Bab V: Kesimpulan: Kembali Kepada Ajaran Nabi Muhammad Yang Asal - Quran
Satu Kelemahan Manusia Yang Berlarutan
Sejarah satu guru yang baik kepada manusia, dan sejarah tidak memungkiri manusia. Oleh sebab itu, kita perlu berguru kepada sejarah. Tuhan menghantar Nabi Isa kepada kaum Israel untuk membawa kepada mereka kitab Injil dan mengajar mereka menyembah Tuhan yang satu, tetapi setelah kitakira 300 tahun Nabi Isa wafat, sarjana-sarjana agama mereka membuat satu fahaman baru yang tidak diajar oleh Nabi Isa, bahawa Isa anak tuhan dengan seorang Bapa dan Emak Tuhan! Sebelum ini Tuhan mengirim Nabi Musa kepada kaum
Demikian juga yang telah berlaku kepada umat Islam. Tuhan mengirim Nabi Muhammad, nabi terakhir, kepada manusia dengan kitabNya yang sempurna, lengkap dan terperinci, Quran, untuk membetulkan buat selama-lamanya penyelewengan-penyelewengan yang telah dilakukan oleh umat Yahudi dan umat Kristian. Tetapi setelah kira-kira 250 tahun Nabi Muhammad wafat, sarjana-sarjana agama kita mewujudkan buku-buku Hadis untuk menggantikan Quran! Sejarah telah berulang lagi!
Mengapakah perkara ini berlaku? Nampaknya, inilah kelemahan manusia yang berlarutan – ingin mempersekutukan Tuhan dengan tuhan-tuhan lain. Quran mengajar kita: Sembah itu bagi Tuhan semata-mata. Mereka yang mengadakan patung-patung disampingNya berkata, ‘Kami menyembah mereka untuk mendekatkan kami kepada Tuhan’.”8 Tetapi ini alasan mereka semata-mata. Sebenarnya, mereka mengadakan patung-patung di samping Tuhan, kerana mereka ingin menghambat kebendaan dan tidak percaya kepada hari kiamat di mana mereka akan diadili mengikut perbuatan mereka di dunia. Melalui patung-patung ini, mereka menghalalkan kehendak hawa nafsu mereka tanpa menghiraukan hukum-hukum Tuhan. Inilah yang diterangkan oleh Tuhan dalam ayat-ayat yang berbunyi: “Selanjutnya, kami telah melantik bagi tiap-tiap nabi musuh-musuh dari kalangan syaitan-syaitan manusia dan syaitan-syaitan jin, yang menciprakan dan menceritakan kepada satu sama lain perkataan yang indah-indah untuk menipu. Jika Tuhanmu menghendaki, mereka tidak akan berbuat demikian. Kamu hendaklah meninggalkan mereka dan rekaan-rekaan mereka. (Ini adalah kehendak Tuhan) supaya hati mereka yang tidak sebenarnya beriman kepada hari kemudian mendengar dan menerimanya, dan supaya mereka melakukan apa yang harus mereka lakukan.”9
Penyelewengan dari wahyu-wahyu Tuhan telah berlaku berulang kali dalam sejarah dari zaman purba hingga ke zaman moden. Quran banyak menceritakan sejarah-sejarah kaum-kaum, bangsa-bangsa dan tamadun-tamadun purba yang telah dikirimi rasul-rasul oleh Tuhan untuk membawa wahyu-wahyuNya, seperti Aad, Midian dan thamud, dan kemudian kaum-kaum, bangsa-bangsa dan tamadun-tamadun ini dimusnahkan oleh kerana mereka menolak wahyu-wahyu Tuhan serta menyembah patung-patung di samping Tuhan.
Tujuan Quran Menghapuskan Penyelewengan Buat Selama-lamanya
Oleh kerana wahyu-wahyu Tuhan sebelum Nabi Muhammad, nabi terakhir yang dibangkitkan bila dunia melangkah pintu zaman moden, tidak dapat dipelihara kemurniannya oleh sebab-sebab intelektual yang tertentu, maka Tuhan mengirim Nabi Muhammad kepada seluruh manusia dengan kitabNya yang terakhir, Quran, yang lengkap, sempurna dan terperinci, dan yang sepenuhnya terpelihara daripada korupsi manusia.10 Kitab ini, iaitu Quran, membebaskan manusia dari segala macak ikatan dan bebanan dan dari segala macam khurafat dan bid’ah jahat zaman-zaman lampau serta membimbing manusia ke jalan selamat.11
Bila, di peringkat awal, iaitu dalam masa kira-kira 300 tahun yang pertama, masyarakat Islam berpandukan Quran, mereka meningkat naik dan maju dengan begitu cepat hingga menakjubkan dunia, mengatasi kuasa-kuasa terbesar pada zaman itu, iaitu Byzantium dan Parsi. Mereka menciptakan sebuah tamadun material dan intelektual yang teragung pada zaman itu, dan nama-nama khalifah-khalifah, seperti Abu Bakar, Umar Ibn Khattab dan lain-lain, panglima perang seperti Khalid Ibn Walid, ahli-ahli sains seperti Al-Biruni, Al-Khawarizmi, Al-Razi dan lain-lain, ahli-ahli falsafah seperti Al-Kindi, Al-Farabi dan Ibn Sina, dan ahli-ahli sejarah seperti Al-Tabari, Al-Baladhuri dan Al-Mas’udi adalah nama-nama yang mengharumkan tamadun pertama Islam dan yang termaktub dalam sejarah kebudayaan dunia. Hakikat pencapaian umat Islam awal yang tinggi inilah yang menyebabkan sejarawan sains Barat, G. Sarton berkata: “Tugas besar manusia telah dilakukan oleh orang-orang Muslim. Ahli falsafah terbesar, ll-Farabi, seorang Muslim, ahli-ahli matematik terbesar, Abu Kamil dan Ibrahim ibn Sinan, orang-orang Muslim, ahli geografi dan penulis ensiklopedia terbesar, al-Mas’udi, seorang Muslim; sejarawan terbesar, al-Tabri, juga seorang Muslim.”12
Sambongan: Penyelewengan Umat Islam
15 comments:
Salam..
Kelemahan manusia yang berlarutan.. dari apa yang sdr KA sebutkan, ‘ingin mempersekutukan Tuhan dengan tuhan-tuhan lain.’ Pada hemat saya tidak lain berpunca dari sikap manusia sendiri yang malas memerah aqal fikiran yang dikurniakan untuk menilik dan merenung.. segalanya mahu disuap, mahu dipersembahkan didepan mata. Mengikut tanpa perlu berfikir secara tidak langsung menyerahkan tanggungjawab agama kepada orang lain. Seolah yang akan diperiksa, disoal nanti bukan mereka lagi tetapi kepada orang yang diberi tugas menyampai dan menguruskannya. Mungkin dengan konsep ‘zon selamat’ yang dicipta ini dikira mampu menyelamatkan mereka dari sebarang soaljawab Tuhan. Soal benar atau salah tidak penting lagi, sekadar apa yang dibawa, sekadar itu yang diturut.. tidak pula menambah dan tidak pula menguranginya. Tanggungjawab itu hanya bagi tuhan-tuhan dan wali-wali (pelindung) ciptaan mereka. Supaya kalau ada kesalahan, mereka tidak akan dipertanggungjawabkan! Wah, licik benar permainan mereka..bahkan tipudaya Tuhan lebih besar dari itu..Kerana itu apabila timbul kelompok yang cuba mengkritik, mengajak manusia kembali berfikir, berdikari di atas kaki sendiri, tiada lain pada mereka sekadar sebuah ancaman besar terhadap ‘zon selamat’ yang selama ini mereka cipta. Bukan mereka pekak untuk mendengar, bukan pula buta untuk melihat, bukan pula dungu hingga berlaku engkar… tetapi ‘sakit hati’ dengan kebenaran.. benci dengan seruan..
11.5, Ketahuilah! Sesungguhnya mereka yang ingkar itu membongkokkan badan mereka untuk menyembunyikan (perasaan buruk yang ada dalam dada mereka) daripada Allah. Ketahuilah! Semasa mereka berselubung dengan pakaian mereka sekalipun, Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan; sesungguhnya Ia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.
Sekadar memberi pandangan..Walahualam,
Sdr pen@tumpul,
Terima kasih kepada komen yang saya hargai itu.
Wassalam.
Segenap lapangan petunjuk segala,
Lengkap sempurna lagi terperinci,
Mana yang benar tetap dibela,
Itulah Quran kitab nan suci.
Tanpa izin ia lahir,
Tetap pula dianggap suci,
Pujian pujaan sudahlah terzahir,
Sedangkan bukan kitab suci.
Salam,
Saya baru sahaja selesai membaca tulisan tuan- Mencari Jalan Pulang. Saya sangat menyukainya. Saya berharap lebih ramai lagi yang akan membaca buku itu yang sangat membuka minda dan menggalakkan orang Melayu supaya lebih rajin berfikir. Walaupun, ini tidaklah bermakna saya bersetuju 100% dengan apa yang tuan tuliskan.
Saya telah coretkan sedikit mengenai buku tersebut dalam blog saya: http://nafastari.blogspot.com/2008/08/dari-batu-tiga-ke-kl-sentral.html
Terima kasih.
Bulan terang cahaya bersuluh,
tampak bayangnya di dalam perigi,
gerangan apalagi melayu mengeluh,
belumkah tertunai hasrat di hati.
Quran disusul mana asalnya,
ibarat huruf asal dakwatnya,
faham sekadar huruf dan makna,
maksud dan maudhu' mana letaknya.
lengkap sempurna lagi terperinci,
itulah quran kitab nan suci,
kalau dah begitu maksud terpatri,
ayuhlah bersama bersatu hati..
* padang jarak padang tekukur,
yang benar bangkit yang batil tersungkur.
Salam silaturrahim...
Salam Dr,
Oppsss.. pls don't release my 'pantun' comment. Tersilap faham maksud melayu!
Sorry for inconveniences..
Thanks
Andai jelas nyata tersurat,
Quran hadis sudah bercanggah,
Dulukan Quran tanpa syarat,
Ia jangan dibiar disanggah.
Pen@tumpul telah menunjukkan sikap yang baik - mengaku silap bila tersilap.
Salam silaturrahim.
Tiga kurun selepas Al-Masih,
Dua setengah kurun selepas Quran,
Injil disadur Quran disisih,
Anak dipertuhan kekasih didewakan.
Sempena hari kemerdekaan ke-51 ini, selain daripada mengibarkan bendera Malaysia tercinta, marilah juga kita kibarkan "panji-panji kebebasan intelektual".
Salam Tuan,
Saya sangat mengkagumi cara Tuan berfikir. Orang melayu terutama golongan muda perlu diberi kesedaran betapa penting nya akal fikiran dalam pembanggunan sesebuah negara.
Saya gemar membaca perkara-perkara yang boleh mencabar kotak akal fikiran saya. Walaupun ini adalah kali pertama saya memberi komen di dalam blog Tuan, tetapi sebenarnya saya telah lama mengikuti perkembangan Tuan dan blog ini. Terus terang saya katakan, walaupun saya kagum dengan Tuan, tetapi banyak juga perkara yang saya tidak bersetuju dengan Tuan. Biasalah, setiap manusia di dunia ini Tuhan jadikan berbeza-beza.
Akhir sekali, teruskanlah perjuangan Tuan dalam usaha Tuan mengajak orang melayu supaya lebih bijak berfikir dalam pelbagai aspek. InsyaAllah, perjuangan Tuan akan mendapat rahmat dariNya. Harap-harap satu hari nanti kita boleh duduk semeja, dan bertukar-tukar pendapat mengenai isu-siu nasional atau isu-isu global. InsyaAllah...
Sekian.
Perintah dan takluk tiap sesuatu,
Adil saksama sesama insan,
Tunduk dan patuh pada yang Satu,
Itulah prinsip ajaran Quran.
Sdr Hang Lekiu,
1. Terima kasih kerana penghargaan itu.
2. Ya, kita boleh berjumpa dan bertukar-tukar fikiran. T/B saya: 012-429112.
Wassalam.
Assalamualaikum..Hakikatnya kita tak boleh menolak hadith kerana hadith sendiri membawa pengertian sesuatu ucapan Nabi Muhamad tentang sesuatu hukum yang tidak disebut dalam Al-Quran. Al-Quran sendiri banyak menegaskan tentang ayat-ayat yang wajib hukumnya untuk kita mentaati nabi. Apabila dikatakan kita wajib mentaati nabi maknanya kita tidak boleh mengingkari setiap apa yang dilafazkan dan diucapkan oleh Nabi. Al-Quran juga diturun melalui Nabi Muhamad S.a.w...Kata-kata dan lafaz nabi tentang hukum-hukum itulah dikatakan sebagai hadith. Contoh..ada sesuatu hukum yang tidak dijelaskan dalam Al-Quran, dijelaskan oleh Nabi Muhamad. Saya bagi contoh, ikan yang hari-hari kita makan..dalam Al-Quran tidak jelaskan secara tepat ikan itu boleh dimakan. Hadithlah yang menjelaskan ikan boleh dimakan..fahamilah..sumber agama itu adalah dua, Al-Quran dan Sunnah Rasullulah s.a.w
Post a Comment