PEMODENAN BANGSA –
SUMBANGAN ABDULLAH ABDUL KADIR MUNSHI *
Kassim Ahmad
3 Disember, 2007
- Takrif Pemodenan
Dalam perkembangan sesuatu masyarakat atau bangsa, ia akan melalui suatu tahap yang kita sebut “pemodenan”, atau masyarakat moden.
Masyarakat moden dicirikan oleh beberapa sifat, yang tiada pada masyarakat itu sebelumnya. Sifat pertama ialah nilai ilmu, atau sains dan rasionaliti. Kepercayaan kepada tahyul dan khurafat yang mencirikan masyarakat sebelum itu tidak boleh wujud dalam masyarakat moden. Sifat kedua ialah sistem ekonomi perindustrian. Manakala masyarakat agraria sebelum itu bergantung kepada hasil-hasil pertanian yang dilakukan secara tradisional dengan menggunakan tenaga binatang, seperti kerbau, dalam masyarakat moden, pertanian dilakukan secara komersial, secara besar-besaran, dengan menggunakan jentera moden Ciri ketiga ialah perbandaran apabila penduduk membuka bandar dan berhijrah ke bandar tempat pusat-pusat tamadun, seperti parlimen, universiti, hospital dan pasaraya.
Perubahan ini boleh dikatakan satu proses natural, seperti seorang manusia, setelah melalui tahap bayi, kanak-kanak dan belia, akan menjadi dewasa dan memikul tanggungjawab seorang manusia dewasa. Walaupun tanggunjawab ini berat (menjadi ketua keluarga), ia tidak boleh dielak dan mesti dipikul. Demikianlah dengan pemodenan bangsa.
- Islam Patut Membawa Pemodenan, Tetapi Gagal
Islam sebagai suatu cara hidup yang mengutamakan ilmu (Ingat perintah Tuhan yang pertama kepada umat Muhammad ialah “Baca!”) sepatutnya memperkenalkan kehidupan moden kepada manusia dan kepada masyarakat Islam sendiri. Tetapi ini tidak berlaku. Mengapa?
Apabila Islam datang ke Alam Melayu, dibawa oleh pedagang-pedagang dari India dan Semenanjung Arab, dalam abad ke-13, Islam ini Islam yang sudah berubah dari suatu cara hidup yang aktif, kreatif dan dinamik kepada suatu cara hidup yang pasif, mundur dan jumud. (Ingat kota Baghdad, pusat tamadun Islam selama 500 tahun, jatuh ke tangan kaum gasar pada 1258 Masehi.) Perpecahan kepada mazhab
* Kertas kerja yang dibentangkan dalam Wacana Kesarjanaan Melayu di Universiti Utara Malaysia pada 3 Disember, 2007.
sudah berlaku, kehidupan aktif dan dinamik di dunia ini sudah ditinggalkan untuk
satu kehidupan “Akhirat” yang berdasarkan tidak lebih dari ritual ibadah, dan sumber-sumber undang-undang lain (Hadis/Sunnah dan Ijmak) sudah masuk ke dalam Islam. Apabila ini berlaku, nyatalah umat Islam tidak layak lagi untuk memimpin tamadun manusia. Oleh sebab itu, mulai abad ke-15, Eropah, yang dulunya menjadi anak murid tamadun Arab-Islam, mengganti, mengikut undang-undang ganti sunnatullah, umat Islam sebagai pemimpin tamadun. [1]
Alam Semesta yang diciptakan oleh Tuhan satu, selaras dengan gagasan ke-Esaan Tuhan itu sendiri. Oleh yang demikian, dunia dan akhirat juga satu dan tidak boleh dipisahkan secara mutlak. Akhirat ialah dunia yang akan datang [2] yang dibangunkan oleh masyarakat sekarang. Jadi, apabila teologi Islam kemudian memisahkan dunia dari akhirat dan menumpu kepada “akhirat”, maka pandangan hidup mereka bertukar dari aktif dan dinamik kepada pasif dan mundur. Maka dunia yang dinamik terlepas dari genggaman mereka. Pelbagai bidang sains dan pentadbiran yang dulu mereka kuasai terlepas dari tangan mereka. Dari masyarakat yang mencipta sains dan teknologi, mereka menjadi masyarakat yang membeli dan mengguna sains dan teknologi. Dari titik ini mereka menjadi tanah jajahan bangsa-bangsa Eropah.
Bangsa-bangsa Eropah melangkah keluar dari wilayah-wilayah mereka di Eropah ke Timur, Barat, Utara dan Selatan, kerana dua desakan. Pertama, kerana hendak berniaga dan menguasai perniagaan-perniagaan itu. Kedua, kerana hendak menyibar tamadun Eropah, termasuk agama Kristen. Jadi, dua aliran yang datang, iaitu penjajahan dan humanisme Eropah atau humanisme Judeo-Kristen. Yang pertama mengeksploitasi sumber-sumber masyarakat-masyarakat yang mereka jajah; yang kedua, membawa masuk idea-ideas humanisme Eropah.
- Peranan Revolusioner Abdullah Munshi dan Sumbangan Beliau Terhadap Pemodenan Bangsa
Abdullah Abdul Kadir Munshi, tidak syak lagi, seorang pengrang Melyu yang besar. Dialah yang memulakan zaman moden dalam masyarakat Melayu. Bukan saja karya-karyanya memperkatakan kehidupan rakyat biasa secara realistik, berbeza dari karya-karya sebelum beliau, seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah yang temanya ialah kehidupan kaum bangsawan dan ditulis dalam gaya berbaur unsur-unsur magis penuh keajaiban. Beliau memulakan kesusasteraan Melayu moden, seangkatan dengan pengarang-pengarang ASAS ’50, walaupun beliau seratus tahun lebih dulu daripada mereka.
Beliau sendiri seorang rasionalis dan humanis, pada asasnya, dan, dari segi ini, beliau bergembira dan secocok dengan aliran rasionalis dan humanis yang beliau lihat terdapat pada tokoh-tokoh Eropah yang datang ke Melaka dan Singapura pada zamannya. Beliau mengagumi sains adan ilmu moden serta mempeloporinya kepada masyarakatnya; beliau mengkritik kepercayaan-kepercayaan tahyul dan khurafat yang terdapat dalam masyarakat Melayu; beliau mempelopori pelajaran bahasa Melayu sebagai kaedah untuk membangun dan memajukan masyarakat Melayu; dan beliau mengkritik sistem kerajaan feudal Melayu yang zalim yang beliau lihat di negeri-negeri Melayu yang beliau lawati. [3]
Apakah yang menyebabkan Abdullah menjadi berbeza dari Raja Ali Haji, pengarang Tuhfat al-Nafis, yang hidup sezaman dengan beliau? Perkenalan dan pergaulan beliau dengan tokoh-tokoh dan pegawai-pegawai Eropah yang datang ke Melaka, seperti Raffles, paderi Thomson, paderi Milne, Keasberry, Alfred North dan lain-lain yang telah kita katakan sebagai penyibar humanisme Eropah di atas? Tidak syak lagi, ini betul. Tetapi, jika ini saja, ia akan menjadikan Abdullah tokoh modenis Melayu celup. Jika kita perhatikan dengan teliti, Abdullah mempunyai jatidirinya sendiri yan kukuh. Beliau seorang anak Melayu, walaupun berketurunan Keling dan Arab, yang bangga dengan ke-Melayuannya. Pengetahuan agama Islam yang beliau anuti juga tingi. Namun demikian, beliau tidak berfikiran sempit, seperti kebanyakan oran Melayu pada zaman itu. Ini terbukti dengan sikap beliau mahu membaca kitab Taurat yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, sedangkan bapa beliau sendiri bersikap menolak. Nyatalah, Abdullah seorang rasionalis, seperti kaum Muktazilah pada zaman Islam awal.
Abdullah bersetuju dan mendesak supaya ibu-bapa anak-anak Melayu pada zaman itu menghantar anak-anak mereka belajar bahasa Melayu. Pada zaman itu, adat orang Melayu ialah menghantar anak-anak mereka mengaji Quran sehingga khatam. Sebaliknya, pelajaran bahasa Melayu mereka abaikan, kerana “tidak penting” dalam konsep kehidupan mereka, yang memisahkan kehidupan dunia dari akhirat.
Sifat revolusioner Abdullah ketara sekali dalam pandangan hidupnya. Pelayaran beliau ke negeri-negeri Melayu Pahang, Terengganu dan Kelantan mencelekkan mata beliau kepada kezaliman pemerintahan feudal Melayu. Rakyat dipaksa bekerja untuk raja tanpa gaji atau upah pada bila-bila masa. Anak dara dan isteri mereka yang dikehendaki oleh mereka kerap dirampas oleh mereka. Demikian juga dengan harta-benda mereka. Dengan demikian, tidak ada ransangan di kalangan rakyat untuk bekerja dan mereka hidup dalam kemiskinan.
Jadi, pemikiran dan sifat revolusioner Abdullah Munshi bukanlah semata-mata kerana pengaruh fikiran humanis tokoh-tokoh Eropah ini ke atas beliau. Pengaruh ini tidak kita nafikan, tetapi dalam diri Abdullah sendiri terdapat bibit-bibit fikiran rasionalis dan humanis, yang boleh kita katakan berasal dari agama Islam yang beliau anuti.
4. Menolak Tuduhan Abdullah Pro-Penjajah
Abdullah juga tidak boleh dikatakan pendukung penjajahan Inggeris atau Eropah. Walaupun ia mengagumi dan mengalu-alukan fikiran humanis Eropah, ia mengecam pegawai-pegawai Eropah yang zalim. In ternyata dalam sikap beliau terhadap pegawai kolonial Belanda yang bernama Van Goor. Tulis Abdullah tentang beliau, “Ia itulah lintah yang meminum darah hamba Allah. Maka adalah ia menaruh empat orang mata-mata. Maka sekalian mata-mata itu seperti pacat melompat. Barang di mana bertemu manusia atau binatang, dihisapnya darahnya, kerana ia segera hendak menjadi ular sawa. Maka mereka itulah tukang mengintai segenap rumah. Maka apabila didapatinya sedikit kudis sahaja, maka dibesarkannyalah, katanya: ‘Engkau kelak nanati menjadi tokak’, dengan beberapa gertak. Maka oleh sebab orang itu ketakutan, diberinyalah upah akan dia. Maka diamlah ia, pergi ia memberitahu kawannya. Maka ia pun datanglah pula menggertak orang itu, kepadanya pula diupah sedikit. Demikianlah halnya segala hamba Allah kena aniaya pada zaman itu di Melaka…” [4]
Bukan seorang peawai penjajah ini saja yang beliau kritik. Dalam Pengenalan saya kepada Hikayat Abdullah, saya menyebut sekurang-kurangnya lima kes kritikan beliau terhadap tokoh-tokoh Eropah ini.[5]
5. Masalah Masa Depan: Sains Lawan Pemikiran Agama Jumud
Negara kita bernasib baik, kerana pimpinan negaranya dapat kepada para nasionalis dari kelas yang utamanya (feudal-birokratik) yang berpendidikan Inggeris. Ideologi mereka, dalam konteks konflik Barat-Timur pada zaman itu, ialah demokrasi liberal Barat. Dari awal mereka telah menjadikan sains dan teknologi sebagai salah satu unsur penting dalam dasar pembangunan negara. Hal ini tidak semestinya berlaku. Jika pimpinan negara terjatuh kepada para nasionalis yang orientasinya ideologi agama, seperti di Iran atau Pakistan, proses pemodenan bangsa kita tentu telah menemui jalan buntu.
Namun demikian, bolehkah kita jamin bahawa proses pemodenan ini akan berterusan tanpa diganggu-gugat. Di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Ahmad Badawi, peranan golongan agama makin bertambah. Kita dapat melihat dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun 2007, marhaban (nyanyian dalam bahasa Arab yang memuja Nabi Muhammad) dimasukkan ke dalam acara mesyuarat. Sebelum ini, Perhimpunan Agung UMNO tidak pernah memasukkan acara ini. Ini menunjukkan UMNO sendiri sedang menjalankan dasar “Lebih PAS daripada PAS” atau sama dengan PAS dari segi “meng-Islamkan” pentadbiran Malaysia. Lihat, umpamanya, senarai buku-buku yang “diharamkan” dari semasa ke semasa. Senarai ini termasuk buku-buku oleh penulis akademik-popular Inggeris, Karen Armstrong. Baru-baru ini juga Kerajaan telah mengharamkan penggunaan perkataan “Allah” dalam suatu penerbitan pertubuhan Kristen di negara kita. Lebih serius lagi, Kerajaan telah menolak cadangan beberapa Badan Bukan-Kerajaan untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Antara Agama untuk menasihati Kerajaan tentang konflik agama dan kaum. Ini semua menunjukkan tanda-tanda bertambahnya pengaruh golongan agama jumud dalam pentadbiran negara kita.
Sampai ke mana mereka akan pergi dan sejauh mana Kerajaan akan tunduk kepada kehendak mereka? Datuk Abdullah Ahmad Badawi, sebagai Pengerusi Pertubuhan Negara-negara Islam, kerap melafazkan fikiran-fikiran yang rasional tentang isu-isu agama, termasuk menyuruh umat Islam menguna-pakai kaedah “Islam Hadhari” yang beliau tafsirkan sebagai “Islam Tamadun” dan “Islam Sederhana” dan “tidak ekstremis”. Istilah-istilah ini semua tidak persis dan boleh ditafsirkan berbagai-bagai. Adakah “Islam Tamadun” atau “Islam Sederhana” membenarkan riba dalam sistem kewangannya, seperti yang berlaku dalam sistem kewangan antarabangsa? Adakah judi dan minuman keras dibenarkan? Adakah ekstremis kalau sesuatu bangsa yang dijajah, seperti Iraq sekarang, bangun menentang penjajahan ini dengan perang gerila? Nyatalah “Islam Hadhari” tidak dapat menjawab banyak soalan.
Sejauh manakah gerakan pembaharuan Islam sanggup pergi untuk mengubah pandangan hidup umat Islam yang telah dikongkong oleh ortodoksi yang jumud selama seribu tahun lebih? Kita boleh menyatakan dengan agak yakin bahawa ia tidak boleh pergi lebih jauh, atau sebenarnya, lebih dekat kepada Islam yang sebenar yan dibawa oleh Nabi Muhammad, dari batasan yang telah diletak selama ini – mengikut “Quran dan Sunnah”, dengan sunnah kadang-kadang mengatasi Quran! [6]
Inilah dilemma umat Islam, terumbang-ambing di antara Quran dan Hadis. Yang kita tahu dengan pasti ialah Nabi Muhammad membawa kepada kita Quran. Hadis dikumpul dan ditapis oleh para pengumpul Hadis, seperti Bukhari dan Muslim, 250 tahun kemudian tanpa pengetahuan atau restu Nabi Muhammad sendiri. Kita boleh ragu tentang Hadis, kerana ia merupakan laporan tentang perkataan dan perbuatan Nabi Muhammad. Quran kita tidak ragu, kerana ia dicatat semasa ia diturunkan kepada Nabi Muhammad dan dicatat oleh ramai pencatat. Quran juga dilengkap dan sempurnakan sebagai petunjuk bagi muslim dan bagi manusia sebelum Nabi Muhammad wafat.[7] Kita sarankan supaya orang Islam di negara kita dan di seluruh dunia kembali kepada Quran sebagai panduan utama dengan sumber-sumber lain, termasuk Hadis, Ijmak, Qias dan Ijtihad, dan juga ajaran-ajaran lain, termasuk liberalisme dan komunisme, terletak pada tempat kedua.
Sebagai sebuah kitab suci, Quran banyak menggunakan bahasa metafora dan kiasan. Ini menimbulkan masalah pemahaman. Masalah ini perlu ditangani secara saintifik. [8] Saya tidak nampak ada cara lain kita boleh menyelesaikan dilema umat Islam, kecuali ini. Mungkin kita telah terlambat, tetapi cepat atau lambat, kesilapan yang telah kita lakukan mestilah kita betulkan.
[1] Lihat esei “Intelektualisme dan Pemikiran Islam di Malaysia” dalam Kassim Ahmad – Esei-esei Politik, Fajar Bakti, Shah Alam, 1998; hal. 102-119.
[2] “Demi waktu pagi! Dan malam apabila ia sunyi-sepi! Tuanmu tidak meningalkan kamu, dan tidak pula Ia marah. Pastilah, yang akhir lebih baik bagi kamu daripada yang awal.” Sesetengah ahli tafsir menterjemahkan ayat yang akhir ini sebagai “Sesungguhnya, Akhirat lebih baik bagi kamu daripada dunia.” Kami melihat ayat ini sebagai satu petunjuk bahawa dunia dan akhirat bukan berlainan; akhirat ialah dunia pada peringkatan evolusi yang lebih tinggi.
[3] Lihat Kassim Ahmad (editor), Hikayat Abdullah, Yayasan Karyawan, Kuala Lumpur, 2004; hal. xix-xxxvi.
[4] R. A. Datoek Besar & Dr. R. Roolvink (editor), Hikajay Abdullah, Djambatan, Djakarta, 1953: hal. 182-83.
[5] Ibid., hal. xxiii-xxiv.
[6] Lihat Kassim Ahmad—Esei-esei Politik, hal. 116-119.
[7] Lihat Quran, 5: 3.
[8] Saya telah mencadangkan suatu kaedah saintifik tafsir dalam buku saya, Hadis – A Re-evaluation, Monotheist Procustions International, Tucson, Arizona, U.S.A., 1997; pp. 126-151. Lihat juga Hadis – Jawapan Kepada Pengkritik, Media Indah, Kuala Lumpur, 1992; Bab 7. Lihat juga laman web saya di www.kassimahmad.blogspot.com yang memuatkan kebanyakan daripada karangan-karanan saya.
No comments:
Post a Comment