Wednesday, October 28, 2015

BETULKAH HADIS KATA-KATA NABI MUHAMMAD?



BETULKAH HADIS KATA-KATA NABI MUHAMMAD?
Oleh: Kassim Ahmad
10 Mei, 2015

            Telah saya nyatakan di tempat-tempat lain bahawa dalam sejarahnya manusia melakukan banyak kesilapan, sesetengahnya besar. Hudud sebagai hukum kesiksaan, seperti yang ditafsirkan oleh sesetengan ahli hukum, satu daripanya. Itulah sebabnya wajar benar warisan yang kita terima dari generasi dulu kita nilai semula sama ada betul atau tidak. Yang betul kita teruskan; yang salah kita tinggalkan. Dengan demikian, kemajuan kita akan senantiasa meningkat. Jadi, pemikiran kritis amat penting. Kita mesti baca untuk mengetahui dan membuat, tetapi baca kita itu mesti selalu dengan kritis. Sikap taksub kepada pemimpin atau sarjana itu satu kesalahan besar.
            Sejak saya tulis buku Hadis: Satu Penilaian Semula dalam 1986, Raja Fahd di Arabia,  Jabatan Agama Kerajaan Turki dan seorang penysarah Universiti Islam Antarabangsa telah mengiyakan seruan itu. Malah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sendiri baru-baru ini menyatakan kemahuan mereka untuk menyemak semula Hadis, kerana kemunculan kumpulan IS.  Ini menunjukkan anjuran saya itu tepat pada masanya dan relevan.
            Harus diingat bahawa Nabi Muhammad tidak bertanggungjawab terhadap kemunculan Hadis. Misi beliau semata-mata menyampaikan Quran, dan tidak lebih dari Quran.[1]  Hadis muncul kemudia kerana beberapa sebab; ada sebab yang ‘baik’ untuk memasukkan ajaran yang baik dari tamadaun-tamadun lain, seperti Yunani.(Tidakkah mereka sedar bahawa perbuatan ini menafikan sempurna dan lengkapnya ajaran Quran?) Walaupun demikian, pada dasarnya, Hadis telah menjadi saluran ajaran yang bertujuan untuk melemahkan orang Islam. Banyak hadis mengandung ajaran-ajaran dari kitab Taurat, yang kita tahu sudah dipinda. Umpamanya, hukuman bunuh bagi orang murtad, dan rejam hingga mati untuk penzina, dan banyak lagi.[2]
            Guru Agung yang memperkenalkan doktrin baru dua sumber utama (Quran dan Hadis) tidak lain daripada pengasas ilmu perundangan Islam, Iman Shafi’e (767-820), yang lahir 136 tahun setelah nabi wafat. Sebelum ini sedikit hadis sudah wujud, direka oleh pereka-pereka Hadis dengan sebab-sebab tertentu.[3]  Apabila Guru Agung ini memperkenalkan doktrin baru dua sumber utama, barulah timbul pengumpul-pengumpul Hadis bagi puak Sunni dan juga bagi puak Syi’ah kira-kira 200 hingga 250 tahun selepas nabi wafat, yakni di antara 6.6 dan 8.3 generasi kemudian. Jarak yang amat jauh ini menampakkan kelemahan Hadis dari kedua-dua  segi sanad dan matannya. Ada orang sudah membuat suatu ujian saintifik meletakan beberapa orang di sekeliling sebuah meja bundar, dibisikan satu ayat kepada orang pertama dan disuruh dia bisikan kepada orang kedua seterusnya hingga orang yang terakhir: didapati ayat itu tidak sama lagi dan sudah berubah!
            Jika kelemahan ini begitu ketara, mengapakah Hadis dipegang oleh kebanyakan umat Islam selama 1,400 tahun lebih? Ini menunjukkan kebanyakan umat Islam tidak membaca dengan kritis, seperti yang diperintah oleh Tuhan dalam Quran. Mereka taksub kepada pemimpin, padahal pendewaan kepada pemimpin ini satu punca syirik. Saya ingat waktu saya berdialog dengan ABIM pada tahun 1986, salah seorang daripada jurucakap mereka Uthman Muhammady berkata kepada saya (dalam bahasa Inggeris), “Kassim, you have gargantuan courage!” (“Kassim, awak terlalu berani!”). Saya berfikir lama selepas dialog itu mengapa beliau berkata demikian kepada saya. Akhirnya, saya membuat kesimpulan kerana saya berani mengkritik tokongnya, Imam Shafi’e!
            Biar saya membuat satu pengkuan di sini. Saya lahir di pedalaman di kalangan orang miskin. Maka itu saya memberontak terhadap keadaan status quo. Perhatikan sajak saya “Dialong” yang bait akhirnya berbunyi:-
/ada besok maka pasti ada suria/aku akan pergi/dengan seribu Jebat si anak tani/kian lama kita mati dalam setia/ kali ini kita hidup dalam durhaka/. (Tekanan ditambah)
            Jadi, saya kritis terhadap apa yang saya warisi dari nenek moyang – apa yang saya panggil “Islam baka”. Saya mencari Islam yang sebenar. Maka itu kaum Haman, puak birokrasi agama di zaman kita sekarang, munuduh saya kufur (Majlis Fatwa Terengganu) dan JAKIM menuduh saya “menghina Islam”.  Birokrat agama juga mengharamkan buku saya Hadis: Satu Penilaian Semula. Sekarang sampailah masanya mereka memohon ma’af kepada saya. Saya akan meminta Kerajaan mengarahkan institusi-institusi mereka yang terbabit supaya menarik balik semua tuduhan palsu mereka terhadap saya.  
            Maha Suci Allah! Segala puji bagi Dia!
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia, Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com
           



[1] Aduan Muhammad kepada Tuhan yang masyhur itu berbunyi, “Tuanku, kaumku telah membelakangkan Quran ini.”  (Quran, 25: 30) Ini menunjukkan bahawa kitab yang beliau bawa itu Quran, bukan Quran dan Hadis. Banyak ayat Quran menyebut misi Nabi Muhammad hanya menyampaikan Quran, umapanya 3: 20; 5: 92, 99, dll. Quran disebut sebagai ‘hadis’ (7: 185; 12: 111, dll.).  Mereka yang mengadakan sebuah buku lain, selain Quran (68: 35- 38).
[2] Lihat Kassim Ahmad, Dilema Umat Islam – Antara Hadis dan Quran (Forum Iqra’ Pulau Pinang: 2002).
[3] Lihat Kassim Ahmad, Lihat Kassim Ahmad, Hadis: Satu Penilaian Semula (Media Intelek, Petaling Jaya: 1986).

6 comments:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
hasri.blog said...

Syabas Pak Kassim teruskan menulisa untuk mendapat pembelaan dari Tuhan Maha Esa.

Mohamad said...

Assalamualaikum Tuan

Bicara Tuan mengenai kesilapan hadis, seperti hukum rejam, pemaakkaian tudung dan sebagainya amatlah saya kagumi dan setujui.

Hanya apa yg diutarakan diatas mengenai Imam Syafie, saya tidak boleh menerima. Saya mengakui hadis byk kelemahan, tapi hadis juga mengandungi byk kebenaran dan pelajaran penting utk kita mengendalikan agama kita.

Apa yg saya dapati dari sebilangan guru dari pesantren, hadis yg pelik dan yang melanggar al-Quran, tidak dapat dlm pelajaran mereka. Sehingga apabila saya mrngutarakan beberapa contoh, mereka merasa hairan.

Dan mereka juga pengikut Imam Syafie yg menganjurkan praktik Islam sesuai dgn keadaan di Tanah Melayu.

Saya ingin ajukan Tuan menelaah lebih dalam mungkin dari sumber2 lain utk mengenali sosok Imam Syafie ini.

Semoga kita sama2 memperoleh barakah. Ameen.

Kassim Ahmad said...

Saya baca buku Imam Shafi'e. Beliau sudah buat silap besar kerana mewajibkan dua sumber utama, Quran dan Hadis. Hadis itu rekaan manusia yang disangkut kepada kepala Nabi Muhammad. Shafi'e telah buat satu kesilapan besar.

mohd rohaizal musa said...

[1] Ketaatan, rujukan dan ikutan kepada hadis dan sunnah telah mula diperintahkan oleh al-Qur’an sejak bermulanya kerasulan Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam. Sama ada sebelum atau selepas tahun 200 hijrah, umat Islam seluruhnya mentaati, merujuk dan mengikut hadis dan sunnah Rasulullah, bukan kerana Imam Shafi’i tetapi kerana ia adalah perintah Allah Tabaraka waTa’ala di dalam al-Qur’anul Karim.

[2] Ketaatan, rujukan dan ikutan kepada hadis dan sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam jelas terbukti dalam kitab al-Muwattha’ Imam Malik bin Anas, sama ada dalam bentuk riwayat hadis Rasulullah atau kisah para sahabat dan tabiin yang mempraktikkan sunnah Rasulullah. Intisari dan kandungan kitab al-Muwattha’ telah mula diajar oleh Imam Malik pada tahun 120-130 hijrah[1] dan ia lengkap dibukukan pada tahun 150 hijrah.[2] Ini jelas menunjukkan bahawa Imam Shafi’i bukanlah merupakan orang pertama yang mempelopori ketaatan, rujukan dan ikutan kepada hadis dan sunnah Rasulullah.

[3] Menurut dakwaan pihak yang menolak hadis, sebelum tahun 200 hijrah umat Islam seluruhnya hanya merujuk kepada satu sumber – yakni al-Qur’anul Karim. Jika dakwaan ini adalah benar, kita bertanya – bagaimana mungkin seorang Imam bersama sebuah kitabnya berjaya mempengaruh dan menukar dasar agama dan rujukan ratusan ribu umat selama 200 tahun dari al-Qur’an sahaja kepada al-Qur’an dan sunnah Rasulullah ? Sudah tentu ini mustahil mengingatkan budaya hidup dan peradaban umat ketika itu yang tidak memiliki sebarang kemudahan media cetak, elektronik dan multimedia. Lebih dari itu, pasti ratusan ribu umat Islam di saat itu akan bangkit membantah dan menolak konsep al-Qur’an dan sunnah Nabi secara besar-besaran.

Bagi menggambarkan betapa besarnya kemustahilan Imam Shafi’i mengusulkan konsep “baru” al-Qur’an dan sunnah Rasulullah di zaman 200 hijrah, marilah kita bandingkan dengan usaha Golongan Anti-Hadis masa kini di zaman peradaban yang serba moden lagi canggih. Umpamakan usaha mereka mengusulkan konsep al-Qur’an sahaja di kalangan umat masa kini yang berpegang kepada al-Qur’an dan sunnah Rasulullah seperti usaha Imam Shafi’i mengusulkan konsep al-Qur’an dan sunnah Rasulullah di kalangan umat tahun 200 hijrah yang berpegang kepada al-Qur’an sahaja. Dapat kita perhatikan bahawa Golongan Anti-Hadis masa kini dengan segala medium serba moden yang mereka gunakan, seperti internet, buku bercetak, risalah percuma, poster-poster, artikel akhbar, rencana majalah dan wawancara radio televisyen, tetap tidak dapat mengubah pegangan umat dari al-Qur’an dan sunnah Rasulullah kepada al-Qur’an sahaja. Usaha mereka siang dan malam selama bertahun-tahun secara berkumpulan hanya membuahkan hasil yang minimum.

Nah ! Jika dengan segala kelengkapan moden ini gagal menukar pegangan umat masa kini, maka bagaimana pula dengan Imam Shafi’i seorang, bersama sebuah kitabnya yang berjudul al-Risalah yang dicatit tangan, tanpa media cetak, internet, radio, televisyen dan sebagainya mampu hendak mengubah pegangan umat di zaman 200 hijrah ? Sudah tentu bertambah mustahil. Justeru ketahuilah – bahawa Imam Shafi’i bukanlah orang yang pertama mengusulkan konsep hadis dan sunnah Rasulullah di samping al-Qur’an kepada umat Islam. Yang benar adalah konsep hadis dan sunnah Rasulullah di samping al-Qur’an telah bermula sejak saat-saat pertama agama Islam bermula. Inilah hakikat yang sebenarnya.

Unknown said...

I think you are right sir. I'm still study your opinion.