Showing posts sorted by relevance for query SELAWAT. Sort by date Show all posts
Showing posts sorted by relevance for query SELAWAT. Sort by date Show all posts

Saturday, February 11, 2012

PENDEWAAN PEMIMPIN –
SUATU KELEMAHAN MANUSIA


Oleh: Kassim Ahmad
darul_hikmah33@yahoo.com.my

12 Februari, 2012

Kebanyakan orang, walau apa pun kamu buat, tidak akan beriman. – Quran, 12: 103.

Kebanyakan yang beriman, tidak beriman tanpa menyengutukan Tuhan.
– Quran, 10: 106.

Jangan menyembah dua tuhan; tuhan hanya satu. – Quran, 16: 51.

Pada 5 Februari yang lalu, saya mengadakan majlis pelancaran buku saya yang baru (Islamic Renaissance – A New Era Has Begun, Brainbow Press, U.S.A. 2012) di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor. Ucapan pelancaran diberikan oleh Sdr Nik Aziz Hassan, bekas Ketua Jabatan Dakwah, Universiti Kebangsaan Malaysia dan seorang anggota pimpinan Kumpulan Shah Waliullah di Kota Bharu, Kelantan. (Shah Waliullah seorang failasuf besar Islam India aba ke-18.)
Kebetulan hari itu terjatuh pada hari Maulidil-Rasul, lalu saya meminta hadirin mengingati perjuangan tokok humanis yang agung ini, yang telah memberikan kita kitab suci yang terakhir, Quran’ul-Karim. Saya tidak menyebut frasa Arab sallal’llahu ‘alaihi wasallam ketika menyebut nama tokoh besar ini, seperti yang biasa dilakukan oleh kebanyakan orang Islam. Perkataan yang digunakan itu selawat, selawat kepada Nabi Muhammad.
Walaupun pada waktu soal-jawab, tidak siapa daripada hadirin menanya saya tentang perkara ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjawabnya.
Ayat suci yang digunakan sebagai asas selawat ini datang dari Surah Al-Ahzab (33), ayat, 56. Bunyainya: “Tuhan dan malaikat-Nya merestui Nabi. Hai kamu yang beriman, hendaklah kamu restui beliau, dan hormati beliau dengan kehormatan yang sewajarnya.” (Restu, ertinya sokong, bantu.) Sekiranya kita mengambil ayat ini tanpa banyak usul periksa dan mengucap selawat apabila nama Nabi Muhammad disebut, bermaknalah kita telah membezakan antara rasul-rasul Allah. Membezakan antara rasul-rasul Allah itu dilarang oleh Tuhan. Rujuk Quran, 2: 136.
Apabila kita mengkaji dengan teliti ayat selawat tadi, kita akan dapati bahawa 13 ayat sebelum itu (ayat 43), terdapat ayat yang berbunyi: “Dialah yang merestui kamu (yakni orang mukmin), bersama-sama dengan malaikat-Nya untuk membimbing kamu keluar dari kegelapan kepada cahaya.” Ini bermakna, bukan Nabi Muhammad saja yang direstui oleh Tuhan dan para malaikat-Nya, tetapi juga orang mukmin. Malah orang mukmin disebut dulu!
Ini logik sekali. Nabi Muhammad itu pemimpin orang mukmin pada ketika itu. Orang mukmin itu memang tanggunjawab Tuhan (dan para maalaikat-Nya) sokong dan bantu. Demikian juga pemimpin orang mukmin.
Ada tiga perkara yang disebut dalam “ayat-ayat selawat” ini. Pertama, orang mukmin dan juga pemimpin mereka direstui Tuhan dan malaikat-Nya. Kedua, orang mukmin dikehendaki menghormati, membantu dan menyokong pemimpin mereka. Ketiga, Nabi disuruh merestui orang mukmin, kerana restu Nabi menggalakkan mereka untuk berjuang di alan Allah. (Ini disebut dalam ayat 103, Surah 9.)
Soalnya, mengapakah kebanyakan cendekian Islam (saya gugup hendak menyebut perkataan ‘ulama’, kerana kasta ulama tiada dalam Islam!) dari dulu hingga sekarang gagal menghuraikan perkara ini? Mereka membiarkan umat Islam melakukan dosa syirik, yakni menyengutukan Tuhan, sedangkan dosa syirik itu satu-satunya dosa yang tidak diampunkan Tuhan.
Saya telah memetik dan meletakkan tiga ayat suci di depan esei ini. Ayat pertama menerangkan bahawa kebanyakan manusia tidak beriman. Ayat kedua menerangkan bahawa kebanyakan orang yang beriman tidak beriman kecuali menyengutukan Tuhan. Ayat ketiga melarang kita daripada menyebah dua tuhan. (Siapa yang menyembah dua tuhan? Orang Hindu menyembah banyak tuhan; orang Kristian menyembah tiga tuhan. Yang menyembah dua tuhan, siapa? Fikirlah sendiri!)
Kita harus berwaspada terhadap kecenderungan manusia untuk mendewa-dewakan pemimpim. Pendewaan terhadap pemimpin membawa akibat kita menjadi hamba kepada pemimpin itu. Kita tidak bebas. Sedang kita dijadikan Tuhan khalifah untuk menentukan nasib kita sendiri. Kita dijadikan Tuhan raja untuk mentadbirkan Alam Semesta.

---------------------
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

Wednesday, March 28, 2007

3. HADIS YANG BERCANGGAH DENGAN QURAN

1. Perkara yang berhubung dengan pegangan tauhid

Tajuk ini penting sekali, kerana iman atau pegangan tauhid ialah asas agama Islam.

Pendewaan terhadap Nabi Muhammad.

Sepertimana umat Nabi Isa, yang tiga ratus tahun setelah beliau wafat, telah mendewakan beliau sebagai Anak Tuhan, demikianlah umat Nabi Muhammad, mungkin secara tidak sedar, telah mendewakan beliau sebagai "kekasih Allah", "penghulu segala nabi", "maksum" dan sebagainya. Satu daripada tanda kongkrit pendewaan ini ialah kita melihat di kebanyakan mesjid dan rumah orang Islam di Malaysia, nama Muhammad diletak sama paras di samping Allah dengan tulisan yang sama besar. Kita tidak boleh meletak sesiapa pun di samping Allah. Jika kita hendak meletak nama Nabi, letaklah di bawah, seelok-eloknya bersama-sama nama nabi-nabi Allah yang lain, kerana Tuhan telah melantik banyak nabi dan rasul untuk menerima dan menyibarkan ajaran-Nya.

Hadis-hadis yang mendewakan Nabi Muhammad banyak, termasuk kalimah syahadah yang kedua, selawat kepada Nabi, dan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh masyarakat kita bahawa Nabi Muhammad kekasih Allah dan penghulu segala nabi, Nabi Muhammad maksum dan mempunyai syafaat di Hari Kiamat. Hadis-hadis ini terang-terang bercanggah dengan ajaran Quran yang melarang kita menyengutukan Tuhan dengan sesiapa atau apa-apapun, yang melarang kita mendewakan pemimpin, yang melarang kita daripada membezakan rasul-rasul dan nabi-nabi Allah [1], yang menyatakan Nabi Muhammad itu manusia biasa dengan kelemahan-kelemahan manusia biasa dan yang menegaskan tiada siapa mempunyai kuasa syafaat pada Hari Kiamat, kecuali Allah.[2]

(i) Kalimah syahadah

Kalimah syahadah diberi dalam Quran dalam ayat-ayat berikut:-

Tuhan naik saksi tiada tuhan melainkan Dia, dan demikian juga para malaikat dan mereka yang berilmu.[3]

Perhatikan bahawa ayat ini memberi acuan kepada syahadah pertama, dan perhatikan bahawa syahadah kedua tidak ada dalam ayat ini. Malah syahadah kedua ditolak dalam ayat berikut:-

Apabila orang munafik datang kepadamu, mereka berkata, “Kami naik saksi engkau rasul Allah.” Allah tahu engkau rasul-Nya, tetapi Allah naik saksi orang munafik memang pendusta. Berselindung di sebalik topeng iman, mereka menyelewengkan manusia dari jalan Allah. Sungguh jahat apa yang mereka lakukan.[4]

Apa yang diajar dalam Quran tentang hal ini sungguh menasabah. Muhammad salah seorang rasul Allah, bukan satu-satunya rasul Dia. Apabila kita mengisytiharkan beliau saja sebagai rasul Allah, maka kita telah melanggar larangan Tuhan supaya tidak membezakan rasul-rasul-Nya. Perbuatan membezakan rasul-rasul Allah serta melebihkan seseorang rasul daripada yang lain hanya memecah-belahkan manusia. Hal ini ternyata dari konflik-konflik agama yang telah berlarutan dalam masyarakat manusia.

Tuhan juga telah memaklumkan kepada kita kecenderungan manusia untuk syirik dengan menyebut nama lain di samping Allah. Firman-Nya:

Apabila Tuhan saja disebut, hati mereka yang tidak beriman kepada Hari Kemudian kecut dan marah. Tetapi apabila disebut yang lain di samping-Nya, mereka gembira. [5]

(ii) Selawat kepada Nabi

Tidak syak lagi, Nabi Muhammad seorang pemimpin spiritual dan agama yang besar dalam sejarah manusia. Wajarlah kita menghormati dan memuliakan beliau serta menta`ati ajarannya dalam Quran. Namun demikian, menghormati dan memuliakan harus dibezakan dengan mendewakan. Kita dilarang mendewakan beliau. Hanya Tuhan Yang Esa yang kita dewakan.

Ayat mengenai selawat kepada Nabi ini telah disalah-tafsirkan hingga makna yang sebenar perktaan Arab 'selawat' (salla, yusalli = merestui) telah menjadi satu keistimewaan untuk Nabi Muhammad. Perhatikan ayat-ayat yang berhubung dengan perkara ini:-

Tuhan dan malaikat-malaikat-Nya membantu dan menyokong nabi. Hai kamu yang beriman, hendaklah kamu bantu dan sokong dia, dan hormati dia dengan kehormatan yang sewajarnya.[6]

Ayat di atas menerangkan bahawa Tuhan dan para malaikat-Nya merestui dan menolong Nabi dalam tugasnya untuk menyibarkan ajaran Tuhan di kalangan manusia. Lalu Tuhan memerintahkan orang beriman merestui dan menolong beliau dalam tugas ini serta menghormati beliau dengan kehormatan yang layak beliau terima sebagai nabi dan rasul Allah. Namun demikian restu dan sokongan ini tidak dikhaskan kepada Nabi Muhammad saja. Jika ayat ini dibaca bersama dengan ayat 33:43 sebelum itu, kita akan mendapat pemahaman yang lebih jelas.

Dialah Yang membantu dan menyokong kamu, bersama-sama dengan malaikat-malaikat-Nya, untuk membimbing kamu keluar dari gelap kepada terang.

Ayat di atas yang mendahului ayat pertama tadi memberitahu kepada kita bahawa Tuhan dan para malaikat-Nya merestui dan membantu orang mukmin. Ini menasabah sekali, kerana orang mukmin memang direstui dan dibantu oleh Tuhan dan malaikat-Nya, sepertimana Nabi Muhammad sebagai pemimpin orang mukmin direstui dan dibantu oleh Tuhan dan malaikat-Nya.

Untuk melengkapkan huraian ini, mari kita perhatikan sebuah ayat lagi, yang berbunyi:-

Ambillah sedekah dari wang mereka untuk membersih dan menyucikan

mereka dengannya. Restuilah mereka, kerana restumu menyenangkan mereka. [7]

Melalui ayat di atas Tuhan memerintahkan Nabi supaya memberi sokongan dan galakan kepada pengikut-pengikutnya, kerana sokongan dan galakan dari seorang pemimpin kepada pengikut-pengikutnya memang wajar dan perlu.

Apabila kita melihat penggunaan perkataan 'selawat' dalam konteks yang menyeluruh ini, kita akan mendapat pemahaman yang lebih tepat. Keseluruhannya bermakna (a) Tuhan dan malaikat-Nya menolong orang mukmin untuk mengeluarkan mereka dari kemunduran kepada kemajuan, (b) Tuhan dan malaikatnya menolong pemimpin orang mukmin (Nabi pada masa itu ialah pemimpin orang mukmin), dan menyuruh orang mukmin menolong pemimpin mereka, dan (c) Tuhan menyuruh Nabi memberi ransangan dan galakan kepada pengikut-pengikutnya supaya mereka rela dan sanggup berjuang di jalan Allah. Dengan pemahaman yang menyeluruh ini, tidak timbul soal berselawat kepada Nabi secara khusus dengan kata-kata itu.

Hadis-hadis yang meletak Nabi Muhammad melebihi nabi-nabi lain dilarang dalam Surah 2, ayat 136 yang berbunyi:-

Katakanlah, “Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami dan kepada Ibarahim, Ismail, Ishak, Ya’akub dan keturunan; dan kepada apa yang diberi kepada Musa dan Isa, dan kepada semua nabi daripada Tuan mereka. Kami tidak membezakan seorang pun di antara mereka. Kepadanya-Nya kami muslim.”

Walaupun Tuhan menyatakan Nabi Muhammad itu rahmat kepada seluruh dunia, [8] kita dilarang daripada menganggap dia lebih dari seorang manusia biasa.[9] Pada Hari Kiamat, semua manusia sama di hadapan Tuhan. Tiada siapa yang boleh menolong orang lain, dan Nabi Muhammad tidak mempunyai syafaat pada hari, seperti yang didakwa dalam Hadis. Perhatikan ayat-ayat ini:

Katakanlah, “Tiada aku kuasa untuk menolong atau memudaratkan diriku, kecuali apa yang Tuhan kehendaki. Jika aku mengetahui masa depan, tentu aku akan dapat menambah kekayaanku dan tiada mudarat akan menimpaku. Aku tidak lebih daripada seorang pemberi amaran dan pembawa berita baik bagi mereka yang beriman.[10]

Katakanlah, “Aku sembah hanya Tuanku dan aku tidak pernah mengadakan berhala-berhala lain di samping-Nya. Katakan, “Aku tidak berkuasa untuk memudaratkan atau membimbing kamu. Katakan, “Tiada siapa boleh melindungku daripada Tuhan, dan tiada boleh aku mencari perlindungan lain di samping Dia.” [11]

(c) Pendewaan kepada pemimpin

Selain daripada pendewaan kepada nabi, manusia juga kerap mendewakan pemimpin-pemimpin agama, politik dan intelek mereka dengan bertaklid kepada ajaran-ajaran mereka. Ini dilarang, kerana sikap demikian akan meragut kebebasan berfikir yang perlu untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan.

Mereka juga akan berkata, “Tuan kami, kami telah mentaati pembesar-pembesar dan pemimpin-pemimpin kami, tetapi mereka telah menyesatkan kami. Tuan kami, gandakan azab mereka dan laknatilah mereka dengan laknat yang besar.” [12]

(d) Warisan Nabi -- satu atau dua?

Seperti dalam banyak hal, dalam hal ini juga Hadis bercanggah antara satu sama lain. Ada yang mengatakan Nabi meninggalkan satu perkara saja, iaitu Kitab Allah; ada pula yang mengatakan dua, iaitu Kitab Allah dan sunnah rasul-Nya.

Mari kita lihat hadis-hadis ini. Laporan Jabir bin Abdullah ada dua versi. Satu lagi laporan Malik bin Anas.

1(a) Jabir bin Abdullah melaporkan bahawa Rasulullah berpidato kepada rakyat dan berkata: "… dan aku telah meninggalkan kepadamu satu perkara; jika kamu berpegang teguh kepadanya, kamu tidak akan sesat selepasku, iaitu kitab Allah. Kamu akan ditanya tentangku. Jadi, apa akan kamu kata?" Mereka menjawab: "Kami akan memperaku bahawa kamu sebenarnya telah menyampaikan dan menyempurnakan perutusan dan memberi peringatan." (Riwayat Muslim) [13] (Tekanan ditambah)

(b) Jabir bin Abdullah melaporkan bahawa Rasulullah telah berkata dalam Haj Akhir: "… dan aku telah meninggalkan di antara kamu satu perkara; jika kamu berpegang teguh kepadanya, kamu tidak akan sesat selepasku -- kitab Allah dan apa yang kamu dapat daripadaku melalui soalan (Hadis). (Riwayat Muslim) [14] (Tekanan ditambah)

Malik bin Anas melaporkan sebuah hadis cacat bahawa Rasulullah berkata: "Aku meninggalkan kepamu dua perkara; selagi kamu berpegang teguh kepadanya, kamu tidak akan sesat -- kitab Allah dan sunnah rasul-Nya. (Muwatta) [15] (Tekanan ditambah)

Walaupun dua versi laporan Jabir bin Abdullah ada sedikit perbezaan, ia tetap menyatakan peninggalan Nabi Muhammad satu saja, iaitu kitab Allah. Namun, kebanyakan umat Islam hari ini berpegang kepada hadis laporan Malik bin Anas yang mengatakan dua, walaupun pelapornya menyifatkan hadis ini sebuah hadis cacat!

Ajaran bahawa Nabi Muhammad meninggalkan dua buah kitab dibantah oleh Quran, antara lain, dalam ayat-ayat berikut:-

Pada hari ini telah Aku lengkapkan agamamu untukmu dan sempurnakan nikmat-Ku bagimu dan telah Kupilih Islam bagimu sebagai agama.[16]

Ayat ini, yang turun lapan puluh satu atau lapan puluh dua hari sebelum Nabi wafat, menunjukkan bahawa agama Islam sudah lengkap pada ketika itu.

Lihat ayat ini, yang menyindir mereka yang mahukan sebuah kitab lain yang boleh mensahkan kemahuan mereka yang tidak sah itu:-

Patutkah Kami perlakukan orang muslim seperti orang berdosa? Betapakah hal kamu? Bagaimana kamu menghukum? Adakah kamu sebuah buku lain yang kamu gunakan, dan memberi kepada kamu apa-apa yang kamu kehendaki? [17]

Lihat ayat ini lagi, yang mendedahkan mereka yang mahu sebuah Quran yang lain atau yang sudah diubah:-

Tetapi bila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang nyata, berkatalah mereka yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Kami, “Bawalah sebuah Quran yang lain daripada ini, atau ubahlah.” Jawablah, “Aku tidak boleh mengubahnya mengikut kemahuanku sendiri. Aku hanya mengikut apa yang diwahyukan kepadaku. Aku takut akan siksaan pada hari yang dahsyat, jika aku derhaka kepada Tuanku.”[18]

Akhir sekali, ayat berikut membuktikan dengan jelas bahawa kitab yang perlu dipegang oleh umat Islam ialah Quran.

Rasul berkata, 'Tuanku, kaumku telah membelakangkan Quran ini.' Demikianlah Kami mengadakan bagi tiap-tiap nabi musuh dari dari kalangan penjenayah. Tuanmu cukup sebagai pembimbing dan pembantu.[19]

Tidak syak lagi, Quran juga mengajar kita supaya menjadikan Nabi Muhammad sebagai contoh, supaya mendengar semua pendapat dan ikut yang paling baik, supaya mengkaji sejarah dan supaya membaca, berfikir, menyiasat dan mengkaji alam tabi`i dan alam manusia untuk mendapat ilmu yang sahih.

Seperti yang telah saya katakan di atas, saya tidak menafikan bahawa hadis-hadis wujud dari zaman awal lagi, yang berupa buku-buku nota atau sahifah, sebelum kumpulan-kumpulan Bukhari, Muslim dan lain-lain yang dibuat secara rasmi selepas perisytiharan Imam Shafi`e bahawa Hadis/Sunnah juga perlu dipegang oleh umat Islam. Malah sejarah membuktikan wujudnya beberapa dokumen yang ditulis oleh Nabi Muhammad, seperti Piagam Madinah, Perjanjian Hudaibiyah dan surat-surat beliau kepada pembesar-pembesar Kristen pada waktu itu. Namun demikian, bagi umat Islam kitab panduan yang utama ialah Quran, bukan Quran dan Hadis.

(e) Sembahyang tiang agama.

Walaupun sembahyang itu satu ibadah penting yang diperintahkan kepada orang mukmin, di samping puasa, zakat dan naik haji, sembahyang bukanlah tiang agama, seperti yang diajar dalam Hadis. Seperti yang kita tahu, tiang agama Islam ialah tauhid, iaitu iman kepada Tuhan Yang Esa.[20] Tanpa iman kepada Tuhan, segala perbuatan kita sesia. Malah Tuhan mengutuk orang yang bersembahyang tetapi tidak berbuat baik.[21]

Ibadah sembahyang itu suatu kaedah yang ditetapkan bagi manusia untuk membersihkan jiwanya serta mendekatkan dirinya kepada Tuhan. Ia bukan matlamat. Matlamat kita Tuhan. Jiwa yang kotor tidak akan mencapai Tuhan. Jadi, Tuhan mengajar kita kaedah untuk membersihkan jiwa kita melalui ibadah-ibadah agama, seperti sembahyang, puasa, pemberian zakat dan naik haji, tetapi Tuhan melarang kita daripada bertengkar tentang kaedah.[22]



[1] “Katakanlah, ‘Kami beriman kepada Tuhan dan kepada apa yang diturunkan kepada kami dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ishak, Ya`akub dan keturunannya, dan yang diberi kepada Musa, Isa dan nabi-nabi dari Tuan mereka. Kami tidak membezakan di antara mereka. Kepada-Nya kami tunduk.’ “ (3: 84)

[2] “Kami tidak mengirim mana-mana rasul sebelummu, kecuali dengan wahyu kepadanya bahawa ‘Tiada tuhan kecuali Aku; oleh itu, sembahlah Aku saja.’ Namun demikian, mereka berkata, ‘Yang Maha Pemurah telah mengadakan seorang anak!’ Maha Suci Dia. Mereka semua hamba yang mulia. Mereka tidak bercakap mengikut kehendak mereka sendiri; mereka mengikut perintah-Nya. Dia mengetahui masa depan mereka dan masa yang lalu. Mereka tidak memberi syafaat kecuali bagi mereka yang telah diterima oleh-Nya, dan mereka bimbang tentang diri mereka sendiri.” (21: 25-28)

[3] Quran, 3:18.

[4] Quran, 63:1-2.

[5] Quran, 39:45.

[6] Quran, 33:56.

[7] Quran, 9:103.

[8] Lihat Quran, 21:107.

[9] Lihat Quran, 18:110.

[10] Quran, 7:188.

[11] Quran, 72:20-22.

[12] Quran, 33:67-68.

[13] Fazlul Karim, Mishkat-ul-Masabih, Jil. III, h. 584-90, No. 46.

[14] Ibid., Jil. I, h. 172, No. 118.

[15] Ibid., Jil. I, h. 1173, No. 120.

[16] Quran, 5:3.

[17] Quran, 68:35-38.

[18] Quran, 10:15.

[19] Quran, 25:30-31.

[20] Seperti yang diterangkan dalam 116, Surat 4, Tuhan mengampuni segala dosa lain, jika Ia kehendaki, tetapi Ia tidak mengampuni dosa syirik. Iman kepada Tuhan Yang Esa itulah tiang agama. Ayat 124, Surah 4, menerangkan bahawa segala perbuatan baik, jika tidak ditunjangi oleh iman, tidak diterima.

[21] “Tidakkah kamu melihat mereka yang mendustakan agama? Dialah orang yang mengasari anak yatim! Yang tidak menganjur memberi makan kepada orang miskin! Celakalah mereka yang bersembahyang! Yang tidak sedar akan sembahyang mereka! Mereka hanya ingin menunjuk dan melarang bersedekah!” ( Quran, 107:1-7)

[22] Lihat ayat 22:67 yang berbunyi, "Bagi tiap-tiap masyarakat, Kami telah mewujudkan ibadah yang mereka lakukan. Jangan kamu diajak bertengkar tentang perkara itu. Serulah kepada Tuanmu. Kamu di jalan yang benar."

Sunday, May 31, 2015

MENGAPA SELAWAT KEPADA NABI MUHAMMAD?



MENGAPA SELAWAT KEPADA NABI MUHAMMAD?

Oleh: Kassim Ahmad
31 Mei, 2015

            Kebanyakan orang Islam di seluruh dunia, tiap kali nama Nabi Muhammad disebut, menyebut “salla’l-Lahu’alaih-i-wasallam” (SAW). Mengapa? Apabila nama Nabi Ibrahim atau nabi-nabi lain, disebut, mereka menyebut “’aliai-hi-salam” (AS) saja.
            Hal ini melanggar dua perintah Tuhan dalam Quran. Perkataan Arab salla/ yusalli ada tiga makna: sembahyang, restu atau bantu, dan tempat bersembahyang. Dalam surah Al-Ahzab (33), perkataan ini digunakan dua kali dalam acuan yang sama. Pertama, ayat 43, yang berbunyi, “Dialah yang membantu kamu, bersama dengan para malaikat-Nya untuk memimpin kamu keluar dari kegelapan kepada terang. Dia Maha Penyayang terhadap orang yang beriman.”  Perkataan ‘kamu’ dalam ayat ini merujuk kepada orang yang beriman. Ayat 56, iaitu 12 ayat selepas ayat tadi, ayat yang sama bentuknya berbunyi, “Tuhan dan para malaikat-Nya bantu Nabi. Hai orang yang beriman, hendaklah kamu tolong dan bantu beliau, seperti yang sewajarnya.”
            Jadi, perkataan ‘selawat’ di sini pertama dituju kepada orang mukmin, dan kemudian baru kepada Nabi. Mengapakah kita berselawat kepada Nabi Muhammad saja? Inilah kesilapan yang pertama.
Kesilapan kedua, mengapa kita tidak berselawat kepada nabi-nabi lain?  Tuhan melarang kita membezakan antara nabi-nabi-Nya. (Quran, 2: 136) Kesilapan ketiga, kita boleh berselawat atau membantu orang yang hidup saja, bukan yang telah mati.
            Jadi, selawat kepada Nabi Muhammad itu salah dari tiga sudut. Soalnya, mengapakah kebanyakan orang Islam melakukannya? Mengapakah guru-guru agama kita tidak melarangnya? Ini menunjukkan kegagalan kita menggunakan akal, sedangkan iman dan akal itu harus selaras. (Lihat Quran, 10: 100)
Ini satu lagi contoh fahaman taqlid dan Islam baka. Apabila Tuhan memerintah kita membaca dengan nama Tuan yang menjadikan (Quran, 96: 1), apakah maknanya? Inilah ayat yang pertama yang diturun kepada Nabi Muhammad. Jadi, perintah baca itu mestilah membaca semua bahan bacaan yang wujud, termasuk kitab-kitan suci yang lain. Bolehkah kita mempercayai semua kitab suci yang lain? Tentu tidak. Di tempat lain Tuhan menyatakan Quran itu “mengesahkan dan mengatasi” (5: 48), yakni ia mengesahkan apa yang benar, dan di samping itu, ia mengatasi yang lain. Jadi, makna arahan baca itu, pada praktiknya, hendaklah kita baca dengan kritis. Kita boleh baca semua bahan bacaan, tetapi hendak kita baca dengan kritis, ambil yang baik, buang yang buruk.          
Selanjutnya, bukti kita telah mendewa-dewakan Nabi Muhammad: lihat di kebanyaka masjid dan rumah orang Islam, nama  Allah dan Muhammad ditulis separas dan sama besar. Sepatutnya, nama Muhammad ditulis di bawah. Lebih baik, jangan ditulis langsung. Semua nabi membawa ajaran monoteisme; Nabi Muhammad  penyudah segala nabi dan melengkap dan menyempurnakan agama monoteisme atau agama tauhid itu.
Perhatikan ada dua ayat dalam Quran yang menyatakan jangan kata dua tuhan, Tuhan hanya satu (Lihat Quran, 16: 51 & 16: 96). Ini satu rujukan yang halus kepada orang Islam, kerana yang mengadakan banyak tuhan itu orang Hindu dan yang mengadakan tiga tuhan itu orang Kristian.
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

Thursday, September 25, 2014

PEGANGAN AHLI SUNNAH WAL-JAMA'AH




PEGANGAN AHLI SUNNAH-WAL-JAMA’AH:
ADAKAH SAMA DENGAN AJARAN NABI MUHAMMAD?

Oleh: Kassim Ahmad
18 September, 2014

           “Hendaklah kamu berpegang teguh kepada agama yang satu ini dan jangan buat
puak.”                                                                                                        Quran, 42: 13
            Saya petik ayat di atas, perintah yang diberikan Tuhan kepada semua nabi, untuk  menunjukkan bahawa agam Islam itu satu, agama tauhid, yang terkandung sepenuhnya, dan terpelihara dari korupsi, dalam Quran.
            Tetapi sejarah yang ditempa manusia diwarnai oleh sabjektiviti manusia, sabjektiviti yang menukar objektiviti, yakni alam atau dunia. Ajaran nabi yang terakhir, Nabi Muhammad, yang terkandung sepenuhnya dalam Quran tidak berkembang menurut garis yang menegak lurus. Perkembangan ini dipengaruhi oleh kepercayaan, termasuk prejudis, masyarakat. Oleh sebab ini, maka tidak lama kemudian, antara 200-250 tahun, ajaran yang satu ini terbahagi kepada dua puak yang besar, iaitu apa yang dipanggil Ahli Sunnah Wal-Jamah atau kaum Sunni(puak majoriti), dan kaum Syi’ah (puak minoriti). Pada permulaannya perpecahan ini bersifat politik, tetapi kemudian berkembang menjadi puak-puak dengan teologi masing-masing. Kedua-duanya menyimpang dari ajaran-ajaran pokok yang dibawa oleh Nabi Muhammad dalam Quran. Hadis/Sunnah satu penyelewengan yang besar.
            Bagi kaum Sunni, syahadah kedua ditambah (untuk mendewa-dewakan Nabi Muhammad), bersalahan dengan ajaran beliau sendiri dalam Quran. [1]  Selawat kepada Nabi (selawat ertinya restu, sokong) satu lagi penyelewengan. Dalam Quran dalam Surah Al-Ahzab (33) frasa ini (“Tuhan dan para malaikat”) disebut dua kali, yang pertama dituju kepada orang mukmin (ayat 43) dan yang kedua (ayat 56) dituju kepada Nabi (jangan lupa Nabi juga bertindak sebagai pemimpin masyarakat pada ketika itu). Mengapa ayat 33 dilupakan? Lagi pun, kita hanya boleh merestui dan menolong orang yang hidup, bukan orang yang telah mati.  Nabi Muhammad telah wafat.
            Berbalik kepada penyelewengan yang biasanya berlaku dalam masyarakat manusia, (ia berlaku dalam kes-kes agama Hindu dan agama Kristian) dalam kes ajaran Nabi Muhammad, orang Islam boleh berbalik ke pangkal jalan dengan merujuk kepada Quran. Tiap-tiap generasi boleh mengkritik generasi yang dahulu dengan berpandukan Quran. Umpamanya, doktrin dua sumber utama (Quran dan Hadis) yang diperkenalkan oleh Imam Shafi’e (m. 820) boleh ditolak dengan berpandukan Quran. (Malang bagi umat Islam, mereka telah mendewa-dewakan Imam Shafi’e dan dengan itu beliau tidak boleh dikritik.)
            Pada hari ini, kebanyakan umat Islam umat Islam  (kedua-dua puak Sunni dan Syi’ah) boleh kembali kepada ajaran Nabi Muhammad dalam Quran. Umat-umat lain tidak boleh, kerana kitab-kitab suci mereka sudah dikorapsi oleh tangan manusia. Mereka juga kena rujuk kepada Quran. Itulah sebabnya Nabi Muhammad disifatkan sebagai rahmat kepada seluruh dunia.

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahamad.blogspot.com  

           


[1] Lihat Quran, 63: 1 yang membataalkan syahadajh kedua. Ingat apa yang berlaku kepada Surah 9 (tanpa Basmallah)- pembahan dua ayat (128 an 129) untuk mendewa-dewakan Nabi Muhammad.

Friday, January 17, 2014

DUA JENIS ISLAM




DUA JENIS ISLAM

Oleh: Kassim Ahmad
17 Januari, 2014


            Ramai orang tidak sedar bahawa ada dua jenis Islam. Pertama, Islam yang sebenar yang diajar oleh semua nabi dalam semua zaman, dan yang dilengkapkan oleh penyudah segala nabi, iaitu Nabi Muhammad dalam Quran. Kedua Islam baka, yakni Islam yang kita warisi daripada nenek-moyang, dan yang mengandungi banyak ajaran yang salah.
            Harus diperhatikan bahawa umat Islam hari ini, yang berjumlah 2.1 bilion orang, duduk di bawah dari umat Kristian di Eropah dan Amerika Syarikat, di bawah dari umat Konfusius di China dan juga di bawah dari umat Hindu di India. Bolehkah umat Islam, yang memeluk agama Islam yang Tuhan reda [1]  berkedudukan di bawah sekali?  Ini sama sekali tidak logikal.
Sejarah mencatat 60 tahun setelah Nabi Muhammad wafat dalam zaman Khalifah Uthman Ibni Affan, bangsa Arab yang dulunya tidak terkenal melonjak naik menjadi kuasa nombor satu dunia mengalahkan Empayar Parsi dan menakluk sebagian besar Empayar Baizantium, dua kuasa besar dunia pada zaman itu. Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah. Sejarawan-sejarawan  yang objektif mencatat peristiwa ini. Mereka termasuk Robert Briffault (Tha Making of Humanity, 1919)  George Sarton, A History of Science), Jil. 1 1970) , dan M. M. Shariff, (Muslim Thought: Its Origin and Achievements, 1951).
Itu kejayaan Islam yang sebenar, Islam tanpa mazhab, Islam tanpa penyelewengan-penyelewengan yang datang kemudian.
Apakah Islam baka? Ia Islam yang kita warisi dari nenek-moyang yang telah dimasuki penyelewengan-penyelewengan yang datang kemudian, seperti amalan selawat kepada Nabi Muhammad  dan syahadah kedua. [2]
Apabila kita menonton t.v. kita hairan mendengar ustaz-ustaz yang berbicara tentang Islam membuat kesilapan. Apakah mereka tidak tahu? Mengapa kita menggelar mereka ustaz kalau mereka tidak tahu? Adakah kebanyakan kita sudah terlalu jauh menyeleweng? Renunglah kata Quran bahawa kebanyakan manusia tidak suka, malah takut kepada kebenaran. [3] Mengapa? Ingat kembali bahawa manusia, Homo sapiens, itu dijadikan Tuhan khalifah di Bumi. Khalifah ertinya pengganti (kepada binatang), atau wakil raja yang bebas menentukan nasibnya sendiri dalam konteks undang-undang alamiah, atau natural law. Jadi, kebebasan memilih di antara pelbagai perbuatan itu sifat utama khalifah. Ayat Quran 2: 256 mengisytiharkan kebebasan mutlak untuk memilih agama. Perhatikan ayat ini datang persis selepas Ayat Kursi, yang menegaskan sifat-sifat Tuhan yang utama, iaitu Yang Hidup Senantiasa, Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Mengetahui.
Bagaimana boleh timbul Islam baka? Bila subjektiviti (minda manusia) berinteraksi dengan objektiviti (alam), kerapkali alam bertukar menjadi herot-benyot, tidak seperti adanya. Ini kerana minda kita subjektif. Ia boleh meminda realiti mengikut kehendaknya. Oleh sebab itu, walaupun kita semua membaca Quran yang sama, pemahaman kita berlainan. Untuk mengelak herot-benyot ini, kita mesti ada suatu kaedah saintifik untuk memahami Quran. Dengan perkataan lain, kita harus membiarkan Quran menjelaskan dirinya sendiri. Dengan perkataan lain lagi, ayat menjelaskan ayat. Kita harus membaca dan memahami Quran secara keseluruhan. Dalam kaedah tradisional, Hadis menjelaskan Quran. Nyata kaedah ini batal, kerana Quran itu daripada pengetahuan Tuhan, sedangkan Hadis itu daripada akal manusia.
 
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman webnya: www.kassimahmad.blogspot.com     


[1] Lihat Quran, 3: 19.
[2] Lihat Kassim Ahmad, Dilema Umat Islam – Antara Hadis dan Quran, Forum Iqra’ Pulai Pinang, 2002.
[3] Lihat Quran, 23: 70 dan 43: 78.