Thursday, October 29, 2015

PEGANGAN TAUHID


PEGANGAN TAUHID
Oleh: Kassim Ahmad
30 Oktober, 2015

          Satu hadis sahih menyatakan bahawa sembahyang tiang agama.  Oleh yang demikian, kebanyakan orang Islam di Malaysia berlumba-lumba untuk sembahyang. Tetapi sedikit pengetahuan tentang Quran akan menunjukkan bahawa dalam Surah Al-Maa’un (107) Tuhan mengutuk orang yang bersembahyang. Kutukan ini nyata  kerana bagi orang-orang ini sembahyang satu ritual semata-mata; tidak ada kena-mengena dengan aspek-aspek kehidupan yang lain, seperti politik, ekonomi, sosial, undang-undang dan falsafah.
Dengan perkataan lain, tanpa pegangan tauhid, segala perbuatan kita batal. Mengapakah pegangan tauhid itu penting?
Tauhid bermakna kepercayaan kepada Tuhan Yang Esa. Tuhan Yang Esa membawa implikasi kesatuan kehidupan dan kesatuan undang-undang alamiah. Semua manusia berasal dari satu nafs atau diri. Kemudian dia berkembang menjadi dua dan banyak, bertebar ke seluruh dunia, menjadi pelbagai bangsa dan agama.
Agama Tuhan itu satu saja, monoteisme, beriman kepada Tuhan Yang Esa, Islam, tunduk dan sembah Tuhan Yang Satu.
Satu kajian sejarah akan memberitahu kita bahawa semua agama Tuhan yang dibawa oleh semua nabi lagi rasul dari Adam, selepas kira-kira tiga ratus tahun, bertukar balik menjadi poletiesma. Demikian telah terjadi kepada semua agama. Demikian juga telah terjadi kepada agama Islam yang dilengkap dan disempurnakan oleh Nabi Muhammad (penyudah segala nabi, khataman’al-nabiyyin). Islam Nabi Muhammad telah berpecah kepada puak Ahli Sunnah Wal-Jama’ah dan puak Syi’ah.  Mereka yang membuat puak dalam agama tidak diiktiraf oleh Nabi Muhammad sebagai pengikut beliau.
Mengapakah perkara ini berlaku? Dalam diri manusia ada dua dorongan yang senantiasa berlawan. Satu dorongan ke atas untuk meningkat maju. Kita kata ini dorongan malaikat. Satu lagi dorongan ke bawah untuk meruntun kita jatuh. Kita kata ini dorongan syaitan. Jadi, seperti kata seorang ahli falsafah sosial, kemajuan manusia bukan mengikut satu garis, tetapi banyak garis. Jadi, kemajuan manusia mengikut jamakgaris, bukan tunggalgaris, kadang-kadang meningkat naik, kadang-kadang merosot turun. Tetapi pada keseluruhannya meningkat maju. Dua peperangan dunia menunjukkan rosotan yang besar. Namun demikian, tamadun manusia mekar dan jatuh, mekar dan jatuh, silih-berganti. Sekarang manusia di ambang pendudukan Angkasa Lepas dan di ambang sebuah dunia yang adil.   
   Tuhan telah memberi tahu kepada kita dalam Quran bahawa  kebnyakan manusia tdak beriman, dan di antara sedikit yang beriman ini tidak beriman kecuali dengan menyengutukan Tuhan!  Ini menunjukkan bahwa bilangan sedikit yang beriman ini pun cukup untuk membawa manusia ke mercu kejayaan. Kekuatan tidak terletak pada bilangan ramai. Kekuatan terletak pada kebenaran.


KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Lama web beliau www.kassimahmad.blogspot.com  

Wednesday, October 28, 2015

BETULKAH HADIS KATA-KATA NABI MUHAMMAD?



BETULKAH HADIS KATA-KATA NABI MUHAMMAD?
Oleh: Kassim Ahmad
10 Mei, 2015

            Telah saya nyatakan di tempat-tempat lain bahawa dalam sejarahnya manusia melakukan banyak kesilapan, sesetengahnya besar. Hudud sebagai hukum kesiksaan, seperti yang ditafsirkan oleh sesetengan ahli hukum, satu daripanya. Itulah sebabnya wajar benar warisan yang kita terima dari generasi dulu kita nilai semula sama ada betul atau tidak. Yang betul kita teruskan; yang salah kita tinggalkan. Dengan demikian, kemajuan kita akan senantiasa meningkat. Jadi, pemikiran kritis amat penting. Kita mesti baca untuk mengetahui dan membuat, tetapi baca kita itu mesti selalu dengan kritis. Sikap taksub kepada pemimpin atau sarjana itu satu kesalahan besar.
            Sejak saya tulis buku Hadis: Satu Penilaian Semula dalam 1986, Raja Fahd di Arabia,  Jabatan Agama Kerajaan Turki dan seorang penysarah Universiti Islam Antarabangsa telah mengiyakan seruan itu. Malah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sendiri baru-baru ini menyatakan kemahuan mereka untuk menyemak semula Hadis, kerana kemunculan kumpulan IS.  Ini menunjukkan anjuran saya itu tepat pada masanya dan relevan.
            Harus diingat bahawa Nabi Muhammad tidak bertanggungjawab terhadap kemunculan Hadis. Misi beliau semata-mata menyampaikan Quran, dan tidak lebih dari Quran.[1]  Hadis muncul kemudia kerana beberapa sebab; ada sebab yang ‘baik’ untuk memasukkan ajaran yang baik dari tamadaun-tamadun lain, seperti Yunani.(Tidakkah mereka sedar bahawa perbuatan ini menafikan sempurna dan lengkapnya ajaran Quran?) Walaupun demikian, pada dasarnya, Hadis telah menjadi saluran ajaran yang bertujuan untuk melemahkan orang Islam. Banyak hadis mengandung ajaran-ajaran dari kitab Taurat, yang kita tahu sudah dipinda. Umpamanya, hukuman bunuh bagi orang murtad, dan rejam hingga mati untuk penzina, dan banyak lagi.[2]
            Guru Agung yang memperkenalkan doktrin baru dua sumber utama (Quran dan Hadis) tidak lain daripada pengasas ilmu perundangan Islam, Iman Shafi’e (767-820), yang lahir 136 tahun setelah nabi wafat. Sebelum ini sedikit hadis sudah wujud, direka oleh pereka-pereka Hadis dengan sebab-sebab tertentu.[3]  Apabila Guru Agung ini memperkenalkan doktrin baru dua sumber utama, barulah timbul pengumpul-pengumpul Hadis bagi puak Sunni dan juga bagi puak Syi’ah kira-kira 200 hingga 250 tahun selepas nabi wafat, yakni di antara 6.6 dan 8.3 generasi kemudian. Jarak yang amat jauh ini menampakkan kelemahan Hadis dari kedua-dua  segi sanad dan matannya. Ada orang sudah membuat suatu ujian saintifik meletakan beberapa orang di sekeliling sebuah meja bundar, dibisikan satu ayat kepada orang pertama dan disuruh dia bisikan kepada orang kedua seterusnya hingga orang yang terakhir: didapati ayat itu tidak sama lagi dan sudah berubah!
            Jika kelemahan ini begitu ketara, mengapakah Hadis dipegang oleh kebanyakan umat Islam selama 1,400 tahun lebih? Ini menunjukkan kebanyakan umat Islam tidak membaca dengan kritis, seperti yang diperintah oleh Tuhan dalam Quran. Mereka taksub kepada pemimpin, padahal pendewaan kepada pemimpin ini satu punca syirik. Saya ingat waktu saya berdialog dengan ABIM pada tahun 1986, salah seorang daripada jurucakap mereka Uthman Muhammady berkata kepada saya (dalam bahasa Inggeris), “Kassim, you have gargantuan courage!” (“Kassim, awak terlalu berani!”). Saya berfikir lama selepas dialog itu mengapa beliau berkata demikian kepada saya. Akhirnya, saya membuat kesimpulan kerana saya berani mengkritik tokongnya, Imam Shafi’e!
            Biar saya membuat satu pengkuan di sini. Saya lahir di pedalaman di kalangan orang miskin. Maka itu saya memberontak terhadap keadaan status quo. Perhatikan sajak saya “Dialong” yang bait akhirnya berbunyi:-
/ada besok maka pasti ada suria/aku akan pergi/dengan seribu Jebat si anak tani/kian lama kita mati dalam setia/ kali ini kita hidup dalam durhaka/. (Tekanan ditambah)
            Jadi, saya kritis terhadap apa yang saya warisi dari nenek moyang – apa yang saya panggil “Islam baka”. Saya mencari Islam yang sebenar. Maka itu kaum Haman, puak birokrasi agama di zaman kita sekarang, munuduh saya kufur (Majlis Fatwa Terengganu) dan JAKIM menuduh saya “menghina Islam”.  Birokrat agama juga mengharamkan buku saya Hadis: Satu Penilaian Semula. Sekarang sampailah masanya mereka memohon ma’af kepada saya. Saya akan meminta Kerajaan mengarahkan institusi-institusi mereka yang terbabit supaya menarik balik semua tuduhan palsu mereka terhadap saya.  
            Maha Suci Allah! Segala puji bagi Dia!
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia, Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com
           



[1] Aduan Muhammad kepada Tuhan yang masyhur itu berbunyi, “Tuanku, kaumku telah membelakangkan Quran ini.”  (Quran, 25: 30) Ini menunjukkan bahawa kitab yang beliau bawa itu Quran, bukan Quran dan Hadis. Banyak ayat Quran menyebut misi Nabi Muhammad hanya menyampaikan Quran, umapanya 3: 20; 5: 92, 99, dll. Quran disebut sebagai ‘hadis’ (7: 185; 12: 111, dll.).  Mereka yang mengadakan sebuah buku lain, selain Quran (68: 35- 38).
[2] Lihat Kassim Ahmad, Dilema Umat Islam – Antara Hadis dan Quran (Forum Iqra’ Pulau Pinang: 2002).
[3] Lihat Kassim Ahmad, Lihat Kassim Ahmad, Hadis: Satu Penilaian Semula (Media Intelek, Petaling Jaya: 1986).

FITNAH JAWATANKUASA FATWA TERENGGANU


FITNAH JAWATANKUASA FATWA NEGERI TERENGGANU
PENOLAKAN DAN JAWAPAN
Oleh: Kassim Ahmad
8 Julai, 2014

Mengikut laporan, Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu telah memutuskan pada  9 Mac, 2014 bahawa ucapan saya di dewan Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 26 Februari, 2014 itu sebagai “pemikiran yang kufur dan murtad”. Kufur bermakna kafir dan murtad terkeluar dari Islam. Ini satu fitnah dan kesilapan besar.
Isu-isu yang ditimbulkan penolakan saya terhadap[ syahadah yang kedua, kenyataan saya bahwa rambut wanita bukan ‘aurat, dan tuduhan lama bahawa saya anti-hadis.
Saya tidak pernah mempertikai Nabi Muhammad sebagai nabi lagi rasul. Apa yang saya pertikai  amalan syahadah kedua. Sebab apa saya buat begitu? Kerana persis ia tidak diajar oleh beliau sendiri dalam Quran. Syahadah yang pertama disahkan dalam Quran dalam Surah 3, ayat 18 yang berbunyi: “Tuhan naik saksi tiada tuhan melainkan Dia; demikan juga para malaikat dan mereka yang berilmu, yang enegakkan keadilan. Tiada tuhan melainkan Dia, Yang Maha Perkasa, Bijaksana.”  Perhatikan ayat ini berhenti di situ tanpa meneruskan dengan apa yang dikatakan syahadah kedua. Malah syahadah kedua dibatalkan dalam Surah 63, ayat 1, yang berbunyi, “Apabila orang munafik datang kepada kau, mereka berkata, ‘Kami naik saksi kau rasul Allah.’ Allah tahu kau rasul-Nya, dan Allah naik saksi bahawa orang munafik itu pendusta.”
  Anehnya, walau pun ayat ini wujud, masih ada orang yang melafazkan syadah kedua!
Dari segi logika, kita tidak boleh berbuat demikian kerana rasul Allah itu ramai, bukan Muhammad seorang. Mengapa mereka sebut Muhammad saja. Lagi pula, bagaimana Nabi Ibrahim bersyahadah? Adakah beliau berkata, “Aku naik saksi Ibrahim rasul Allah”? Kalau beliau buat begitu bermakna ada banyak Islam. Ini tidak benar sama sekali.
Jadi, syahadah itu satu saja. Syahada ini diamalkan oleh semua nabi dan rasul, termasuk Nabi Muhammad.
Saya juga membantah pendewaan Nabi Muhammad dengan menyamakan beliau dengan Allah dalam mesjid-mesjid, rumah-rumah dan kereta-kereta. Ini sama sekali tidak bermakna saya memperkecilkan beliau. Beliau penyudah segala nabi dan disifatkan oleh Tuhan sebagai rahmat kepada seluruh manusia. Tetapi menyamakan beliau dengan Tuhan dengan menulis nama beliau dan Tuhan sama besar dan separas itu salah besar.


Ada orang akan bertanya mengapa kebanyakan umat Islam di seluruh dunia berbuat demikian. Jawabnya, kerana mereka ikut Islam baka, Islam yang kita warisi dari nenek-moyang tanpa usul-periksa.
Saya ingin bertanya kepada cerdik-pandai Islam sekarang. Mengapakah umat Islam sekarang duduk di belakang Britain, Perancis, Amerika Syarikat, Rusia, China dan India.? Sepatutnya, sebagai pengamal agama yang Tuhan Sendiri reda, kita duduk di atas sekali, seperti mula-mula dulu. Ini bukti yang jelas sekali bahawa kebanyakan umat Islam sekarang sudah menyeleweng daripada agama Islam yang sebenar yang diajar dalam Quran. Kalau kita kaji sejarah agama, selepas kira-kira 300 tahun, agama itu akan dimasuki semula khurafat-khurafat dalam masyarkat itu.
Mereka tuduh saya kufur dan murtad. Tiada siapa pun boleh menghukum seseorang itu mukmin atau kafir, kecuali Tuhan Yang Maha Mengetahui. Ini bermakna mereka yang menuduh saya demikian bertindak sebagai Tuhan!
Saya cabar mereka yang menuduh saya demikian berdebat dengan saya di depan umum untuk menentukan siapa betul dan siapa salah. Kalau mereka enggan melayan cabaran saya untuk berdebat, jangan buat tuduhan yang tidak sanggup merkea pertahankan dalam satu debat umum.  
Perkara ini sepatutnya dibuat dialog, berbincang dengan baik, dalam semangat  keislaman. Membuat tuduhan dan fitnah seperti itu tidak akan menyelesaikan masalah.

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

JALAN YANG LURUS


“JALAN YANG LURUS” – APA MAKNANYA DALAM KONTEKS
IDEOLOGI-IDEOLOGI DUNIA MODEN?
Oleh: Kassim Ahmad
19 Mac, 2013.

Saya fikir masanya sudah tiba kita di Malaysia mencari “Jalan yang Lurus” di antara jalan-jalan yang menyeleweng, seperti yang diajar oleh Tuhan dalam doa agung dalam Surah Pembukaan (1), ayat-ayat 6-7.  Doa manusia ini memohon Tuhan menunjuki dia jalan yang lurus yang Dia restui daripada dua jalan yang menyeleweng, iaitu, pertama, jalan mereka yang Dia murkai, dan, kedua, jalan mereka yang sesat.
Dalam konteks dunia moden, jalan mereka yang Dia murkai jelaslah jalan orang-orang yang menafikan alam-alam moral dan spiritual atau menafikan kewujudan Tuhan Pencipta Alam, iaitu kaum materialis, dalam zaman moden kaum marxis-komunis. Hukuman Tuhan terhadap kaum marxis-komunis pantas. Sistem mereka bertahan selama 75 tahun saja dari Revolusi Bolshevik di Rusia pada 1917 hingga 1989-1991 apabila ia runtuh di seluruh dunia (termasuk di Cuba dan Korea Utara) .
Mereka yang sesat nyatalah mereka yang tidak berniat untuk menderhaka, tetapi dalam mencari jalan yang lurus, mereka sesat. Mereka terdiri daripada umat-umat Kristian dan Islam, malah penganut-penganut semua agama, yang telah memilih ideologi-ideologi teokrasi dan liberalisme sebagai cara hidup mereka. Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua nyata hukuman terhadap sistem penjajahan yang lahir dari ideologi liberalisme ini. Oleh kerana masyarakat liberal berkemampuan melakukan tampal-sulam kepada sistem ini, ia telah bertahan lebih lama daripada sistem komunis. Namun sistem ini juga sedang runtuh di Eropah, rumah asalnya, dan di Amerika Syarikat. (Hutang A.S. $11.6 trillion, 73% daripda KNK pada 2012.)
Sistem teokrasi moden di Iran mungkin akan melancarkan serangan terhadap negara kolonial Israel dan kedua-duanya akan menghancurkan sama sendiri dalam peperangan itu. Amerika Syarikat melarang Iran daripada memiliki senjata nuklier, tetapi semua orang tahu Israel, anak emasnya, memiliki senjata itu. Kuasa-kuasa Barat (A.S. Britain dan Perancis) juga mempunyai senjata itu. Jadi larangan mereka terhadap Iran tidak logik dan tidak adil.
Perkataan ‘agama’ dalam ertikata biasa merujuk kepada sesuatu sistem kepercayaan dan ibadah. Ia tidak termasuk bidang-bidang kehidupan yang lain, seperti falsafah, undang-undang dan sistem sosio-ekonomi. Tetapi Islam sebagai satu deen diertikan sebagai satu sistem kehidupan yang mencakupi semua bidang, termasuk falsafah, undang-undang dan sistem sosio-ekonomi.
Oleh kerana benua Eropah, yang mewarisi tamadun Islam pertama, sekarang dilanda pelbagai krisis, maka sudahlah sampai masanya kita kaji sebab-sebab krisis ini. Bukan itu saja. Kita kena kaji sistem ganti yang bakal mengganti sistem Eropah yang bobrok sekarang. Doa agung yang kita sebut di atas perlu dirujuk dan diberi perhatian berat.
Manusia sudah tergelicir dari “Jalan yang Lurus”. Kata pepatah, sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan. Pangkal jalan kita pentadbiraan Nabi Muahammad dan empat kahlifah al-rasyidun. Tuhan memberi kepada kita dua contoh kehidupan yang baik, iaitu Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad. Contoh ini boleh kita simpulkan kepada dua ciri: revolusioner dan bijaksana. Revolusioner bermakna semangat pergi kepada perdu masaalah, dan bijaksana apabila melaksanakan semangat  revolusioner itu.
Mereka yang tidak menderhaka kepada Tuhan, tetapi yang sesat dari jalan yang lurus itu termasuklah orang-orang Islam dan Kristian.  Kesesatan ini kerana kealpaan mereka membenarkan korupsi masuk ke dalam kehidupan mereka. Korupsi ini boleh berbentuk falsafah, seperti Liberalisme dan Positivisme Logika,  dan juga doktrin ekonomi dan kewangan yang membenarkan riba dalam pelbagai bentuk yang tersembunyi.
Jadi, kita lihat penyelewengan pertama, penderhakaan kepada Tuhan telah hapus. Pernyelewengan dari dari jalan yang lurus kerana sesat, bukan kerana derhaka, masih belum dapat diatasi. Dalam kes umat Islam, kita melihat mereka terbahagi kepada puak teokrasi ala Iran (parti PAS sekarang; ingat parti PAS tidak selalunya begini.) dan puak Liberal (Umno-BN). Ideologi Pakatan Rakyat tidak jelas. Ia cacamarba, kerana ia termasuk teokrasi PAS, cauvinisme Cina DAP, dan oporcunisme PKR.
Saya telah menyatakan bahawa sistem dwi-parti Eropah yang sekarang menjadi obsesi rakyat kita itu primitif dan membazir. Ia berasal dari falsafah failasuf Inggeris, Thomas Hobbes (1588-1679), yang mengajar bahawa masyarakat “sebuah medan perang semua lawan semua.” Mengapa kita harus menjadi pak turut Eropah yang sejarahnya berbeza dari sejarah kita. Eropah menjajah; kita kena jajah. Mana boleh kita ikut mereka dalam hal ini?
Tuhan beri kepada kita dua tangan. Patutkah kita gunakan tangan kiri untuk merosakkan kerja tangan kanan? Ini sistem dwi-parti yang hendak kita bawa kepada politik kita sekarang? Kononya, yang satu boleh membuat koreksi, jika yang satu lagi membuat salah? Saya bertanya: Tidakkah koreksi boleh dibuat dari dalam? Lihat apa yang berlaku di Eropah. Adakah sistem dwi-parti mereka menghalang kemunculan kolonialisme dan imperialisme? Tidak! Adakah ia menghalang kemunculan negara kolonial Israel yang merampas hak rakyat Palestin? Tidak!
Sistem ini juga sedang runtuh di Eropah sendiri. Mengapa kita hendak ikut suatu sistem pemerintahan yang sedang runtuh di tempat asalnya?
Jadi, kita harus susun satu sistem pemerintahan mengikut acuan kita sendiri, sistem yang menganjurkan permuafakatan di antara semua parti di atas asas patriotisme Malaysia,  bertujuan untuk mencapai kebaikan rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama. Contohnya sudah ditunjuk oleh perdana menteri kita yang kedua, Tun Razak.  Semasa beliau menjadi perdana menteri, beliau mengamalkan perbincangan sararpan pagi, atau kitchin cabinet, terdiri antara lain dari Abdullah Majid dan James Putuchearry (dua tokoh kiri). Beliu juga menjemput parti saya (Parti Sosialis Rakyat Malaysia) memasuki gabungan Barisan Nasional yang baru beliau tubuhkan.  Malangnya, beliau meninggal dunia awal kerana penyakit lukemia.
Sistem Islam (“Jalan yang Lurus”), seperti yang telah saya katakan, mencakupi semua bidang. Sistem percukaiannya (zakat) mempunyai lapan matlamat, iaitu (i) fakir miskin, (ii) pelajar miskin (iii) mereka yang mencari kebenaran, (iv) membebaskan orang tawanan dan hamba abdi, (v) gaji pengutip zakat, (vi) mereka yang terjebak dalam hutang dalam menjalankan kerja-kerja kebajikan, (vii) perbelanjaan prasarana, seperti bekalan air, elektrik, hospital, sekolah dan sebagainya, dan (viii) pengembara yang terlantar dalam perjalanannya.
Sasaran sistem percukain ini menunjukkan bahawa salah satu matlamatnya menghapuskan kemiskinan. Sejarah menceritakan bagaimana khalifah kedua, Omar Ibni Khattab, apabila mendapati sebuah isirumah yang miskin – beliau sendiri pergi ke gedung negara, mengambil segundi gandum, lalu menghantar gandum itu ke rumah tersebut! Pemimpin Islam moden Saddam Hussein mencontohi praktik ini apabila beliau melawat rumah-rumah kampung pagi-pagi selepas subuh. (Malangnya, kerana keberanian beliau untuk memberi pengajaran kepada Israel, beliau dibunuh oleh kaum penjajah Barat dan agen-agen mereka di dalam masyarakat Islam sendiri.
Islam menganjurkan sistem kewangan dan ekonomi yang bagus sekali. Ia melarang pembaziran dan rasuah. Ia menggalakkan cara hidup yang sederhana. Jika pemimpin dan rakyat kita di Malaysia melaksanakan anjuran-anjuran Islam ini, sistem kewangan dan ekonomi kita akan meningkat lebih maju mengatasi sistem liberal yang kita pakai sekarang.
Sistem Islam ini sebenarnya sebuah sistem untuk semua manusia. Larangan-larangannya terhadap judi, arak dan zina baik bukan saja kepada orang yang agamanya Islam, tetapi kepada orang bukan Islam juga. Namun demikian, pemerintah Islam tidak boleh memaksa orang-orang bukan Islam mengubah budaya mereka secara mendadak. Islam menganjurkan pendidikan.
Perlembagaan kita mengistiharkan Islam sebagai agama negara, dan pemimpin-pemimpin kita selalu melafazkan keutamaan kepada prinsip ini. Namun demikian, Islam sebagai suatu sistem hidup sudah hilang daripada kita, kecuali dalam hal yang bukan-bukan, seperti hukum hudud (yang tiada dalam Quran) dan berebut nama Allah (perkataan “Allah” itu bahasa Arab bermakna “Tuhan itu”).
Sudah sampai masanya kita kembali kepada Quran, satu-satunya kitab Allah yang diwahyukan kepada nabi besar kita, Nabi Muhammad. Sudah sampai masanya cerdik-pandai kita mengkaji kitab ini dengan teliti dan mendalam, dan mengadakan perbincangan-perbincangan dengan semua aliran fikiran, supaya kita boleh membuat koreksi kepada kesilapan-kesilapan yang telah kita lakukan pada masa lalu serta maju di jalan yang lurus ini. Dalam Islam tidak harus ada puak yang memaksakan pandangan dan pendapatnya terhadap seluruh masyakat. Islam, pada hakikatnya, bermakna pembebasan total dari perhambaan kepada patung-patung yang tidak berkuasa.      

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com    




Tuesday, October 27, 2015

DUA MUSIBAH BESAR?


DUA MUSIBAH BESAR?
Oleh: Kassim Ahmad
28 Oktober, 2015
dual_hikmah333@yahoo.com.my 

Dua sifat Tuhan yang utama Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Dia Maha Pemurah kerana Dia memberi sinar matahari, angin, hujan dan sebagainya kepada semua tanpa mengira agama. Dia Maha Penyayang kepada hamba-hambanya yang menyembah Dia saja.
Di negara kita Malaysia, ada dua musibah besar yang merosakkan nyawa dan harta benda yang banyak tiap-tiap tahun, iaitu banjir dan kemalangan di jalanraya. Betulkah kedua-dua ini musibah yang harus kita deritai tiap-tiap tahun, atau  musibah yang boleh kita elak sama sekali, dan dengan itu menyelamatkan banyak nyawa dan wang?
Pertama, kedua-dua musibah ini boleh kita elak. Banjir boleh kita elak dengan kita membina sistem perparitan yang baik di seluruh negara. Selebat mana dan selama mana pun hujan, jika kita ada sistem perparitan yang yang baik, negara kita tidak akan dilanda banjir. Air hujan itu akan mengalir keluar pergi ke laut.  Tidak aka ada kawasan yang banjir.
Berhungan dengan kematian di jalanraya, kita hanya perlu menarik keluar dari jalanraya kita separuh dari kereta persendirian supaya jalanraya kita tidak sesak. Tidak ada gunanya kita meluaskan jalanraya hingga menjadi lebih dari enam atau lapan lorong sebelah menyebelah. Tanah kita terbatas. Penyelesaiannya terletak kepada sistem pengangkutan awam yang lebih baik. Adakan pengangkutan awan yang baik (keretapi laju) daru utara ke selatan dan dari barat ke timur) dan bas  yang boleh membawa penumpang di semua tempat ke semua tempat.
Dengan cara begini kita boleh menyelamatkan banyak nyawa dan wang. Dari penjimatan ini kita boleh bayar pampasan dari penarikan kereta persendirian, dan juga mebiayai, di mana perlu, pengangkutan awam yang kebih baik.

KASSIM AHMAD seorang penulis Malaysia bebas. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

Monday, October 19, 2015

SATU, ATAU PELBAGAI SISTEM PERSEKOLAHAN NASIONAL?



SATU, ATAU PELBAGAI SISTEM PERSEKOLAHAN KEBANGSAAN?
Oleh: Kassim Ahmad
19 Oktober, 2015

            Kebelakangan ini, beberapa pihak telah menganjurkan reformasi dalam sistem pendidikan Negara. Mereka mahu semua murid dari pelbagai kaum dan agama diletakkan di bawah satu bumbung untuk belajar. Anjuran ini sangat wajar, kerana pengasingan di bawah sekolah pelbagai aliran tidak akan membawa kepada perpaduan bangsa. Kita mesti wujudkan satu sistem pendidikan yang boleh memberi pendidikan kepada anak-anak kita di satu tempat supaya mereka akan membesar dalam satu keadaan kepelbagaian. Kesatuan dalam kepelbagaian.
            Sebaliknya, Perdana Menteri Najib mahu mengekalkan keadaan sekolah pelbagai aliran. Lihat laporan dalam akhbar The Star (keluaran 19 Oktober, hlm. 1 & 2 Hujah beliau, ini sudah dipersetuju oleh kontrak sosial kita (yang dipaksakan ke atas kita oleh penjajah Inggeris dalam perundingan kemerdekaan dulu.) Jadi, kontrak sosial ini tidak sah dan tidak boleh dipakai, kerana kita kena paksa, muslihat politik Inggeris yang licik itu. Hujah bahawa Tunku Abdul Rahman telah bersetuju dengan sistem ini tidak bermakna kita tidak boleh membuat perubahan demi untuk mencapai sistem pendidikan yang lebih baik untuk bangsa Malaysia yang sedang kita bina.   
            Konsep ‘1 Malaysia’ yang diketengahkan oleh PM Najib sendiri memerlukan kita buat anjakan paradigm ini. Mengapa beliau pula yang menentang? Beliau mahu menjadi populis kepada kaum-kaum bukan-Melayu? Bagaimana pula dengan kaum Melayu? Mahukah Najib dibantah oleh kaum Melayu?
            Persekutuan Tanah Melayu/Malaya satu kesinambungan sejarah dari Kerajaan Melayu Melaka abad ke 15 dulu. Kesultanan Melayu ini sebuah empayar yang besar. Pelabuhan Melaka termasyhur di dunia, didatangi oleh 84 buah bangsa yang berdagang di situ. Bahasa Melayu jadi bahada perantara. Kesultanan ini sebagian dari Dunia Melayu. Ia berasal dari Palembang. Kemudian Dunia Melayu ini dipecah oleh penjajah Belanda dan Inggeris – kita merdeka dari Inggeris dan Indonesia merdeka dari Belanda. Sekarang selepas zaman penjajahan Eropa, kita patut mengusahakan penyatuan Dunia Melayu.
            Pada waktu perundingan kemerdekaan, Inggeris telah mensyaratkan supaya sejuta pendatang China dan India yang telah dibawa masuk oleh penjajah Inggeris untuk melaksanakan ekonomi kolonial mereka, diberi kerakyatan terus-menerus. Raja-raja Melayu dan kebanyakan pemimpin Melayu bersetuju. Dengan satu garis pena, bangsa Melayu, pembina dan  pewaris satu tamadun yang besar, menjadi satu kaum di negara mereka sendiri!. Ini satu jenayah sejarah yang besar! Ia tidak pernah dibenarkan oleh mana-mana bangsa yang berdaulat!
            Patutkah bangsa Melayu berontak? Ya, mereka berhak memberontak. Orang Melayu masih memegang kuasa dalam tentera, dalam polis dan dalam perkhidmatan awam. Tetapi dari segi hak asasi, semua bangsa dan semua suku-bangsa ada hak yang sama, anak-cucu Adam, penghuni  ‘Bumi Manusia’, seperti judul salah sebuah karya sasterawan Indonesia, Pramudia Anata Tur.
            Oleh yang demikian, mereka harus cari jalan yang selaras dengan hak-hak mereka dengan hak-hak kemanusian semua bangsa. Satu dasar integrasi yang fitriah dalam satu kesatuan bangsa Malaysia yang sedang dibina mesti dilaksanakan. Dasar integrasi yang fitriah ini memerlukan kita melaksanakan sistem pendididkan nasional di bawah satu bumbung persekolahan nasional yang membenarkan pembelajaran dan amalan pelbagai bahasa dan budaya.
            Dari segi sistem kenegaraan untuk sebuah Negara Malaysia yang mantap dan bahagia, saya anjurkan supaya kita contohi Piagam Madinah.

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com     

  

Wednesday, October 14, 2015

KECANTIKAN WANITA




KECANTIKAN WANITA ITU TUHAN JADIKAN,
SEKSIME TIDAK 

Oleh: Kassim Ahmad
7 Oktober, 2015

            Seperti yang telah saya katakan di lokasi lain, salah satu bentuk  kecantikan dalam dunia itu wanita. Walaupun rambut wanita buka ‘aurat dan tidak perlu ditutup, sesetengah lelaki  yang tidak dapat mengawal nafsu keberahiannya lebih suka rambut wanita ditutup. Anehnya, dalam sejarah manusia, lelaku, bukan wanita, yang jagi penggoda. Yusuf, sebelum beliau diangkat menjadi nabi, seorang tawanan di rumah gabenor Mesir. Dia begitu lawa hingga isteri gabenor Mesir, Zulaikha, jatuh berahi kepadanya. Lalu beliau mengajak Yusuf  bercumbu-cumbuan dengannya. Yusus pun tertarik  dengan Zulaikha dan boleh digoda oleh beliau jika sekiranya dia tidak dihalang oleh Tuhannya. (Lihat Quran, 12: 21-35)
            Inilah kes klasik perangkap godaan seorang wanita yang sanggup berlaku curang terhadap suaminya. Nasib baik godaannya tidak berhasil. Bila terserempak dengan suami beliau di muka pintu, Zulaikha tuduh Yusuf  yang mahukan dia. Walaupun Zulaikha salah, oleh kerana kedudukan beliau sebagai isteri gabenor Mesir, Yusuf dipenjarakan.beberapa tahun sebelum dibebaskan.
            Keberahian Zulaikha kepada seorang hamba abd, Yusuf yang lawa, menjadi buah mulut di kalangan wanita-wanita Mesir. Lalu Zulaikha mengadakan satu majlis di rumahnya. Diberinya tiap wanita sebilah pisau untuk mensiang sayur  dan disuruhnya Yusuf masuk. Apabila Yusuf lalu, wanita-wanita itu terpegun dengan rupa paras Yusuf. “Ini bukan manusia; ini malaikat,” kata mereka. Kerana terpegun itu jari mereka sampai terpotong! Demikanlah Zulaikah membuat wanita-wanita Mesir malu dengan gossip mereka terhadap beliau.
Demikianlah bentuk kecantikan manusia, khasnya wanita. Ini satu daripada bentuk kecantikan yang Tuhan jadikan. Ia semula jadi. Tetapi nafsu keberahian yang ditunjukkan oleh Zulaikha kepada Yusuf yang boleh membawanya kepada kecurangan (kita bahasakannya di sini, seksime) tidak natural. Ia haram. Mengikut ajaran Islam, seorang lelaki yang ingin mengadakan hubungin intim dengan seorang wanita, mestilah ada ikatan perkahwinan di antara mereka. Wanita itu juga tidak dari kalangan muhrim dengan lelaki itu, yakni dari kalangan tidak boleh ia kahwini


KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman webnya www.kassimahmad.blogspot.com  

Tuesday, October 06, 2015

SIAPA SESAT?


SIAPA SESAT – KASSIM AHMAD
 ATAU AHLI SUNNAH WAL-JAMA’AH?

Oleh; Kassim Ahmad
7 Oktober, 2015

            Puak Ahli Sunnah WaljJa’ah (ASWJ) telah menghukum saya sesat. Mereka mendakwa saya menidakkan syahadah yang kedua, iaitu kesaksian bahawa Nabi Muhammad rasul Allah.
            Saya tolak dakwaan ini. Bukan saya yang menolak syahadah kedua. Syahadah kedua dibatalkan dalm Quran. Sila lihat Surah 63, ayat 1, yang berbunyi, “Apabila orang munafik datang kepada kamu, mereka berkata, ‘Kami naik saksi kamu rasul Allah.’ Allah tahu kamu rasul Dia, dan Allah naik saksi orang munafik pendusta.” Ini bermakna hanya orang munafik yang membuat kenyataan itu.
            Nabi Muhammad salah seorang rasul Allah. Dua puluh lima nama rasul Allah yang disebut dalam Quran. Mereka termasuk nab-nabi Ibrahim, Musa dan Isa. Jadi, Nabi Muhammad bukan satu-satunya rasul Allah. Menaik saksi Muhammad rasul Allah, nyatalah bohong. Maka itu Allah Sendiri mengisytiharkan mereka yang berkata demikian pembohong. Nabi Muhammad sendiri tidak pernah berbuat begini. Juga Nabi Ibrahin,  yang diikuti oleh Nabi Muhammad. Malah semua rasul Allah tdak berbuat demikian.
            Nabi Muhhammad tidak tergolong ke dalam puak ASWJ. Tuhan melarang keras daripada membuat puak dalam agama. Nabi Muhammad tidak pernah melanggar perintah Tuhan, walaupun Tuhan Sendiri pernah mengkritik Nabi Muhammad apabila beliau tidak mempeduli seorang buta yang datang hendak bertemu dengan beliau.
            Misi Nabi Muhammad hanya menyampaikan Quran kepada manusia. Beliau tidak bertanggungjawan tentang hadis-hadis yang direka kemudian oleh pelbagai puak, dan disahkan oleh Imam Shafi’e kira-kira 150 tahun kemudian. Imam Shafi’e membuat kesilapan besar dengan doktrin  palsu beliau. Kononya, tujuan beliau “baik” untuk mendamaikan kacau-bilau fikiran yang berlaku pada zaman itu. Sepatutnya, beliau mencadangkan supaya terus berpegang teguh kepada Quran saja, serta menganjurkan mufakat tentang makna ayat-ayat Quran apabila berlaku perbezaan pendapat. Inilah yang harus beliau lakukan, bukan memperkenal doktrin baru dua sumber utama. Di Hari Pembalasan nanti, Tuhan akan bertanya Nabi Muhammad apakah beliau bawa Hadis. Nabi Muhammad akan menafikan. Pada waktu itu, kepalsuan doktrin Imam Shafi’e akan terbongkar dan beliau akan menerima hukuman daripada Tuhan.


KASSIM AHMAD seorang penulis Malaysia bebas. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com.my