Wednesday, February 13, 2008

Hadis: Satu Penilian Semula #2


Bab 1:
Pendahuluan Mengapa Kita Menimbulkan Masalah Ini?


Mereka (orang-orang mukmin) mendengar semua pandangan, kemudian mengikut yang paling baik.

Quran, Al-Zumar (39): 18

SEMUA orang Islam mengetahui mereka dikehendaki berpegang kepada Hadis dan Sunnah Nabi, di samping Quran, mengikut ajaran Fikah. Tetapi tidak semua, malah sedikit sekali, yang mengetahui bahawa asas teori fikah ini diwujudkan oleh Imam Shafi’i (m.204/820) dalam abad kedua Islam, dua ratus tahun setelah Nabi wafat, dan apa yang dikatakan ‘Enam Buku’ Hadis ‘sahih’ kaum ortodoks Ahli Sunnah wal-Jama’ah dikumpul oleh Bukhari (m.256/870), Muslim (m.261/875), Abu Daud (m.275/888), Tirmidhi (m.279/892), Ibn Majah (m.273/886), dan al-Nasa’i (m.303/915) pada akhir abad kedua dan permulaan abad ketiga Islam, antara 200 dengan 250 tahun setelah Nabi.

Dalam pada itu pula, kaum Syi’ah mempunyai kumpulan-kumpulan Hadis mereka sendiri, yang dikumpul dalam abad-abad keempat dan kelima oleh al-Kulaini (m.328 atau 329), Ibn Babuwayh (m.381), Jaafar Muhammad al-Tusi (m.411) dan al-Murtada (m.436) (Laporan kata-kata Ali). Berdasarkan teori Imam Shafi’i dan apa yang kemudian dikatakan ijmak ulama, Hadis/Sunnah telah diajukan dan diterima oleh umat Islam sebagai penjelas dan pelengkap kepada al-Quran (dan dengan demikian menyatakan Quran tidak jelas dan tidak lengkap).1


Latarbelakang Ceramah


Saya juga menerima pendirian ini waktu saya menulis buku saya, Teori Sosial Moden Islam, dalam tahun-tahun 1981-82, walaupun saya membataskan penerimaan itu mengikut kesimpulan Ibn Khaldun yang menghendakkan semua hadis disahkan oleh al-Quran dan ukuran-ukuran rasional sebelum dapat diterima.2 Namun demikian, kedudukan penerimaan bersyarat ini juga tidak begitu mantap. Sarjana-sarjana berbeza pendapat tentang hadis-hadis yang sesuai dan bercanggah dengan Quran. Hal ini akan saya huraikan dalam Bab III.

Pada awal tahun 1985 saya terjumpa dan membaca sebuah buku bertajuk The Computer Speaks: God’s Message to the world oleh seorang sarjana Islam Mesir bernama Dr. Rashad khalifa, yang terbit pada 1981. Buku ini secara saintifik membuktikan ketulenan al-Quran sebagai perutusan Tuhan kepada manusia yang sepenuhnya terpelihara, dan menarik perhatian pembaca kepada kesempurnaannya, lengkapnya dan keterperinciannya, menyebabkan manusia tidak memerlukan buku-buku lain sebagai sumber bimbingan. Ini bermakna Hadis sekaligus tertolak sebagai sumber teologi dan perundangan.

Ini satu kesimpulan yang mempunyai implikasi yang amat besar kepada teologi dan perundangan klasik Islam. Ia bererti umat Islam mesti menimbang semula secara kritikal keseluruhan teologi dan perundangan tersebut. Ini satu kesimpulan yang sungguh mengejutkan bagi saya, tetapi dari segi lain, satu kesimpulan yang segar dan mencabar yang tidak dapat saya tolak begitu saja.

Oleh yang demikian, saya berazam untuk menguji semua kenyataan yang dibuat oleh Dr. Rashad Khalifa. Saya pun membaca dan mengkaji semua bukunya serta ulasan-ulasan yang telah dibuat terhadapnya dengan teliti. Dalam masa lebih kurang tiga bulan saya berpuas hati bahawa tesis pokok Rashad Khalifa, iaitu Hadis/Sunnah merupakan satu penyelewengan daripada ajaran-ajaran Nabi Muhammad dan tidak boleh diterima sebagai sumber perundangan adalah benar.

Ada satu lagi aspek peribadi dalam perkara ini. Bila saya mengulas dan memuji buku The Computer Speaks dalam akhbar mingguan Watan 30 Mac 1985, dan kemudian dalam sebuah kertas kerja yang dibentangkan di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 4 Mei 1985, saya membuat satu ulasan sampingan yang kritikal terhadap Hadis, beberapa orang pembaca Watan telah mempertikai dan mengkritik pendirian saya.3 Pada waktu itu saya sudah mengambil keputusan untuk meninjau semula keseluruhan perkara Hadis/Sunnah.


Perlunya Penilaian Semula Terhadap Warisan Tamadun Islam

Tidak perlulah saya memanjangkan cerita tentang latarbelakang siri ceramah ini. Saya yakin masanya sudah tiba bagi masyarakat Islam dan cerdik pandainya mengkaji semula secara kritikal keseluruhan warisan tamadun Islam tradisional. Walaupun banyak kajian telah dibuat mengenai kejatuhan dan kemunduran umat Islam sejak gerakan Islam moden Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Rida di akhir abad kesembilan belas dan awal abad kedua puluh hingga kini, termasuk oleh ahli-ahli fikir Islam seperti Muhammad Iqbal, Malek Bennabi dan Fazlur Rahman, keadaan masyarakat Islam masih tidak banyak berubah dan masih tenat.

Jika dibandingkan dengan umat-umat lain, khasnya di Eropah, Amerika Syarikat, Rusia dan Jepun, umat Islamlah yang termundur dan terkebelakang sekali. Dari segi bilangan (lebih 1 bilion) umat Islam sudah melebihi umat Kristian, dan dari segi kekayaan semulajadi, negara-negara Islam di antara negara-negara yang terkaya di dunia.

Mengapakah dalam masa seratus hingga tiga ratus tahun pertama umat Islam naik begitu cepat mencapai kemuncak kuasa politik dan tamadun dunia (dalam pemerintahan Harun al-Rashid (786-809), Baghdad dikatakan “sebuah kota tanpa tolok bandingnya di seluruh dunia” oleh seorang ahli sejarah), dan kemudian jatuh? Tuhan berjanji dalam Qurannya bahawa Dia akan menolong orang-orang mukmin,4 dan Tuhan tidak pernah mungkir janji. Adakah ini bermakna Tuhan telah tidak menolong orang-orang Islam selama kira-kira seribu tahun yang lalu? Jika demikian, mengapa? Adakah kerana mereka telah mengabaikan ajaran-ajaran Quran, seperti yang dinyatakan oleh Quran sendiri.5 Kalau betul mereka telah mengabaikan ajaran-ajaran Quran, apakah ajaran-ajaran baru yang salah yang telah masuk ke dalam masyarakat Islam dan yang telah dipegang oleh masyarakat Islam sejak 200-300 tahun Nabi wafat hingga kini, dan yang telah menyebabkan kejatuhan mereka?

Inilah soalan-soalan besar yang harus dikaji oleh cerdik pandai Islam. Kajian ini tidak dapat tidak mesti mencakupi teologi dan perundangan Islam tradisional. Hadis ialah salah satu aspek yang penting dalam teologi dan perundangan Islam tradisional yang harus dikaji semula.


Sambongan: Zaman ‘Kacau Bilau Agung

5 comments:

the indie story said...

Dr. KAssim tidak mahu bertanding sekali lagi?

Mana tahu boleh menang. Mungkin boleh cuba bertanding sebagai calon bebas?

Rezeki mana kita jangka kan...

Kassim Ahmad said...

Terima kasih. Masa saya untuk berpolitik secara aktif sudah berlalu. Tolong berdoa supaya dalam masa lima tahun akan datang saya boleh menyelesaikan satu dua kerja penulisan yang masih tinggal. Jika ini dapat saya lakukan, tidak ada apa lagi yang saya mahu.

the indie story said...

Dr. Kassim, harapan saya supaya Dr. siapkan satu dua kerja itu didalam masa yang paling terdekat ini.

Maaf jika kata2 saya menyinggung perasaan. Tetapi manusia kebanyakkannya kembali menemui Allah swt didalam situasi mereka sendiri tidak tahu bila. Saya takut jika hajat Dr. tidak kesampaian. Maaf sekali lagi jika perkataan ini kurang menyenangkan.

Saya juga sekadar ingin bertanya :Apakah Dr. Kassim tidak takut menemui Malaikat Mungkar dan Nangkir dalam keadaan akidah Dr. tidak menerima pendapat jumhur ulama' yg muktabar?

Saya bukan bermaksud ingin bersikap biadap. Cuma sejak kematian guru yg mengajar saya membaca Al Qur'an didalam bahasa Arab seminggu yg lepas; hati saya selalu teringat pada kematian, saat akhir2 didunia, didalam lubang kubur yg gelap...dan amal yg tidak seberapa.

Saya telah meminjam satu buku berkenaan ajaran sesat, yg ada menyatakan tentang kesesatan Dr. Rashad Khalifa berkenaan KOD 19.

Saya harap kita semua diberi petunjuk kejalan yg lurus oleh ALLAH swt.

wassalam

Kassim Ahmad said...

Mengapa kita harus takut kepada mati sekiranya kita telah mengendalikan kehidupan kita mengikut perintah Tuhan?
Hidup-mati itu satu proses alam yang natural.
Tidak ada sebab Tuhan tidak akan makbulkan permohonan saya. Bukankah Dia Maha Pemurah lagi Maha Penyayang? Apabila saya sudah menulis satu dua buku yang saya mahu tulis itu, saya sudah menyelesaikan misi hidup saya. Buat apa saya mahu hidup lebih lama dari itu?
Jangan terpengaruih dengan fitnah orang, biar pun mereka memakai jubah "ulama besar". TIDAK ADA YANG LEBIH BESAR DARIPADA TUHAN YANG ESA. Kod 19 itu memang benar. Mereka buat fitnah terhadap Dr Rashad Khalifah, kerana beliau menolak Hadis/Sunnah yang mereka sayang!
Wassalam.

baliseps said...

Mati, perkara yg pasti. Tetapi kita tidak pasti bila kematian kita. Mati dgn iman yg sahih pada Allah, amtlah beruntung............