Monday, February 18, 2008

Hadis: Satu Penilian Semula #3


Bab I: Pendahuluan: Mengapa Kita Menimbulkan Masalah Ini? (Samb)


Zaman ‘Kacau-Bilau Agung’

Pada pendapat saya, masanya sudah tiba bagi umat Islam mengkaji keadaan tenat mereka dengan lebih kritikal dan berani. Keadaan tenat ini malah bukan saja menyelubungi dunia Islam; ia menyelubungi seluruh dunia. Ramai ahli falsafah, ahli sejarah dan pengkritik sosial abad kedua puluh sepakat mengatakan bahawa abad ini abad yang amat genting dalam sejarah manusia.
Pemimpin Tiongkok moden, Mao Zedong, mensifatkan abad ini sebagai “Kacau-bilau Agung”. Dalam abad inilah dua peperangan dunia telah berlaku, dan satu lagi, yang lebih besar, yang akan memusnahkan tamadun moden, dibimbang akan berlaku sebelum akhir abad ini. Dalam abad inilah juga pelbagai macam faham, teori dan sistem tradisional, termasuk liberalisme, Marxisme, Nasionalisme, Nazisme, Fasisme, Stalinisme, Maoisme, dan Islamisme tradisional, runtuh. Bila falsafah-falsafah, teori-teori dan sistem maujud yang dominan tidak dapat menyelesaikan masalah-masalah keselamatan dan kebahagiaan manusia, nyatalah satu krisis yang besar sedang berlaku. Ramai pengarang dan penyair moden Eropah telah melafazkan suasana dan keadaan krisis besar ini, di antaranya Dostoeyevsky, Albert Camus, Jean-Paul Sartre, W.B. Yeats dan T.S. Eliot.
Dalamnya kesunyian dan kehibaan Eliot dapat didengar dari rangkapnya:

I said to my soul, be still, and wait without hope
For hope would be hope for the wrong thing; wait without love

For love would be love for the wrong thing; there is yet faith
But the faith and the love and the hope are all in the waiting.


“East Coker” dalam
Four Quartets (1940)


Kekecewaan Yeats tidak kurang pedihnya, tetapi beliau menimbulkan harapan:

Things fall apart; the centre cannot hold;
Mere anarchy is loosed upoh the world;
The blood-dimmed tide is loosed, and everywhere
The ceremony of innocence is drowned;
The best lack all conviction, while the worst are full
of passionate intensity.

Surely some revelation is at hand;
Surely the Second Coming is at hand.

The Second Coming”,
dari Michael Robertesand the Dancer (1921)


Tentullah saya boleh memaafkan kalau saya memperturunkan di sini sebuah rangkap sajak saya yang berjudul “Sidang Ruh”:

Perlu satu-satu diperhitungkan kembali
hari ini kita dewasa
tanpa tuhan tanpa impian
kerana besok mungkin terlalu lewat
bagi kiamat yang telah ditangguhkan.

Dari Kemarau di Lembah (1967)


Keadaan kegentingan dan kacau-bilau besar ini turut meliputi umat Islam, seperti telah dikatakan. Di mana-mana belum wujud sebuah negara Islam moden dengan pentadbiran yang adil dan kehidupan rakyatnya yang sejahtera yang boleh dibandingkan dengan pemerintahan-pemerintahan Nabi, Khalifah Abu Bakar dan Khalifah Umar Ibn Khattab, apalagi kalau hendak dibandingkan kemajuan negara-negara Islam sekarang dengan kemajuan yang telah dicapai oleh tamadun Islam pertama sebelum kejatuhan kota Baghdad. Malah di mana-mana negara Islam hari ini belum terdapat taraf keadilan sosial, pemerintahan berdasarkan undang-undang dan taraf kemajuan ilmu, sains dan teknologi yang setanding dengan negara-negara maju Barat dan Timur. Sebaliknya, setengah negara Islam merupakan negara-negara yang termundur dan terzalim di dunia.
Selanjutnya, kita melihat sebahagian umat Islam masih dijajah dan ditindas oleh kuasa-kuasa asing. Sedangkan rakyat Vietnam, telah berjaya membebaskan dirinya dari penjajahan Perancis dan amarika Syarikat melalui satu perjuangan selama 30 tahun, rakyat Arab Islam masih tidak dapat membebaskan Palestin dari taklukan dan penjajahan Zionis, walaupun rakyat Arab sepuluh kali ganda lebih ramai daripada rakyat Israel dan telah berjuang menentang penjajahan Zionis selama 40 tahun.
Satu daripada sebab-sebab utama yang menyebabkan kelemahan dan kemunduran yang ketara di kalangan umat Islam ialah perpecahan. Perpecahan ini bukan setakat kegagalan untuk bermuafakat dan berkerjasama untuk menentang musuh, seperti yang berlaku di dunia Arab dan Afgahnistan, tetapi juga menjelma dalam sengketa dan peperangan di antara orang-orang Islam sendiri, seperti di antara Iran dan Iraq dan di Lubnan. Di negara kita Malaysia, jika pemimpin-pemimpin kita tidak berhati-hati, khasnya pemimpin-pemimpin kerajaan, sengketa di antara UMNO dan PAS akan mencetuskan satu “keadaan Lubnan”.
Mengapakah perpecahan ini berlaku, sedangkan umat Islam mendakwa menganut satu agama, Islam; mengikut satu kitab, Quran; dan menyembah satu Tuhan? Sebenarnya, ini merupakan satu masalah pokok yang mendorong kita membuat kajian semula tentang Hadis. Andaian kajian ini ialah bahawa hadis, pada prinsipnya, satu ajaran palsu yang dikaitkan dengan Nabi Muhammad, merupakan salah satu punca perpecahan dan kemunduran umat Islam. Adalah tujuan kajian ini untuk membuktikan kebenaran andaian ini.


Sambongan: Dimana Kita Tersilap

No comments: