Tuesday, July 10, 2012

ISLAM SEBAGAI SUATU SISTEM KEHIDUPAN



ISLAM SEBAGAI SUATU SISTEM KEHIDUPAN
Oleh: Kassim Ahmad
10 Juali, 2012.

            Perkataan ‘agama’ dalam ertikata biasa merujuk kepada sesuatu sistem kepercayaan dan ibadah. Ia tidak termasuk bidang-bidang kehidupan yang lain, seperti falsafah, undang-undang dan sistem sosio-ekonomi. Tetapi Islam sebagai satu deen diertikan sebagai satu sistem kehidupan yang mencakupi semua bidang, termasuk falsafah, undang-undang dan sistem sosio-ekonomi.
            Oleh kerana benua Eropah, yang mewarisi tamadun Islam pertama, sekarang dilanda pelbagai krisis, maka sudahlah sampai masanya kita kaji sebab-sebab krisis ini. Bukan itu saja. Kita kena kaji sistem ganti yang bakal mengganti sistem Eropah yang bobrok sekarang. Dalam hal ini do’a agung dalam Quran, “Tunjukilah jalan yang lurus.” (1: 6) perlu dirujuk dan diberi perhatian berat.
            Manusia sudah tergelicir dari “Jalan yang Lurus”. Yakni dia sudah menyeleweng dari jalan itu. Kata pepatah, sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan. Pangkal jalan kita pentadbiraan Nabi Muahammad dan empat Kahlifah al-Rasyidun. Tuhan memberi kepada kita dua contoh kehidupan yang baik, iaitu Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad. Contoh ini merujuk kepada sikap kedua-dua pemimpin ini, yang boleh kita simpulkan kepada dua ciri: revolusioner dan bijaksana. Revolusioner bermakna pergi kepada perdu masaalah, tetapi bijaksana apabila melaksanakan sikap revolusioner ini.
            Dua penyelewengan besar disebut dalam surah Al-Fatihah. Pertama, yang dilakukan oleh mereka yang derhaka kepada Tuhan dan dimurkai-Nya; kedua, mereka yang tidak derhaka kepada Tuhan, tetapi sesat daripada jalan yang lurus itu, kerana tidak menemui jalan itu .  
            Nyatalah mereka yang menderhaka kepada Tuhan itu kaum materiaslis yang menafikan dimensi spiritual dalam kehidupan manusia, yakni menafikan kewujudan Tuhan. Dalam zaman moden, mereka puak Marxis yang melahirkan sistem komunis di Rusia, Eropah Timur dan di China. (Sistem ini runtuh pada 1989-1991.)
            Mereka yang tidak menderhaka kepada Tuhan, tetapi yang sesat dari jalan yang lurus itu termasuklah orang-orang Islam dan Kristian.  Kesesatan ini kerana kealpaan mereka membenarkan korupsi masuk ke dalam kehidupan mereka. Korupsi ini boleh berbentuk falsafah, seperti Liberalisme dan Positivisme Logikal,  dan juga doktrin ekonomi dan kewangan yang membenarkan riba dalam pelbagai bentuk yang tersembunyi.
            Jadi, kita lihat penyelewengan pertama, penderhakaan kepada Tuhan telah hapus. Pernyelewengan dari dari jalan yang lurus kerana sesat, bukan kerana derhaka, masih belum dapat diatasi. Dalam kes umat Islam, kita melihat mereka terbahagi kepada puak teokrasi ala Iran (PAS sekarang; ingat PAS tidak selalu begini.) dan puak Liberal (Umno-BN). Ideologi Pakatan Rakyat , yang bercita-cita hendak mengambil-alih dari Barisan Nasional, tidak jelas. Ia cacamarba, kerana ia termasuk teokrasi PAS, cauvinisme Cina DAP, dan oporcunisme PKR.
            Saya telah menyatakan bahawa sistem dwi-parti Eropah yang sekarang menjadi obsesi rakyat kita itu primitif dan membazir. Ia berasal dari falsafah failasuf Inggeris, Thomas Hobbes, yang mengajar bahawa masyarakat “sebuah medan perang semua lawan semua.” Mengapa kita harus menjadi pak turut Eropah yang sejarahnya berbeza dari sejarah kita. Eropah menjajah; kita kena jajah. Mana boleh sama? Mana boleh kita ikut mereka?
            Tuhan beri kepada kita dua tangan. Patutkah kita gunakan tangan kiri untuk menghancurkan kerja tangan kanan? Ini sistem dwi-parti yang hendak kita bawa kepada politik kita sekarang? Kononya, yang satu boleh membuat koreksi, jika yang satu lagi membuat salah? Saya bertanya: Tidakkah koreksi boleh dibuat dari dalam? Lihat apa yang berlaku di Eropah. Adakah sistem dwi-parti mereka menghalang kemunculan kolonialisme dan imperialieme? Tidak! Adakah ia menghalang kemunculan negara kolonial Israel yang paling zamlim dalam sejarah? Tidak!
            Sistem ini juga sedang runtuh di Eropah sendiri. Mengapa kita hendak ikut suatu sistem pemerintahan yang sedang runtuh di tempat asalnya?
Jadi, kita harus susun satu sistem pemerintahan mengikut acuan kita sendiri, sistem yang menganjurkan permuafakatan di antara semua parti di atas asas patriotisme Malaysia,  bertujuan untuk mencapai kebaikan rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama. Bukankah ini jauh lebih rasional dan baik? Ayuh, susunlah!
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com      



           

7 comments:

Anonymous said...

Pada tajuk membawa maksud Islam sebagai satu sistem kehidupan tapi pada akhir essei dihimbau pula rakyat Malaysia harus susun satu sistem pemerintahan mengikut acuan kita sendiri, sistem yang menganjurkan permuafakatan di antara semua parti di atas asas patriotisme Malaysia.
Biasanya apabila sebuah rejim itu kureng mengikuti tuntutan Perlembagaan maka akan dikalehkan tumpuan kepada isu patriotisme.

Anonymous said...

Di Libya, semua rakyatnya adalah Islam tetapi baru-baru ni mereka tidak memilih 'parti Islam' dalam pilihanraya mereka, yang menang adalah puak Islam liberal dan wakil perseorangan.
Di Saudi Arabi pula kononnya rejim menganut syaria Islam tetapi sebenarnya takut pada demokrasi dan rela jadi pelutut pada AS.
Ramai yang akan menjaja Islam yang 'tulen' namun sehingga hari ini tak nampak satu negara pun yang boleh mengamalkan sistem adeen yang dimimpi-mimpikan.

Kassim Ahmad said...

1. Nyatalah Islam yang sebenar itu Islam seperti yang diajar dalam Quran, dan dilaksanakan oleh Nabi Muhammad dan empat Khalifah Rasyidun.
2. Dalam bahasa politik moden, sisten ini boleh diistilahkan sebagai republikan demokratik.
3. Tidak bolehkah kita hidupkan semula sistem ini?

Anonymous said...

salam Pak Kassim.
Bagaimana kita/orang2 Muslim hendak melaksanakan sistem pemerintahan mengikut Al-Quran? Sedangkan perkataan "Ad-Deen" itu sendiri telah diselewengkan dan disalah tafsir sebagai "Agama". Bagi mereka agama itu cukup dengan yg 5 sahaja. Aku sembahayang, bagi zakat, berpuasa dan pergi haji sudah cukup Islamnya. Tak kiralah samaada mereka itu dari parti Islam atau Liberal ataupun persaorangan janji buat yang 5 itu susah cukup "Islam"lah tu.
Sedangkan "Ad-Deen" itu adalah perhitungan cara hidup kita berpandukan perintah Tuhan.

sekian. T.Kasih.
mikat

MrBee said...

Salam,

Samada dipanggil dgn nama Deen atau agama tidak ada bezanya. Deen yg dirujuk dan dikonsepkan di dalam Quran itu merujuk kpd apa yg kita fahami sebagai agama. Sbb itu dikatakan "Untukmu Deenmu dan untukku Deenku".

Anonymous said...

salam Mr.Bee,

Q1:4
مَـالِكِ يَوْمِ الدِّينِ
Maliki yawmi alddeeni
Lord of the Day of Judgment
Raja dihari Pembalasan.

Sekiranya "Deen" itu ertinya "agama" maka terjemahan diatas akan berbunyi;
"Lord of the Day of religion"
"Raja dihari agama".

t/kasih.

Kassim Ahmad said...

1.Tetuan jangan bertengkar tt makna perkataan. Kerapkali sesuatu perkataan ada lebih dari satu makna.
2. Perkataan 'deen' (akar 'dayana') ada empat makna: hutang, beriman, hukuman dan undang-undang.