DUNIA, KIAMAT DAN AKHIRAT:
PENGGUNAAN KIASAN DAN METAFORA
DALAM QURAN --
SEBUAH NOTA RINGKAS
Oleh: Kassim Ahmad
9 Mei, 2012
Dua jenis ayat
Quran
sebuah buku yang unik. Ia mengandungi prinsip-prinsip tafsirannya sendiri.
Prinsip-prinsip ini boleh kita sebut sebagai kaedah tafsir yang saintifik.
Tanpa satu kaedah tafsir yang saintifik, kita tidak boleh memahami isi kitab
ini dengan betul [1] Ambil contoh perkataan
‘salat’. Pada lahirnya, ia merujuk kepada suatu bentuk ibadah yang dilakukan
pada waktu-waktu tertentu. [2] Pada praktiknya, maknanya
lebih daripada itu, kerana ia merujuk kepada sistem kehidupan yang mencakupi
bidang-bidang ekonomi, politik dan sosial. [3]
Pertama sekali, Quran menerangkan kepada kita tentang dua jenis ayatnya
dalam Surah 3 (Ali-‘Imran), ayat 7, iaitu Ayat Muhkamat, yang terang
dengan sendirinya dan yang menjadi asas kepada kandungan Quran, dan Ayat
Mutasyabihat, yang bersifat kiasan atau simbolik. Ayat mutasyabihat tidak harus
ditafsirkan secara sewenang-wenang atau secara sabjektif, kerana ini boleh
membawa kepada kekeliruan dan kekacauan. Tidak siapa yang mengetahui tafsiran
ayat-ayat ini, kecuali Tuhan dan mereka yang asas ilmunya kukuh. Biar
saya perturnkan ayat ini sepenuhnya: “Dialah yang menurunkan kepadamu kitab suci ini, mengandungi sebagian
daripadanya ayat-ayat muhkamat – yang menjadi asas kitab suci ini – dan
selainnya ayat-ayat mutasyabiyat. Mereka yang menyimpan keraguan di dalam hatinya
menggunakan ayat-ayat mutasyabihat untuk menanam keraguan dengan memberikan
tafsiran yang sabjektif. Tiada siapa mengetahui tafsirannya, kecuali Tuhan dan
mereka yang mendalami ilmu. Mereka berkata, ‘Kami beriman dengannya. Semuanya
datang daripada Tuan kami.’ Hanya mereka yang mengerti akan mempedulikan.”
Ini
suatu ayat yang sangat penting dalam usaha kita memahami isi kandungan Quran.
Kedua-dua jenis ayat ini harus dilihat dan diertikan selaras di antara
satu dengan lain, seperti yang dijelaskan dalam ayat ini:-
Tuhan
telah menurunkan laporan yang paling baik, sebuah buku yang selaras yang menunjuk
kepada kedua-dua jalan. [4]
Ini
bermakna di antara kedua-dua jenis ayat ini tidak terdapat kontradiksi. Malah
Quran menegaskan tidak terdapat kontradiksi di antara ayat-ayatnya. [5] Jika Quran itu karangan
Muhammad atau karangan manusia lain, nescaya terdapat banyak kontadiksi di
dalamnya. Bukan itu saja. Mengingatkan bahawa Quran turun kepada Muhammad dalam
abad ketujuh apabila ilmu sains yang mantap belum lagi lahir di dunia, kenyataan-kenyataan
yang terdapat tentang alam raya, seperti putaran dan peredaran bumi, langit dan
planet-planet, yang sekarang telah terbukti kebenarannya, amat menakjubkan. [6]
2. Penggunaan metafora dan kiasan
Kita
boleh kenal ayat-ayat muhkamat dengan mudah, kerana ayat-ayat itu jelas dengan
sendirinya. Tetapi bagaimana kita hendak mengenal ayat-ayat mutasyabihat? Belum
ada kajian yang lengkap tentang tajuk ini, kecuali secara tidak langsung dalam beberapa
tafsir [7]. Namun demikian, kita boleh
mengatakan dengan pasti bahawa Quran menggunkan bahasa kiasan atau metafora
untuk menceritakan tentang alam-alam ghaib, seperti Tuhan, Hari Kiamat, Akhirat,
Syurga dan Neraka.
Quran
banyak menggunakan metafora untuk menyatakan kuasa dan kehebatan Tuhan. Cuba
lihat ayat-ayat berikut:-
Sekiranya
Kami wahyukan Quran ini kepada gunung, kamu akan melihatnya gementar dan
runtuh, kerana takutnya kepada Tuhan. [8]
Mereka
berkata, “Yang Maha Pemurah telah melahirkan seorang putera!”Kamu telah
melafazkan suatu kenistaan yang dahsyat. Lelangit seperti akan runtuh, Bumi
seperti akan terbelah dan gunung-ganang hancur, kerana mereka mendakwa Yang
Maha Pemurah telah mengambil seorang putera! Tiada pantas bagi Yang Maha
Pemurah melahirkan seorang putera. Tiap seorang di langit dan bumi itu hamba kepada
Yang Maha Pemurah. [9]
Nyatalah ayat-ayat itu bersifat metafora
atau simbolik dan tidak boleh diertikan secara harfiah.
3. Makna kiamat dan akhirat
Saya ingin mengambil konsep-konsep Kiamat
dan Akhirat untuk kita kaji. Kiamat itu hari manusia dibangkitkan dari kubur
untuk diadili oleh Tuhan. Akhirat itu alam yang akan dimasuki manusia setelah
pengadilan itu.
Nyatalah perkataan ‘hari’ dalam ungkapan
‘Hari Akhirat’ tidak boleh diertikan sebagai suatu hari yang kita maksudkan,
tetapi suatu tempoh yang memakan masa yang panjang, mungkin berdekad-dekad,
malah berabad-abad, atau beribu atau berjuta tahun, lamanya. Penciptaan alam
pula dinyatakan dalam Quran dilakukan dalam tempuh enam hari, atau enam era.[10] Satu era memakan masa
berjuta, malah berbilion, tahun. [11]
Tiga tahap dunia
Akhirat pula tidak boleh dipisahkan dari
dunia ini, kerana manusia akan dibangkitkan di dunia ini.[12] Konsep keesaan Tuhan membawa
makna kesatuan alam, yang terdiri dari pelbagai peringkat. Tidak ada akhirat
jika tidak ada dunia ini. Apa yang boleh kita nyatakan konsep “kehidupan dunia”
yang kadang-kadang dikritik dalam Quran itu kehidupan peringkat rendah atau
kehidupan haiwan.[13] Tetapi terdapat juga
ayat-ayat yang menggabungkan kedua-dua alam ini, seperti dalam ayat yang
masyhur: “Tuanku, berilah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di
akhirat, dan lindungilah kami dari siksaan neraka.” [14] Dalam pada itu, Tuhan menganjurkan kita mencari kediaman Akhirat tanpa mengesampingkan habuan kita di dunia. (Quran, 28: 77)
Dengan demikian, dunia ada tiga tahap: tahap yang dikutuk, tahap yang sama dengan Akhirat, dan tahap yang sah dicari tetapi Akhirat lebih baik.
4. Proses semula jadi atau bukan?
Apakah Kiamat? Adakah ia sesuatu kejadian
di luar undang-undang semula jadi, atau di dalamnya juga ? Dari banyak ayat
Quran, kita mendapat fahaman bahawa ia berlaku sebagai suatu proses semula
jadi. Perhatikan ayat-ayat ini:-
Dia mewujudkan
yang hidup daripada yang mati dan mewujudkan yang mati daripada yang hidup. Dia
menghidupkan kembali tanah setelah ia mati. Demikianlah kebangkitan kamu.[15]
Tidakkah mereka melihat
bagaimana Tuhan memulakan penciptaan, kemudian mengulanginya?Itu mudah bagi
Tuhan. [16]
Dialah yang menjadikan
malam sebagai tirai bagimu untuk tidur dan rehat. Dia menjadikan siang suatu
kebangkitan. [17]
Tuhan mengambil nyawa
seseorang waktu matinya dan waktu tidurnya. [18]
Dari ayat-ayat di atas, jelaslah bahawa
Kiamat suatau proses kehidupan yang semula jadi, dan Akhirat pula suatu
peringkat yang lebih tinggi dalam proses kehidupan ini. Ini merujuk kepada
evolusi hayat [19], dari peringkat terendah
kepada peringkat tertinggi, dari tanah dan logam yang dianggap tidak bernyawa,
kepada makhluk-makhluk bernyawa tumbuh-tumbuhan, haiwan dan akhirnya manusia, Homo sapiens atau khalifah. Pada
peringkat manusia, yang diberi taraf khalifah atau raja itu, yang boleh
menentukan nasibnya sendiri, kita sampai kepada akal yang kreatif yang boleh
membangunkan tamadun dan mengubah dunia dan alam ini. Inilah yang menyebabkan
tarikh Kiamat itu tidak diketahui, kecuali oleh Tuhan. Aktiviti bebas manusia
masuk ke dalam proses perubahan dunia. Perhatikan ayat-ayat ini:-
Tuhanlah yang menurunkan
kitab untuk menyampaikan kebenaran dan undang-undang. Boleh jadi Saat itu sudah
hampir. [20]
Orang ramai bertanya
kepada kamu tentang Saat itu. Katakanlah, ‘Pengetahuan tentangnya hanya
pada Allah. Sepanjang yang kamu tahu, mungkin Saat itu sudah hampir.’ [21]
Katakanlah, ‘Saya tidak
tahu jika apa yang telah dijanjikan kepadamu akan berlaku sebentar lagi,
atau Tuanmu akan melambatkannya.’ [22]
Jadi, Kiamat itu suatu metafora bagi
perubahan besar dalam evolusi kehidupan manusia. Pelbagai perubahan telah berlaku
dalam sistem hidup manusia dari sistem hidup dalam gua dengan memburu, sistem
hidup bercucuk-tanam atau pertanian, (rendah, tengah dan tinggi) kepada sistem
hidup industri sejak Revolusi Industri di Britain pada akhir abad ke-18 dan
awal abad ke-19. Zaman industri juga terbahagi kepada rendah, tengah dan
tinggi. Peringkat industri tinggi ini sedang kita lalui sekarang. Jadi, akhirat
itu dunia yang telah melalui suatu perubahan global yang besar. Proses ini
memakan masa yang lama. Tiada siapa boleh meramalkan berapa lama, kerana ia
suatu proses yang amat kompleks dan mengagumkan. [23] “Harinya akan tiba
apabila bumi ini akan digantikan dengan suatu bumi baru, dan langit juga, dan
tiap-tiap orang akan dibawa mengadap Tuhan, Yang Esa, Yang Tertinggi.” [24] Pada akhir proses ini
sebuah dunia baru akan lahir, sebuah dunia yang adil, [25] dan manusia sendiri akan
menghukum dirinya.[26]
5
T Tempoh Kerasulan Nabi Muhammad
Walaupun alam Akhirat akan wujud di dunia ini juga, ia
tidak akan berlaku kecuali setelah tempoh kerasulan Nabi Muhammad berakhir. Mengikut
petunjuk dari Quran dan berdasarkan kaedah Kod 19, tempoh itu akan berakhir
pada 1710 T.H. bersamaan dengan 2280
T.M., iaitu 277 tahun T.H. , atau 268 tahun T.M. dari sekarang (2012).
Pada masa ini misi Nabi Muhammad lengkap disempurnakan
dan dengan itu berakhir. Ini bermakna kitab suci yang dibawa oleh Nabi
Muhammad, Quran, tidak diperlukan lagi sebagai petunjuk bagi manusia. Manusia memasuki sebuah dunia yang sepenuhnya adil, kerana Tuhan
Maha Berkuasa mengambil-alih kuasa sepenuhnya. Maknanya, manusia telah sampai
ke tahap evolusi apabila mereka sendiri boleh berlaku adil kepada diri mereka.
Pada waktu ini, dunia ini menjadi syurga kepada orang mukmin – orang yang
meningkat dari segi evolusi -- dan neraka kepada orang kafir, yakni orang yang
merosot dari segi evolusi. [27] (Syurga dan neraka bukan
tempat, tetapi keadaan mental, emosi dan kejiwaan, yang berlaku di dunia ini juga.)
6
Kemunculan sebuah dunia yang adil
Jika kita mengingatkan bahawa manusia telah
melalui pelbagai sistem dalam sejarahnya, sistem-sistem yang jahat dan
sistem-sistem yang baik, termasuk kapitalisme, komunisme dan teokrasi (Barat
dan Timur), kita akan lebih mudah menampak kelahiran sebuah dunia yang adil
dalam masa terdekat, antara satu hinggi tiga dekad lagi. Penubuhan PBB pada
1945 itu sendiri suatu pertanda kemunculan sebuah Masyarakat Dunia. Dalam satu
Sidang Khasnya di Kolombo pada 1974 PBB telah meluluskan sebuah resolusi
yang bersejarah untuk melahirkan sebuah Order Ekonomi Baru. Halangan terhadap
pelaksanaan resolusi ini tidak lain kecuali neo-imperialisme Inggeris-A.S.,
yang menguasai Majlis Keselamatan PBB, dan yang menjadi musuh semua manusia.
7. Kebangkitan dari kubur
Adakah tiap-tiap seorang yang pernah hidup
akan dibangkitkan dengan jasadnya dari kubur? Apabila seseorang mati, jasadnya
rosak dan musnah, tetapi nyawanya (Ar. nafs) atau kesedaran kembali ke
tempat asalnya (iaitu Tuhan), seperti dalam tidur. [28] Nyawa ini dengan jasadnya
yang baru akan dibangkitkan dan hidup semula, sepertimana tanah yang mati dalam
musim kemarau hidup semula apabila hujan turun.
Mengikut Quran, manusia dijadikan dari
satu diri atau nyawa (nafsun wahidah) [29] Apabila seseorang mati, jasadnya
menjadi bangkai dan reput, tetapi nyawanya (kadang-kadang disebut ruh) kembali
kepada Tuhan. Adakah diri ini dihidupkan semula dalam generasi yang mendatang,
dan, dengan itu, dia dikata dibangkitkan semula? Pengertian ini nampak sesuai
dengan proses semula jagi yang berlaku kepada Bumi, seperi malam dan siang dan
pergantian musim, yang dinyatakan dalam
ayat-ayat yang telah kita petik di atas.
Quran menyatakan bahawa penciptaan dan
kebangkitan manusia berlaku sebagai suatu diri atau nafs. [30] Ini bermakana semua
manusia yang pernah hidup akan dilahirkan semula di akhirat. (‘Akhirat’
bermakna dunia akan datang. Dunia akan datang dunia ini juga, atau dunia yang
akan diciptakan lagi sebagai sambungan dari dunia yang ada.) Ini membawa makna
tiap-tiap manusia yang mati akan dilahrikan semula dalam generasi-generasi
mendatang, dan, dengan itu, menjadikan manusia kolektif hidup kekal selagi Alam Raya in ada.
Jika kita tafsirkan kebangkitan sebagai
bangkit dari kubur, kita menghadapi beberapa perkara yang tidak menasabah. Pada
waktu kita dikatakan bangkit dari kubur, adakah bangkit itu seperti keadaan kita
mati dulu? Sesetengahnya mati kena
tembak dalam perang, atau dalam sesuatu kemalangan; atau mati sakit tua, atau sakit tenat;
sesetengahnya mati ketika bayi. Hanya sesetengah berada dalam keadaan fizikal
yang biasa. Juga pada waktu itu, ramai manusia yang sedang bepergian ke sana ke
mari dalam urusan kehidupan masing-masing: adakah mereka semuanya akan dimatikan
dulu melalui suatu mala-petaka yang besar dan kemudian dibangkitkan dari sebuah
dunia yang tiada penghuni langsung, seperti sebuah padang jarak padang tekukur? Semua hal ini membuat kita cenderong
untuk mengatakan bahawa kebangkitan itu tidak berlaku begini. Ia tidak menasabah.
Kerana ini, kita harus mentafsirkan kebangkitan secara simbolik atau kiasan.
Generasi-generasi yang dimusnahkan
Ada beberapa ayat lagi yang harus kita
berikan perhatian tentang perkara ini. Mereka merujuk kepada kemusnahan total
sesebuah generasi kerana penyelewengan mereka. Perhatikan:-
Demikianlah sebuah
masyarakat dari zaman dulu. Mereka bertanggungjawab terhadap apa yang mereka
lakukan, dan kamu bertanggungjawab terhadap apa yang kamu lakukan. Kamu tidak
akan ditanya tenatng apapun yang mereka lakukan. (2: 134)
Banyak generasi yang
telah Kami musnahkan sebelum kamu apabila mereka melampaui batasan. Rasul-rasul
mereka datang kepada mereka dengan bukti-bukti yang nyata, tetapi mereka enggan
percaya. Demikianlah kami membalas kaum yang berdosa. (10: 13)
Banyak generasi dulu
yang telah Kami musnahkan selepas Nuh. (17: 17)
Tidakkah Kami musnahkan
generasi-generasi dulu? Kemudian Kami
jadikan yang lain selepas mereka. (77: 16-17)
Dialah yang menjadikan
kamu pewaris bumi ini. (6: 165)
Kami membenarkan rakyat
tertindas mewarisi bumi,Timur dan Barat, dan Kami merestuinya ... dan Kami
musnahkan kerja-kerja Fir’aun dan kaumnya dan segala sesuatu yang mereka
bangunkan. (7: 137)
Ayat-ayat di atas boleh ditafsirkan
sebagai menunjuk bahawa kehidupan manusia individu berakhir dengan generasinya.
Tetapi manusia sebagai keluarga besar kemanusiaan kekal bersambung dari generasi
ke generasi hingga Alam Raya musnah dan tiada lagi. [31]
9. Konsep evolusi
Pada tahap ini, mari kita lihat konsep
evolusi dalam kehidupan. Konsep evolusi disebut dalam Quran. [32] Ia pertma kali
disebut oleh orang-orang Yunani, tetapi dikembangkan oleh orang-orang Islam
yang awal. Para sarjana dan saintis Islam yang besar, seperti Jahiz (m. 868/869)
Ibni Maskawaih (m. 1030), Al-Kindi (m. 873), Ibn Rushd (m. 1198), Ibn Tufayl
(m. 1184), Ibn Arabi (m. 1240), dan Ibn Khaldun (m. 1406) semuanya menulis dan
mempelopori konsep evolusi. Sebelum 1800, Teori Evolusi terkenal di Eropah
sebagai Teori Penciptaan kaum Muhammad dan diterangkan dalam kebanyakan buku perubatan
dan sains Islam. Ia juga merupakan sebagian dari mata pelajaran normal di
sekolah-sekolah dan universiti-universiti Islam. [33]
Evolusi tidak harus difahami sebagai
ketiadaan seorang Tuhan Pencipta. Tuhan bukan saja mencipta; Dia juga memupuk,
memberi makan, membesar dan menentukan perkembangan benda-benda dari keadaan
yang paling kasar kepada keadaan yang paling sempurna, menjadikan mereka meningkat
dari suatu keadaan kepada suatu keadaan sehingga mereka mencapai matlamat
kesempurnaan, yang boleh disifatkan sebagai Manusia-Tuhan. [34]
Syurga dan Neraka bermula dari sekarang.
Mereka bukan tempat, tetapi keadaan mental. Penceritaan tentang syurga dan
neraka dalam Quran bersifat kiasan. [35] Ia mengkiaskan keadaan mental
yang meningkat atau merosot dari segi evolusi. [36] Yang meningkat memasuki
mental jannah (syurga); yang
merosot memasuki mental jahannam (neraka). [37]
Akhirat pula disifatkan dalam Quran
sebagai sebuah dunia yang tempohnya lama dan kekal.[38] Ia mempunyai tahap-tahapnya
pula [39] yang tidak kita ketahui, sehingga rancangan agung
Tuhan tercapai, [40] dan rancangan Syaitan
dipatahkan sepenuhnya. Pada waktu ini, berbilion tahun dari sekarang, Alam Raya
dan segala isinya, termasuk manusia, akan kembali kepada Tuhan dan akan lenyap
dari alam nyata. Yang tinggal hanya Wajah Tuhan. [41]
1
Penutup
Hanya dengan pemahaman yang demikian
terhadap Kiamat dan Akhirat, dapat kita lihat makna dan kelogikan kehidupan
manusia di dunia. Tentunya kebanyakan kita tidak berminat atau sanggup memikir
dan mengakji soalan ini. Kita beriman saja kepada ayat-ayat ini. [42] Kita korbankan
kehidupan bahagia di dunia untuk mendapat kehidupan bahagia di Akhirat
melalui pengaruh ajaran mistik (Quran, 57: 27) yang tidak diajar dalam
Quran. Quran menganjurkan suatu kehidupan yang aktif, bebas, dinamik
dan revolusioner (contohnya kehidupan Nabi Muhammad dan Nabi Ibrahim),
sedangkan mistisme menganjurkan pelarian dari dunia.
Nyatalah, dari huraian ringkas
ini, jika kita mengerti matlamat kehidupan manusia, kita tentu boleh
mencapai matlamat kehidupan kita (kebahagian) dengan lebih cepat dan mudah
tanpa melalui kesengsaraan yang berkepanjangan, seperti yang telah kita lalui
hingga kini.
[1]
Lihat kassim Ahmad, Hadis – Jawapan kepada Pengkritik (2004), Bab 7. Di sini saya kemukakan satu kaedah tafsir yang saintifik.
Lihat komen terhadap saranan saya oleh Dr. Robert D. Crane dan jawapan saya dalam
laman web saya www.kassimahmad.blogspot.com
[3]
“Tahukah kamu siapa yang membohongi agama? Inilah dia yang mengkasari anak
yatim, dan tidak menganjurkan memberi makanan kepada orang miskin. Celakalah
mereka yang sembahyang, yang tidak langsung pedulikan sembahyang mereka. Mereka
hanya ingin menunjuk-nunjuk, dan mereka melarang bersedekah.” (Quran, 107: 1-7)
“Salat mencegah seseorang daripada perbuatan yang keji dan jahat.” (Quran, 29:
45). Di samping itu, perkataan-perkataan Arab zikr, mengingati (2: 239) ) dan sabbah,
ra’ikan, puja (20: 130)) juga digunakan dalam ertikata ‘salat’.
[4]
Quran, 39: 23. Dua jalan bermanka jalan yang lurus dengan jalan yang
menyeleweng.
[5]
“Mengapakah mereka tidak mengkaji Quran dengan teliti? Jika ia selain
daripadaTuhan, mereka akan mendapati di dalamnya banyak kontradiksi.” (Quran,
4: 82).
[6]
Lihat Maurice Buccaille, Quran, Bible and Science, (tiada tarikh).
[7]
Lihat khasnya Muhammad Asad, The Meaning of the Quran (1980), Maulana
Muhammad Ali, The Holy Quran, (edisi ke-4, 1951) dan Mirza Tahir
Ahmad, The Holy Quran (edisi pertama, 1988).
[10]
“Tuanmu Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam masa enam hari dan
kemudian bertakhta di atas ‘arasy.” (Quran, 7: 54)
[11]
Mengikut perkiraan ahli-ahli sains, umur alam raya 20 bilion tahun, tatasuria
10 bilion tahun, bumi antara 5-6 bilion tahun, hayat yang paling awal 3-4
bilion tahun, tumbuh-tumbuhan 400 juta tahun, mamalia 100 juta tahun, primat 4
juta tahun, dan manusia 1 juta tahun. Alam Raya akan bertahan selama 100 bilion
tahun lagi. (Lihat J.D. Bernal, The Origin of Life (1967) dan Frank
Tipler, The Physics of Immortality (1994).
[12]
“Kata-Nya, ‘Di sana kamu akan hidup, di sana kamu akan mati, dan dari sana kamu
akan dibangkitkan.’ ” (Quran, 7: 25)
[13]
“Kamu mahukan barang-barang rapuh dunia, sedangkan Tuhan menganjurkan akhirat.”
(Quran, 8: 67)
[15]
Quran, 30: 19. Lihat juga Quran, 30: 50; 50: 9-11; 21: 104; 35: 9.
[16]
Quran, 29: 19-20. Lihat juga Quran, 2: 28; 10: 4; 14: 48; 21: 104.
[19] “ …
supaya Kami menukar keadaan kamu dan membuat kamu berkembang menjadi apa yang
kamu tidak tahu.” (Quran, 56: 61). “Pasti Dia telah menciptakan kamu melalui
pelbagai peringkat.” (Quran, 71: 14) Perkembangan idea saintifik tentang
evolusi bermula dengan Jahiz (mati 868-9) Dialah yang mula-mula memerhatikan
perubahan-perubahan dalam kehidupan burung kerana migrasi. Kemudian Ibni
Maskwaih (mati 1030), seorang yang semasa dengan Al-Beruni, merumuskan
idea-idea ini menjadi berbentuk teori yang lebih mantap serta memasukkannya ke
dalam karyanya, Al-Fauz-ul-Asghar. (Lihat Muhammad Iqbal, The
Reconstruction of Religious Though in Islam, hal. 133-34.) Tafsiran
bahawa Akhirat itu merujuk kepada kehidupan di dunia yang akan datang
dibayangkan oleh ayat 3, Surah 93, yang berbunyi: “Dan masa depan
lebih baik bagi kamu daripada masa awal.” [20]
Quran, 42: 17.
[23]
“Mereka bertanya kepadamu mengenai Kiamat bilakah ia akan berlaku. Katakanlah,
‘Pengetahuan mengenainya di sisi Tuhan semata-mata. Tiada siapa, kecuali
Dia, yang akan menzahirkannya pada waktunya. Berat sungguh kejadian itu di
langit dan di bumi. Tiada ia datang kepada kamu kecuali dengan tiba-tiba.”
(Quran, 7: 187)
[25]
“Paha hari itu, tiap-tiap orang akan mendapat apa yang diusahakannya. Tiada
kezaliman pada hari itu.” (Quran, 40: 17)
[26]
“Telah Kami rakamkan nasib tiap-tiap seorang, ditambat pada lehernya. Pada Hari
Kiamat Kami akan keluarkan rakaman itu terdedah kepadanya. ‘Bacalah buku kamu.
Diri kamu sendiri cukup sebagai penghisab terhadapmu.’” (Quran, 17:
13-14)
[27]
“Nafs dan Dia yang menciptakannya. Kemudian Dia menunjukkan apa yang jahat dan
apa yang baik. Berjayalah dia yang meningkatkannya. Gagallah dia yang
memerosotkannya.” (Quran, 91: 7-10) “Tidakkah telah Kami tunjuk kepadanya
kedua-dua jalan? Dia patut pilih jalan yang sukar. Apakah jalan yang sukar?
Membebaskan hamba-abdi. Memberi makan kepada anak-anak yang yatim yang
bersaudara pada waktu yang susah, atau kepada si miskin yang memerlukan. Dan
menjadi seorang mukmin yang menyeru satu sama lain supaya tekun dan sabar, dan
menyeru satu sama lain supaya menjadi pemurah.” (Quran, 90: 10-17)
[29]
“Wahai manusia, bertakwalah kepada Tuanmu, Yang menjadikan kamu dari suatu
diri, dan menjadikan pasangannya dari diri itu dan kemudian menebarkan dari kedua
itu ramai lelaki dan perempuan.” (Quran, 4: 1)
[30]
“Penciptaan dan kebangkitan kamu semua sama seperti suatu nafs. Tuhan
Pendengar, Pelihat” (Quran, 31: 28)
[31]
“Semuanya musnah, kecuai Wajah-Nya.” (Quran, 28: 88)
[32]
“Supaya Kami mengubah keadaan kamu dan menjadikan kamu tumbuh kepada sesuatu
yang kamu tidak tahu.” (Quran, 6: 61) “Dan Allah telah menyebabkan kamu tumbuh
dari bumi sebagai suatu tumbuhan. Kemudian Dia mengembalikan kamu kepadanya,
kemudian Dia akan mengeluarkan kamu sebagai suatu tumbuhan baru.” (Quran, 71:
17-18) “Supaya kamu pasti akan meningkat dari suatu keadaan kepada suatu
keadaan.” (Quran, 84: 9)
[33]
Lihat T. O. Shanavas, Creation and/or Evolution (2005)
[34]
Quran merujuk kepada hakikat ini dalam banyak ayat, seperti ayat para malaikat
sujud kepada Adam (simbol kepada manusia), ayat Tuhan ada dalam diri manusia
apabila Dia meniup secebis ruh-Nya ke dalam diri manusia (15: 29); dan
ayat Tuhan yang melakukan perbuatan orang mukmin dalam Perang Badar (8:
17).
[35]
“Kamu tidak boleh membayangkan keseronokan dan kebahagiaan yang menanti kamu
sebagai balasan kepada kerja-kerja kamu.” (Quran, 32: 17) “Kiasan Syurga , yang
telah dijanjikan bagi mereka yang bertakwa …” (Quran, 13: 35)
[36]
“Berjayalah ia yang meningkatkannya, dan gagallah ia yang mengabaikannya.”
(Quran, 91: 9-10)
[37]
Lihat Arnold Yasin Mol, Quranic Cosmology – A Modern Introduction, hlm.
24, nota 34 dan 35.
[38]
Penghuni Akhirat terdiri dari dua golongan, penghuni syurga dan penghuni
neraka. Penghuni syurga tinggal di sana selama-lamanya selagi langit dan bumi
bertahan. (Lihat Quran, 11: 108) Demikian juga penghuni neraka, tetapi akhirnya
mereka juga akan diselamatkan. (Lihat Quran 11: 107 dan Maulana Muhammad Ali, The
Holy Quran, nota 1201.
[39]
Lihat Quran, 39: 20 dan 66: 8.
[40]
Rancangan agung Tuhan bagi manusia supaya mereka mencapai kesempurnaan. (6:
162-63) Matlamat ini dinyatakan berbagai-bagai, iaitu (a) menegakkan kebenaran
(21: 16-18), (b) mencapai kebahagian (2: 257; 9: 111), (c) mencapai kebaikan
(67: 2; 2: 201); dan (d) mencapai keadilan (57:25)
[41]
“Semuanya musnah, kecuali Wajah-Nya.” (Quran, 28: 88) “Tuhan tidak menciptakan
langit dan bumi dan segala sesuatu di anataranya, kecuali dengan tujuan
tertentu dan tempoh tertentu.” (Quran, 30: 8)
[42]
“Mereka berkata, ‘Kami beriman kepada semua ini – semuanya datang dari Tuan
kami.’” (Quran, 3: 7)
(SELESAI)