafir seperti itu ialah burung kakaktua; mereka mengulang apa yang mereka dengar tanpa mengerti. Tuli, bisu dan buta, mereka tidak dapat mengerti.”2 Jawapan kepada dilema ini ada pada tangan kita, khasnya golongan-golongan pemimpin dan cerdik pandai kita.

Kedudukan Sebenar Hadis/Sunnah

Seperti telah kita terangkan, penolakan kita terhadap Hadis/Sunnah sebagai sumber teologi dan perundangan sama sekali tidak bermakna penolakan terhadap Nabi Muhammad. Malah penolakan ini persis ialah untuk membersihkan nabi kita daripada ajaran palsu yang telah dikaitkan kepada beliau, berlawanan dengan ajaran beliau, sepertimana ajaran palsu bahawa Nabi Isa anak Tuhan telah dikaitkan oleh paderi-paderi Kristian kepada Nabi Isa. Biarlah kita merumuskan alasan-alasan penolakan kita terhadap Hadis/Sunnah sebagai sumber teologi dan perundangan seperti berikut:

Quran sebuah kitab yang lengkap, sempurna dan terperinci, dan tidak memerlukan kitab-kitab lain untuk menyempurnakan dan melengkapkannya.3

Tugas Nabi Muhammad semata-mata menyampaikan Quran, dan tidak lebih dari itu.4

Hadis merupakan pandangan dan pendapat manusia yang tidak terjamin kebenarannya. Ia tidak lebih daripada tekaan dan agakan;5 dan

Ibadah-ibadah sembahyang, puasa, zakat dan haji bukan disampaikan melalui Hadis, tetapi adalah amalan turun-temurun yang berpunca daripada ajaran Tuhan kepada Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya.6

Seperti telah diterangkan juga, sunnah dan hadis tetap wujud, tetapi martabat mereka tidak sama dengan Quran. Perintah-perintah dan keputusan-keputusan Nabi di luar Quran, sebagai pemimpin masyarakat Islam, seperti yang termaktub dalam Piagam Madinah yang terkenal dan dalam perjanjian-perjanjian dan surat-surat beliau merupakan sunnah beliau dan hadis yang sahih. Tetapi sunnah ini tidak mengikat mereka. Sunnah ini hanya merupakan satu contoh yang boleh diikut, jika sesuai dengan keadaan, dan boleh dikesampingkan, jika tidak sesuai dengan keadaan.

Walaupun kita tidak memerlukan Hadis sebagai bimbingan (kerana Quran sudah mencukupi), kita tidak perlu membakar buku-buku hadis. Buku-buku hadis merupakan satu catatan kesusasteraan dan sejarah yang perlu kepada pengkaji-pengkaji sejarah dan masyarakat bila mereka mengkaji sejarah dan masyarakat Islam pada waktu itu. Malah, pada pendapat saya, seorang ahli sejarah dan ahli kajimasyarakat tidak akan dapat memahami sejarah dan masyarakat Islam sekarang tanpa mengkaji hadis.

Setengah orang akan bertanya: Tidak bolehkah hadis digunakan sebagai panduan dalam kehidupan kita? Kepada soalan ini kita boleh menjawab dengan tegasnya bahawa segala panduan yang kita perlukan dapat kita peroleh tanpa gagal daripada Quran. Namun demikian, kita boleh membaca dan mengkaji buku-buku hadis, sepertimana kita boleh membaca dan mengkaji buku-buku manusia lain, dengan syarat kita sedar bahawa kita tidak boleh menerima saranan-saranan dan idea-idea yang bercanggah dengan ajaran-ajaran Quran, dengan keterangan-keterangan sejarah yang sahih dan dengan hukum akal. Memang ada banyak saranan dan idea yang bercanggah dengan ajaran-ajaran Quran, dengan keterangan-keterangan sejarah yang sahih dan dengan hukum akal. Memang ada banyak saranan dan idea yang baik dalam Hadis, kerana seperti telah kita lihat dalam Bab III, dua daripada sebab-sebab pemalsuan hadis ialah untuk menggalakkan kebaikan dan mencegak kejahatan, dan untuk menyalurkan ajaran-ajaran yang baik dari sumber-sumber bukan Islam.7 Saranan dan idea yang baik daripada Hadis, sepertimana saranan dan idea yang baik daripada mana-mana sumber pun, memang boleh dan perlu diterima. Ini perkara nyata yang logikal dan yang tidak perlu dihuraikan.


Sambongan: Satu Kelemahan Manusia Yang Berlarutan

29 comments:

LazerJuan said...

Sdr Kassim,

Any possibility of adding the `footnotes' to your writings. Macam number 1-7 in this article, tak puas baca something as academia as this without `footnotes or notes'.

Tried cross referencing with the http://www.quran.org/library/articles/ahmad0.htm
but don't see any. Maybe I'm just more comfortable reading an actual book rather than a virtual one.

Anonymous said...

Salam persaudaraan...
Tentang Quran, saya tak pertikaikan pendapat tuan, sepertimana juga Quran, Sebenarnya hadis/sunah perlu dinilai melalui neraca dan timbangan yg halus/khusus.

Kalau dah emas, habuknyapun dipungut orang. Begitulah hadis/sunah nabi yg dikutip manusia sekelilingnya, mungkin orang yg tak tau harganya hanya mampu mencemuh menuduh mereka gila,(pengumpul hadis)karut atau taksub.

Nabi manusia yg terlalu bijaksana, Perkataannya sarat dengan hikmah maka tak hairanlah jika 'peluh'nya juga dikutip orang.

'Hadis memang perlu penilaian semula', agar harganya tak terlalu rendah sebagaimana yg dijual oleh ulamak2 hari ini.

Anonymous said...

Al-Quran sebagai neraca

Dua komen saya terhadap tulisan Dr. Kassim Ahmad sebelum ini [1] telah membawa kepada dua kesimpulan, iaitu;

i. Dalam konteks penentuan kewibawaan seseorang pelapor, teori(kritikan) isnad mematuhi hukum akal.
ii. Imam Bukhari telah menggunakan teori isnad dengan jayanya.

Huraian rasional Dr. Kassim berjaya menunjukkan bahawa teori keselarasan Hadis telah gagal [2,3,4]. Teori ini telah memberikan Hadis autoriti yang boleh mengatasi Quran!

Harus kita ingat bahawa teori keselarasan Hadis muncul disebabkan wujudnya percanggahan yang jelas dan nyata di antara ayat-ayat Quran dan sebahagian Hadis [2]. Percanggahan sebegini - bilamana ia berlaku - membuktikan bahawa sesuatu hadis itu tidak sahih, kerana tidak selaras dengan Quran, walau bagaimana kita membelanya sebagai sahih sekalipun. Ini bermakna, kerasionalan teori isnad dan kejayaan Imam Bukhari dalam menggunakannya tidak menjamin kesahihan sesuatu hadis. Dengan lain perkataan, teori isnad tidak pragmatik dalam menentukan kesahihan sesuatu hadis.

Berdasarkan penjelasan di atas, maka lahirlah kesimpulan yang ketiga;

iii. Walaupun kewibawaan seseorang pelapor dapat disahkan dalam kajian Bukhari, ini tidak boleh membuktikan kesahihan hadis yang ia laporkan.

Maka kesahihan Hadis tidak boleh ditimbang di atas neraca kewibawaan manusia. Sebaliknya, Hadis harus ditimbang di atas neraca Quran, kerana Quran itu kalam Tuhan, dan Tuhan itu Kebenaran adanya.


[1] http://kassimahmad.blogspot.com/2008/07/hadis-satu-penilaian-semula-18-bab-iv.html
[2] http://kassimahmad.blogspot.com/2008/07/hadis-satu-penilaian-semula-19-bab-iv.html
[3] http://kassimahmad.blogspot.com/2008/08/hadis-satu-penilaian-semula-20-bab-iv.html
[4] http://kassimahmad.blogspot.com/2008/08/hadis-satu-penilaian-semula-21-bab-iv.html

Anonymous said...

Salam perkenalan saudara KA,
Saya bukanlah seorang yang arif untuk membicarakan perihal Al-Quran dan hadis sebagaimana saudara.. Masih terlalu banyak perkara yang perlu saya pelajari. Kerdil rasanya diri kalau nak dibandingkan dengan ilmu yang saudara miliki.. Sudah tentu saya tidak layak untuk megadakan sebarang diskusi apatah lagi untuk ber’argumentasi di sini.. Sekadar pertanyaan pada barang yang kurang difahami, itu pun mungkin belum cukup layak. Namun, keberanian ini datang semata-mata atas keyakinan saya terhadap pembela Al-Quran.. Pembela Al-Quran tidak akan bertindak diluar sunnatullah.. kerana itu saya yakin, walaupun agak keanakan soalan saya ini..pasti akan mendapat tempat di sisi saudara.

Baiklah, sepanjang yang sempat sampai kepengetahuan saya.. (melalui beberapa penulisan saudara yang sebelum-sebelum ini), skop atau bidang kajian saudara dasarnya lebih mendekati makna Al-Quran sebenar tanpa menolak terus peranan hadis sebagai sumber pembacaan dan kajian.. bermakna, dalam perkara ini, hadis juga sama halnya dengan sirah atau apa-apa saja catatan, tanpa menyamai Al-Quran, tetap berfaedah sebagai rujukan dan kesempurnaan. Namun, tidaklah ianya dapat dipandang sebagai sumber kedua selepas Al-Quran sebagai rujukan, apatah lagi sumber perundangan.. Kesempurnaan yang dimiliki Al-Quran sudah meliputi keseluruhan permasalahan alam raya sejagat. Dalam hal ini saya sangat bersetuju. Malah, usaha kearah menyedarkan umat Islam kepada intipati Islam sebenar ini amatlah dipuji. Tidak mudah untuk melaksanakan tugas ini kalau tidak dengan keikhlasan yang sebenarnya. Tentangan yang diterima dari ‘darahdaging’ islam sendiri pasti menyakitkan. Sabarlah! Semoga saudara terus diberi kekuatan dariNya untuk terus ‘menyeru’dan ‘menyeru’. Kalaupun berjuta manusia di luar sana menganggap saudara memperlekehkan kedudukan Rasulullah, saya pula diantara angka kecil insan yang melihat ianya satu usaha memartabatkan kembali peribadi Baginda.. Kalaupun berjuta manusia menganggap saudara sesat, saya pula diantara angka kecil insan yang melihat kebenaran yang di bawa. Biarlah sedikit.. sekurang-kurangnya ‘TANDA’ sunnatullah itu ada pada saudara. Sejarah perjuangan nabi-nabi terdahulu juga begitu.. Dan sehingga bila-bila pun akan tetap begitu. Kebenaran sentiasa menjadi sesuatu yang menggemparkan!! Sesuatu yang tidak menyenangkan!!

Kembali kepada pertanyaan saya, setelah mengamati betapa Al-Quran satu-satunya sumber rujukan, terlintas betapa perlunya memahami maksud Al-Quran itu dengan sebaik-baiknya.. Bukan sekadar mengkoreksi hadis seperti yang selama ini cuba saudara terangkan, bahkan tafsiran ayat-ayat Al-Quran itu sendiri perlu terus dikaji dan diteliti.. Kalau selama ini, tafsir ayat banyak disandarkan pada hadis, mungkin selepas memahami keberadaan hadis itu sendiri, maka perlu ada kaedah lain dalam mentafsirkannya. Saya harap maksud saya ini tidak disalahanggap pula. Yang dikoreksi / dikaji semula itu adalah pendapat ulama, maka itu kita sebutkan sebagai tafsir. Maka hal ini saya kira tidak mutlak dan masih perlu dikembangkan sejajar dengan perkembangan tamadun manusia itu sendiri. Jadi, dalam membawa kaedah sebegini ( Jika benar )… bagaimana saudara melihat Al-Quran itu harus diterjemahkan?.. Haruskah masih bersifat implicit seperti sekarang ini atau perlu lebih variable lagi.. Kerana dasarnya, Al-Quran itu bahasa Tuhan.. Jadi pada saya kalau bahasa Tuhan, pasti sifatnya tidak seperti bahasa kita ( manusia ) yang terbatas vocab serta maksudnya.. sudah tentu maknanya lebih bersifat infiniti.. dan kalau ini juga benar, bermakna maksud ayatnya juga pasti berbeza mengikut sejauh mana kepantasan aqal seseorang itu menangkapnya.. Dan, jika begini keadaannya.. pasti wujud pelbagai bentuk pentafsiran walaupun dasarnya merujuk kepada satu ayat. Yang manakah lebih betul? Atau semuanya betul? Bagaimana pandangan saudara dalam hal ini? Sedangkan Al-Quran itu jelas… jelas yang bagaimana? Jelas bagi yang paling tinggi kefahamannya?.. atau apa saja yang difaham itu ( tanpa mengambilkira kadar faham tertentu ) itu sudah bermakna jelas… atau lebih mudah lagi, jelas itu merujuk kepada individu..bukan hak majoriti.. bagaimana saudara?

Saya kira, hanya itu sahaja pertanyaan saya untuk kali ini.. Diharap pertanyaan yang mungkin terlalu keanak-anakan ini dapat disambut oleh saudara dengan hati yang lapang.. Sekian.

Anonymous said...

Salam perkenalan saudara KA,
Saya bukanlah seorang yang arif untuk membicarakan perihal Al-Quran dan hadis sebagaimana saudara.. Masih terlalu banyak perkara yang perlu saya pelajari. Kerdil rasanya diri kalau nak dibandingkan dengan ilmu yang saudara miliki.. Sudah tentu saya tidak layak untuk megadakan sebarang diskusi apatah lagi untuk ber’argumentasi di sini.. Sekadar pertanyaan pada barang yang kurang difahami, itu pun mungkin belum cukup layak. Namun, keberanian ini datang semata-mata atas keyakinan saya terhadap pembela Al-Quran.. Pembela Al-Quran tidak akan bertindak diluar sunnatullah.. kerana itu saya yakin, walaupun agak keanakan soalan saya ini..pasti akan mendapat tempat di sisi saudara.

Baiklah, sepanjang yang sempat sampai kepengetahuan saya.. (melalui beberapa penulisan saudara yang sebelum-sebelum ini), skop atau bidang kajian saudara dasarnya lebih mendekati makna Al-Quran sebenar tanpa menolak terus peranan hadis sebagai sumber pembacaan dan kajian.. bermakna, dalam perkara ini, hadis juga sama halnya dengan sirah atau apa-apa saja catatan, tanpa menyamai Al-Quran, tetap berfaedah sebagai rujukan dan kesempurnaan. Namun, tidaklah ianya dapat dipandang sebagai sumber kedua selepas Al-Quran sebagai rujukan, apatah lagi sumber perundangan.. Kesempurnaan yang dimiliki Al-Quran sudah meliputi keseluruhan permasalahan alam raya sejagat. Dalam hal ini saya sangat bersetuju. Malah, usaha kearah menyedarkan umat Islam kepada intipati Islam sebenar ini amatlah dipuji. Tidak mudah untuk melaksanakan tugas ini kalau tidak dengan keikhlasan yang sebenarnya. Tentangan yang diterima dari ‘darahdaging’ islam sendiri pasti menyakitkan. Sabarlah! Semoga saudara terus diberi kekuatan dariNya untuk terus ‘menyeru’dan ‘menyeru’. Kalaupun berjuta manusia di luar sana menganggap saudara memperlekehkan kedudukan Rasulullah, saya pula diantara angka kecil insan yang melihat ianya satu usaha memartabatkan kembali peribadi Baginda.. Kalaupun berjuta manusia menganggap saudara sesat, saya pula diantara angka kecil insan yang melihat kebenaran yang di bawa. Biarlah sedikit.. sekurang-kurangnya ‘TANDA’ sunnatullah itu ada pada saudara. Sejarah perjuangan nabi-nabi terdahulu juga begitu.. Dan sehingga bila-bila pun akan tetap begitu. Kebenaran sentiasa menjadi sesuatu yang menggemparkan!! Sesuatu yang tidak menyenangkan!!

Kembali kepada pertanyaan saya, setelah mengamati betapa Al-Quran satu-satunya sumber rujukan, terlintas betapa perlunya memahami maksud Al-Quran itu dengan sebaik-baiknya.. Bukan sekadar mengkoreksi hadis seperti yang selama ini cuba saudara terangkan, bahkan tafsiran ayat-ayat Al-Quran itu sendiri perlu terus dikaji dan diteliti.. Kalau selama ini, tafsir ayat banyak disandarkan pada hadis, mungkin selepas memahami keberadaan hadis itu sendiri, maka perlu ada kaedah lain dalam mentafsirkannya. Saya harap maksud saya ini tidak disalahanggap pula. Yang dikoreksi / dikaji semula itu adalah pendapat ulama, maka itu kita sebutkan sebagai tafsir. Maka hal ini saya kira tidak mutlak dan masih perlu dikembangkan sejajar dengan perkembangan tamadun manusia itu sendiri. Jadi, dalam membawa kaedah sebegini ( Jika benar )… bagaimana saudara melihat Al-Quran itu harus diterjemahkan?.. Haruskah masih bersifat implicit seperti sekarang ini atau perlu lebih variable lagi.. Kerana dasarnya, Al-Quran itu bahasa Tuhan.. Jadi pada saya kalau bahasa Tuhan, pasti sifatnya tidak seperti bahasa kita ( manusia ) yang terbatas vocab serta maksudnya.. sudah tentu maknanya lebih bersifat infiniti.. dan kalau ini juga benar, bermakna maksud ayatnya juga pasti berbeza mengikut sejauh mana kepantasan aqal seseorang itu menangkapnya.. Dan, jika begini keadaannya.. pasti wujud pelbagai bentuk pentafsiran walaupun dasarnya merujuk kepada satu ayat. Yang manakah lebih betul? Atau semuanya betul? Bagaimana pandangan saudara dalam hal ini? Sedangkan Al-Quran itu jelas… jelas yang bagaimana? Jelas bagi yang paling tinggi kefahamannya?.. atau apa saja yang difaham itu ( tanpa mengambilkira kadar faham tertentu ) itu sudah bermakna jelas… atau lebih mudah lagi, jelas itu merujuk kepada individu..bukan hak majoriti.. bagaimana saudara?

Saya kira, hanya itu sahaja pertanyaan saya untuk kali ini.. Diharap pertanyaan yang mungkin terlalu keanak-anakan ini dapat disambut oleh saudara dengan hati yang lapang.. Sekian.

Anonymous said...

Salam,

Saya sertakan pautan untuk memuat-turun buku-buku Pak Kassim untuk bacaan lanjut pelayar blog ini.

Anda boleh memuat-turun buku "Hadith: A Re-evaluation" & "Hadis: Jawapan Kepada Pengkritik" dalam format pdf di laman ini:-

http://www.box.net/shared/lmh0tigow4

-Mr Belimbing

fairuzhafeez said...

Assalamualaikum,

1. Saya berharap agar saudara Kassim dapat memberikan pautan kepada contoh hadis sahih yang berlawanan dengan al-Quran tetapi digunapakai oleh kebanyakan ulama' untuk rujukan saya.

2. "Sunnah" adalah merujuk tentang apa sahaja dari Rasulullah termasuk cara tidur, makan, ibadat dan lain-lain. Saya berpendapat, peribadi baginda dapat dijadikan role model kepada kita umat Islam.

Saya harap saudara dapat memberikan maklumbalas.

Salam cinta !

Satu Kelainan Pemikiran
~ Menulis Demi Cinta ~
http://fairuzhafeez.com

Anonymous said...

Maafkan saya kerana tidak membaca artikel yang sebelum ini.

Adakah hadis-hadis dalam "Hadis: Satu Penilian Semula #22" itu kesemuanya hadis sahih ?

Salam cinta !

Kassim Ahmad said...

Kepada Sdr/i yang bertanya,

1. Dalam ketiga-tiga buku saya mengenai Hadis (HSPS, HJKP & "Delima Umat Islam -- Antara Hadis dan Quran"), terdapat jawapan tentang hadis-hadis yang benar-benar sahih, yakni selaras dengan ajaran Quran, dengan hadis-hadis yang palsu. Kagilah buku-buku ini dengan teliti.
2. Berhubung dengan kaedah tafsir, saya ada mencadangkan suatu kaedah tafsir yang saintifik dalam HJKP dan juga dalam versi Inggeris HSPS.
Sila baca bab yang bersangkutan dalam buku-buku ini. Seorang sarjana Islam di A.S. telah mengulas kaedah ini. (Sila lihat laman-laman web berhubung dengan karya-karya saya.) Saya akan menjawab ulasan beliau dengan meletakkan ulasan beliau dan jawapan saya dalam blog ini tidak lama lagi, insya Allah.
Wassalam.

Anonymous said...

Quran sebagai rujukan utama, dan sebagai ujian keimanan

Quran adalah sebuah kitab suci yang lengkap, sempurna, dan terperinci. Maka Quran harus dijadikan rujukan utama oleh seluruh umat manusia, samada dalam bidang teologi mahupun jurispruden, untuk sistem hidup mahupun pemerintahan.

Hadis pula harus diletakkan separas dengan sumber-sumber lain, dan hanya dijadikan rujukan selepas Quran, jika tidak bercanggah dengan Quran. Meletakkan Hadis sebagai sumber kedua, dan meletakkan sumber-sumber lain sebagai sumber ketiga dan seterusnya, adalah suatu kesalahan besar! Hadis tidak berhak mendapat kedudukan eksklusif berbanding sumber-sumber lain. Ia tidak terlepas daripada neraca Quran dan pertimbangan akal yang waras, sebagaimana sumber-sumber lain.

Di atas kesedaran ini, kaum Muktazilah dan pengikut-pengikut mereka di zaman moden mengajak seluruh umat Islam untuk menilai semula Hadis, bukan sekadar mengikutnya semata-mata kerana ia adalah Hadis. Menilai semula dalam ertikata memastikan samada sesuatu hadis itu selaras atau tidak dengan Quran, sebelum mengikutinya. Label 'sahih' yang diberikan oleh ahlul-hadis terhadap sebahagian Hadis tidak dapat membuktikan samada hadis-hadis tersebut selaras dengan Quran atau tidak, kerana ke'sahih'an itu hanya berdasarkan kewibawaan pelapor-pelapor Hadis, bukan berdasarkan ajaran Quran.

Ajakan untuk menilai semula Hadis bukan sesuatu yang keterlaluan bahkan merupakan sesuatu yang rasional. Sebagaimana Hadis berada di kedudukan yang separas dengan sumber-sumber lain, maka begitulah juga sumber-sumber lain berada di kedudukan yang separas dengan Hadis - Sebagaimana Hadis harus dinilai semula, maka begitulah juga dengan sumber-sumber lain yang kita percaya selama ini tanpa merujuk terlebih dahulu kepada Quran, harus dinilai semula. Maka menilai semula Hadis tidak bermakna merendah-rendahkan kedudukannya berbanding sumber-sumber lain, sebaliknya bererti meletakkannya di bawah kedudukan Quran sebagaimana sumber-sumber yang lain.

Intipati ajakan untuk menilai semula Hadis ialah, ajakan untuk kembali semula kepada Quran, kerana kesahihan ajaran sesuatu hadis tidak dapat diketahui melainkan dengan menggunakan timbangan Quran. Ajakan untuk kembali semula kepada Quran bermakna ajakan untuk kembali mentauhidkan Tuhan, kerana intipati Quran ialah;
Tiada Tuhan melainkan Allah

Maka intipati penentangan terhadap ajakan untuk menilai semula Hadis ialah, penentangan terhadap ajakan untuk kembali semula kepada Quran, kerana kesahihan ajaran sesuatu hadis boleh tercabar bila timbangan Quran digunakan. Penentangan terhadap ajakan untuk kembali semula kepada Quran bermakna penentangan terhadap ajakan untuk kembali mentauhidkan Tuhan.

Di mana kita berada? Di dalam kalangan yang enggan menilai semula Hadis, atau sebaliknya di dalam kalangan yang sanggup menilai semula Hadis?..

Anonymous said...

Assalamualaikum Pak Kassim, Terlebih dahulu saya ingin menyatakan disini bahawa saya bukanlah seorang yang begitu Arif tentang Al-Quran dan juga hadis, Tetapi dari segi logik pemikiran dan fakta yang cuba diketengahkan oleh Pak Kassim sebenarnya pada pendapat saya boleh membawa kepada kekeliruan. Contonhya begini setiap manusia yang dijadikan oleh didunia ini dikurniakan akal dan pemikiran sejak dilahirkan, namun pemikrian kita semua akan menjadi lebih baik dan tajam apabila ilmu dan pembelanjaran telah disempurnakan dengan usaha. Namun kita harus ingat bahawa Allah telah memberikan akal dan pemikiran iru bukanlah unutk melampaui batasan pengunaannya. Contoohnya jika seseorang itu menuntut ilmu hanya dengan seorang guru seumur hidup maka ilmu itu sudah pasti tidak dapat dikenalpasti sebagai ilmu yang tulen atau tidak, disini apa yang hendak saya jelaskan adalah jika kita ingin mengkaji Al-Quran bahawasnya persediaan harus dilakukan dengan Niat dan Nawaitu kerana Allah taala. Kita harus merujuk kepada beberapa orang guru yang arif mengenai nya. Saya tidak bersetuju dengan pandangan Pak Kassim mengenai kesahihan sesuatu hadis itu kerana Pak Kassim harus ingat satu perkara... jangan sesekali terlalu teruja mengkaji
zat Allah s.w.t kerana takut nanti dipesongkan oleh iblis dan ditimpa bencana, nauzubillah.. Cuba fikir secara logik.. jika hadis dikatakan bercanggah maka saya berikan satu contoh: Jika berlaku kematian seorang muslim itu, jika mengikut pendapat Pak Kassim, maka tidak perlu dikafankan dan dikebumikan (harus dibakar sahaja?) ini semua tidak tertulis dalam Al-Quran.. jadi sebagai muslim yang benar Al-Quran dan hadis tidak boleh dipisahkan... ingatlah bahawa dunia akhir zaman ini manusia banyak yang menjadi sesat... semoga Allah membuka pintu hati hamba yang sesat insyaallah... amin ... - Keris Pandan-

ajip said...

assalamualaikum Pak Kassim dan Mr belimbing

buku Pak Kasim - Hikayat Hang Tuah ada lagi tak diterbitkan ? kalau tak ada, adakah buku 2nd hand yang boleh saya perolehi ? terima kasih

Anonymous said...

Kesilapan teori-teori klasik

Kesilapan teori jurispruden klasik As-Syafi'ie;
1. Meletakkan Hadis di atas sumber-sumber yang lain selain Quran.
2. Mengehadkan sumber-sumber lain jurispruden selain Quran hanya kepada Hadis,ijma' ulama dan Qias.

Kesilapan teori keselarasan Hadis;
Memberikan Hadis autoriti yang boleh mengatasi Quran. Ini menunjukkan, walaupun Quran berada di kedudukan tertinggi dalam senarai sumber-sumber jurispruden, tetapi kedudukannya sebagai sumber rujukan utama dinafikan oleh teori keselarasan Hadis.

Kesilapan teori isnad;
Membuktikan kesahihan Hadis berdasarkan kewibawaan para pelapor. Di mana Quran sebagai rujukan utama?

Maka teori jurispruden harus ditegakkan di atas Quran sebagai rujukan utama - dan Hadis dan apa saja sumber-sumber lain yang diletakkan separas sebagai rujukan kedua - dengan menolak teori keselarasan Hadis dan teori isnad. Begitu jugalah halnya dengan theologi, sistem hidup dan sistem pemerintahan. Semuanya harus ditegakkan dengan cara ini.

Persoalan yang timbul ialah bagaimana untuk mentafsirkan Quran dengan kaedah yang betul, memandangkan Quran merupakan rujukan utama. Kaedah tafsir telah dicadangkan oleh Dr. Kassim Ahmad dalam bukunya 'Hadis: Jawapan kepada Pengkritik'. Buku ini boleh dibaca dalam format pdf melalui pautan yang diberikan oleh 'Mr. Belimbing' 6:16 AM di atas, iaitu http://www.box.net/shared/lmh0tigow4.

Kassim Ahmad said...

Kepada dua saudara yang bertanya,

1. Buku HHT boleh didapat dari mana-mana perpustakaan yang besar. Mungkin tidak ada setok lagi.
2. Kita mewarisi agama Islam dari Nabi Allah Ibrahim membawa kepada Nabi Muhammad. Pada tahap Nabi Muhammad, kita diibaratkan masuk univedrsiti, institusi pelajaran yang terakhir. Di universiti kita tidak lagi diajar perkara-perkara yang sudah kita belajar di sekolah rendah atau menengah. Demikianlah tiada ada perincian tentang rekaat dan bacaan dalam sembahyang. Amalan itu sudah ada pada kita sebelum kedatangan Nabi Muhammad lagi. Demikianlah juga dengan amalan mengurus manyat. Ia diajar oleh Tuhahn kepada kita dalam zaman Nabi Adam melalui contoh gagak. Kita tidak perlukan hadis untuk melakukan ibadah sembahyang atau mengurus mayat.
Waassalam.

Anonymous said...

Selama saya membaca dan mengkaji tulisan-tulisan Dr. Kassim Ahmad, tidak pernah pula saya terjumpa pendapat beliau bahawa mayat seseorang muslim tidak perlu dikapankan dan dikebumikan.

Banyak hadis yang masih bercanggah dengan Quran, walaupun dilabelkan oleh ahlul-hadis sebagai sahih. Banyak hadis yang dikumpul oleh Imam Bukhari dalam kitab sahihnya, Sahih Bukhari, juga tidak terlepas daripada percanggahan ini. Tetapi ini tidak bermakna bahawa tidak ada langsung hadis yang selaras dengan Quran. Apa yang diserukan kepada umat Islam ialah, menilai semula hadis-hadis yang mereka percayai selama ini berdasarkan ajaran Quran. Mana yang benar, diterima, mana yang batil, dilontar jauh-jauh dari pemikiran kita.

Apa saja ajaran yang selaras dengan Quran, tidak kira Hadis atau bukan, harus diterima, walaupun tidak tertulis secara nyata dalam Quran. Tapi kalau dah ternyata bercanggah dengan ajaran Quran, seperti hadis yang menetapkan hukuman rejam dengan batu sampai mati ke atas penzina yang sudah berkahwin, takkan kita nak ikut. Campakkan saja hadis ini ke dalam bakul sampah sejarah!

Seorang muslim yang benar akan mentauhidkan Tuhan, menjadikan kalamNya sahaja sebagai rujukan utama dalam sistem hidup dan pemerintahan, dalam bidang teologi dan jurispruden. Apa saja sumber yang selain Quran, di letakkan di bawah Quran selagimana ia selaras dengannya.

Ajaran Quran tidak dapat dipisahkan dengan apa saja ajaran, samada Hadis atau bukan Hadis, dengan syarat ia selaras dengan Quran. Ini kerana setiap yang selaras dengan Quran adalah benar, dan kerana Quran membela kebenaran.

Sekarang adalah zaman yang bakal menyaksikan kelahiran beribu-ribu 'Isa' dan 'Mahadi.' Semoga kita menjadi sebahagian daripada mereka.

Anonymous said...

Salam keris tembaga..
Apa yang anda katakan itu benar.. Al-Quran sememangnya pembela kebenaran.. maka apa saja yang benar, walau dari mana juga sumbernya, waima orientalis sekalipun..tetap benar. Sebagai contoh, Al-Quran yang turun pada masyarakat jahiliah arab tidak menafikan terus segala bentuk budaya local mereka, bahkan aspek menghormati tetamu yang begitu significant dalam budaya arab tetap dipuji dan digalakkan.. Begitulah Al-Quran dengan keadilannya..
'Hadis' hanya sebahagian dari disiplin ilmu yg mewarnai spektrum islam, namun banyak lagi disiplin ilmu lain yang sewajarnya diangkat selain hanya memberi tumpuan kepada hadis semata-mata. Kitab Sirah, jika dikaji dan diteroka lebih memperincikan dimensi sebenar Islam pada era Rasulullah dan selepasnya berbanding hadis yang lebih bersifat ad-hock. Peribadi Rasulullah jika ingin dinilai sebagai uswatul hasanah lebih banyak didapatii dari kitab sirah berbanding kitab hadis.. Malah, ujian penilaian sesuatu hadis sendiri tidak terlepas dari sirah sendiri. Sehingga, apabila memahami akan maksud Al-Quran itu sendiri, tiadalah islam itu bersifat eksklusif…bahkan meliputi atas apa juga penciptaan. Hanya yang merenung, yang dapat mengambil faedah di atasnya.

Mr Belimbing said...

Salam,

Kepada sdr 'ajipp', anda boleh e-mel saya di mrbelimbing@gmail.com untuk mendapatkan buku 'Characterisation in Hikayat Hang Tuah' dalam bentuk pdf. Bulan hadapan saya akan 'upload' di laman,

http://www.box.net/shared/lmh0tigow4

Anonymous said...

Salam pen@tumpul..

Terima kasih. Komen bernas saudara amat bermakna kepada masyarakat.

Seruan Dr. Kassim Ahmad dan kumpulannya untuk menilai semula Hadis harus dibela seadilnya, bukan kerana ia diperjuangkan oleh mereka, tetapi kerana mereka memperjuangkan kebenaran dan keadilan.

Wassalam.

Unknown said...

Assalammualaikum Tuan,
Saya sungguh berpuas hati membaca buku saudara,saya bukan dtg dari generasi yg sama dgn saudara,tapi saya berasal dari kampung yg berhampiran(Parit Buntar,)setiap cerita dan perjalanan kehidupan saudara hampir 70% sama dgn saya,
cuma ada beberapa masalah "typo" error,maaf lah kerana menjadi kan ini sebagai isu,sbb saya mmg jenis yg cukup terperinci dgn bahasa,ejaan dan susunan.tapi saya tetap berpuas hati dgn buku saudara.
saya berharap sgt dpt membaca semua buku2 hasil pernulisan saudara.
tahniah saudara..

Kassim Ahmad said...

Sdr Sixman,

1. Terima kasih kerana penghargaan terhadap buku saya yang baru.
2. Semau karya saya boleh diperoleh dari perpustakaan-perpustakaan besar di KL.
Wassalam.

Anonymous said...

Salam Saudara Kassim,

Saya hargai hasil pemikiran saudara
yang begitu kritis terhadap hadith-
hadith yang menjadi ikutan umat Islam sehingga hari ini.Hasil penulisan saudara membolehkan saya
menilai kembali perspektif saya terhadap Islam yg telah saya warisi
dari nenek moyang dan orang kebanyakan yang rata-ratanya telah mempengaruhi kehidupan umat Islam sekarang especially umat Islam di nusantara.Saya mempunyai pandangan dan mungkin terlalu taksub kepada
Rasul2 dan para ulama secara berlebihan dari sembahan kita yang sepatutnya iaitu kepada Allah Yg Rabb (Pengatur Alam Semesta).Pada pendapat saya ,Nabi Muhammad adalah Insan yang dipilih oleh Allah utk mengembalikan manusia kembali kepada fitrahNya seperti di dalam firman Allah di dalam Surah Ar-Rum 30 Ayat 30.
Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada peubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
Bagi saya,Nabi Muhammad adalah manusia biasa seperti kita yg memang tidak lari dari membuat kesilapan seperti firman Allah di dalam Surah An-Anam ayat 50.
Katakanlah: Aku tidak mengatakan kepadamu, bahwa perbendaharaan Allah ada padaku, dan tidak (pula) aku mengetahui yang ghaib dan tidak (pula) aku mengatakan kepadamu bahwa aku seorang malaikat. Aku tidak mengikuti kecuali apa yang diwahyukan kepadaku. Katakanlah: "Apakah sama orang yang buta dengan yang melihat?" Maka apakah kamu tidak memikirkan(nya)?"
Note:Nabi tidak mempunyai kelebihan langsung dlm hal-hal yang ghaib melainkan dengan keizinan Allah.
Tambahan lagi seperti di dalam Surah Al-Ahqaff Ayat 9.
Katakanlah: "Aku bukanlah rasul yang pertama di antara rasul-rasul dan aku tidak mengetahui apa yang akan diperbuat terhadapku dan tidak (pula) terhadapmu. Aku tidak lain hanyalah mengikuti apa yang diwahyukan kepadaku dan aku tidak lain hanyalah seorang pemberi peringatan yang menjelaskan.
Nota:Tugas nabi hanya memberi peringatan dan menjelaskan.Nabi sendiri tidak tahu apa yang akan terjadi pada dirinya.Tugasnya hanya mengikut wahyu dr Allah Taala.Sama ada manusia itu beriman atau tidak,itu adalah hak Allah.
Tanggungjawabnya hanya menyampaikan dengan jelas seperti firman Allah dalam surah Yunus ayat
99 & 100.
Dan jikalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya ? Dan tidak ada seorangpun akan beriman kecuali dengan izin Allah; dan Allah menimpakan kemurkaan kepada orang-orang yang tidak mempergunakan akalnya.
Apa yang saya faham,Nabi juga tidak terlepas dari kesalahan dan ditegur oleh Allah Taala dan dikisahkan di dalam Al-Quran.Itulah sifat 'maksum' yg sebenranya.Bukanlah terpelihara dari dosa & kesilapan ,akan tetapi,
kesilapannya akan segera ditegur
oleh Allah seperti di bawah.
80:1~11
Nabi x layan/mengetepikan p'tanyaan org buta.
8:67
Nabi membiarkan hidup tawanan perang badar
9:43
Nabi memberi keizinan beberapa org utk x ikut b'perang
66:1
Nabi mengasingkan dirinya b'sama para isterinya krn x menyukai mrk b'pakat,membelakangi baginda.

Inilah bukti-bukti yang kita tidak
boleh bertaklid buat di atas percakapan Nabi..kerana baginda pon tidak lari dari kesilapan sebagai manusia biasa.Itulah mu'jizat Al-Quran sebagai sumber kehidupan yg sempurna akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui dan tidak bersyukur dengan pemberiannya seperti di dlm surah Al-Aaraf ayat 10.

Sesungguhnya Kami telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber) penghidupan. Amat sedikitlah kamu bersyukur.

Kembalilah kita kepada Fitrah Allah yang telah menjadikan Al-Quran sebagai sumber kehidupan yg paling penting untuk sekalian manusia.

moloyue said...

Kassim Ahmad said...
Kepada dua saudara yang bertanya,

...
2. Kita mewarisi agama Islam dari Nabi Allah Ibrahim membawa kepada Nabi Muhammad. Pada tahap Nabi Muhammad, kita diibaratkan masuk univedrsiti, institusi pelajaran yang terakhir. Di universiti kita tidak lagi diajar perkara-perkara yang sudah kita belajar di sekolah rendah atau menengah. Demikianlah tiada ada perincian tentang rekaat dan bacaan dalam sembahyang. Amalan itu sudah ada pada kita sebelum kedatangan Nabi Muhammad lagi. Demikianlah juga dengan amalan mengurus manyat. Ia diajar oleh Tuhahn kepada kita dalam zaman Nabi Adam melalui contoh gagak. Kita tidak perlukan hadis untuk melakukan ibadah sembahyang atau mengurus mayat.
Waassalam.

Saya nak tanya sdra Kassim Islam apa yg beliau warisi drpd Nabi Ibrahim s.a.w.? Drpd sumber mana yg sdra dpt mengenai Islam yg dibawa oleh Nabi Ibrahim s.a.w.? Quran hanya menyebut beberapa ayat sahaja mengenai Nabi Ibrahim s.a.w.
Cukupkah setakat disebut dlm Quran mengenai gagak yg mengajar Qabil(?) menanam mayat Habil(?) untuk dijadikan amalan/pengajaran mengkebumikan mayat org Islam?

Perbandingan antara ajaran Nabi Ibrahim s.a.w.dng Nabi Muhammad s.a.w. dengan sekolah rendah/menengah hingga universiti adalah sangat tidak sesuai. Betul, Nabi Muhammad s.a.w. membawa syariat yg telah dibawa oleh Nabi Ibrahim s.a.w. Tetapi kita tidak tahu apa yg telah diajar oleh Nabi Ibrahim s.a.w. sebab tiada rekod sejarah kecuali beberapa ayat dlm Quran. (Satu sumber menyebut Nabi Ibrahim hidup lebih kurang dlm 2000BC dan sedangkan Nabi Isa s.a.w. yg hidup lebih kurang 2000 tahun lepas pun hampir tidak ada rekod sejarah beliau). Tetapi manakah dianya kitab Zabur/hadith Nabi Ibrahim s.a.w. yg diikuti oleh sdra Kassim?

Yang peliknya, hadith Nabi Ibrahim yg tiada itu diikuti (tak tahu bgmana) sedangkan hadith Nabi Muhammad s.a.w. yg direkodkan berjilid2 itu ditolak.

Sdra hanya hendak memperkecil2kan syariat yg dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. melalui hadith/sunnah Baginda. Adakah peranan Nabi Muhammad s.a.w. semata-mata sebagai pengantara Allah untuk menurunkan Quran? Apakah peranan keperibadian Baginda yg begitu mulia? Ya lah, kalau dah kita tolak hadith memanglah keperibadian Nabi Muhammad s.a.w. itu tidak bermakna langsung.

moloyue said...

1. Ayat Quran 7:158 yg dipetik oleh Sdra sendiri menyuruh kita "ikutilah beliau (Nabi Muhammad s.a.w.) supaya kamu beroleh petunjuk". Jadi bgmana kita hendak mengikuti Nabi Muhammad s.a.w. kalau tidak melalui sunnah (hadith) beliau?

2. Sdra kata "fahaman baru" yg dibawa oleh Imam Shafie merupakan dilema yg terbesar yg dihadapi oleh umat Islam. Ini satu drpd pembohongan terbesar sdra. Umat Islam tidak menghadapi sebarang masalah dengan mazhab yg dibawa oleh Imam Shafie, mahupun Hanbali, Maliki atau Hanafi. Malah, jika org Islam tidak mengikut mana-mana mazhab pun tidaklah salah asalkan berpandukan kpd Quran dan Sunnah.

Semasa nabi masih hidup adalah mudah merujuk semua masalah kpd beliau tetapi setelah beliau wafat, kerajaan Islam telah meluas dan juga disebabkan oleh perubahan zaman maka timbul berbagai2 masalah baru yg memerlukan interpretasi yg lebih terperinci terhadap Quran dan Sunnah. Empat imam ini telah memberikan sumbangan besar kpd perkembangan fiqah dan perundangan Islam.

3. Mengapa sdra tidak berani terus menolak Nabi Muhammad s.a.w.? Penolakan hadith/sunnah sama dgn penolakan nabi Muhammad s.a.w. Apakah dia pula ajaran palsu beliau dan apakah pula ajaran sebenar beliau? Adakah Quran itu sahaja merupakan ajaran Nabi Muhammad s.a.w. sebenar? Quran adalah kitab Allah dan ajaran Nabi Muhammad s.a.w. adalah sunnah baginda dan juga berlandaskan Quran. Selama 23 tahun sebagai nabi beliau telah menunjukkan contoh2 sebagai ketua negara, panglima tentera, imam umat Islam, suami, bapa, ketua keluarga, sahabat dsbnya.

4. "Ibadah-ibadah sembahyang, puasa, zakat dan haji bukan disampaikan melalui Hadis, tetapi adalah amalan turun-temurun yang berpunca daripada ajaran Tuhan kepada Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya.6" Ini adalah satu lagi pembohongan besar sdra Kassim Ahmad untuk memperkecil dan menidakkan tugas dan peranan besar yg telah dijalankan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Ini adalah cara halus sdra Kassim untuk menghina nabi Muhammad s.a.w.

moloyue said...

"Melayu said...
Kesilapan teori-teori klasik

Persoalan yang timbul ialah bagaimana untuk mentafsirkan Quran dengan kaedah yang betul, ..."

Ini satu persoalan besar yg sdra bangkitkan. Adakah ini motif sebenar sdra Kassim Ahmad iaitu untuk memporakperandakan umat Islam, khususnya masyarakat Melayu?

Sdra Kassim memperjuangkan agar umat Islam membuang sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Seluruh ilmu Islam yg ada sekarang adalah berdasarkan sunnah yg merupakan tafsiran terperinci Quran. Maka jika dibuang hadith/sunnah akan hancurlah seluruh peradaban Islam yg ada. Apakah gantinya yg dibawa oleh sdra Kassim Ahmad? Itulah yg dibangkitkan oleh sdra.

Sdra Kassim Ahmad berlagak sebagai seorang pemikir dan cendiakawan dan ingin menandingi Nabi Muhammad s.a.w., sahabat-sahabat dan ulamak-ulamak yg telah menghasilkan peradaban Islam dgn kitab-kitab yg boleh dirujuk oleh sesiapa sahaja. Apa yg dibawa oleh "ulamak besar" Kassim Ahmad??? Tiada lain melainkan kemusnahan dan kesesatan umat Islam!!!

Kassim Ahmad said...

Saudara yang masih bertanya,

1. Saya berasa kecewa dengan ulangan kata-kata yang lapuk yang sudah saya jawap dalam buku-buku saya, HSPS, HJKP dan "Dilema Umat Islam - Antara Hadis dan Quran".
2. Apakah tujuan menimbulkan perkara-perkara yang sudah sayajawab? Kalau tidak dapat menerima, jawapan itu, kata saja. Perbezaan pendapat tidak salah.
3. Tetapi, saya tahu bagi orang-orang seperti itu, Quran sebut, "Bagi mereka yang tidak beriman, sama saja bagi mereka sama ada kamu memperingatkan mereka atau tidak. Mereka tidak boleh beriman. Tuhan telah menutup fikiran mereka dan pendengaran mereka, dan mata mereka tertutup. Mereka dikenakan azab yang besar."
(Quran, 2: 6-7)
4. Saya ingin menegaskan saya hanya memberi suatu pendapat berdasarkan fakta dan hujah yang rasional. Saya tidak memaksa siapa-siapa mengikut saya, dan saya tidak minta apa-apa ganjaran. Hukuman muktamad di tangan Tuhan
Wassalam.

Anonymous said...

Saudara Moloyue,

Saya ada beberapa soalan yang hendak diutarakan kepada saudara
drp statement saudara kpd Saudara Kassim.

(motif sebenar sdra Kassim Ahmad iaitu untuk memporakperandakan umat Islam)

1)Adakah dengan mengembalikan manusia kepada Al-Quran(Ideologi & fahaman- Ism Allah) tidak merupakan satu penyatuan?Sebagaimana Nabi Muhammad telah menyatukan kabilah2 & puak2 yg berperangan baik di Makkah @ di Madinah dengan satu aqidah iaitu
keterikatan hubungan manusia dengan Allah melalui WahyuNya iaitu Al-Quran.Segala perlaksanaan
& p'buatan practical Nabi Muhammad
adalah bersandarkan wahyu.Sila rujuk Surah 6:106,18:110,6:50,46:9.Dan bukan ikut hawa nafsu semata-mata.Adakah Nabi Muhammad dapat menyelesaikan @ mencari satu solution untuk menyelesaikan masalah masyarakatnya tanpa wahyu
Allah?

2)Adakah kita akan dipersalahkan oleh Allah untuk tidak mengimani hadith-hadith periwayat hadith sebaliknya kita hanya mengimani wahyu-wahyu dr Allah iaitu yg datang purely dari pencipta kita? Saya tidak paham dgn.konsep kena percaya dan yakin kepada kata2 makhluk ciptaanya berbanding Pencipta kita?Sedangkan
dalam rukun Iman yg 6 pon,Allah
tidak menyebut hadith-hadith dalam
salah satu rukun Iman.Hadith yg dijelaskan di dalam Al-Quran adalah penjelasan kepada perkatan-perkataan atau kalam-kalamNya.Sehingga Allah bertanya kepada kita semua dlm surah 56:81,
Adakah kamu menganggap remeh sahaja Al-Quran ini (Sila lihat Bacaan aslinya hadith)?Apakah jawapan kita kepada Allah?Hadith yang authentic adalah Hadith Allah.

3)Apakah perbezaan Bible(Injil yg didapati sekarang dan hadith-hadith dari segi penulisannya?
(Apa yang saya nampak persamaan yang didapati dari sumber penulisannya adalah kedua-duanya
ditulis oleh pengarang-pengarang yang bukan merupakan saksi utama kejadian yg mereka laporkan dan riwayatkan dan ia di tulis setelah sekian lama kejadian itu telah berlaku).Apakah kejadian yg serupa akan berulang apabila Orang Islam mula meninggalkan Al-Quran dan lebih mengimani hadith-hadith seperti apa yang berlaku dengan masyarakat Islam kita sekarang,di mana,hadith-hadith dijadikan sumber rujukan yang utama skrg).
Sebagai contoh adakah di Mahkhamah
Akhirat kelak..,
saksi-saksi yg dipanggil adalah saksi yang tiada di tempat kejadian dilaporkan dan sumbernya
hanya dr. percakapan-percakapan orang?Siapakah yang akan mengadili
kita kelak,adakah Allah atau periwayat-periwayat hadith tersebut?Perkataan siapakah yang telah kita benarkan selain kalam-kalam Allah?)

Hadith di sisi Allah
adalah perkataan-perkataaNya sebaliknya Sunnah adalah perlaksanaan dan pola fikir Nabi
yang disandarkan dan dipimpin oleh Wahyu.

11234567_6346 said...

Assalmmualaikum pak kassim,
pernah ka pak kasim bersemuka dengan dr. rashad khaliifa,

Kassim Ahmad said...

1. Sewaktu saya dijemput melawat beliau di Tucson pada 1985, beliau belum mengisytiharkan diri beliau sebagai "Rasul Perjanjian" (Messenger of the Covenant).
2. Setelah buku saya "Hadis -- Satu Penilaian Semula" keluar pada 1986, beliau menelefon saya menyatakan "beliau faham" kedududkan saya. Maksud beliau saya terpaksa berkompromi dengan Hadis, yang beliau tolak sepenuhnya, sedangkan saya hanya meminta kajian semula.
3. Pendirian saya tetap demikian hingga hari ini, walaupun saya dikritik oleh pengikut-pengikut beliau di Malaysia dan di seluruh dunia.
4. Nyata pendirian saya betul, kerana wujud hadis/sunnah yang mutawatir, seperti "Perlembagaan Madinah", "Perjanjian Hudaibiyah" dll.
5. Saya tidak pernah mengkafirkan Rashad Khlifah atau pengikut-pengikutnya. Ini bukan kerja saya. Ini kerja Tuhan.

Unknown said...

Salam dan selamat sejahtera.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kerana kesudian Tuan berkongsi artikel ini, saya cuba untuk memiliki buku Hadis Satu Penilaian semula namun gagal menjumpainya.
Untuk pengetahuan Tuan, saya merupakan pelajar tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan di UUM. Saya amat mencintai ilmu falsafah dan penulisan saudara menjadi kegemaran saya.
Tiada sebarang komen ingin saya tujukan mengenai penulisan Tuan, saya baca, fikir dan hadam. Terima kasih kerana masih menulis.

Sekian.