Wednesday, October 28, 2015

FITNAH JAWATANKUASA FATWA TERENGGANU


FITNAH JAWATANKUASA FATWA NEGERI TERENGGANU
PENOLAKAN DAN JAWAPAN
Oleh: Kassim Ahmad
8 Julai, 2014

Mengikut laporan, Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu telah memutuskan pada  9 Mac, 2014 bahawa ucapan saya di dewan Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 26 Februari, 2014 itu sebagai “pemikiran yang kufur dan murtad”. Kufur bermakna kafir dan murtad terkeluar dari Islam. Ini satu fitnah dan kesilapan besar.
Isu-isu yang ditimbulkan penolakan saya terhadap[ syahadah yang kedua, kenyataan saya bahwa rambut wanita bukan ‘aurat, dan tuduhan lama bahawa saya anti-hadis.
Saya tidak pernah mempertikai Nabi Muhammad sebagai nabi lagi rasul. Apa yang saya pertikai  amalan syahadah kedua. Sebab apa saya buat begitu? Kerana persis ia tidak diajar oleh beliau sendiri dalam Quran. Syahadah yang pertama disahkan dalam Quran dalam Surah 3, ayat 18 yang berbunyi: “Tuhan naik saksi tiada tuhan melainkan Dia; demikan juga para malaikat dan mereka yang berilmu, yang enegakkan keadilan. Tiada tuhan melainkan Dia, Yang Maha Perkasa, Bijaksana.”  Perhatikan ayat ini berhenti di situ tanpa meneruskan dengan apa yang dikatakan syahadah kedua. Malah syahadah kedua dibatalkan dalam Surah 63, ayat 1, yang berbunyi, “Apabila orang munafik datang kepada kau, mereka berkata, ‘Kami naik saksi kau rasul Allah.’ Allah tahu kau rasul-Nya, dan Allah naik saksi bahawa orang munafik itu pendusta.”
  Anehnya, walau pun ayat ini wujud, masih ada orang yang melafazkan syadah kedua!
Dari segi logika, kita tidak boleh berbuat demikian kerana rasul Allah itu ramai, bukan Muhammad seorang. Mengapa mereka sebut Muhammad saja. Lagi pula, bagaimana Nabi Ibrahim bersyahadah? Adakah beliau berkata, “Aku naik saksi Ibrahim rasul Allah”? Kalau beliau buat begitu bermakna ada banyak Islam. Ini tidak benar sama sekali.
Jadi, syahadah itu satu saja. Syahada ini diamalkan oleh semua nabi dan rasul, termasuk Nabi Muhammad.
Saya juga membantah pendewaan Nabi Muhammad dengan menyamakan beliau dengan Allah dalam mesjid-mesjid, rumah-rumah dan kereta-kereta. Ini sama sekali tidak bermakna saya memperkecilkan beliau. Beliau penyudah segala nabi dan disifatkan oleh Tuhan sebagai rahmat kepada seluruh manusia. Tetapi menyamakan beliau dengan Tuhan dengan menulis nama beliau dan Tuhan sama besar dan separas itu salah besar.


Ada orang akan bertanya mengapa kebanyakan umat Islam di seluruh dunia berbuat demikian. Jawabnya, kerana mereka ikut Islam baka, Islam yang kita warisi dari nenek-moyang tanpa usul-periksa.
Saya ingin bertanya kepada cerdik-pandai Islam sekarang. Mengapakah umat Islam sekarang duduk di belakang Britain, Perancis, Amerika Syarikat, Rusia, China dan India.? Sepatutnya, sebagai pengamal agama yang Tuhan Sendiri reda, kita duduk di atas sekali, seperti mula-mula dulu. Ini bukti yang jelas sekali bahawa kebanyakan umat Islam sekarang sudah menyeleweng daripada agama Islam yang sebenar yang diajar dalam Quran. Kalau kita kaji sejarah agama, selepas kira-kira 300 tahun, agama itu akan dimasuki semula khurafat-khurafat dalam masyarkat itu.
Mereka tuduh saya kufur dan murtad. Tiada siapa pun boleh menghukum seseorang itu mukmin atau kafir, kecuali Tuhan Yang Maha Mengetahui. Ini bermakna mereka yang menuduh saya demikian bertindak sebagai Tuhan!
Saya cabar mereka yang menuduh saya demikian berdebat dengan saya di depan umum untuk menentukan siapa betul dan siapa salah. Kalau mereka enggan melayan cabaran saya untuk berdebat, jangan buat tuduhan yang tidak sanggup merkea pertahankan dalam satu debat umum.  
Perkara ini sepatutnya dibuat dialog, berbincang dengan baik, dalam semangat  keislaman. Membuat tuduhan dan fitnah seperti itu tidak akan menyelesaikan masalah.

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

3 comments:

Unknown said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Anonymous said...

Terima kasih pak kassim ! :)

zulia said...
This comment has been removed by a blog administrator.