Sunday, February 10, 2013

TRAGEDI BERNAMA ISLAM



TRAGEDI BERNAMA ISLAM [1]

Oleh: Kassim Ahmad
 25 Januari, 2011
(Disemak semula pada 11 Februari, 2013)

Bayangkan jika hari ini Nabi Muhammad turun balik ke Malaysia (tentunya tiada siapa yang mengenal beliau), apa akan jadi? Beliau akan melihat orang Islam mendakwa nama "Allah" itu milik mereka saja; orang Islam tidak mahu berdebat tentang agama dengan orang bukan-Islam kerana takut; orang Islam bergaduh sama sendiri kerana berbeza mazhab; orang Islam mahu bergaduh dengan orang bukan Islam kerana azan; orang Islam melarang orang bukan-Islam memberi salam; orang Islam ada kasta paderi, seperti orang Hindu dan Kristian; perkataan “Muhammad” diletakkan bersama perkataan “Allah” sama besar dan sama paras di rumah-rumah dan di mesjid-mesjid, orang Islam berselawat kepada beliau dengan menyalah-tafsirkan ayat 33: 56 (kedua-dua ini bermakna mereka telah mendewa-dewakan Muhammad),  dan banyak lagi ajaran baru yang tidak diajar oleh beliau tetapi yang diamalkan oleh orang Islam. Beliau akan menitiskan air-mata, dan akan menegur mereka. Lalu orang Islam akan menghalau beliau keluar dari Malaysia, kerana beliau bahaya kepada ketenteraman awam!
Inilah "Islam" setelah ia berada di Malaysia selama 600 tahun lebih!
Malah beliau akan menghadapi nasib yang sama di Mekah tempat lahir beliau dan tempat beliau pertama kali menerima wahyu daripada Tuhan.
Inilah sebabnya saya menamakan esei ini "Tragedi Bernama Islam." Tragedi, kerana agama Islam yang direadi Allah bertukar menjadi agama yang tiada bezanya daripada agama-agama lain yang telah menyeleweng, seperti Yahudi, Kristian, Hindu dan lain-lain; namun orang Islam sendiri tidak menyedari penyelewengan mereka. Saya boleh ketawa, kerana lucunya, tetapi mana boleh saya ketawa? Ini perkara serius. Saya amat sedih. 
Kita harus mencari jalan keluar dari penyelewengan besar ini, sekarang juga.
Saya telah menulis buku, risalah dan banyak esei tentang kejatuhan Islam dan penyelewengan umat Islam. Tentu ramai orang telah membaca tulisan-tulisan ini. Di antara orang-orang yang telah membacanya tentulah termasuk kaum sarjana dan pemimpin-pemimpin politik dan agama. Mengapa mereka tidak bertindak dan mengambil langkah-langkah untuk mengatasinya? Mungkin kerana, dalam masa, katalah 100 tahun yang lalu, bermula dengan Jamaluddin al-Afghani (m. 1897) dan Muhammad Abduh (m. 1905), beberapa rumusan penyelesaian yang berbeza telah dikemukakan oleh berpuluh, mungkin beratus, orang sarjana dan cerdik-pandai yang telah mengkaji perkara ini. Mengapa belum diketemui jawapannya?
Ini bermakna orang Islam sendiri keliru! Umat Islam di seluruh dunia sudah jatuh sejak lama. Tidakkah ini nyata?
Ingat kembali amaran Tuhan yang jelas dalam Quran. "Rasul akan berkata: "Tuanku, umatku telah membelakangkan Quran ini. Demikianlah Kami wujudkan bagi setiap nabi musuh dari kalangan mereka yang berdosa. Tuanmu cukup sebagai pembimbing dan penolong." (25: 30-31). Dua ayat yang dahsyat ini wujud dalam Quran dari awal. Bermakna Tuhan Maha Mengetahui nampak kemungkinan umat Islam (zaman Nabi Muhammad) akan melakukan kesilapan yang sama, seperti umat-umat lain dulu, lalu, melalui mulut rasul-Nya Muhammad, mengeluarkan amaran besar ini. Mengapa tokoh-tokoh agama kita tidak memberi perhatian kepada amaran ini? Umpamanya, adat kita, di seluruh dunia Islam, melagukan Quran tanpa faham (bagi mereka yang bahasa Arab bukan bahasa ibunda) jelas melanggar peringatan ini. Bagi mereka yang bahasa Arab bahasa ibunda, mereka diajar supaya merujuk makna ayat-ayat Quran kepada golongan ulama (dengan bahasa lain, kasta paderi!). Kononnya, huraian para paderi ini cukup dan muktamad (istlahnya, ijmak )!
Saya menulis dalam memoir saya, Mencari Jalan Pulang: “Tidak ada kaedah yang lebih pintar daripada ini untuk menyembunyikan Quran daripada umat Islam.”  Seperti yang diungkapkan oleh pegawai-pegawai raja dalam zaman feudal Melayu dulu apabila sesorang itu hendak dihukum: "Sudah sampailah takdir Tuhan kepada anda!" Yakni untuk disembeleh!) Demikianlah umat Islam sudah disembeleh kerana membuat kesilapan-kesilapan yang sama seperti masyarakat-masyarakat agama lain.
Dalam penyelidikan saya, apa yang dipanggil Hadith atau Sunnah itulah punca utama penyelewengan umat Islam. Quran dibuat buku nyanyian; Hadith dibuat buku pegangan! Selepas itu, umat Islam mewujudkan suatu kasta paderi (disebut ulama), yang tiada dalam ajaran Islam yang asal)) untuk mentafsirkan agama bagi mereka, seperti orang Yahudi, Kristian dan Hindu. Kemudian mereka pisahkan ilmu kepada dua kelompok yang berlainan: ilmu agama dan ilmu dunia.
Ketiga-tiga faktor ini menjaminkan mereka akan kekal terperangkap dalam penjara yang mereka bina sendiri! Malang seribua kali malang! Mereka anggap penjara itu istana yang cantik! Mereka bangga duduk di dalamnya!
Kalau saya hendak menceritakan ini semua dengan terperinci, saya kena tulis sepuluh jilid. Malangnya, saya tidak ada masa. Kita semua pun tidak ada masa. Kita perlu keluar dari penjara ini dengan segera. Nasib baik Quran, satu-satunya buku yang dijamin oleh Tuhan terpelihara daripada korupsi, masih ada pada kita. Quran akan datang balik kepada kita dan kepada seluruh dunia. Inilah yang akan mengeluarkan kita dari penjara dan akan menyelamatkan kita daripada kemusnahan besar yang menanti.

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia.  La,an web beliau www.kassimahmad.blogspot.com dan www.stormloader.com/qsm/jam
  


[1] Esei ini ditulis dalam tahun 2011, tetapi tidak disiarkan di mana-mana, kecuali dalam blog saya.

14 comments:

imlan adabi said...

tulisan menarik. mencabar minda. Saya kagum pemikiran anda

Anonymous said...

Apabila elit penindas berkuasa maka ia akan pastikan antara lainnya ajaran atau mesej agama yang tidak membebaskan minda rakyatnya dilaksanakan, maka kita lihat dalam sejarah mana-mana elit sedemikian berkuasa agama akan menjadi agama sebagai candu. Lihat negara 'Islam' di negara-negara Arab merentang dari Afrika Utara sehingga di Timur Tengah yang mana rejim korap/diktator telah menyebabkan terjadinya 'trajedi bernama Islam' termasuk negara kita Malaysia, Brunei, Pakistan, Bangladesh, dan mungkin di semua negara yang kononnya mengamalkan doktrin Islam. Rakyat berdengung bak kena candu apabila disuap ajaran Hadith dan Sunnah. Jadi Hadith atau Sunnah bukan punca utama penyelewengan umat Islam. Rejim penindas tidak akan membenarkan kupasan Islam berdasarkan Quran dan pemikiran rasional dan saintifik. Itu akan membunuh rejim korap itu. Rejim korap akan mengguna ahli pemikir/filosofer/mufti/akademik/motivator/monarki dan Profesor Kang Kung di IPTA untuk menentang sesiapa yang mengupas Islam jika tidak memakai Hadith dan pemikiran kalut. Hakikat ini terang di depan biji mata rakyat kecuali mereka yang matanya juling tak nampak perkara ini berlaku.

Anonymous said...

Dan bg saya, bayangkan juga, saya hidup di zaman Nabi Muhammad, di Mekkah. Di pihak mana saya? Belum tentu, ikut pemikiran Nabi...

zaini zaa said...

assalam Pak Kassim.
apa yang yang pak Kasssim tulis tu itu benar. hari ini umat islam sudah sekian LAMA membelakangkan al quran kerana mereka menjadikan al quran sebagai buku nyanyian dan hadish sebagai pegangan...selepas muhammad wafat, islam hancur. golongan ulamak mengambil jejak rasul sebagai perisai mereka. lalu allah hantar utusan tetapi umat islam membunuhnya. allah hantar lagi utusan. mereka membunuh lagi. hari ini kedatangan lelaki berani yang menyedarkan mereka dari mimpi mimpi sudah tiba...selamat dan salam buatb para nabi allah dan para utusanNya. kesejahteraan dilimpahkan atas mereka..

Kassim Ahmad said...

Pembaca yang budiman;
Sila komen.

bertanya said...

sabda rasulullah; aku tinggalkan kamu dua benda, kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang kepadanya yaitu quran dan sunnah... apa maksud pak kassim dgn Dalam "penyelidikan saya, apa yang dipanggil Hadith atau Sunnah itulah punca utama penyelewengan umat Islam"..apa guna nya ulama belajar hadis? siapa yang nak menerangkan hadis mana yang sohih,maudhu atau hadis maudhu kalau bukan ulama? atau pak kassim sendiri dapat menerangkan tentang hadis? pak kassim hafal hadis tak? atau tidak percaya langsung pada hadis? pak kassim ini sehebat imam syafie ka untuk berkata sedemikian... maaf.. sekadar pertanyaan...

Kassim Ahmad said...

1. Hadis yang menyatakan Nabi meninggalkan dua warisan itu benar, jika kita telah memastikan warisan beliau yang benar-benar sahih, seperti dokumen-dokumen Piagam Madinah, Perjanjian Hudaibiyah dan surat-surat beliau kepada pembesar-pemersar Parsi dan Romawi.
2. Dalam buku saya HSPS, saya telah menerangkan punca-punca timbulnya hadis. Banyak selaki hadis palsu. Bukhari mengumpul 600,000 hadis; yang beliau terima sebagai sahih hanya 7,000, iatu 1.16% saja!
3. Hendak mengetahui sama ada sesuatu hadis itu sahih atau palsu, kita kena letaknya di bawah kritikan Quran, kerana Quran itu Furqan, Penimbang.
3. Saya telah membuat sedikit kajian tt hal ini. Hasilnya telah saya terbitkan dalam sebuah risalah bertajuk "Dilema Uma Islam -- Antara Hadis dan Quran". Jika Sdr berikan saya alamat Sdr, saya boleh kirim risalah ini.

Anonymous said...

pak kassim, bukti kebenaran kita sekarang telah membelakangkan quran adalah keadaan umat islam sekarang ini yang jauh di belakang umat umat lain dalam segala hal, ilmu, kemampuan dan kekuasaan.

lihat lah di mana umat islam pada awalnya sekitar 700 ke 1100 masehi. mereka super power. ekonomi, ilmu dan budaya ikutan umat lain. mereka menerajui penyelidikan. mereka menemui abjad kosong untuk isaac newton membuat perkiraan nya.! antara penemuan mereka yang berbagai2 bidang.

kerana? hadis belum tersebar luas.
itu lah umat alquran. melepaskan manusia dari belenggu adat istiadat agama yang karut, kepada pemikiran rational seperti anjuran quran.

bukti nya adalah vacuum kekosongan ahli penemuan baharu dari kalangan muslim dalam semua hal sampai ke hari ini. kita membuang anjuran alquran supaya berfikir. sebalek nya kita hanya mau rujuk secara malas kepada ulamak untuk segala kemuskilan kita.

Muhammad Azhari Bin Yaacub said...

Pak Kassim . di mana boleh saya dapatkan buku Pak Kassim ?

Anonymous said...

salam Pak Kassim,

Inilah yg akan berlaku bila manusia ingin menjadi "TUHAN".
Di adakan doktrin2 baru yg mana dikatakan :ULAMAK PEWARIS NABI" bagi menghalalkan segala yg dibuat olih mereka yg bergelar ulamak. Maka keluarlah bermacam2 tafsiran dan "FATWA" bagaikan Allah ini "PELUPA".

Diadakan rancangan "Tanyalah Ustaz" yg sepatutnya kita "Tanyalah Al-Quran" sebab segala permasaalahan berkaiatan dengan AdDeen ada didalam Quran. Tuhan ingin berbicara dengan kita,
tapi manusia ni pemalas. Malas untok mengkaji Quran. Mereka lebih senang dengan jawapan "SEGERA". Tidakkah mereka perhatikan bahawa hampir 99% jawapan yg diberi olih Ustaz2 ini adalah BUKAN dari Quran.

Q16:63 ...... tetapi setan menjadikan umat-umat itu memandang baik perbuatan mereka, maka setan menjadi pemimpin mereka di hari itu dan bagi mereka azab yang sangat pedih'

Q27:24 ..... dan setan telah menjadikan mereka memandang indah perbuatan-perbuatan mereka lalu menghalangi mereka dari jalan (Allah), sehingga mereka tidak dapat petunjuk,"

mikat.

Anonymous said...

Salam pak Kassim. Jawapan yg saya bendung sejak kecil, rasanya terjawab juga dgn membaca karya Tuan. Harap dapat berhubung secara langsung dgn Tuan. Bagaimana?

hasri.blog said...

as salam, pak kassim. boleh hantar risalah bertajuk Dilema Umat Islam- AntarA Hadis dan Quran. Moga mendapat kebenaran.

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.