Saturday, February 02, 2008

KENAIKAN HARGA BARANG-BARANG –
BETULKAH TIDAK BOLEH DIELAK?

Oleh: Kassim Ahmad
31 Januari, 2008

Beberapa tahun sebelum beliau meletak jawatan, saya ingat Tun Dr. Mahathir mengemukakan suatu pandangan untuk menurunkan belanja hidup yang sekarang sudah meningkat terlalu tinggi, dibanding dengan lima puluh tahun dulu. Saya tidak ingat butiran pandangan kontroversi beliau ini, tetapi saya fikir perkara ini patut kita fikirkan balik dengan serius.

Kira-kira enam puluh tahun dulu, saya ingat murid-murid sekolah membawa tiga sen: 1 sen untuk beli sebungkus nasi lemak, 1 sen lagi untuk satu kueh lain, dan 1 sen lagi untuk membeli air serbat. Hari ini untuk tiga barangan itu kita perlu membayar sekurang-kurangnya RM 1.80. Ini bermakna belanja hidup sudah meningkat enam puluh kali ganda, atau 6,000 peratus! Gaji atau upah juga telah naik dalam masa 50 tahun, tetapi kenaikannya tidak sampai 6,000 peratus; ia naik pada kadar kira-kira separuh dari kenaikan harga, iaitu 3,000 hingga 3,500 peratus. Kenaikan gaji ini merujuk kepada gaji kakitangan peringkat pertengahan dan bawah, tidak peringkat atas.

Kenaikan gaji yang tidak seimbang (antara peringkat bawah dan atas) menunjukkan sikap tidak saksama di kalangan pimpinan masyarakat.

Kebanyakan ahli ekonomi liberal kita menghuraikan perkara ini dari segi kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa, yang, kata mereka, di luar kawalan kita. Soalan yang pertama yang harus kita tanya ialah sebab kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa. Adakah kerana manipulasi, atau kenaikan kos? Jika kenaikan kos, mengapa?

Mengikut ilmu ekonomi, harga barangan dan perkhidmatan ialah kos campur keuntungan pada kadar yang menasabah, iaitu antara 10% hingga 30%. Kos boleh dibahagikan kepada kos yang sebenar dengan kos yang palsu. Kos yang sebenar terdiri daripada tanah, kilang dan jentera dan gaji dan upah kakitangan dan pekerja. Kos palsu ialah riba, pembaziaran oleh institusi itu, dan rasuah dan penyelewengan oleh pegawai-pegawainya. Dalam perniagaan, orang tengah merupakan satu kos palsu. Mengikut teori liberal Barat, riba dibolehkan, dan pembaziran, rasuah dan penyelewengan telah menjadi suatu kebiasaan di semua negara. Empat perkara inilah, khasnya riba dalam pelbagai bentuk, yang menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Ambil kes sebuah pinggan kualiti sederhana. Katalah kos sebenar ialah RM 1.00. Keuntungan maksimum 30 sen. Jadi, harganya di pasaran ialah antara RM 1.10 hingga RM 1.30. Tetapi harganya di pasaran ialah antara RM 3.00 hingga RM 5.00, iaitu 30 hingga 50 kali ganda lebih mahal. Oleh kerana dasar awam dan juga swasta memberi keutamaan kepada 20% peringkat atas daripada kakitangannya dari segi gaji, maka kenaikan belanja hidup ini memberi tekanan kepada 80% rakyat bawahan, yang gaji dan upahan mereka atas sedikit saja dari paras kemiskinan.

Dalam sebuah ekonomi moden yang saksama dan sihat, harga barangan dan perkhidmatan dan dengan itu belanja hidup patut turun, bukan naik. Ini kerana sains dan teknologi moden meningkatkan produktiviti masyarakat berlipat kali ganda. Kalau dulu dalam masyarakat pertanian lama, produktivi seorang itu 50% dari keperluannya, maka sekarang dalam ekonomi perindustrian, dengan pembagian tenaga buruh dan dengan penggunaan sains dan teknologi, seorang boleh menghasilkan 300% atau lebih daripada keperluannya. Masyarakat perindustrian jauh lebih produktif dari masyarakat pertanian lama. Sepatutnya, masyarakat moden menurunkan kos penghasilan dan belanja hidup, kerana peningkatan produktiviti, serta meningkatkan mutu kehidupan!

Malangnya, ini tidak berlaku, kerana riba dalam pelbagai bentuk dalam sistem kewangan antarabangsa. Ini meningkatkan kos wang. Katalah riba, dalam pelbagai bentuknya, mengambil 20 % daripada kos. Kemudian ada kos-kos palsu yang lain, iaitu birokrasi, pembaziran, rasuah, penyelewengan, termasuk orang tengah. Kos-kos palsu ini akan memakan kira-kira 50% daripada keseluruhan kos. Jika kos barangan atau perkhidmatan itu, termasuk keuntungan, tidak boleh lebih dari RM 1.00, dalam pasaran mereka akan dipasarkan pada harga RM 1.50 atau lebih.

Inilah yang menyebabkan kenaikan harga barang-barang.

Dalam masyarakat liberal-kapitalis ini, barangan banyak, tetapi kebayakan rakyat tidak mampu membelinya. Oleh yang demikian, perniagaan merosot. Inilah yang menyebakan krisis demi krisis dalam masyarakat kapitalis. Tetapi ekonomi-ekonomi yang sedang membangun di Dunia Ketiga, khasnya China dan India, telah menghasilkan barangan yang jauh lebih murah, walaupun mutu barangan itu tidak sebaik barangan dari Eropah dan Amerika Syarikat. Aliran ekonomi ini akan meruntuhkan sistem liberal-kapitalis, yang menggunakan kekuatan modal untuk menindas rakyat. Peralihan perhatian rakayt kepada suatu sistem lain, termasuk di negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat sendiri, akan membawa kepada perubahan sistem kewangan dan sistem ekonomi yang lebih saksama bagi semua rakyat.

Inilah yang sedang berlaku dalam masa empat lima dekad yang lalu. Sekarang proses itu sudah sampai ke peringkat akhir. Pasaran-pasaran saham di A.S, di Eropah dan di Asia Timur merudum. Beratus billion dolar lesap dalam sekedip mata. Bagaimana wang itu jadi (gelembung angin), begitu wang itu pergi!

Sesetengah pemimpin kita masih menghuni zon selesa serta menyatakan asas-asas ekonomi kita kukuh dan kita boleh melalui krisis ini dengan mudah. Jika demikian, baguslah, tetapi tidakkah lebih baik kita bersikap lebih berhati-hati dan berwaspada? Apakah bezanya sistem kewangan kita dengan sistem kewangan antarabangsa dengan riba dan kos-kos palsu lain yang telah kita sebut di atas? Tidakkah perlu kita hapuskan kos-kos palsu ini supaya kos berniaga boleh turun dan, dengan itu harga barang-barang juga boleh turun dan kehidupan rakyat boleh menjadi lebih selesa?

Sama ada semua kerajaan di dunia berbuat demikian, atau mereka akan menghadapi pemberontakan yang besar-besaran daripada rakyat mereka sendiri!



Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Beliau boleh dihubungi di kasmad172@yahoo.com.my. Laman web beliau http://www.kassimahmad.blogspot.com/

1 comment:

MODERATOR said...

Asslamualaikum Dr. Kassim,

Apakah buku biografi Dr. telah pun dilancarkan. Dimana boleh saya dapatkan buku2 tersebut. Dan berapakah harganya?