Thursday, October 29, 2015

PEGANGAN TAUHID


PEGANGAN TAUHID
Oleh: Kassim Ahmad
30 Oktober, 2015

          Satu hadis sahih menyatakan bahawa sembahyang tiang agama.  Oleh yang demikian, kebanyakan orang Islam di Malaysia berlumba-lumba untuk sembahyang. Tetapi sedikit pengetahuan tentang Quran akan menunjukkan bahawa dalam Surah Al-Maa’un (107) Tuhan mengutuk orang yang bersembahyang. Kutukan ini nyata  kerana bagi orang-orang ini sembahyang satu ritual semata-mata; tidak ada kena-mengena dengan aspek-aspek kehidupan yang lain, seperti politik, ekonomi, sosial, undang-undang dan falsafah.
Dengan perkataan lain, tanpa pegangan tauhid, segala perbuatan kita batal. Mengapakah pegangan tauhid itu penting?
Tauhid bermakna kepercayaan kepada Tuhan Yang Esa. Tuhan Yang Esa membawa implikasi kesatuan kehidupan dan kesatuan undang-undang alamiah. Semua manusia berasal dari satu nafs atau diri. Kemudian dia berkembang menjadi dua dan banyak, bertebar ke seluruh dunia, menjadi pelbagai bangsa dan agama.
Agama Tuhan itu satu saja, monoteisme, beriman kepada Tuhan Yang Esa, Islam, tunduk dan sembah Tuhan Yang Satu.
Satu kajian sejarah akan memberitahu kita bahawa semua agama Tuhan yang dibawa oleh semua nabi lagi rasul dari Adam, selepas kira-kira tiga ratus tahun, bertukar balik menjadi poletiesma. Demikian telah terjadi kepada semua agama. Demikian juga telah terjadi kepada agama Islam yang dilengkap dan disempurnakan oleh Nabi Muhammad (penyudah segala nabi, khataman’al-nabiyyin). Islam Nabi Muhammad telah berpecah kepada puak Ahli Sunnah Wal-Jama’ah dan puak Syi’ah.  Mereka yang membuat puak dalam agama tidak diiktiraf oleh Nabi Muhammad sebagai pengikut beliau.
Mengapakah perkara ini berlaku? Dalam diri manusia ada dua dorongan yang senantiasa berlawan. Satu dorongan ke atas untuk meningkat maju. Kita kata ini dorongan malaikat. Satu lagi dorongan ke bawah untuk meruntun kita jatuh. Kita kata ini dorongan syaitan. Jadi, seperti kata seorang ahli falsafah sosial, kemajuan manusia bukan mengikut satu garis, tetapi banyak garis. Jadi, kemajuan manusia mengikut jamakgaris, bukan tunggalgaris, kadang-kadang meningkat naik, kadang-kadang merosot turun. Tetapi pada keseluruhannya meningkat maju. Dua peperangan dunia menunjukkan rosotan yang besar. Namun demikian, tamadun manusia mekar dan jatuh, mekar dan jatuh, silih-berganti. Sekarang manusia di ambang pendudukan Angkasa Lepas dan di ambang sebuah dunia yang adil.   
   Tuhan telah memberi tahu kepada kita dalam Quran bahawa  kebnyakan manusia tdak beriman, dan di antara sedikit yang beriman ini tidak beriman kecuali dengan menyengutukan Tuhan!  Ini menunjukkan bahwa bilangan sedikit yang beriman ini pun cukup untuk membawa manusia ke mercu kejayaan. Kekuatan tidak terletak pada bilangan ramai. Kekuatan terletak pada kebenaran.


KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Lama web beliau www.kassimahmad.blogspot.com  

4 comments:

hasri.blog said...

Syabas Tuan Kassim Ahmad, masih segar dalam mengkritik pemahaman lama masyarakat Islam.

Unknown said...

Nak tanya, apa pandangan Pak Kassim tentang solat? Adakah wajib utk dilakukan atau sudah cukup sekadar kita mempunyai tauhid dan keprcayaan adanya tuhan.

Anonymous said...

Saya dapati tiada yang komen tulisan Pak Kassim.. maka saya ingin maklumkan saya membaca semua tulisan Pak Kassim, dan bersetuju dengan kebanyakannya.. kecuali Code 19 yang saya kurang bersetuju. Saya harap lebih ramai tampil kritis terhadap umat, bukan sekadar untuk menjadi kritis, tetapi memang umat perlu ditegur kerana kesesatan nampaknya makin berleluasa

Kassim Ahmad said...

Salat memang diwajibkan. Tauhid itu pokok. Salat tanpa tauhis tidak terpakai. Tauhis saja tanpa salat, puasa dll bererti tauhid yang kosong.