Saturday, July 28, 2012

MISI BESAR DUNIA MELAYU



MISI BESAR DUNIA MELAYU

Oleh: Kassim Ahmad
24 Julai, 2012

            Dua minggu yang lalu saya dan beberapa orang kawan mengadakan satu majlis dialog dengan kumpulan Shah Waliullah di Kota Bharu membincang sebuah kertas yang baru saya tulis. Kertas ini bertajuk “Kiamat dan Akhirat: Penggunaan Kiasan dan Metafora dalam Quran – Sebuah Nota Ringkas.”
            Harus diingat bahawa kumpulan ini telah wujud lama di Bandar Serambi Mekah ini. Shah Waliullah seorang failasuf Islam India moden (1703-1762 ) yang besar dan progresif. Kumpulan ini ditubuhkan oleh beberapa orang peminat untuk mengkaji idea-idea falsafah beliau.
            Saya juga seorang pengagum Shah Waliullah dan telah membaca buku-buku dan tulisan-tulisan tentang ajaran beliau. Oleh kerana itu seorang sahabat saya dari  kumpulan ini telah menjemput saya untuk berdialog dengan mereka banyak tahun dulu. Kedatangan saya kali ini untuk dialog yang kedua mengenai kertas saya sendiri.  
            Namun demikian, dialog ini meleset. Kebanyakan orang bukan membaca apa yang ada di dalam teks, tetapi membaca prasangka mereka ke dalam teks!  Ini perbezaan antara apa yang benar-benar wujud dengan apa yang disangka wujud, atau antara keobjektifan dan persepsi.
            Walaupun dialog meleset kerana sebab-sebab yang saya sebut di atas, satu gaasan besar timbul dari majlis ini, iaitu misi besar Dunia Melayu untuk kembali menghidupkan Islam yang asal seperti yang terdapat dalam kitab suci al-Quran dan dilaksanakan oleh Nabi Muhammad dan empat Khalifah Rasyidun.
  Mengingat akan penyelewengan-penyelewengan  yang telah berlaku dalam Islam, dan menyedari pelbagai krisis yang sedang melanda sistem Liberal Barat sekarang, saya bertanya kepada diri saya apakah Dunia Melayu (khasnya Malaysia dan Indonesia) tidak boleh merancang dan mengusahakan kebangkitan semula Islam untuk menyelamatkan manusia dari kehancuran total.
Dunia Melayu mempunyai penduduk keempat terbesar di dunia. Dunia Melayu mempunyai penduduk Islam terbesar di dunia. Dunia Melayu memiliki dua ciri penting untuk membolehkan mereka melakukan misi besar ini. Mereka berbangsa Melayu, menuturi bahasa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu. Mereka beragama Islam dengan kitab suci yang sama, Quran. Dua ciri ini membolehkan mereka bersatu untuk melaksanakan misi besar ini.
            “Dialah yang mengirim Rasul-Nya dengan bimbingan dan agama yang benar supaya ia boleh mengatasi agama-agama lain, walaupun ia tidak disukai oleh orang musyrikin.” [1]
            Nyatlah kaum musyrikin dan sekutu mereka dari kalangan orang munafik dari kalangan semua bangsa akan mengadakan pelbagai muslihat dan komplot untuk menggagalkan misi besar ini. Ini termasuklah rasuah dan peperangan yang besar, seperti yang dilakukan dalam dua Perang Teluk. [2]
Tetapi, seperti yang dinyatkan dalam Quran, musuh-musuh Tuhan membuat komplot, tetapi Tuhan pembuat komplot yang terbaik. [3] Lihat apa yang telah jadi dalam sejarah. Baik dalam zaman purba mahupun dalam zaman moden, pernahkan musuh-musuh Tuhan menang pada akhirnya? Apa jadi kepada Maharaja-maharaja Mesir Tua dan Maharaja-maharaja Romawi yang bengis,  ganas dan zalim? Apa jadi kepada Hitler dan Mussolini, Marx, Lenin, Stalin  dan Mao Zedong?  Jawabnya, kuasa dan pengaruh mereka akhirnya lenyap dari muka bumi!
            Setelah keruntuhan ideologi Marxisme-Komunisme pada 1998-2001, dunia, termasuk Dunia Islam, berlayar dalam Tongkang Besar Liberalisme. Di antara ciri-ciri Liberalism: kebebasan indidividu (dan dengan itu pelanggaran terhadap hak kolektif (ketiadaan keadilan ekonomi dan sosial), garis yang tidak jelas antara baik dan jahat (dan dengan itu riba yang zalim itu dibenarkan, membawa kepada kepapaan rakyat bawahan dan kekayaan melampau sebilangan kecil kelas atasan (tidak sampai 1%). Spain, Portugal, Ireland sekarang muflis dengan kadar pengganguran yang amat tinggi. Kesatuan Eropah (zon matawang Euro) sedang mengalami krisis kewangan dan ekonomi yang tenat. Ini termasuklah Great Britain dan A.S.
            Krisis kewangan dan ekonomi di Eropah dan A.S., lambat-laun, akan merebak ke seluruh dunia, termasuk ke China.
Persis, seperti yang telah saya katakan di atas, Tongkang Besar Liberalisme akan karam.
            Krisis Liberalisme bukan saja sebagai satu doktrin ekonomi, tetapi juga sebagai falsafah. Sepertimana, falsafah Marxisme telah runtuh, kerana asas materialismenya palsu, demikian juga Liberalisme akan runtuh.
            Apa yang perlu mengganti dua falsafah menyeleweng ini falsafah pertengahan yang boleh menggabungkan hak individu dengan hak kolektif dalam satu kesatuan yang harmonis. Inilah Islam, Jalan yang lurus, di antara dua jalan yang menyeleweng. [4]
            Sesetengah orang Islam sendiri sudah menjadi kaum peragu (skeptik): mereka tidak yakin ada obat untuk mengubati penyakit-penyakit manusia, iaitu kemiskinan, kejahilan dan kebodohan. Sebenarnya,  mereka bukan mukmin lagi. Orang mukmin tidak pernah ragu akan keadilan dan kerahiman Tuhan. Kaum peragu itu tidak berbeza dari kaum musyrikin dan kaum munafikin.  Rancangan Agung Tuhan untuk merealisasi Dunia yang Adil tetap akan berjaya. Tuhan Maha Berkuasa. Dia tidak pernah gagal. [5]
            Perjuangan besar ini mestilah dirancang dengan teliti di Malaysia dan di Indonesia. Perundingan, konferensi, strategi dan taktik, termasuk mengenalpasti Islam yang sebenar, seperti yang terdapat dalam kitab suci al-Quran dan dilaksanakan oleh Nabi Muhammad dan empat Khalifah al-Rasyidun.
Proses in akan mengambil sedikit masa, katalah satu atau dua dekad, selebih-lebihnya satu generasi (30 tahun; ingat Nabi Muhammad menyelesaikan misi besarnya dalam masa 23 tahun).
            Ingat misi besar ini tanggunjawab orang mukmin semuanya, di kalangan semua bangsa yang ada di dunia hari ini. Inilah perjanjian mereka dengan Tuhan. [6]

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia.Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

           
             


[1]  Quran, 9: 33)
[2]  Arab Sa’udi, sekutu A.S. menumbuk rusuk Rusia dengan cek berharga DAS 6 bilion supaya Rusia tidak menghalang serangan A.S. terhadap Iraq.
[3] Quran, 3: 54.
[4]  “Tunjujilak kami jalan yang lurus, jalan mereya yang Engkau restui, bukan mereka yang ditimpa kemurkaan, atau yang sesat.”” (Quran, 1: 6-7).(
[5][5][5]  “Tuhan telah memperundang-undangkan: ‘ Aku dan dan  rasul-rasul-Ku pasti menang ’” (Quran, 58: 21)  
[6]  “Tuhan telah membeli daripada orang mukmin jiwa dan harata mereka sebagai pertukan untuk Firdaus. Maka mereka berjuang di jalan Allah, sanggup membunuh dan dibunuh. Demikinalh janji benar Tuhan dalam kitab-kitab Taurat dan Injil dan Quran – dan siapakh yang menunaikan janji-Nya lebih daripada Tuhan? Hendaklah kamu bergembira dengan pertukaran ini. Inilah kemenangan yang terbesar.” (Quran, 9: 111)

3 comments:

Anonymous said...

maaf saudara
saya tahu blog ini saudara punya dan saudara ada hak mutlak terhadap komen komen, tapi adalah di harapkan jangan la letak kelantan sebagai serambi mekah. walau pun apa alasan dan hujah sekali pun, tolong la jgn buat begitu. t

RGEntertainment said...

Asamualaikum, saya ada meminta jadi fren kepada saudara di dalam fb...minta di approvekan. Terima kasih.

Kassim Ahmad said...

Tuan RGE: Saya tidak nampak permohonan tuan. Tolong ulang.