Sunday, February 24, 2008

Hadis: Satu Penilian Semula #4


Di Mana Kita Tersilap?

Pendek kata, masanya sudah tiba, dan memang tepat pada masanya, bagi umat Islam dan manusia seluruhnya mengkaji keadaan krisis agung ini dari segi yang paling pokok. Di manakah umat islam dan umat manusia seluruhnya telah tersilap? Eropah moden sekular telah muncul dari pemberontakannya terhadap Gereja Katolik dan terhadap agama untuk menganut fahaman humanisme sekular, sama ada corak liberal atau corak Marxis, dan kemudian terbukti gagal untuk mencapai kebahagiaan bagi manusia. Masyarakat dan negara Islam yang baru, setelah diwujudkan oleh Nabi Muhammad, berkembang dan maju begitu cepat, dan dalam kira-kira dua ratus tahun menjadi pemimpin dunia pada waktu Eropah masih tenggelam dalam kegelapan Zaman Pertengahannya, tetapi kemudian dengan cepat juga merosot, berpecah dan jatuh.

Tanda tanya yang besar bagi umat Islam dan umat manusia ialah: Mengapa? Jawapan yang ringkas yang menjadi hipotesis kajian ini ialah manusia, termasuk umat Islam, telah menyeleweng dari ajaran Tuhan yang sebenar. Ajaran Tuhan yang sebenar dalam zaman nabi terakhir, Nabi Muhammad, dan yang dibawa oleh beliau ialah Quran dan tidak yang lain daripada Quran. Hadis atau Sunnah Nabi suatu ajaran palsu yang muncul antara 200-250 tahun kemudan dan yang dikaitkan dengan Nabi Muhammad. Pendek kate penyelewengan umat Islam sejak itu ialah kerana mereka atelah menentang Nabi Muhammad dengan dakwaan mereka bahawa beliau telah membawa dua buah kitab, Quran dan Sunnah.6 Sementara umat Islam telah membelakangkan Quran dengan menggunakan buku Hadis dan kitab-kitab ulama, umat Muhammad yang lain telah membelakangkan Quran dengan menggunakan buku-buku humanisme sekular, sama ada liberal atau Marxis.

Mengelak Salah Faham

Dalam Pendahulaun ini, saya terlebih dahulu ingin mengelak dan menghapuskan sebarang salah faham atau kekeliruan berhubung dengan kajian ini.

Pertama, sama sekali bukan niat atau tujuan saya untuk menimbulkan apa-apa kekeliruan, perbantahan atau perpecahan di kalangan umat Islam di negara kita dengan mempertikaikan Hadis dan Sunnah. Malah tujuan saya adalah sebaliknya. Saya ingin melihat perpaduan, muafakat dan kerjasama di kalangan umat Islam. Saya terlalu cinta kepada Islam, seperti yang dibawa oleh Nabi, dan cinta kepada Islam, seperti yang dibawa oleh Nabi, dan cinta ini tersemat di dada saya sejak saya di bangku sekolah, dua puluh tahun lebih dulu daripada kemunculan gerakan dakwah di negara kita. Pembaca-pembaca yang peka yang telah membaca cerpen-cerpen dan sajak-sajak saya dalam antologi, Kemarau di Lembah (edisi pertama Saudara Sinaran Bhd., 1967; edisi kedua Teks Publishing, 1985) tidak dapat tidak telah melihat unsur ini. Walau bagaimanapun, dapat dilihat juga dari pelbagai tulisan saya bahawa konsep saya tentang Islam agak berbeza dengan konsep ortodoks. Pada satu peringkat, saya tertarik dan terpengaruh dengan teori sosialis, seperti berlaku kepada beberapa orang cendekiawan Islam di seluruh dunia Islam. Namun demikian, ini tidak bermakna saya meninggalkan dan menolak Islam pada waktu itu. Ia hanya menggambarkan pengembaraan spiritual saya untuk mencari sebuah teori dan falsafah sosial yang sesuai yang tidak terdapat dalam masyarakat Islam pada waktu itu.

Sekarang saya kembali semula sepenuhnya kepada Islam seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad. Seperti pencinta-pencinta Islam lain, saya ingin melihat kebangkitan semula Islam yang tulen, satu-satunya agama Tuhan yang dapat menyelamatkan manusia, termasuk umat Islam, dari kehancuran total yang menantinya di akhir abad kedua puluh dan menjelang abad kedua puluh satu. Pada pendapat saya, umat Islam tidak akan dapat bangun semula dengan sepenuhnya kecuali setelah mereka membebaskan diri mereka dari segala macam kuasa palsu, dan kembali tunduk sepenuhnya kepada Tuhan, pemilik kuasa yang sebenar.7 Satu daripada kuasa-kuasa palsu yang telah dipegang oleh umat Islam lebih seribu tahun ialah Hadis/Sunnah. Walaupun ada lagi kuasa-kuasa palsu lain yang sedang dipegang oleh setengah umat Islam, khasnya liberalisme dan Marxisme, Hadislah kuasa palsu yang telah dipegang begitu lama dan meluas oleh kebanyakan umat Islam.

Tujuan kita mestilah untuk mencari kebenaran. Firman Tuhan: Kebenaran hendaklah ditegakkan, dan kepalsuan hendaklah dibatalkan, walaupun tidak disukai oleh pendosa-pendosa. Al-Anfaal (8): 8

Hanya dengan kebenaran barulah kita dapat membebaskan diri kita dari segala macam khurafat dan bid’ah palsu. Hanya dengan pembebasan umat Islam dari segala kuasa palsu barulah dapat kita bangun semula sepenuhnya dan mencapai cita-cita dan tujuan kebangkitan semula umat Islam.

Kedua, saya merayu kepada semua pembaca yang budiman supaya mendengar apa yang akan saya kemukakan dengan fikiran terbuka dan dengan teliti serta menimbangnya secara objektif, tanpa sebarang prasangka dan tanpa menuduh bahawa ini pandangan kaum Orientalis dan sebagainya. Tidak lain daripada seorang sarjana Islam moden yang terkenal, Seyyed Hossein Nasr, yang telah membuat tuduhan seperti ini. Saya memetik beliau: “… satu serangan hebat telah dibuat dalam tahun-tahun kebelakangan ini oleh satu mazhab Orientalis yang berpengaruh. Tidak ada satu serangan yang lebih ganas dan jahat yang boleh dibuat terhadap Islam selain daripada ini, yang mencantas asas-asas Islam itu sendiri dengan kesan yang lebih berbahaya daripada jika satu serangan fizikal dibuat terhadap Islam.”8

Saya fikir kita tidak perlu takut kepada apa-apa kritikan yang telah dibuat oleh sarjana-sarjana Orientalis Barat terhadap mana-mana aspek Islam. Ketakutan kepada kritikan bermakna kita sendiri tidak yakin kepada kebenaran kita. Jika kita meneliti Quran, akan kita dapati bahawa Quran sendiri mengenengahkan pelbagai macam hujah orang-orang kafir dan munafik terhadap orang-orang mukmin, tetapi hujah-hujah ini dipatahkan dengan hujah-hujah kebenaran yang lebih baik. Demikian juga sarjana-sarjana Islam mestilah mengkaji semua hujah musuh-musuh Islam dan mematahkan hujah-hujah itu dengan hujah-hujah yang lebih baik. Tuhan sendiri telah memerintahkan kita supaya “mendengar semua pandangan, kemudian mengikut yang paling baik.”9 Perbezaan pendapat di antara kita mestilah diselesaikan mengikut ajaran-ajaran Tuhan dan Rasulnya, iaitu di atas asas-asas persaudaraan mukmin (“orang-orang mukmin itu bersaudara.” – Quran, 49:10), kajian saksama (“Mereka mendengar semua pandangan, kemudian mengikut yang paling baik.” – Quran, 39:18) dan perundingan (“Urusan-urusan mereka diputuskan melalui rundingan di antara mereka.” – 42:38)

Saya membuat rayuan khusus ini kerana perkara yang akan kita bahaskan menyentuh hati kecil kita serta cara pemikiran yang telah kita warisi turun-temurun dan telah menjadi darah daging kita. Tetapi seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad kepada kita, tradisi lama yang jahat mestilah kita buang.10

Apa yang akan saya kemukakan bukanlah perkara baru. Golongan-golongan ahlul-Quran lain, baik pada zaman Imam Shafi’i mahupun pada zaman sekarang, telah mendahului kita.11 Saya cuma cuba mendekati masalah ini secara keseluruhan dan dengan lebih sistematik.

Ketiga, menolak Hadis/Sunnah sebagai sumber perundangan dan teologi sama sekali tidak bermakna kita merendah-rendahkan Nabi Muhammad dan tidak menghormati dan mengasihinya, apalagi menolak beliau. Mustahillah kita menolak beliau atau tidak menghormati dan mengasihi beliau, sedangkan melalui perjuangan dan pengorbanan beliaulah kita mendapat Quran daripada Tuhan, satu-satunya perutusan dan petunjuk bagi manusia, yang dijamin keaslian dan kemurniannya oleh Tuhan sendiri,12 dan perutusan beliau disifatkan oleh Tuhan sebagai rahmat Tuhan kepada seluruh dunia.13 Tetapi menghormati, menghargai dan mencintai beliau tidak bermakna kita sampai mendewa-dewakan beliau hingga kita sanggup meletakkan kata-kata dan perbuatan beliau, atau lebih tepat, apa yang dilaporkan sebagai kata-kata dan perbuatan beliau (Hadis/Sunnah) sebagai wahyu dan setaraf dengan Quran.14 Malah kita boleh menegaskan sebaliknya: bahawa Nabi, pada dasarnya, mustahil berkata atau berbuat sesuatu bercanggah dengan Quran.15 Justeru kerana kita sangat menghormati dan mengasihi beliau sebagai rasul Tuhan maka kita berkewajiban membersihkan nama beliau daripada ajaran-ajaran palsu yang telah dikaitkan dengan beliau.

Keempat, bila kita menolak Hadis/Sunnah sebagai sumber undang-undang dan teologi, kita sama sekali tidak berniat untuk merendah-rendahkan atau menjatuhkan nama ahlul-Hadis, sama ada yang masih hidup atau yang telah mati. Namun demikian, dalam kita membuat penilaian semula terhadap Hadis, kita terpaksalah mengkritik apa yang kita anggap penyelewengan dan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan oleh tokoh-tokoh agama kita. Kritikan ini berdasarkan ilmu dan tidak kena-mengena dengan sentimen kita terhadap seseorang.

Kelima, seperti telah saya terangkan awal tadi, kita menganjurkan penilaian semula masalah Hadis/Sunnah, bukan dengan niat untuk menimbulkan kekeliruan dan perpecahan di kalangan umat Islam. Sebaliknya saya berpendapat ajaran-ajaran palsu inilah (Hadis/Sunnah) yang telah dan terus menjadi punca kekeliruan dan perpecahan yang terbesar di kalangan umat Islam selama lebih seribu tahun. Nyata sekali bagi mereka yang melihat dan menggunakan akal bahawa di mana-mana di seluruh dunia Islam hari ini tidak wujud perpaduan dan kerjasama yang kita kehendaki dan seperti yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad. Lihat saja apa yang sedang berlaku di Asia Barat: di Lubnan, Palestin dan di antara Iran dan Iraq. Perhatikan apa yang sedang berlaku di depan mata kita di negara kita sendiri di antara PAS dan UMNO. Lihat juga berapa banyak perpaduan dan kerjasama yang wujud dalam Pertubuhan Negara-negara Islam.

Kata Perdana Menteri kita, Dr. Mahathir, dalam wawancaranya dengan majalah Arabia, (Ogos 1985): “Perpaduan atau kerjasama di antara negara-negara Islam masih satu impian … Orang-orang Islam belum mengerti makna persaudaraan ummah seperti yang diajar oleh Islam.”

Kajian ini mendukung tesis bahawa Hadis/Sunnah merupakan punca kekeliruan dan perpecahan yang terbesar di kalangan umat Islam selama lebih seribu tahun. Kita akan cuba membuktikan tesis ini dengan keterangan-keterangan yang kukuh dan terang dari Quran, sejarah dan ilmu rasional.

Walaupun kita menganjurkan Hadis/Sunnah ditolak sebagai sumber undang-undang dan teologi, kerana tidak ada asasnya dalam Quran seperti yang akan kita buktikan, ini tidak bermakna kita menolak Hadis sama sekali. Tidak syak lagi, ada hadis-hadis yang benar dan yang berasal daripada Nabi. Umpamanya, Piagam Madinah yang terkenal, perjanjian-perjanjian yang dibuat oleh Nabi dengan pelbagai golongan dan surat-surat Nabi yang telah dirakam oleh sejarah boleh juga dianggap sebagai hadis, tetapi nyatalah dokumen-dokumen ini tidak mengikat kita, sepertimana Quran mengikat kita. Mereka merupakan dokumen sejarah yang penting. Demikianlah Hadis/Sunnah merupakan satu catatan sejarah yang boleh dan perlu dikaji oleh ahli-ahli sejarah dan para penyelidik lain untuk memahami dan menilai zaman itu.

Keenam, kajian ini kita buat berdasarkan ilmu, dan bukan sentimen dan prasangka. Kaedah ilmiah Islam menggunakan ketiga-tiga sumber ilmu, iaitu ilmu dari keterangan deria atau pancaindera (‘ainul-yaqin)16, ilmu dari keterangan akal (‘ilmu-yaqin)17, dan ilmu dari keterangan wahyu (haqqal-yaqin)18. Dalam kaedah ilmiah Islam, ketiga-tiga sumber ini digabungkan untuk memberi kita keberatan atau ilmu yang sepadu mengenai sesuatu perkara19. Kita akan menggunakan kaedah ilmiah ini untuk membuat penilaian semula terhadap Hadis. Oleh yang demikian kita akan menggunakan keterangan-keterangan sejarah atau empiris, keterangan-keterangan akal rasional atau logikal dan keterangan-keterangan Quran. Kita berharap, dengan menggunakan kaedah saintifik Islam ini, kita akan mencapai kebenaran. Seperti firman-firman Tuhan:

Kebenaran sekarang dibezakan daripada kepalsuan. Oleh yang demikian, mereka yang menolak penyembahan patung dan beriman kepada Tuhan semata-mata telah berpegang kepada ikatan yang paling kuat yang tidak akan putus.

Al-Baqarah (2):256: Dan katakanlah, “Kebenaran telah datang dan kepalsuan hapus. Sesungguhnya, kepalsuan pasti akan hapus.

Bani Israel (17) 81: Dan Tuhan memadamkan kepalsuan dan mensahkan kebenaran dengan kalimahNya.

Al-Syura (42):24

Ketujuh dan akhir, sama sekali bukan tujuan kita untuk memaksakan pendapat-pendapat yang dikemukakan dalam siri ceramah ini ke atas siapa-siapa. Kita pun tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian, dan saya tidak menganjur supaya pihak berkuasa berbuat demikian. Dengan segala rendah hati, kita kemukakan pandangan dan pendapat ini, berdasarkan keterangan-keterangan saintifik, kepada masyarakat Islam dengan harapan masyarakat Islam akan memberi pertimbangan yang wajar, sesuai dengan perintah-perintah Tuhan:

Mereka (orang-orang mukmin) mendengar semua pendapat, kemudian mengikut yang paling baik. (39:18)

Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia menciptakan manusia dari seketul darah. Bacalah, Tuhanmu paling mulia. Dia mengajar melalui pena. Dia mengajar manusia apa yang tidak pernah diketahui. (95:1-5)

Apa yang saya kemukakan di sini boleh jadi betul, dan boleh jadi salah. Apa yang betul lambat-laun akan diterima oleh masyarakat; apa yang salah akan ditolak, sesuai dengan hukum kebenaran yang telah ditetapkan oleh Tuhan. Saya tidak meminta lebih daripada itu. Malah saya meminta itu saja. Imam Shafi’i dan ulama Hadis Klasik kita yang telah menciptakan teori Hadis juga tidak boleh meminta lebih daripada itu. Tugas pemimpin, cerdik pandai dan ulama kita yang berfikiran waras dan adil ialah mempastikan masyarakat Islam kita, di bawah hasutan taksub kepada tokoh, tidak melemparkan tuduhan-tuduhan yang melulu terhadap pandangan-pandangan dan pendapat-pendapat yang berbeza yang dikemukakan secara sopan, wajar dan rasional. Kerapkali juga perkara-perkara seperti ini berlaku dalam masyarakat Islam. Perkara-perkara seperti ini hanya mendedahkan kejahilan dan kezaliman kita sendiri. Firman Tuhan:

Jangan terima apa-apa yang kamu sendiri tidak dapat memastikan. Kamu diberi pendengaran, penglihatan dan akal supaya kamu memeriksa dan mensahkan. Bani Israel (17):36

Adalah tanggungjawab kita untuk memastikan kebenaran apa-apa yang diajukan kepada kita tanpa mengikut guru-guru, sarjana-sarjana, ulama ataupun wali-wali dengan buta-tuli. Dalam semangat inilah kita melakukan semula penilaian Hadis.

3 comments:

Anonymous said...

inilah negara yg kita mahu
http://kucheng.myminicity.com/

the indie story said...

Salam Dr. Kassim yang budiman,

Dengan izin Tuan Punya Blog.

Kepada para pengunjung Blog yang ingin melihat foto-foto hakmilik peribadi “KEMPEN DIHARI PENAMAAN CALON BAGI PARLIMEN TITIWANGSA, WILAYAH PERSEKUTUAN, KL.” boleh masuk ke blog saya tanpa sekatan.

Pertembungan diantara BA yg diwakili PAS dan BN diwakili pelh UMNO. Pelbagai aksi foto menarik boleh dilihat diblog ini. Dan pihak kami akan terus ‘upload’ foto-foto disekitar kempen pilihanraya ke 12, 2008 dari masa ke semasa. Insha’allah.

Bagi Parlimen Titiwangsa, PAS mecalonkan tokoh muslimat yang dikenali ramai iaitu Dr. Lo’Lo’ Mohd Ghazali 51. Manakala BN, pula diwakili oleh Dato’ Aziz Jamaludin Mohd Tahir 54. Tempat Pencalonan Sekolah MenengaH Aminudin Baki.

Penamaan calon pada hari tersebut suasana agak meriah, dan tiada ketegangan berlaku.

Wassalam.

http://theindiestory.blogspot.com

Anonymous said...

cuba tgk kat sini
http://kucheng.myminicity.com/tra